A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Penjagaan Kendiri
  6. /
  7. Kurang Upaya Intelektual dan...

Kurang Upaya Intelektual dan Penjagaan Oral

Pengenalan

Sebelum topik ini dibincangkan secara mendalam, anda mungkin tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan kurang upaya intelektual dan bagaimana ianya berkait dengan penjagaan kesihatan mulut?

Ungkapan kurang upaya intelektual juga disebut sebagai kecacatan mental atau kurang upaya pembelajaran. Ia juga dikaitkan dengan jenis-jenis kekurangan upaya yang melibatkan daya pemikiran. Orang kurang upaya intelektual mempunyai masalah dari segi fungsi intelek dan penyesuaian kelakuan dan ia bergantung kepada tahap keterukannya. Mereka mungkin tidak boleh melakukan aktiviti harian yang melibatkan kemahiran praktikal dan sosial. Keadaan ini kebiasaannya dikesan sebelum berumur 18 tahun.

Kepentingan penjagaan kesihatan mulut dan kesihatan umum perlu diberikan penekanan yang sama kerana kedua-duanya melengkapi satu sama lain. Oleh itu, aktiviti penjagaan kebersihan mulut bagi orang kurang upaya intelektual perlu dilakukan dengan teliti. Alasan yang diberikan oleh penjaga iaitu memberus gigi adalah tugasan yang sukar perlu dielakkan. Karies gigi, gusi bengkak dan bernanah serta nafas berbau adalah masalah pergigian yang biasa dihidapi oleh populasi yang berisiko ini. Di peringkat awal, masalah pergigian ini mungkin dianggap, remeh. Sebagai penjaga kepada golongan kurang upaya intelektual, anda perlu mengetahui bahawa masalah ini boleh menjadi lebih kompleks. Sekiranya tidak diberikan perhatian sewajarnya, ia boleh mengganggu kesihatan badan pula. Oleh yang demikian, penjagaan kesihatan pergigian yang baik perlu diamalkan di rumah. Ini boleh menghindarkan penyakit-penyakit di dalam mulut dan dapat mengurangkan kebarangkalian lawatan ke klinik gigi bagi mendapatkan rawatan kecemasan . Di samping itu, ia boleh membantu golongan ini untuk menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Tugasan yang mudah seperti memberus gigi mungkin dianggap mencabar oleh penjaga terutamanya apabila dilakukan kepada orang lain. Cabaran sampingan yang dihadapi adalah berkaitan dengan masalah kelakuan seperti menangis, pergerakan yang tidak terkawal ataupun menendang. Artikel ini akan membincangkan tip-tip kepada penjaga mengenai penjagaan kesihatan pergigian dengan matlamat mencapai kesihatan pergigian yang baik.

Tip-Tip Penjagaan Kesihatan Pergigian

Tip-tip yang dibincangkan ini disarankan supaya dimulakan diperingkat awal pada umur yang masih muda. Namun demikian, ianya masih belum terlambat untuk dilakukan pada sebarang peringkat umur. Tugas ini perlulah diamalkan oleh setiap anggota keluarga kerana ia memerlukan banyak masa, kesabaran dan sokongan dari semua pihak untuk mencapai kejayaan.

LANGKAH

CADANGAN

1.

Menangani kelakuan yang mencabar

Pendekatan ‘Beritahu-Tunjuk-Buat’

Beritahu : Beritahu apa yang anda ingin lakukan satu persatu contohnya, ‘Saya bantu awak untuk bersihkan gigi. Ini berus gigi dan ubat gigi yang istimewa. Pegang berus gigi ini.’
Elakkan menggunakan ayat yang panjang dan penerangan yang abstrak.
Nyatakan dengan jelas apa yang ingin dilakukan.

Tunjuk: Guna anak patung, model gigi atau orang lain sebagai model untuk menunjukkan cara-cara memberus atau memflos gigi. Kemudian, biarkan mereka mencuba sendiri.

Buat: Galakkan mereka untuk memberus/memflos gigi sendiri. Anda juga boleh menjalankan aktiviti ini bersama-sama. Pastikan mereka berasa selesa semasa aktiviti ini.

Lakukannya secara rutin pada masa (sekurang-kurangnya dua kali sehari) di tempat dan menggunakan teknik yang sama

Semasa memberus/memflos gigi, anda boleh memasang muzik, TV atau biarkan mereka memegang permainan/bantal kegemaran mereka. Jadikan aktiviti membersihkan mulut sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan.

Berilah pujian apabila mereka berkelakuan baik. Jangan endahkan kelakuan yang negatif. Elakkan berasa mudah kecewa jika tidak berjaya. Mereka akan lebih bekerjasama apabila dibiasakan dengan aktiviti tersebut.

2.

Pilih lokasi yang sesuai

Bilik mandi bukanlah satu-satunya tempat untuk memberus/memflos gigi. Ianya boleh dilakukan di ruang tamu ataupun di meja makan..

Persediaan awal untuk aktiviti ini digalakkan. Penjaga hendaklah bersedia dengan alat-alat yang diperlukan seperti berus gigi, ubat gigi, tuala muka, segelas air, mangkuk untuk meludah dan cermin muka. Kesemua alat-alat ini mestilah berdekatan dengan anda untuk menjimatkan masa dan lebih efisien.

Oral Care For People With Disabilities     Oral Care Tools

3.

Teknik memberus gigi

Cuci tangan anda dengan bersih dan betul. Jika boleh, gunakan sepasang sarung tangan sekiranya anda ingin memberus gigi mereka.

Penggunaan berus gigi berkuasa bateri boleh diperkenalkan. Ini memudahkan tugas untuk memberus gigi. Berus gigi yang telah diubah suai mengikut kesesuaian seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di bawah juga boleh diaplikasikan. Tukar berus gigi sekurang-kurangnya setiap 3 bulan ataupun apabila berusnya sudah tidak berfungsi lagi.

Letakkan ubat gigi sebesar saiz kacang pis di atas berus gigi. Pilih ubat gigi yang berflorida. Florida adalah amat penting untuk menghalang pembentukan karies gigi. Jika mereka alah kepada ubat gigi, dapatkan nasihat dari doktor gigi untuk pilihan lain.

Anda boleh mula memberus dari gigi belakang ke gigi hadapan tetapi sila pastikan setiap permukaan gigi dibersihkan.

Selepas memberus gigi, berus lidah secara lembut. Lidah boleh dibersihkan dengan berus gigi ataupun pencuci lidah.

Seterusnya, biarkan mereka membilas mulut dengan air biasa dan buang sisa itu. Anda juga boleh mengelap gigi secara lembut dengan menggunakan kain yang lembap sekiranya mereka tidak boleh berkumur dan mempunyai masalah untuk menelan.

Customized Toothbrush      Customized Toothbrush
*Sumbangan Dr. Norjehan Yahaya dan Dr. Dasera Raj

4.

Memflos gigi

Memflos gigi boleh menjadi satu tugasan yang sukar tetapi penggunaan pemegang flos (gambar kiri) boleh membantu.

Floss      Dental Floss

5.

Posisi

Anda mestilah berada di posisi di mana anda boleh melihat gigi mereka.

Sekiranya orang yang anda tolong itu berada di posisi duduk, anda boleh duduk lebih tinggi atau berdiri di belakang kerusi. Condong kepala mereka sedikit ke belakang untuk mendapatkan akses yang lebih baik terhadap gigi mereka.

Di samping itu, anda boleh melakukan tugasan memberus/memflos gigi dengan kedudukan mereka baring di atas riba anda atau mereka baring di atas beg kekacang.

6.

Lawatan pergigian secara berkala

Lawatan pergigian secara berkala adalah amat penting. Bawa mereka berjumpa doktor gigi sekurang-kurangnya sekali dalam masa 6 bulan. Ini kerana, ada kemungkinan anda akan terlepas pandang terhadap masalah pergigian yang mereka alami.

7.

Berkumur selepas makan

Latih mereka untuk berkumur dengan air biasa setiap kali selepas makan untuk mengeluarkan sisa-sisa makanan.

8.

Pengawalan diet

Elakkan menjadikan makanan/minuman bergula seperti gula-gula, minuman bersoda dalam tin sebagai hadiah apabila mereka berkelakuan baik. Produk-produk seperti ini boleh menyebabkan gigi berlubang dan masalah perubatan yang lain seperti kencing manis sekiranya tidak dikawal.

Semakan Akhir : 20 Mac 2015
Penulis : Dr. Siti Zaleha bt. Hamzah
Akreditor : Dr. Norjehan bt. Yahaya
Penyemak : Dr. Siti Zaleha bt. Hamzah

Artikel Berkaitan

Karies Akar Gigi

Karies akar gigi biasanya terjadi di kawasan aras gusi yang telah menyusut atau mengecut dan mengakibatkan bahagian akar gigi tersebut terdedah.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,637

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia