Pengenalan
Isu-isu berkaitan dengan kesihatan seksual di kalangan wanita terutamanya golongan warga emas kurang diberi perhatian oleh masyarakat.
Namun, dengan peningkatan bilangan wanita yang mengamalkan cara hidup yang sihat serta prihatin dengan tahap kesihatan diri, isu-isu ini menjadi semakin penting untuk diberi perhatian demi memastikan golongan ini dapat mengekalkan kesihatan fizikal dan emosi di tahap yang optimum.
Walaupun faktor peningkatan usia juga turut menyumbang dari segi penurunan fungsi seksual, namun masih banyak faktor-faktor lain yang jika dikenalpasti berpotensi untuk diberi rawatan.
Apakah itu kesihatan seksual?
Setiap wanita pada semua peringkat usia mempunyai hak untuk kesihatan seksual.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kesihatan seksual ialah satu keadaan di mana seseorang itu berada dalam kedaan yang optimum dari segi fizikal,mental dan sosial dalam aspek berkaitan seksualiti.
Apakah gangguan fungsi seksual wanita?
Gangguan fungsi seksual wanita adalah sebarang masalah yang berlaku dalam mana-mana fasa di dalam kitaran semasa berlakunya hubungan seksual.
Masalah ini menghalang wanita daripada mencapai kepuasan semasa hubungan seksual.
Ia boleh dibahagikan kepada:
- Masalah keinginan/nafsu
- Masalah rangsangan /mencapai keghairahan
- Masalah orgasma
- Masalah kesakitan berkaitan seksual
Masalah keinginan/nafsu
Kekurangan keinginan atau nafsu berlaku apabila seseorang wanita itu tidak/kurang keinginan untuk melakukan hubungan seks atau melakukan aktiviti-aktiviti berkaitan seks.
Ini adalah satu masalah yang kerap berlaku di kalangan wanita.
Ia sering berlaku terutamanya di kalangan wanita berusia 40 hingga 60 tahun dan wanita yang mengalami putus haid akibat pembedahan pembuangan ovari.
Kurang keinginan untuk melakukan hubungan seks kadang-kadang boleh dianggap normal. Namun, ia adalah serius sekiranya wanita tersebut:
- Tidak berminat dalam apa-apa jenis aktiviti berkaitan seksual termasuklah masturbasi.
- Sangat sedikit atau tidak mempunyai apa-apa bayangan atau fantasi berkaitan seks.
- Menjadi risau atau bimbang dengan masalah di atas sehingga mewujudkan tekanan pada pesakit atau pasangan.
Masalah rangsangan/mencapai keghairahan
Ghairah adalah satu perubahan fizikal dan emosi yang berlaku hasil daripada keinginan seksual.
Wanita yang mengalami masalah mencapai keghairahan biasanya akan menghadapi kesukaran untuk mencapai atau mengekalkan keghairahan yang secukupnya bagi membolehkan hubungan seks berlaku.
Selalunya, wanita tersebut tidak dapat meneruskan hubungan seks tanpa kegunaan bahan pelincir yang secukupnya.
Wanita yang mempunyai masalah ini kebiasaannya juga mempunyai masalah kekurangan keinginan/nafsu.
Masalah orgasma
Orgasma adalah satu keadaan di mana seseorang wanita itu mencapai kepuasan seksual yang kemuncak hasil daripada rangsangan dan keghairahan.
Wanita yang mengalami masalah orgasma biasanya lambat atau tidak dapat mencapai kemuncak kepuasan seksual walaupun mendapat rangsangan atau keghairahan yang secukupnya. Keadaan ini juga menyebabkan tekanan kepada wanita tersebut.
Tidak mencapai orgasma mungkin bukan satu masalah bagi kebanyakan wanita.
Perhubungan yang intim dan perkongsian perasaan bersama pasangan semasa hubungan seks tanpa perlu mengalami orgasma adalah juga satu kepuasan bagi wanita.
Namun, ada juga wanita yang merasakan tidak mencapai orgasma semasa hubungan seks sebagai satu masalah yang perlukan rawatan atau penyelesaian.
Masalah orgasma pada wanita boleh diklasifikasikan kepada dua iaitu primer (tidak pernah mengalami orgasma) atau sekunder (tiada atau lambat mencapai orgasma akibat faktor-faktor lain).
Masalah kesakitan semasa hubungan seks
Kebanyakan wanita yang aktif dalam hubungan seksual biasanya pernah merasai kesakitan semasa hubungan seks.
Sekiranya kesakitan tersebut berlaku dengan kerap atau teruk, anda dinasihatkan untuk menjalani rawatan doktor bagi mengenalpasti punca-punca tersebut.
Masalah kesakitan berkaitan seksual terbahagi kepada:
- Dyspareunia – kesakitan pada kawasan alat kelamin yang berulang atau berpanjangan semasa hubungan seks. Kesakitan tersebut bukan semata-mata disebabkan oleh vaginismus atau kekurangan lembapan pada faraj. Dianggarkan antara 8 hingga 22 peratus wanita putus haid mengalami masalah dyspareunia.
- Vaginismus– kekejangan pada dinding otot faraj yang berlaku di luar kawalan yang mengganggu hubungan seks. Vaginismus selalunya berkaitan dengan masalah sakit puan, penyakit kronik atau penggunaan sesetengah ubatan.
Rujukan
- American Psychiatric Association (2000). Sexual and gender identity disorders. In: American Psychiatric Association. Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders. 4th ed. Washington, DC.pg 493-538.
- Carrie A. (2011). ACOG Guideline on Sexual Dysfunction in Women. American Family Physician. Volume 84 (6).
Semakan Akhir | : | 18 Julai 2016 |
Penterjemah | : | Dr. Nor Hazlin binti Talib |
Akreditor | : | Dr. Radziah binti Abdul Rashid |