A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Psikologi Kaunseling
  6. /
  7. Warga Emas
  8. /
  9. Konflik Peranan di Usia...

Konflik Peranan di Usia Emas

Pengenalan

Warga emas dapat didefinisikan sebagai individu yang berumur 60 tahun dan ke atas (World Assembly on Aging di Vienna, 1982, Dasar Warga Tua Negara dan Ketetapan ASEAN). Selain itu, warga emas juga lazimnya mempunyai ciri-ciri fizikal seperti beruban, bongkok, kulit berkedut dan tidak mempunyai gigi yang lengkap atau memakai gigi palsu. Pergerakan badan juga akan menjadi perlahan serta mata juga semakin rabun. Rata-rata warga emas biasanya tidak lagi bekerja.

Warga emas terbahagi kepada tiga peringkat iaitu peringkat pertama merupakan peringkat tua muda iaitu golongan warga emas yang berumur 60 sehingga 74 tahun. Manakala peringkat kedua pula ialah merupakan peringkat pertengahan tua yang berumur 75 sehingga 84 tahun. Peringkat yang terakhir iaitu peringkat ketiga adalah peringkat tua-tua yang terdiri daripada warga emas yang berusia 85 tahun ke atas. Menurut Bytheway, (2000), ciri-ciri zaman warga emas merupakan tahap akhir kehidupan. Warga emas juga akan mengalami kemerosotan kesihatan, perubahan yang tidak diingini seperti persaraan, kematian pasangan dan sakit.

Proses penuaan penduduk merupakan fenomena global yang berlaku di seluruh dunia, tidak ketinggalan juga bagi negara kita, Malaysia. Malaysia dijangkakan menjadi negara tua dalam tempoh 15 tahun akan datang apabila penduduk berumur 60 tahun dan keatas mencecah 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk. Situasi peningkatan warga emas ini adalah disebabkan oleh pertambahan hayat warga emas hasil  daripada peningkatan kemudahan rawatan perubatan, kesedaran penjagaan pemakanan dan kesihatan, kaedah rawatan yang semakin canggih serta kemajuan dalam teknologi perubatan yang semakin meningkat  Abdul Aziz et al (2001).

Namun begitu, terdapat juga peningkatan warga emas yang dimasukkan ke rumah-rumah kebajikan atau rumah perlindungan NGO. Hal ini berlaku apabila ahli keluarga tidak mahu bertanggungjawab atau menjaga kedua ibu bapa mereka yang  telah tua, uzur dan tidak dapat menguruskan diri sendiri lagi.

Gejala / Tanda

Terdapat pelbagai gejala atau tanda yang menunjukkan bahawa berlaku konflik peranan di usia emas ini. Antara yang sering berlaku ialah apabila terdapat warga emas yang dahulunya bekerja, tetapi sudah menamatkan perkhidmatannya di sesebuah organisasi. Konflik peranan yang berlaku ialah apabila warga emas tersebut tidak dapat menerima kenyataan bahawa dirinya sudah pencen dan tidak lagi bekerja. Terdapat juga warga emas yang masih lagi beranggapan bahawa dirinya masih bekerja. Rutin harian masih tidak berubah dengan masih lagi melakukan aktiviti yang biasa dilakukan semasa bekerja. Warga emas yang mengalami konflik peranan seperti ini akan bangun pagi dan bersiap untuk ke tempat kerja. Situasi ini berlaku kerana terdapat warga emas yang masih belum bersedia untuk menamatkan perkhidmatannya lagi.

Selain itu, antara konflik peranan yang berlaku kepada warga emas adalah apabila warga emas sering sakit dan tidak dapat menguruskan diri sendiri lagi. Situasi ini menyebabkan warga emas tersebut perlu untuk bergantung harap dan meminta bantuan daripada anak-anak atau individu yang terdekat dengan mereka. Hal ini menyebabkan warga emas merasakan diri sudah tidak berguna kerana perlu bergantung dengan individu lain.

Komplikasi

Terdapat pelbagai komplikasi akibat daripada konflik peranan warga emas ini. Antara komplikasi yang akan wujud adalah warga emas akan merasakan keliru samada perlu untuk berubah atau terus-terusan untuk melakukan rutin harian yang biasa dilakukan. Kadang-kala, akan timbul konflik dalam kalangan pasangan warga emas ini apabila berlaku perselisihan faham antara mereka mengenai isu ini. Perkara ini akan menyebabkan pasangan merasa tidak selesa dan menjauhkan diri untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Selain itu, antara komplikasi yang akan berlaku juga ialah kemurungan.  Kemurungan boleh berlaku dalam situasi seperti ini. Kemurungan atau depresi pada usia tua selalunya didiagnosis berdasarkan dua cluster simptom yang berlaku dalam tempoh masa sekurang-kurangnya dua minggu. Kemurungan adalah berbeza dengan kesedihan biasa, kemurungan adalah berterusan dan boleh mengganggu aktiviti-aktiviti harian dan juga menjejaskan hubungan dengan orang lain.

Rawatan

Rawatan  yang bersesuaian boleh diberikan bagi membantu warga emas melalui kehidupan seharian dengan selesa. Antara rawatan yang sesuai adalah dengan membawa warga emas ini untuk menjalani pemeriksaan di hospital mahupun klinik-klinik yang berdekatan. Pegawai perubatan yang bertugas akan menjalankan beberapa ujian bagi mengesan samada warga emas mempunyai masalah kesihatan fizikal mahupun mempunyai masalah kesihatan mental.  Rujukan kepada pakar yang berkaitan akan dilakukan sekiranya perlu.

Pencegahan

Pencegahan adalah sangat perlu dilakukan agar konflik peranan dalam kalangan warga emas tidak berlarutan dan dapat dicegah. Kerjasama daripada keluarga yang terdekat adalah sangat penting dalam pencegahan ini. Anak-anak dan keluarga yang terdekat hendaklah sentiasa memainkan peranan dalam hal ini. Anak-anak boleh sentiasa mendampingi warga emas ini bagi megelakkan konflik peranan ini berlaku. Hal ini kerana warga emas yang mengalami konflik peranan ini akan sentiasa merasakan perkara yang dilakukan sentiasa betul dan akan sentiasa melakukan hal tersebut sekiranya tidak ditegur oleh orang lain. Dengan ini, sekiranya ada keluarga terdekat yang sentiasa berdamping dan sentiasa mengigatkan warga emas tersebut, perkara ini sedikit sebanyak akan dapat dicegah.

Pertubuhan Sokongan / Rujukan

Terdapat pelbagai pertubuhan sokongan dan rujukan yang boleh dirujuk untuk warga emas ini. Antaranya adalah agensi  kerajaan adalah seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk juga Rumah Seri Kenangan dan Pusat Aktiviti Warga Emas, Tabung Bantuan Perubatan (KKM) dan pelbagai NGO.  Pertubuhan ini boleh membantu warga emas samada dari segi kesihatan mahupun penempatan. Bagi Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bantuan Orang Tua  (BOT) dengan kadar RM 300 sebulan disediakan kepada warga emas yang berumur 60 tahun ke atas yang tiada mata pencarian tertentu untuk menyara hidup dan tiada keluarga atau mempunyai keluarga yang tidak berkemampuan untuk memberi sumbangan. Bantuan ini diberikan bagi membantu warga emas untuk terus tinggal dalam komuniti, hidup dalam masyarakat di persekitarannya dan menikmati kehidupan yang biasa dilalui dengan dijaga dan diambil berat oleh masyarakat setempat.

Semakan Akhir : 1 Mac 2017
Penulis : Azura binti Mamat @Ab Rahman
Akreditor : Ruhana binti Mahmod

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia