A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Korona dan Jambatan Pergigian : Jenis-Jenis Bahan

Jenis-jenis bahan yang disyorkan untuk pembuatan korona atau jambatan anda, akan bergantung kepada beberapa faktor tertentu iaitu kedudukan gigi (hadapan atau belakang) dimana korona atau jambatan akan diletakkan, sama ada anda mempunyai tabiat mengisar gigi dan sekiranya anda mempunyai alahan kepada logam tertentu.

Jenis-Jenis Bahan Yang Boleh Digunakan Dalam Pembuatan Korona Dan Jambatan Pergigian

Jenis-jenis bahan yang disyorkan untuk pembuatan korona atau jambatan anda, akan bergantung kepada beberapa faktor tertentu iaitu kedudukan gigi (hadapan atau belakang) dimana korona atau jambatan akan diletakkan, sama ada anda mempunyai tabiat mengisar gigi dan sekiranya anda mempunyai alahan kepada logam tertentu. Sebelum memilih bahan untuk korona atau jambatan anda, adalah penting untuk mempertimbangkan kebaikan dan keburukkan setiap pilihan. Korona dan jambatan boleh diperbuat dengan pelbagai jenis bahan; aloi pergigian, porselin pergigian atau porselin terikat logam.

Seramik sebenarnya adalah bahan tembikar (tanah liat) ataupun ‘stoneware’. Porselin pula adalah seramik yang telah dicampur dengan bahan-bahan lain seperti silika dan feldspar untuk memberikan sifat lut cahaya disamping menambah kekuatan bahan tersebut. Porselin pergigian digunakan oleh juruteknik pergigian untuk menghasilkan restorasi yang kelihatan seperti gigi asli. Secara keseluruhan, porselin pergigian mempunyai ciri-ciri estetika dan ‘biocompatibility’ (mesra tisu manusia/diterima baik tisu tubuh) yang baik serta berkekuatan tinggi. Sifat porselin yang lut cahaya serta warnanya yang seakan gigi asli menjadikannya bahan yang sangat sesuai digunakan bagi menghasilkan korona atau jambatan terutamanya di zon estetik. Porselin pergigian juga sangat keras dan kuat serta mampu menampung daya/beban gigitan. Walau bagaimanapun bahan porselin bersifat rapuh dan boleh patah apabila dikenakan kesan hentakan/impak yang tinggi atau daya gigitan yang berlebihan. Porselin pergigian haruslah mempunyai gilapan yang licin bagi mengelakkan hakisan dan kehausan gigi asli yang bertentangan dengan restorasi porselin.

Porselin boleh dikelaskan berdasarkan bahan komposisi asasnya.

Porselin yang diperkuatkan bahan Leucite seperti IPS Empress, adalah restorasi monolitik (monoblok) yang bermakna restorasi tersebut menggunakan struktur bahan yang sama pada keseluruhan restorasi. Leucite menyebarkan cahaya secara semula jadi dan mempunyai penampilan lut cahaya seperti gigi asli tetapi kurang kuat untuk digunakan dalam situasi klinikal yang tertentu. Ia lebih sesuai digunakan untuk menghasilkan venir dan korona tunggal pada gigi anterior dan gigi geraham kecil.

Porselin lithium disilicate dipasarkan sebagai IPS E.Max, biasanya bersifat monolitik tetapi juga boleh dibuat sebagai restorasi yang dilapisi porselin. Sistem ini membolehkan restorasi direka bentuk menggunakan bantuan komputer dan penghasilannya adalah secara pemotongan dari blok seramik padat(CAD/CAM). Oleh kerana kekuatannya yang tinggi, litium disilicate boleh digunakan untuk pembuatan korona dan juga jambatan yang pendek di kawasan gigi hadapan dan geraham kecil.

Porselin berasaskan alumina seperti Procera dan In-Ceram, mempunyai teras alumina oksida berkekuatan tinggi dan boleh digunakan untuk menghasilkan korona untuk gigi anterior dan posterior.

Restorasi daripada porselin berasaskan zirkonia seperti Lava, dihasilkan menggunakan teknologi CAD / CAM. Kerana kekuatannya yang sangat tinggi, ia boleh digunakan untuk korona dan jambatan di kawasan gigi hadapan dan belakang. Restorasi untuk implant pergigian juga boleh dibuat dengan bahan-bahan berasaskan zirkonia. Walaupun korona yang diperbuat daripada zirkonia sangat kuat; namun kekurangan pilihan warna menyebabkan korona yang terhasil adalah berestetika sederhana.

Aloi pergigian telah digunakan di dalam mulut sejak dahulu lagi sebagai korona, jambatan, inlai/onlai, tiang dan implant untuk prostesis tetap. Untuk prostesis boleh tanggal, aloi pergigian digunakan untuk menghasilkan gigi palsu berasaskan logam.

Aloi pergigian boleh dikelaskan kepada tiga kumpulan; logam berharga, logam separa berharga dan logam kurang berharga bergantung kepada komposisi logam tersebut. Emas yang tergolong di dalam kategori logam berharga merupakan antara bahan terkuat yang terdapat di pasaran. Sifat emas yang tidak mudah haus menjadikannnya bahan yang sesuai untuk digunakan pada pesakit yang mempunyai tabiat mengisar gigi atau ’bruxism’. Sistem pengelasan aloi pergigian yang dinyatakan di atas, adalah berdasarkan komposisi logam di dalam aloi pergigian tersebut.

Kumpulan aloi logam berharga mempunyai 60% komposisi logam berharga yang terdiri daripada emas, palladium dan/atau platinum, di mana lebih daripada 40% perlu terdiri daripada emas. Contoh-contoh logam berharga adalah emas, platinum, rhodium, ruthenium, iridium dan osmium. Aloi emas dapat menghasilkan restorasi yang kuat, biocompatible dan tidak berkarat di dalam mulut. Emas yang mempunyai kekuatan yang tinggi, membolehkan pengurangan minimum struktur gigi bagi mencapai ketebalan yang mencukupi semasa proses penghasilan restorasi seperti korona, jambatan dan onlai.

Kumpulan aloi logam separa berharga mempunyai sekurang-kurangnya 25% kandungan logam berharga.

Kumpulan aloi logam kurang berharga juga dipanggil sebagai logam asas dengan peratusan besar terdiri daripada kobalt, kromium, nikel atau berilium. Logam-logam ini lebih mudah mengalami hakisan jika dibandingkan dengan kumpulan logam berharga tetapi apabila digabungkan dengan logam berharga mempunyai kesan yang besar ke atas sifat-sifat aloi seperti meningkatkan kekuatan, mengurangkan fleksibiliti dan meningkatkan rintangan terhadap hakisan.

Restorasi porselin terikat logam dibuat dengan substruktur logam yang kuat dan dihasilkan agar menyerupai gigi asli. Dengan substruktur logam, kekuatan dan ketahanan restorasi ini boleh dipertingkatkan. Warna semulajadi porselin yang menyerupai warna gigi asli dapat menutupi permukaan logam. Ini dapat memberikan warna dan penampilan semulajadi gigi asli. Korona atau jambatan porselin terikat logam adalah pilihan yang baik untuk mana-mana lokasi di dalam mulut.

Perbandingan di antara porselin dan aloi pergigian dapat diringkaskan dalam jadual di bawah.

Perbandingan di antara porselin dan aloi pergigian

Faktor

Porselin

Logam berharga

Logam kurang berharga

Deskripsi umum

Porselin dan seramik untuk korona atau tampalan dengan gilapan kaca

Aloi gabungan emas, tembaga atau logam lain yang menghasilkan restorasi yang kuat dan efektif.

Aloi dari logam kurang berharga dengan penampilan seakan warna perak yang menghasilkan korona dan jambatan berkekuatan tinggi

Indikasi

Inlai, onlai, korona dan venir

Inlai, onlai, korona dan jambatan.

Korona, jambatan dan gigi palsu

Kebocoran dan kerosakkan berulang akibat karies

Keupayaan kedapan bergantung kepada bahan-bahan, asas struktur gigi dan prosedur yang digunakan untuk penyimenan restorasi

Kaedah biasa yang digunakan untuk penyimenan restorasi adalah memadai untuk mengelak kebocoran. Insiden kerosakan berulang adalah sama dengan restorasi lain

Ketahanan

Sejenis bahan yang rapuh dan boleh patah apabila dikenakan daya gigitan yang melampau. Kekuatan banyak bergantung kepada kualiti ikatan/lekatan dengan struktur gigi asal.

Ketahanan bahan terhadap hakisan yang tinggi yang dapat menghalang karat daripada berlaku. Kekuatannya yang tinggi dapat mengelakkan restorasi daripada patah dan terhakis.

Perkara yang perlu di pertimbangkan semasa penyediaan gigi untuk restorasi

Secara tradisinya oleh kerana kekuatan prostesis pergigian bergantung kepada ketebalan seramik yang mencukupi, maka ia memerlukan pengurangan gigi yang lebih semasa penyediaan. Namun dengan adanya teknologi dan sistem seramik yang terkini di pasaran, membolehkan pengurangan gigi yang minima dilakukan.

Kekuatan logam yang tinggi walaupun dalam seksyen yang nipis; hanya memerlukan pengurangan struktur gigi yang sangat sedikit.

Rintangan daripada hakisan

Tidak mudah terhakis tetapi boleh menghakis gigi bertentangan jika permukaannya menjadi kasar.

Tidak mudah terhakis dan tidak menghakis gigi bertentangan

Rintangan daripada patah/fraktur

Mudah patah apabila diletakkan di bawah ketegangan atau impak

Tidak mudah terhakis dan tidak menghakis gigi bertentangan

Biocompatibility

Diterima baik oleh tubuh

Diterima baik oleh tubuh

Juga diterima baik oleh tubuh tetapi sesetengah pesakit mungkin menunjukkan alahan atau sensitiviti kepada logam asas

Kekonduksian terma

Kekonduksian haba yang rendah mengurangkan kemungkinan ketidakselesaan akibat panas dan sejuk

Kekonduksian haba yang tinggi boleh menyebabkan ketidakselesaan daripada panas dan sejuk semasa fasa awal selepas penyimenan restorasi

Estetika

Warna dan sifat lut cahayanya dapat menyerupai penampilan gigi asli

Warna logam tidak dapat menyerupai warna gigi asli

Kos relatif

Kos yang lebih tinggi; memerlukan sekurang-kurangnya dua lawatan ke klinik dan perkhidmatan makmal

Kos yang lebih tinggi; memerlukan sekurang-kurangnya dua lawatan ke klinik dan perkhidmatan makmal

Adaptasi dari Direct and indirect restorative materials JADA, Vol. 134, April 2003

Rujukan

  1. Shenoy A, Shenoy N. Dental ceramics: An update J Conserv Dent. 2010 Oct-Dec; 13(4): 195-203
  2. ADA Council on Scientific Affairs: Direct and indirect restorative materials JADA, Vol. 134, April 2003
  3. Ceramics in Dentistry – Part I – Classes of Materials |ID| dentalageis.com
  4. Warden HN, Shika G, Jessie V, Karen S. Dimension of Dental Hygiene: Advances in All-Ceramics Restorations
  5. http://pocketdentistry.com/21-alloys-used-in-dentistry/

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis / Penterjemah : Dr. Aswani bt. Che Ahmad
Akreditor / Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

Artikel Berkaitan

Cabutan Gigi Untuk Pendakap

Rawatan ortodontik untuk susunan gigi yang sesak biasanya melibatkan pemakaian pendakap dan sering termasuk cabutan gigi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia