A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kesan Psikologi Akibat Masalah Kewangan

Ahli psikologi mengkategorikan stress ke dalam tiga kategori iaitu stress kecil (acute stress), stress berepisod (episodic stress), dan juga stress kronik (chronic stress).

Pendahuluan

Tekanan kehidupan, kesusahan menghadapi cabaran hidup dan tekanan kewangan sering menjadi bualan kebelakangan ini. Kemampuan kewangan boleh membantu individu untuk membekalkan kehidupan yang terbaik kepada ahli keluarga. Ini juga merujuk kepada merancang masa depan dan menikmati masa hadapan dalam keadaan selesa. Namun begitu, apakah yang akan terjadi sekiranya kita tidak berduit? Apabila kita dilanda musibah seperti hilang pekerjaan, masalah rumahtangga, bil-bil yang bertimbun dan sebagainya. Tiada siapa yang mampu mengelakkan diri daripada situasi sebegini. Oleh itu, ketika kita berada dalam masalah kewangan sebegitu, apakah yang akan terjadi kepada kita secara psikologinya? Bagaimanakah kita hendak mengawal kesan psikologi tersebut? Setakat mana diri kita mampu menerimanya?

Krisis Kewangan

Jika terlibat dalam krisis kewangan, kita akan mengalami pelbagai jenis tindak balas emosi yang kurang menyenangkan. Berada dalam keadaan penafian dan tidak menerima situasi kewangan yang dihadapi, perasaan takut dan panik serta marah semuanya bermain dalam diri kita merupakan beberapa contoh tindak balas yang berkemungkinan akan berlaku. Tetapi mungkin tindak balas yang paling kerap berlaku merupakan tindak balas yang paling tidak diambil berat dan sering terlepas pandang iaitu stress.

Anita (2014) menyatakan individu yang berada dalam krisis akan membina stress apabila mereka terus risau akan situasi ini dan akhirnya menjadikan individu tidak dapat fokus kepada kehidupannya. Ini akan menghalang seseorang daripada menjalankan tugas dengan efisyen dan sempurna. Pada ketika itu, kita sudah pun menderita secara psikologi. Maka, untuk kita mengawal stress tersebut, kita perlu memahaminya terlebih dahulu. Ahli psikologi mengkategorikan stress ke dalam tiga kategori iaitu stress kecil (acute stress), stress berepisod (episodic stress), dan juga stress kronik (chronic stress).

Acute stress merupakan stress yang paling banyak dialami oleh semua lapisan masyarakat di mana puncanya adalah disebabkan oleh kehendak harian dan tekanan yang dihadapi. Perkataan “stress” mungkin membiarkan kita mengandaikan bahawa ianya tidak bagus tetapi pada hakikatnya acute stress memberikan kita perasaan kegembiraan dan keseronokan apabila stress itu berada dalam dos yang kecil. Acute stress yang dialami terlalu kerap pula ialah episodic stress. Stress sebegini selalunya dapat dilihat dalam diri individu yang sering meletakkan matlamat atau cita-cita yang tidak realistik dan mengalami stress akibat daripada tidak mampu mencapai matlamat dan cita-cita tersebut. Episodic stress berbeza dengan chronic stress dimana ianya akan hilang dari semasa ke semasa tetapi ia juga tidak sekerap acute stress. Manakala chronic stress pula bertentangan langsung dengan acute stress di mana ini adalah bersifat bahaya dan tidak sihat. Stress jenis ini selalunya disebabkan oleh terdedah kepada punca stress dalam jangka masa yang panjang dan stress ini boleh membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan psikologi.

Dengan berada dalam keadaan stress, tiga perkara akan paling teruk terjejas iaitu emosi, pemikiran dan juga kemahiran dalam membuat pertimbangan. Sebagai contoh, emosi atau perasaan seperti marah dan sedih akan memberi kesan kepada cara kita berfikir untuk membuat keputusan atau tindakan yang perlu diambil lalu ia memberi kesan juga dalam pertimbangan kita untuk melakukan respon yang terbaik. Secara ringkasnya, kesan stress secara psikologinya akan menjejaskan proses pemikiran kita atau juga dikenali sebagai proses kognitif. Kesusahan ekonomi juga mampu membawa kepada kemurungan. Kajian di Amerika Syarikat untuk menguji kesan psikologi sewaktu berada dalam kesusahan ekonomi pada era krisis ekonomi didalam tahun 1983 menunjukkan bahawa kita akan mengalami stress dan kemurungan ketika berada dalam kesusahan kewangan atau krisis.

Kajian tersebut juga menunjukkan responden lebih cenderung untuk berputus asa dalam merancang masa depan kerana tidak dapat melihat diri mereka dalam keadaan yang lebih baik dari segi kewangan. Ianya amatlah penting bagi kita untuk terus berada dalam keadaan berwaspada akan kesan-kesannya jika kita tidak mampu menangani masalah ketika berada dalam kesusahan kewangan. Masalah kewangan juga secara tidak langsung mempunyai kesan terhadap kanak-kanak. Mereka akan bertindak balas terhadap situasi ibu bapa mereka dengan menonjolkan sikap yang tidak elok sama ada di sekolah mahupun di rumah. Oleh hal yang demikian, tidak hairananak-anak kurang menerima stimulasi yang menggalakkan pembelajaran. Mereka tiada minat hendak belajar dan pada masa yang sama akan sukar bagi mereka untuk mendapatkan ketenangan minda. Seperti yang diketahui ramai, kanak-kanak ibarat span dimana mereka meresap masuk segala perkara yang berlaku dikeliling mereka kerana itulah cara bagi mereka belajar. Oleh itu, berkemungkinan besar juga apabila kanak-kanak tersebut menjadi dewasa dan mengalami situasi kewangan yang sama, reaksi mereka juga akan serupa dengan ibu bapa mereka atau lebih teruk daripada itu.

Bagi individu yang sedang bekerja perlulah menyediakan payung sebelum hujan. Belajarlah menguruskan kewangan dengan bijak. Pelbagai maklumat dan aplikasi boleh digunakan untuk mendapatkan ilmu ini. Seseorang boleh melayari www.bnm.gov.my dan mendapatkan pelbagai tips untuk mempelajari bagaimana menguruskan wang dengan bijak.

Impak psikologi ketika berada dalam masalah kewangan amatlah nyata namun dalam setiap masalah pasti ada solusi dan cara menanganinya. Penerimaan amatlah penting dalam menghadapi situasi sebegitu kerana ianya akan membantu kita untuk cuba melihat disebalik masalah tersebut dan membantu untuk merancang jalan penyelesaian. Maka carilah bantuan yang sewajarnya yang bersesuaian jika perlu daripada ahli keluarga, rakan-rakanserta bantuan pihak profesional. Jangan pendamkan masalah dan berada dalam kaeadaan krisis tersebut terlalu lama kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Cuba melakukan sesuatu untuk mengubah situasi genting tersebut serta elakkan diri daripada dikawal oleh krisis itu. Kita yang mengawal krisis itu dan bukan sebaliknya. Yang paling penting, kita mestilah bersikap dan berfikiran positif.

Setiap terowong gelap, sentiasa ada cahaya di hujung itu. Setiap kali ada krisis atau kesusahan, akan sentiasa ada hari yang lebih baik di hadapan selagi anda tidak berputus asa dan jangan sesekali dikalahkan oleh krisis itu sendiri.

Rujukan:

  1. Anita W. (2014) Educational Psychology. 12th Edition, Pearson New International Edition
Semakan Akhir : 22 Mei 2017
Penulis : Hj. Hairol Kamal b. Abd. Rahman
Akreditor : Pn. Ruhana bt. Mahmod

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia