A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kriteria Pemilihan Keluarga Implan Koklear

Perkara pertama yang perlu difahami dengan teliti oleh ahli keluarga adalah berkenaan dengan masalah pendengaran yang dialami oleh anak-anak mereka.

Pengenalan

Ahli keluarga memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan atau kegagalan kanak-kanak bermasalah pendengaran yang memakai implan koklear (CI). Keluarga perlu melibatkan diri  dalam proses pembelajaran dan interaksi mereka.

Sebelum proses implantasi, pasukan implan koklear perlu memastikan bahawa ahli keluarga tersebut mampu untuk membantu kanak-kanak dalam neningkatkan keupayaan mendengar mereka. Ahli keluarga perlu memahami segala aspek berkenaan dengan implan koklear dan kesediaan mereka dalam melibatkan diri secara aktif  dalam proses habilitasi pendengaran dan bahasa pertuturan kanak-kanak.

Kriteria Pemilihan Keluarga

  • Memahami berkenaan implan koklear dan fungsinya

  • Tahu cara  pengendalian implan koklear

  • Komited menghadiri temujanji sesi terapi auditori verbal dan sesi pemetaan

  • Mempunyai motivasi yang tinggi

  • Mengetahui potensi anak

  • Mempunyai harapan yang realistik mengikut kemampuan anak

Kriteria pertama: Pemahaman Berkaitan Implan koklear

Perkara pertama yang perlu difahami dengan teliti oleh ahli keluarga adalah berkenaan dengan masalah pendengaran yang dialami oleh anak-anak mereka. Mereka perlu tahu tahap pendengaran anak-anak mereka dan sejauh mana implan koklear dapat membantu dalam mengatasi masalah pendengaran tersebut.

Bunyi persekitaran dan pertuturan yang didengar oleh anak-anak adalah tidak sama dengan pendengaran kanak-kanak normal yang lain. Proses perkembangan pendengaran dan anak-anak perlu dipantau dan dilatih oleh mereka sendiri dengan bimbingan Audiologis dan Terapis Pertuturan-Bahasa.

Kriteria kedua: Pengendalian Implan koklear

Kemahiran dalam pengendalian alat implan koklear perlu dikuasai oleh ibubapa dan penjaga bagi memastikan anak-anak mereka mendapat amplifikasi yang terbaik. Kemahiran ini boleh diperolehi semasa sesi bersama Audiologis. Mereka juga dinilai dalam pengendalian ABD (Alat Bantu Dengar) kerana ini menunjukkan mereka sentiasa memastikan anak-anak mereka memakai ABD secara konsisten.

Kriteria Ketiga: Komited Menghadiri Sesi Terapi Auditori Verbal dan Sesi Pemetaan

Proses habilitasi memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan implantasi koklear. Komitmen yang tinggi daripada pesakit dan lebih-lebih lagi keluarga amat diperlukan kerana proses ini memakan masa yang panjang. Ibu bapa dan pesakit perlu menghadiri sesi terapi pertuturan-bahasa dengan kerap dan menyiapkan latihan terapi di rumah (home base programme) yang diberi oleh Terapis Pertuturan-Bahasa bagi memastikan kanak-kanak dapat mencapai matlamat terapi yang telah ditetapkan.

Terapi pertuturan bahasa ini perlu diteruskan sehingga kanak-kanak dapat mencapai tahap kemahiran komunikasi yang maksimum. Kanak-kanak ini juga perlu menghadiri sesi pemetaan implan koklear bersama Audiologis secara berkala bagi memastikan tahap pendengaran mereka dapat ditingkatkan secara optimum.

Sumber: medoto.unimelb.edu.au

Kriteria Keempat: Mempunyai motivasi yang tinggi

Kemahiran komunikasi bukanlah sesuatu yang ajaib dan boleh diperolehi sejurus selepas implan koklear dilakukan. Kanak-kanak ini amat  memerlukan sokongan dari segi emosi untuk berinteraksi dengan orang di sekeliling mereka. Keyakinan diri ini perlu dipupuk di rumah lagi dengan membantu kanak-kanak untuk berkomunikasi secara bebas dan melibatkan diri dalam keluarga. Mereka perlu dilayan seperti kanak-kanak yang lain serta diberi peluang dan masa untuk meluahkan apa yang ingin dikatakan.

Selain itu, ahli keluarga juga perlu memberikan motivasi serta galakan kepada kanak-kanak ini untuk terus belajar mendengar dan bertutur serta berkomunikasi dengan orang di sekeliling mereka. Mereka perlu diberi sokongan untuk berjaya dan dalam masa yang sama mereka juga tidak diketepikan ketika menghadapi kegagalan. Sesungguhnya proses ini merupakan satu proses yang panjang untuk kanak-kanak ini sehinggalah mereka dewasa.

Kriteria Kelima: Mengetahui potensi anak

Setiap ibu bapa perlu mengetahui potensi anak-anak mereka. Ini untuk mengelakkan ibu bapa daripada memaksa anak-anak melakukan perkara yang tidak mampu dilakukan oleh mereka. Ibu bapa serta keluarga perlu mengenal pasti kelebihan kanak-kanak ini supaya boleh digunakan semasa sesi terapi. Sebagai contoh, jika kanak-kanak ini pandai melukis, gunakan bakatnya semasa melakukan terapi di rumah. Berbual dengan mereka berkenaan lukisan tersebut.;

Kriteria Keenam: Mempunyai harapan yang boleh dicapai

Ahli profesional pasti telah memaklumkan kepada ibu bapa dan keluarga sama ada harapan yang diletakkan terlalu tinggi atau bersesuaian dengan anak. Perkara ini juga sering menjadi pertikaian antara ibu bapa dan ahli profesional. Pendapat ahli profesional perlu dihargai kerana setiap keluarga mempunyai harapan yang berbeza untuk dicapai.

Harapan yang diberi perlu sesuai dengan matlamat yang telah dipersetujui oleh ahli keluarga dan ahli profesional yang bertanggungjawab. Ini dapat mengelakkan dari kekecewaan kepada semua pihak yang bertanggungjawab ke atas pemulihan kanak-kanak tersebut.

Pengalaman Ahli Keluarga Yang Telah Berjaya

Ali bukan nama sebenar, merupakan anak bongsu daripada lapan orang adik beradik. Sejak dari bayi, ibunya telah mengesyaki anaknya tidak dapat mendengar. Ini kerana Ali tidak menoleh atau menunjukkan reaksi terhadap bunyi. Jika dia sedang tidur, bunyi kuat langsung tidak mengganggu tidurnya. Ibu bapanya mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital dan Ali menjalani ujian pendengaran di Klinik Pakar Otorinolaringologi. Alangkah sedihnya hati mereka kerana apa yang mereka takuti benar-benar terjadi. Ali telah didapati mengalami masalah pendengaran peringkat sangat teruk pada kedua-dua belah telinga.

Ketika usianya 11 bulan, Ali telah memakai ABD di kedua-dua belah telinganya. Pegawai Audiologis menasihati ibu bapanya untuk memastikan Ali memakai ABD sepanjang masa kecuali semasa tidur dan mandi. Ini bukanlah satu perkara mudah buat seorang bayi untuk bertahan memakai ABD dengan telinga disumbat dengan acuan telinga (ear mold) untuk jangkamasa yang panjang. Ali sering mencabut ABD di telinganya dan mengunyah acuan telinga seperti gula-gula getah. Ibunya hampir berputus asa kerana terpaksa menggantikan acuan telinga (Anggaran kos : RM80 sepasang) hampir setiap bulan.

Berkat kesabaran seorang ibu yang tidak pernah jemu berusaha, akhirnya pada usia 1 tahun 6 bulan, Ali sudah boleh memakai ABD secara konsisten. Dalam masa yang sama, ibunya sering melakukan terapi di rumah seperti yang diajar oleh Pegawai Pemulihan Pertuturan-Bahasa. Sejak itu, Ali juga sudah boleh menoleh ketika namanya dipanggil. Mulut kecilnya juga sudah mula membebel seperti bayi 6 bulan.

Pada usianya 3 tahun, Ali sudah boleh bercakap dengan menggunakan satu hingga dua perkataan seperti: “nak air”, tetapi masih tidak boleh mendengar bunyi berfrekuensi tinggi seperti, /s, sy, h, f/. ABD yang dipakai tidak mampu membantunya mendengar bunyi-bunyi tersebut. Ali dicadangkan untuk menjalani pembedahan Implan koklear yang menelan belanja sebanyak RM 80 ribu. Sekali lagi, hati ibu bapanya hancur. Mereka bukanlah dari keluarga yang senang untuk mengumpul duit sebanyak itu. Demi masa depan anak mereka, kedua orang tuanya menebalkan muka untuk meminta belas ihsan dari pelbagai pihak. Akhirnya pada usia 4 tahun, Ali menjalani pembedahan implan koklear di telinga kanannya.

Hospital sudah menjadi seperti rumah kedua bagi mereka kerana sering dikunjungi saban minggu sejak Ali masih bayi. Sesi pemetaan dan terapi Auditori Verbal sentiasa dihadiri. Rasa malas sering dibuang dalam kamus hidup keluarganya. Mereka sering bergilir menjalankan terapi di rumah mengikut panduan yang diberikan. Kini, Ali sudah berusia 10 tahun dan dia telah bersekolah di Sekolah Aliran Perdana. Percakapannya juga lancar dan tidak pelat lagi. Selain itu, Ali juga tidak takut untuk berdiri di khalayak ramai untuk mengadakan persembahan.

Pengalaman Ahli Keluarga Yang Kurang Berjaya

Atirah, bukan nama sebenar, telah didapati mempunyai masalah pendengaran ketika usianya 2 tahun. Dia telah memakai ABD sejurus selepas didiagnos. Dalam tempoh percubaan, Atirah langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi walaupun terhadap bunyi yang kuat. Dia dicadangkan untuk memakai implan koklear kerana ABD langsung tidak membantu dia mendengar. Dia perlu melakukan pembedahan dengan segera memandangkan dia pernah mengalami meningitis ketika bayi. koklearnya boleh mengeras dan ini akan menyebabkan implan koklear tidak dapat dijalankan.

Pada usianya hampir mencecah 4 tahun, implan koklear dijalankan dengan menggunakan dana Implan koklear. Alhamdullilah, semuanya berjalan dengan lancar. Tetapi malangnya, dia mula menunjukkan tingkah laku yang negatif. Dia sering menggunakan CI sebagai ugutan kepada keluarga jika tidak mendapat apa yang dikehendakinya. CI sering dicampak, dan ibunya menggunakan alasan itu untuk tidak memakaikan CI di rumah kerana bimbang rosak. Semasa sesi terapi Auditori Verbal, Atirah dapat memakai CI dengan baik dan memberi respon terhadap bunyi. Ibu dan kakaknya dibimbing mengenai teknik pengendalian tingkah laku. Hampir setahun, barulah Atirah dapat memakai CI dengan baik tetapi dalam jangka masa yang pendek.

Selepas setahun, kemahiran pendengaran dan pertuturan Atirah masih lemah. Ini memandangkan keluarganya kurang memberikan komitmen kepada aktiviti  “Home Base Programme” yang diberikan oleh Terapis Pertuturan-Bahasa untuk dilakukan di rumah. “Home Base Programme” yang diberi tidak pernah dibuat. Sesi terapi juga sering tidak dihadiri tanpa alasan yang kukuh. Pada usia hampir 6 tahun,  Atirah tidak hadir lagi sesi terapi dan pemetaan.

Rujukan

  1. Sylvia Romanik (1990), Auditory Skills Program

  2. Warren Estrabrooks (1994), Auditory Verbal Therapy

  3. Ministry of Health (2009), Cochlear Implant Service, Operational Policy

  4. O Al-Sharif, Aj Jamal, Family Candidacy For Cochlear Implant

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Nur Syuhada bt. Hosni
Akreditor : Zaidi bin Ya’acob
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

Gigitan Ular

Gigitan oleh ular berbisa boleh menyebabkan kemasukan bisa ular yang boleh mengakibatkan kecemasan perubatan yang mengancam nyawa.

Benign Papular Lesions

Benjolan saiz kecil (1-2 mm), berwarna putih seperti mutiara. Hampir separuh bayi yang baru lahir mengalami masalah ini.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,816

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia