Terdapat rawatan bagi masalah seksual dikalangan warga emas wanita tetapi tidak dimanfaatkan. Jika anda mengalami masalah ini,berjumpalah dengan doktor untuk mendapat rawatan.
Penilaian
Doktor anda akan mendapatkan sejarah penyakit anda secara lengkap untuk mengenalpasti penyebab masalah yang mengganggu fungsi seksual anda. (contoh: kemurungan, keresahan, penyalahgunaan dadah, menopause, diabetes).
Pengambilan sejarah seksual secara lengkap merangkumi sikap terhadap seksualiti, tahap pengetahuan anda dan pasangan anda, hubungan, tingkah laku seksual dan tahap fungsi seksual (contoh: keinginan, keterujaan dan kemuncak) pada masa lalu dan sekarang.
Anda juga perlu memaklumkan kepada doktor akibat dan kebimbangan anda tentang masalah anda ini.
Rawatan
Rawatan yang khusus seperti ubatan atau hormon mungkin diberi jika penyebab yang khusus dikenalpasti. Jika anda sedang mengambil ubatan dan ianya dikenalpasti memburukkan keadaan anda, doktor akan membuat perubahan terhadap ubatan anda untuk mengurangkan gejala anda.
Doktor anda akan menggalakkan anda membentuk sikap yang positif terhadap seksualiti pada usia begini. Elakkan dari harapan yang tidak realistik seperti mengharapkan kepuasan seks yang sama seperti semasa muda. Anda perlu mempelajari bagaimana untuk mengubahsuai teknik seksual anda walaupun dalam keadaan anda letih dan sakit. Pelicin pada faraj boleh digunakan jika sakit merupakan masalah anda.
Kemahiran sosial dan hubungan juga perlu dipelajari terutamanya dalam memantapkan komunikasi yang terbuka dan jujur antara anda dan pasangan anda.
Pengubahsuaian gaya hidup juga bermanfaat seperti berhenti merokok bagi perokok, mengelakkan pengambilan alkohol dan dadah berbahaya. Ambil perhatian untuk melakukan senaman secara berkala termasuk senaman otot pelvik, pemakanan yang seimbang dan teknik tidur yang sihat dan teknik mengatasi stres.
Doktor anda juga akan merujuk anda untuk berjumpa kaunselor perkahwinan ataupun psikoterapis jika keadaan memerlukan.
Pencegahan
Pastikan anda memahami keperluan seksual anda untuk mengelakkan masalah seksual di usia lanjut ini. Seksualiti tidak bermakna kekerapan melakukan hubungan seks sahaja, tetapi juga merangkumi mimpi seksual, fantasi, sentuhan pada anggota sulit dan selera seksual. Pendidikan seksual juga akan menjelaskan seksualiti yang normal dan abnormal.
Pastikan anda menjaga dan memantapkan komunikasi yang terbuka dan jujur. Sentuhan dan urutan boleh meningkatkan keselesaan dan meningkatkan komunikasi dengan pasangan anda. Hindarkan keresahan dan kebimbangan dengan teknik relaksasi atau mandi air suam. Gunakan buku atau video untuk merangsang anda dan pasangan.
Teruskan cara hidup sihat dengan memberi penekanan terhadap aspek pemakanan sihat, senaman berkala, tidur yang sihat dan sikap yang positif akan dapat mencegah masalah ini di kalangan wanita berusia.
Rujukan
- Female Sexual Dysfunction: Evaluation and Treatment : NANCY A. PHILLIPS, M.D., Wellington School of Medicine, University of Otago, Wellington, New Zealand ; Am Fam Physician.2000 Jul 1;62(1):127-136.
- Sexual dysfunction in the elderly: age or disease? Camacho ME1,Reyes-Ortiz CA ; .Int J Impot Res. 2005 Dec;17 Suppl 1:S52-6.
Semakan Akhir | : | 27 Januari 2016 |
Penulis | : | Dr. Radziah binti Jabir |
Akreditor | : | Dr. Radziah binti Abdul Rashid |