A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kesan & Akibat Kehamilan Remaja

Kehamilan remaja bermaksud kehamilan yang berlaku pada remaja perempuan berumur di antara 10 dan 19 tahun. Banyak kesan dan akibat yang akan dihadapi oleh remaja perempuan yang hamil, bukan setakat menanggung masalah yang biasa dihadapi oleh setiap perempuan yang hamil tetapi kesan bagi remaja yang hamil lebih dari itu seperti masalah mental, sosial, kewangan dan juga menghadapi risiko kematian.

Kesan ke atas keluarga remaja

Apabila kehamilan remaja berlaku, seluruh keluarga yang terlibat akan menghadapi tekanan dan ini boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan. Ibu bapa serta remaja tersebut perlu membuat keputusan sama ada remaja tersebut akan menjaga bayi yang akan lahir, menggugurkannya atau memberikan anaknya kepada keluarga angkat. Jika remaja di bawah umur dan belum berkahwin, kehamilan remaja ini melibatkan masalah undang-undang yang menambahkan lagi tekanan/stres kepada remaja serta ahli keluarganya.

Kesan kehamilan ke atas mental remaja

Remaja yang hamil berisiko tinggi menghadapi masalah mental seperti kemurungan, tekanan dan stres untuk menjadi ibu/bapa. Kurang sokongan dari keluarga dan masyarakat boleh membawa remaja kepada kemurungan, membuat keputusan yang tidak tepat dan masalah penyalahgunaan dadah.

Disebabkan stigma kehamilan remaja yang masih tinggi dalam masyarakat, remaja menghadapi masalah malu, rasa bersalah, rasa marah, denial dan murung. Ini akan membawa kepada perasaan kurang harga diri dan akhirnya mereka akan takut untuk memberitahu atau meminta pertolongan kawan, keluarga atau sesiapapun tentang kehamilan mereka dan seterusnya akan memencilkan diri sendiri.

Kesan jika pengguguran bayi dilakukan

Pengguguran bayi jika dilakukan boleh mengakibatkan kesan jangka panjang kepada remaja berkenaan termasuk kemurungan, masalah stress post trauma, rasa bersalah, masalah tidur dan juga masalah anxiety/resah gelisah.

Kesan sosial

Stigma masyarakat kepada remaja yang mengandung di luar nikah akan membuat remaja berasa terpinggir dan tidak akan mendapat banyak sokongan daripada keluarga dan rakan.

Masalah kesihatan yang berkaitan dengan kehamilan remaja.

  • Masalah kepada bayi yang akan lahir
  • Kurang berat lahir (kurang 2.5 kg)
  • Kelahiran awal (premature). Remaja yang mengandung selalunya melahirkan anak awal dari jangkaan atau kurang daripada 37 minggu.
  • Kematian, disebabkan bayi yang lahir di kalangan remaja yang hamil selalunya tidak mendapat penjagaan kesihatan yang mencukupi.

Masalah kepada remaja yang hamil

  • Tekanan darah tinggi. Ini kerap berlaku semasa kehamilan pertama.
  • Kesukaran semasa proses kelahiran disebabkan pinggul remaja yang sempit (Obstructive labour) termasuk penggunaan alat untuk membantu proses kelahiran (Instrumentation delivery)
  • Kurang darah/anaemia
  • Komplikasi kelahiran yang boleh mengakibatkan kematian.

Kesan kewangan/ekonomi

Kehamilan remaja akan menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan persekolahannya dan menyebabkan remaja sukar mendapat pekerjaan serta pendapatan yang baik dan ini akan mengurangkan peluangnya untuk membina hidup yang lebih baik di masa hadapan. Pendapatan yang kurang akan memberi kesan ke atas penjagaan dan pemakanan anak yang akan lahir.

Kesan jangka panjang

Remaja hamil berisiko tinggi hidup dalam kemiskinan, tidak mendapat kerja yang stabil, mempunyai rumah tangga yang tidak stabil, mempunyai anak-anak yang mempunyai pencapaian yang rendah di sekolah dan akan mempunyai anak perempuan yang akan berkesudahan hamil juga semasa remaja. Fakta ini didapati daripada kajian yang dijalankan oleh American Academy of Child and Adolescent Psychiatry.

Setiap remaja perlu mengetahui akibat serta kesan daripada tingkah laku yang akan membawa kepada kehamilan remaja. Remaja yang hamil akan menghadapi berbagai-bagai masalah seperti yang telah dibincangkan di atas dan akan mempengaruhi hubungan keluarga dan juga masyarakat.

Semakan Akhir : 16 Februari 2011
Penulis : Dr. Wan Fadhilah bt. Wan Ismail

 

Artikel Berkaitan

Kawalan Diri

Apakah kawalan diri? Kawalan diri bermaksud kebolehan mengawal impuls, menggunakan

Kemurungan

Apakah itu kemurungan? Kemurungan adalah penyakit mental yang menyebabkan perasaan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,816

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia