A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Konflik Rumah Tangga

Sumber: www.bbc.co.uk

Kanak-kanak membesar dengan baik jika mereka tinggal di dalam persekitaran yang aman, tenteram dan penuh kasih sayang. Ibu bapa perlu kekalkan kehidupan yang harmoni, saling menyayangi dan bekerjasama untuk memastikan anak mendapat suasana keluarga yang baik.

Namun, kehidupan berumahtangga ada pasang dan surutnya. Konflik rumahtangga boleh tercetus dan menggugat keluarga termasuklah anak-anak. Pertelingkahan ibu bapa yang berlaku di hadapan anak-anak merupakan satu pengalaman yang pahit dalam hidup mereka.

Konflik boleh ditakrifkan sebagai pergaduhan, pertelingkahan serta keadaan yang tidak harmoni.

Konflik boleh menjadi sesuatu yang positif kerana memberi peluang kepada suami dan isteri untuk memperbaiki kelemahan diri dan juga pasangan. Namun, konflik yang keterlaluan memberi kesan buruk kepada keluarga.

Pertengkaran dan pertelingkahan rumahtangga turut menjejaskan anak-anak. Konflik rumahtangga yang kerap berlaku, terlampau dan tidak ditangani dengan bijak memberi kesan negatif kepada remaja.

Ibu bapa yang berjaya menangani konflik dengan bijak dan berkesan memberi peluang dan pengalaman kepada anak-anak untuk memerhati dan mempelajari kemahiran berkomunikasi yang berfaedah untuk sepanjang hayat mereka.

Apakah kesan konflik rumahtangga ke atas remaja?

  1. Emosi negatif kesan dari konflik boleh mempengaruhi anak-anak. Emosi negatif menjejaskan perhubungan anak-anak dengan orang lain. Ibu bapa yang bertelingkah cenderung untuk melepaskan kemarahan kepada anak-anak.

  2. Semasa ibu bapa bertengkar, remaja memerhatikan cara kedua-dua ibu bapa berkomunikasi dan mereka akan mencontohi tingkah laku yang buruk.

  3. Remaja berasa risau dan terancam apabila mengetahui ibu bapa tidak sependapat. Remaja khuatir akan ditinggalkan oleh salah seorang daripada ibu bapa. 

  4. Konflik rumahtangga menyebabkan ibu bapa terganggu dan bersedih. Ibu bapa tidak cukup masa dan tenaga untuk memberikan perhatian kepada anak-anak. Ibu bapa tidak dapat menguruskan anak-anak dengan berkesan apabila emosi mereka sendiri terjejas.

  5. Remaja yang berasal daripada keluarga yang berpecah belah lebih sukar mengawal emosi. Mereka mudah berasa marah dan bertindak lebih kasar. Remaja menyelesaikan masalah serta bertindak dengan cara yang salah seperti ibu bapa mereka-mereka belajar perkara yang negatif dari kelakuan ibu bapa.

  6. Konflik rumahtangga menyebabkan remaja kurang jati diri, kurang berupaya menangani masalah, mudah berasa kecewa, cemas dan murung.

  7. Remaja lebih gemar berada di luar rumah serta terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol.

  8. Prestasi pelajaran merosot.

  9. Remaja terpaksa memihak kepada salah seorang ibu bapa, atau terperangkap antara kedua-duanya. Malah, ibu bapa mungkin saling tidak menghormati dan memperlekehkan satu sama lain di hadapan anak-anak.

Sumber: everydaylife.globalpost.com

Ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik kepada anak-anak di dalam menangani masalah. Anak-anak perlu belajar cara yang sihat untuk menangani konflik dalam kehidupan. Anak-anak dapat mempelajari kaedah menangani masalah dengan baik sekiranya rumahtangga kurang bermasalah.

Konflik rumahtangga semata-mata dengan sendirinya tidak mendatangkan keburukan kepada anak-anak. Konflik boleh mendatangkan keburukan jika konflik tersebut ada kaitan dengan anak-anak, berlaku di hadapan anak-anak dan menjadi pengalaman pahit atau manis dalam hidup anak-anak.

Pelajarilah cara berkomunikasi dengan lebih baik dan berkesan, kurangkan konflik rumahtangga dan tangani masalah dengan cara yang positif agar ibu bapa, anak-anak serta keluarga menjadi lebih bahagia.

Last Reviewed : 23 Jun 2015
Writer : Dr. Norharlina binti Bahar
Translator : Pn. Noorhayati binti Kassim
Accreditor : Dr. Norharlina binti Bahar

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia