A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kesan – Kesan Rawatan Ortodontik

Rawatan Ortodontik merupakan rawatan yang diberikan bagi membetulkan ketidakaturan susunan gigi dengan menggunakan aplian tetap dan/atau aplian boleh tanggal

Pengenalan

Rawatan Ortodontik merupakan rawatan yang diberikan bagi membetulkan ketidakaturan susunan gigi dengan menggunakan aplian tetap dan/atau aplian boleh tanggal.

Selain dapat memberikan kesan estetik, rawatan ortodontik juga berpotensi untuk menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini. Kesan-kesan rawatan ortodontik dapat dibahagikan kepada 3 bahagian:-

  1. Kesan intra-oral (dalam mulut)
  2. Kesan extra-oral (luar mulut)
  3. Kesan sistemik

Kesan Intra-Oral (Dalam Mulut)

Rawatan ortodontik memberikan kesan sampingan yang paling banyak kepada bahagian dalam mulut pesakit. Kesan-kesan tersebut dapat dibahagikan kepada 3 bahagian:

  1. Kesan kepada gigi
  2. Kesan kepada tisu gusi (periodontium)
  3. Kesan kepada tisu lembut.

Kesan kepada gigi

  1. Kesan  dekalsifikasi kepada permukaan enamel gigi yang dapat dilihat seperti tompok-tompok putih (white-spot) merupakan komplikasi yang paling kerap berlaku (Gambar 1).  Dekalsifikasi kepada permukaan enamel gigi adalah disebabkan oleh asid yang dihasilkan dari proses metabolisma plak.(Kidd & Smith; 1991)

    alt
    Gambar 1: Menunjukkan kesan dekalsifikasi kepada permukaan enamel gigi

    Proses penyahmineralan pada enamel gigi boleh berlaku secara pantas dalam masa sebulan pertama rawatan ortodontik aplian tetap. Oleh itu, adalah penting bagi pesakit untuk menjaga kebersihan mulut agar bebas dari plak. Pesakit juga dinasihatkan agar mengurangkan pengambilan minuman yang berasid seperti minuman berkabonat yang akan menambahkan lagi kesan dekalsifikasi pada permukaan enamel gigi.

    Mengikut kajian yang dijalankan oleh Gorelick et al; 1982, 50% daripada pesakit ortodontik didapati mempunyai sekurang-kurangnya satu white-spot selepas rawatan ortodontik . Gigi yang paling kerap dijangkiti  ialah  gigi  lateral insisor maksila (gigi kacip lateral atas) (23%).  Jangkamasa rawatan ortodontik tidak mempengaruhi insidens atau bilangan white spot.

  2. Karies juga mudah terjadi pada gigi terutamanya apabila kebersihan mulut tidak dijaga dengan rapi oleh pesakit dan jangkamasa rawatan ortodontik yang terlalu lama.

  3. Kehausan permukaan enamel  gigi  (atrition)  boleh terjadi disebabkan oleh braket seramik atau logam  yang dilekatkan pada permukaan gigi bagi rawatan ortodontik.  Ianya biasa terjadi pada tip (hujung) gigi kanin (taring) atas semasa proses retraksi dimana  tip gigi kanin akan bergeser dengan braket gigi kanin bawah (Gambar 2).  Selain daripada itu, braket seramik yang dilekatkan pada gigi insisal bawah boleh menyebabkan kehausan pada gigi insisal atas.(Swartz; 1988)

    alt
    Gambar 2 : Menunjukkan atrisi pada permukaan kanin atas

  4. Resorpsi (penyusutan) akar gigi juga boleh berlaku disebabkan oleh rawatan ortodontik (Gambar 3). Resorpsi akar gigi boleh terjadi pada permukaan apikal dan lateral akar gigi terutamanya pada gigi insisal atas dan bawah. (Kennedy et al; 1983)

    alt
    Gambar 3 : Radiograf periapikal menunjukkan resoprsi akar gigi incisor sentral

    Mekanisme kejadian resorpsi akar gigi adalah kurang jelas. Dikatakan bahawa daya tarikan ortodontik yang berlebihan dan kejadian  hyalinisasi pada ligamen periodontium menyebabkan peningkatan aktiviti sel-sel tulang terutamanya cementoclast dan osteoclast yang boleh menyebabkan terjadinya resorpsi akar gigi. (Brezniak & Wasserstein; 2002a,b)

    Faktor-faktor  risiko lain yang mempengaruhi terjadinya resorpsi akar gigi adalah :

    • Bentuk akar gigi yang berbentuk pipet –  resorpsi akar lebih mudah terjadi (Malmgren; 1988)
    • Gigi yang pernah mengalami trauma dan gigi yang telah mendapat rawatan akar lebih terdedah kepada resorpsi akar gigi(Drysdale et al; 1996)
    • Rawatan gigi kanin terimpak di dalam tulang akan meningkatkan risiko resorpsi akar pada gigi-gigi lateral dan pra-molar pertama. Ini adalah disebabkan oleh jangkamasa rawatan ortodontik yang lama dan jarak pergerakan gigi kanin yang panjang.(Woloshyn et al; 1994)
    • Mekanikal rawatan  ortodontik – sesetengah  mekanik rawatan ortodontik seperti penggunaan dawai arkus rectangular (Linge & Linge; 1983) ,  penggunaaan elastic Class II traksi (Levander & Malmgren; 1988),  pergerakan intrusi gigi , jarak  pergerakan gigi yang jauh dan daya  tekanan/tarikan  yang berlebihan ke atas gigi akan meningkatkan kejadian resorpsi akar gigi (Kaley & Phillips; 1991)
    • Tabiat seperti bruksism (mengetam gigi) dan menggigit kuku akan memberikan tekanan yang berlebihan pada gigi yang akan menyebabkan kejadian resorpsi akar gigi
    • Faktor umur-  umur pesakit yang melebihi 11 tahun lebih berisiko terhadap resorpsi akar gigi (Linge & Linge; 1983). Gigi pesakit dewasa yang pendek juga lebih terdedah kepada  risiko pengresorban akar gigi.
    • Faktor am yang meningkatkan resorpsi akar gigi:-
      • Perempuan > lelaki
      • Jangkamasa rawatan yg panjang
      • Faktor sistemik seperti penyakit para/hyperthyroidism
  5. Pulpitis atau inflamasi pulpa gigi terjadi kepada hampir 90% pesakit ortodontik (Anstendig & Kronman; 1972) terutama semasa bulan pertama rawatan. Pesakit akan merasa sakit disebabkan oleh rawatan ortodontik. Namun begitu, inflamasi pulpa gigi ini tidak akan mengakibatkan gigi tidak vital.

Kesan kepada tisu gusi (periodontium)

Pemakaian aplian tetap ortodontik menjadikan penjagaan kebersihan mulut lebih rumit dan berlaku pengumpulan plak terutama di kawasan pinggir gusi.

  • Plak yang terkumpul akan menyebabkan terjadinya keradangan gusi (gingivitis). Hampir semua pesakit ortodontik akan mengalami gingivitis. (Boyd & Baurmind; 1992)
  • Resesi kepada gusi terjadi sekiranya pergerakan gigi yang tidak dikawal berlaku semasa rawatan ortodontik
  • Hyperplasia gingiva boleh terjadi disebabkan kebersihan mulut yang teruk (Gambar 4)
  • Resorpsi / Penyusutan tulang krestal alveolus juga boleh berlaku namun, sangat minima. Walaubagaimanapun, resorpsi tulang krestal boleh terjadi dengan teruk sekiranya pesakit mempunyai sejarah pengresorban tulang sebelum rawatan ortodontik.

alt
Gambar 4 : Menunjukkan hyperplasia gingiva

Pesakit yang telah mengalami penyakit gusi sebelum rawatan ortodontik perlu memberikan lebih perhatian terhadap penjagaan kebersihan mulut untuk mengelakkan daripada mendapat komplikasi terhadap tisu gusi (periodontium).

Kesan kepada tisu lembut

Mukosa tisu lembut mulut terdiri daripada bibir mulut atas dan bawah, bahagian dalam pipi, lelangit mulut, lantai mulut dan lidah pesakit.

Kesan trauma yang dapat dilihat pada mukosa tisu lembut adalah seperti ulser yang disebabkan oleh hujung dawai arkus yang panjang, braket yang dilekatkan pada permukaan labial gigi (Gambar 5) dan band pada gigi molar (McGuinness; 1992)

alt
Gambar 5 :  menunjukkan ulser yang disebabkan oleh braket ortodontik

Alergi tisu lembut mulut terhadap komponen ortodontik yang mengandungi nikel dan besi sangat jarang berlaku. Kepekatan nikel sebanyak 5-12 kali diperlukan untuk menyebabkan kesan terhadap tisu lembut berbanding terhadap kulit (Dunlap et al; 1989). Perhatian harus diberikan kepada pesakit yang alergik (alah) terhadap nikel.

Selain daripada itu, alergi juga boleh berlaku terhadap latex (getah) yang terdapat dalam elastomeric atau sarung tangan yang digunakan oleh perawat.

Kesan  Extra-Oral (Luar Mulut)

Kesan rawatan ortodontik terhadap kawasan luar mulut amat jarang berlaku. Kesan-kesan yang biasa berlaku  di luar mulut ialah  seperti berikut :-

alt
Gambar 6 : Menunjukkan kesan alergik pada sekeliling mulut

  • Alergi terhadap peralatan ortodontik yang mengandungi nikel adalah yang paling kerap berlaku. Terdapat juga pesakit yang alergik terhadap latex dari sarung tangan yang digunakan oleh perawat atau bahan-bahan yang digunakan dalam rawatan ortodontik (Hutchinson; 1994)
  • Penggunaan headgear semasa rawatan ortodontik boleh menyebabkan kecederaan pada bahagian muka, mata dan kawasan luar mulut disebabkan oleh bahagian hujung headgear yang tajam.(Holland et al; 1985)
  • Kecederaan pada sendi temporomandibel (TMJ) iaitu temporomandibular dysfunction (TMD). (Sadowsky; 1992)

Kesan Sistemik

Sangat jarang berlaku.

  • Jangkitan silang boleh berlaku sekiranya peralatan yang digunakan semasa rawatan ortodontik tidak di basmi kuman secukupnya.

    Infective endocarditis boleh berlaku jika pesakit mempunyai penyakit injap jantung (Roberts et al; 2000)

Kesimpulan

Walaupun terdapat beberapa kesan-kesan iatrogenic rawatan ortodontik terhadap pesakit semasa rawatan ortodontik, namun sangat jarang pesakit mendapat kecederaan yang teruk. Maka, dapat disimpulkan bahawa, pesakit yang mempunyai maloklusi yang teruk akan mendapat lebih manafaat daripada rawatan ortodontik berbanding dengan  pesakit yang mempunyai maloklusi yang kurang teruk.

Rujukan

  1. Anstendig H & Kronman J; 1972 A histological study of pulpal reaction to orthodontic tooth movement in dogs, AO, 42;50-55
  2. Boyd RL & Baurmind S; 1992 Periodontal considerations in the use of bonds or bands on molars in adolescents and adults, AO, 62;117-126
  3. Brezniak N & Wasserstein A; 2002a,b Orthodontically induced inflammatory root resorption: Part I & II: The clinical aspects, AO, 72;175-184
  4. Drysdale D et al; 1996 Orthodontic management of root-filled teeth, BJO, 23;255-260
  5. Dunlap CL et al; 1989 Allergic reaction to orthodontic wire: Report of a case, JADA, 118;449-456
  6. Gorelic L et al; 1982 Incidence of white spot formation after bonding and banding, AJO, 81;93-98
  7. Holland G et al; 1985 Severe ocular injuries from orthodontic headgear, JCO, 19;819-825
  8. Hutchinson I; 1994 Hypersensitivity to an orthodontic bonding agent. A case report, BJO, 21;331-333
  9. Kaley JD &Phillips C; 1991 Factors related to root resorption in edgewise practice, AO, 61;125-131
  10. Kennedy DB et al; 1983 The effect of extractions and orthodontic treatment on dentoalveolar support, AJO, 84;183-190
  11. Kid E A M & Smith B G N; 1991 Pickard’s Manual of Operative Dentistry, 6th edition , Oxford Medical Publications, Oxford
  12. Levander E & Malmgren O; 1988 Evaluation of the risk of root resorption during orthodontic treatment: A study of upper incisors, EJO, 10;30-38
  13. Linge BO & Linge L; 1983 Apical root resorption in upper anterior teeth, EJO, 5;173-183
  14. Malmgren O et al; 1982 Root resorption after orthodontic treatment of traumatized teeth, AJO, 82;487-491
  15. McGuinness N; 1992 Prevention in orthodontics- A review, Dent Update, 19;168-175
  16. Roberts RG et al; 2000 Bacterial endocarditis & orthodontics, J R Coll Surg Edin, 45;141-145
  17. Sadowsky C; 1992 The risk of orthodontic treatment for producing temporomandibular disorder: A literature review, AJODO, 101;79-83
  18. Swartz ML; 1988 Ceramic brackets, JCO, 22;82-88
  19. Woloshyn H et al; 1994 Pulpal and periodontal reactions to orthodontic alignment of palatally impacted canine, AO, 64;257-264

 

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Sharina bt. Sharudin
Akreditor : Dr. Loke Shuet Toh
Penyemak : Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanuddin

 

Artikel Berkaitan

Laser Dalam Rawatan Pergigian

Rawatan laser adalah selamat dan berkesan. Namun, kos penggunaan laser dalam rawatan rutin adalah lebih tinggi berbanding dengan keberkesanan yang setanding dengan rawatan pergigian konvensional.

Obesiti dan Penyakit Periodontitis

Kajian mendapati ada kaitan antara penyakit periodontitis dengan penyakit sistemik seperti kencing manis (diabetes mellitus), penyakit jantung, kelahiran bayi pra-matang dan kurang berat badan serta masalah obesiti.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia