A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kusta

Penyakit Kusta adalah disebabkan oleh sejenis bakteria dipanggil Mycobacterium leprae yang berjangkit secara perlahan-lahan dan menyerang bahagian kulit, saraf kaki dan tangan, serta lain-lain organ seperti mata dan hidung. Penyakit Kusta juga dikenali sebagai Penyakit Hansen

Penyakit Kusta adalah disebabkan oleh sejenis bakteria dipanggil Mycobacterium leprae yang berjangkit secara perlahan-lahan dan menyerang bahagian kulit, saraf kaki dan tangan, serta lain-lain organ seperti mata dan hidung. Penyakit Kusta juga dikenali sebagai Penyakit Hansen

Cara jangkitan tidak diketahui secara tepat tetapi difahamkan ia merebak dari seorang ke seseorang melalui percikan cecair pernafasan. Faktor-faktor persekitaran yang tidak bersih dan keadaan tempat tinggal yang sesak adalah penyumbang kepada merebaknya penyakit ini di samping kekurangan zat makanan dan daya tahan badan yang lemah.

Tempoh mendapat jangkitan adalah terlalu lama iaitu di antara 1 hingga 40 tahun. Mereka yang kerap dijangkiti adalah golongan muda berumur di antara 10 hingga 20 tahun di mana lelaki lebih mudah dijangkiti berbanding perempuan.Penyakit Kusta adalah endemik di Malaysia, walau bagaimanapun kadar jangkitan adalah rendah.

Tanda dan Gejala

Terdapat 2 jenis Penyakit Kusta:

  1. Paucibacillary (smear calitan kulit negatif)
    Satu atau beberapa tompok samada putih atau merah yang tidak gatal atau sakit. Kulit yang terlibat menjadi kering dan kasar serta tidak berpeluh dan tidak berbulu. Sekiranya tidak dirawat ia boleh merebak.
  1. Multibacillary(smear calitan kulit positif)
    Tompokan putih atau kemerah-merahan yang boleh merebak lebih meluas. Tanda-tanda awal boleh dilihat pada muka dan telinga. Jenis ini boleh menjangkiti orang lain jika tidak dirawat dan menyebabkan kecacatan.

Di kawasan wabak penyakit yang endemik, jika ujian calitan seseorang adalah positif bagi bakteria AFB (Acid Fast Bacilli) atau jika ada luka pada kulit yang mempunyai ciri-ciri tertentu, seseorang itu boleh dikatakan mendapat Penyakit Kusta. Selalunya, sedikit perubahan warna kulit terjadi dan hilang deria rasa. Saraf menjadi tebal serta otot menjadi lemah adalah di antara akibat penyakit ini. Salah satu ciri penyakit adalah hujunh kaki menjadi lemah dan tidak boleh dibengkokkan ke atas dengan sendiri serta sukar untuk berjalan.

Komplikasi

Pengesanan awal adalah penting. Rawatan awal dapat mengelakkan kecacatan. Dengan ini pesakit dapat menghalang jangkitan kepada orang lain.

Kecacatan di muka termasuk batang hidung menjadi rata dan gugur alis dan bulu mata.

Kecacatan pada tangan termasuk otot tapak tangan mengecut, jari-jari membengkok, tangan menjadi lemah dan hilang fungsi tangan.

Kecacatan pada kaki termasuk hilang deria rasa jari kaki dan di peringkat akhir tapak kaki dan jari kaki menjadi luka.

Hilang penglihatan

Rawatan

Penyakit Kusta boleh disembuhkan, dan rawatan di peringkat awal dapat menghindarkan kecacatan. Semua pesakit mesti patuh pada aturan rawatan WHO bagi mengelakkan kecacatan. WHO mengesyorkan Multidrug Therapy (MDT). MDT merangkumi 3 jenis ubat iaitu Dapsone, Rifampicin dan Clofazimine bagi multibacillary. Bagi paucibacillary, pesakit akan diberikan dapsone dan rifampicin. Kombinasi ubat ini boleh membunuh pathogen dan menyembuhkan pesakit. Selepas tamat rawatan, pesakit perlu dipantau setiap tahun untuk tempoh 5 tahun bagi paucibacillary dan 15 tahun bagi multibacillary.

Pencegahan

Diagnosis awal dan rawatan sempurna bagi seseorang yang dijangkiti, dapat mengawal Penyakit Kusta. Pencegahan terdiri dari mengelakkan hubungan rapat secara fizikal dengan mereka yang tidak dirawat.

Mereka yang mempunyai pertalian dengan pesakit kusta dikehendaki menjalani ujian pengesanan kusta. Pemeriksaan tahunan hendaklah dilakukan ke atas saudara mara sekurang-kurangnya dalam tempoh 5 tahun bermula dari terdedahnya kepada pesakit kusta.

Pemulihan

Kecacatan dan kerosakan saraf disebabkan penyakit Kusta selalunya kekal. Pencegahan atau pemulihan akibat penyakit ini adalah sebahagian daripada tindakan yang perlu dilakukan. Pembedahan rekonstruktif adalah bertujuan untuk mengelak dan membetulkan kecacatan.

Penjagaan komprehensif melibatkan pendidikan kepada pesakit untuk menjaga diri sendiri. Pesakit yang menunjukkan tanda-tanda kerosakan saraf yang jelas dan berisiko mendapat kecacatan perlu di ajar kaedah penjagaan anggota yang tidak sensitif sama seperti pesakit diabetes yang mengalami kerosakan saraf pada kaki. Keadaan ini memerlukan mereka sentiasa memeriksa diri sendiri bagi mengelak dari sebarang luka dan kecederaan lain.

Kumpulan Sokongan

Hubungi doktor anda jika terdapat tanda-tanda dan gejala seperti di atas. Untuk keterangan lanjut sila hubungi:

MALRA – Malaysian Leprosy Relief Association
Bangunan Tan Sri T H Tan
D1-01, Jalan SS6/20A, Dataran Glomac
Kelana Jaya, 47301, Petaling Jaya
Tel : 03-78802607, 78802608
Fax : 03-78802609
E mail : mleprosy@streamyx.com
Hubungi :  Cik Irene Yap, Sekretari Admin

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Fuad Hashim
Penyemak : Dr. Nor Faizah bt. Ghazali

Artikel Berkaitan

Demam Kuning

Demam kuning adalah satu penyakit teruk yang boleh membawa kematian. Ia disebarkan oleh nyamuk aedes jenis aegypti yang menyebabkan demam denggi di Malaysia. Nyamuk ini biasanya menggigit pada waktu siang.Virus demam kuning adalah dari kumpulan keluarga virus flaviviridae. Kumpulan virus ini mengandungi lebih 70 jenis yang berlainan di mana kebanyakannya adalah virus bawaan serangga. Pathogen lain dari kumpulan ini termasuk virus denggi, yang mudah didapati di kawasan tropika dan ia menjadi penyebab jangkitan penyakit yang teruk dan kadar kematian tinggi di Negara Asia Timur, Tengah serta Amerika Selatan.

Chikungunya

Demam Chikungunya adalah penyakit viral yang menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk yang telah dijangkiti.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,815

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia