A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Kesihatan Mental
  4. /
  5. Kesihatan Mental Umum
  6. /
  7. Lain-lain
  8. /
  9. Kesihatan Mental dan Perkahwinan

Kesihatan Mental dan Perkahwinan

Pengenalan

Setiap pasangan yang berkahwin perlu menjaga kesihatan mental mereka bagi mencapai keharmonian dalam perkahwinan dan kekeluargaan. Keharmonian perkahwinan adalah tiada ternilai dan boleh dicapai menerusi usaha bersama dari setiap pasangan dan ahli keluarga.

Intipati keharmonian perkahwinan dan kekeluargaan adalah kasih sayang, keperihatian, jujur, hormat menghormati, tolak ansur,saling mendidik dan mengambil berat antara satu sama lain.

Bagi mencapai dan mengekalkan keharmonian dalam perkahwinan dan kekeluargaan adalah perlu bagi setiap pasangan meluahkan dan memupuk kasih sayang antara mereka,Setiap ahli keluarga perlulah menjadi pendengar yang baik serta mengamalkan komunikasi berkesan sesama mereka.

Perasaan mengambil berat dan saling memahami antara satu sama lain boleh membawa kepada kebahagiaan dalam keluarga. Oleh itu kesihatan mental yang baik perlulah dicapai oleh setiap individu dalam keluarga bagi mencapai kebahagian dan keharmonian yang dicita-citakan.

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kesihatan mental pasangan iaitu:

  1. Personaliti pasangan
  2. Konflik dalam perkahwinan
  3. Masalah komunikasi
  4. Tekanan kerja
  5. Peristiwa hidup
  6. Kurang kemahiran keibubapaan
  7. Sokongan sosial yang lemah
  8. Pertelingkahan isi keluarga

Personaliti pasangan

Setiap pasangan perlu membentuk personaliti yang positif untuk perkembangan kesihatan mental dan perhubungan yang baik dengan pasangannya. Personaliti yang positif menyumbang kepada kemahiran keibubapaan yang positif serta kebolehan menyesuaikan diri pada sebarang keadaan; dan dapat mengawal emosi dengan baik.

Personaliti seseorang boleh dipengaruhi dan berubah melalui galakan dan pujian yang berterusan. Personaliti positif boleh dibentuk melalui interaksi sosial seperti penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan.

Konflik dalam perkahwinan

Konflik berlaku sekiranya terdapat perbezaan pendapat di antara pasangan. Akibatnya perhubungan menjadi hambar dan tidak mesra. Jika konflik tidak diselesaikan dengan baik, kemungkinan suami isteri akan terus memendam perasaan, merajuk atau bertengkar antara satu sama lain.

Pasangan perlulah mempelajari kaedah mengatasi konflik; seperti bersikap terbuka, saling memaafkan dan bertolak ansur.

Konflik perkahwinan yang tidak diselesaikan boleh mengakibatkan masalah kemurungan di kalangan wanita dan penyalahgunaan alkohol/dadah di kalangan lelaki.

Masalah komunikasi

Seringkali komunikasi yang tidak berkesan menyebabkan salah faham diantara pasangan. Biasanya pasangan akan membuat sangkaan yang tertentu (mind reading) dan menterjemahkan perbuatan atau sebarang komunikasi tanpa lisan pasangannya. Akibatnya pasangan akan menjadi risau dan gelisah, emosi terganggu dan kepercayaan terhadap pasangan mungkin terjejas.

Tekanan kerja

Tekanan akibat pekerjaan ditempat kerja atau tekanan yang berkaitan dengan kerja rumah seharian boleh mempengaruhi kesihatan mental pasangan.

Oleh itu kita perlu membezakan peranan kita secara wajar dalam menjalankan tugas seharian, contohnya sebagai suami/isteri dan lelaki/wanita bekerja untuk mengurangkan tekanan. Setiap pasangan perlulah memahami tugas pasangan masing-masing di tempat kerja dan menjadi pendengar yang baik supaya pasangan dapat meluahkan perasaan mereka dan seterusnya mengurangkan tekanan yang mereka alami.

Peristiwa hidup

Sesuatu perubahan yang berlaku dalam keluarga/perkahwinan seperti masalah kewangan, kehilangan ahli keluarga, penyakit kronik, pertukaran kerja dan bencana alam boleh meningkatkan tekanan mental.

Kurang kemahiran keibubapaan

Pasangan yang berpengetahuan dan mengamalkan kemahiran keibubapaan positif akan mewujudkan keharmonian dalam keluarga. Kemahiran keibubapaan positif ini penting bagi membentuk peribadi dan sikap yang baik kepada anak-anak.

Corak keibubapaan positif yang perlu damalkan adalah seperti memberi kelonggaran kepada anak-anak dalam batasan-batasan tertentu. Dengan ini anak-anak akan menjadi lebih matang serta dapat mencapai kawalan diri sendiri (autonomi).

Sebaliknya anak-anak akan memberontak sekiranya dipaksa mengikut peraturan keluarga yang terlalu ketat.

Sokongan sosial yang lemah dan kurang baik

Sokongan sosial bermakna mempunyai seseorang yang boleh dipercayai dan sedia mendengar segala luahan. Sekiranya orang yang dipercayai itu memberikan komen, komen yang diberikan itu adalah komen yang membina dan jujur. Sokongan social ini akan meningkatkan harga diri seseorang dan mereka merasa disayangi.

Sokongan sosial yang baik dapat menyumbang kepada kesihatan mental pasangan. Ini dapat mengurangkan tekanan yang di alami. Sebaliknya sekiranya sokongan sosial yang lemah, seseorang itu akan merasa keseorangan, tidak berupaya dan kesunyian.

Oleh itu jelaslah bahawa sokongan sosial mempengaruhi kesihatan mental pasangan dalam aspek harga diri, pertimbangan dan membuat keputusan yang bijak.

Pertelingkahan isi keluarga

Pertelingkahan dalam keluarga melibatkan dua atau lebih individu dalam keluarga tersebut. Pertelingkahan boleh disebabkan oleh berepaka perkara seperti; perbezaan budaya, nilai hidup, harta pusaka, masalah ibu mertua yang pilih kasih dan sebagainya.

Langkah langkah untuk mempertingkatkan kesihatan mental dalam perkahwinan

Setiap pasangan boleh mempelajari langkah langkah untuk mempertingkatkan kesihatan mental iaitu:

  • Mengamalkan cara hidup sihat
  • Menetapkan matlamat hidup yang realistik
  • Berfikir secara positif.
  • Membuat keputusan dengan bijak
  • Menjalinkan persahabatan
  • Memberi perhatian kepada perasaan/emosi dan mengawalnya dengan baik
  • Menangani kritikan dengan baik
  • Tunjukkan diri anda sebenar
  • Hargailah diri anda
  • Bersikap asertif seperti berani berkata “tidak”
  • Merancang masa dengan baik
  • Menjarakkan perubahan(peristiwa atau pertukaran) dalam hidup anda
  • Membina keluarga
  • Berkongsi masalah dan dapatkan bantuan profesional jika perlu
  • Mengamalkan nilai, moral dan agama dengan baik
  • Sekiranya setiap pasangan memahami apa itu kesihatan mental dan berusaha mencapai kesihatan mental yang baik dengan mengamalkan saranan-saranan di atas. Sekiranya berlaku konflik dalam rumahtangga , bersegeralah mendapat kan bantuan kaunselor perkahwinan, pakar psikologi atau pakar psikiatri di lokasi anda.
Last Reviewed : 03 April 2012
Writer : Dr. Mohd Ariff bin Mohd Noor

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia