Pengenalan
Saya nak anak bercakap!!!
Saya nak anak bertutur!!!
Saya nak anak berkomunikasi!!!
Semua ibu bapa ingin anak mereka pandai bercakap, mengikuti arahan dan boleh menjawab soalan. Namun realitinya, sebelum boleh menguasai kemahiran tersebut, kanak-kanak perlu terlebih dahulu menguasai kemahiran awal pertuturan.
Kemahiran Awal Pertuturan
Bolehkah sesebuah rumah dibina tanpa tiang yang kukuh sebagai sokongan?Ā Jawapannya pasti tidak.
Diumpamakan seperti membina sebuah rumah, kemahiran pertuturan merupakan kemahiran kompleks yang memerlukan sokongan daripada kemahiran-kemahiran lain terutamanya kemahiran awal pertuturan. Mengikut perkembangan normal, kanak-kanak mula belajar menguasai kemahiran awal pertuturan sejak dilahirkan sehingga mencecah usia tiga tahun.
Penguasaaan kemahiran awal pertuturan sering menjadi tanda aras tahap perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak. Penguasaan kemahiran awal pertuturan di peringkat awal usia sering dikaitkan dengan penguasaan kemahiran pertuturan yang baik apabila kanak-kanak membesar.
Kemahiran-kemahiran awal pertuturan adalah:
-
Kontak mata (eye contact)
-
Kontak mata berlaku apabila kanak-kanak bertentang mata dengan ibu bapa atau individu lain. Kemahiran ini amat penting untuk perkembangan bahasa dan pertuturan serta komunikasi yang baik. Kontak mata menunjukkan anak bersedia berinteraksi dengan ibubapa serta individu lain disekelilingnya.
-
-
Memberi tumpuan
-
Memberi respon apabila dipanggil, memberi tumpuan semasa bermain dan melihat pergerakan sesuatu merupakan antara ciri-ciri kemahiran tumpuan yang baik. Kanak-kanak yang memberi tumpuan lebih mudah mempelajari kemahiran lain.
-
-
Mengambil giliran
-
Mengambil giliran dalam sesuatu aktiviti seperti bermain amat penting untuk perkembangan bahasa dan pertuturan. Melalui kemahiran ini, kanak-kanak belajar untuk berkongsi sesuatu dengan individu lain. Selain itu, ia juga memberi peluang kanak-kanak untuk bergilir-gilir dalam berkomunikasi.
-
-
Meniru perbuatan, bunyi dan perkataan
-
Bermula dari peringkat usia bayi sehingga mencecah tiga tahun, kanak-kanak banyak meniru bunyi, perbuatan dan perkataan yang digunakan oleh ibubapa. Kemahiran ini membantu kanak-kanak dalam memahami bahasa dan menggunakan pertuturan dalam situasi harian.
-
-
Bermain
-
Bermain dapat membantu perkembangan bahasa dan pertuturan dengan baik. Melalui permainan, kanak-kanak akan terdedah kepada pengalaman Ā yang baru. Perkongsian dan komunikasi yang berlaku semasa bermain akan membantu anak-anak menguasai pertuturan dengan lebih cepat.
-
-
Memadankan objek atau gambar yang serupa
-
Kemahiran memadankan sesuatu yang serupa (objek kepada objek; atau gambar kepada gambar) merupakan kemahiran asas yang diperlukan untuk mempelajari bahasa dan pertuturan. Selain itu, ini juga penting untuk membantu kemahiran membaca, menulis dan juga mengira apabila kanak-kanak mencapai umur persekolahan.
-
-
Keupayaan untuk duduk (sitting tolerence)
-
Kebolehan untuk duduk setempat semasa melakukan aktiviti amat penting sebagai persediaan kanak-kanak mempelajari bahasa dan pertuturan. Kebolehan ini akan membantu kanak-kanak untuk memberi tumpuan ke atas aktiviti yang dijalankan. Kanak-kanak yang terlalu aktif dan sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dalam waktu yang amat singkat akan sukar untuk beriteraksi dengan baik.
-
Melatih Kemahiran Awal Pertuturan
Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi melatih kemahiran awal pertuturan kanak-kanak. Antara aktivit tersebut adalah seperti berikut:-
Kontak Mata
-
Meminta sesuatu dengan kontak mata
-
Gunakan mainan yang disukai anak. Letakkan mainan tersebut di hadapan muka anda. Tunggu sehingga anak melihat mata anda sebelum memberikan mainan tersebut.
-
-
Beri pilihan
-
Berikan dua pilihan mainan kepada anak. Sebagai contoh, āAdik nak bola atau kereta?ā. Letakkan mainan tersebut di paras mata. Beri mainan apabila anak melihat mata anda.
-
-
Gunakan peralatan bersesuaian
-
Bagi kanak-kanak yang sukar melihat mata secara langsung, ibu bapa boleh menggunakan peralatan seperti cermin untuk menggalakkan anak melihat mata.
-
Memberi Tumpuan
-
Posisi / kedudukan
-
Kedudukan sangat penting dalam melatih tumpuan dan kontak mata. Pastikan anda duduk menghadap anak anda supaya perhatian dapat diberikan sepenuhnya
-
-
Tarik perhatian anak
-
Tarik perhatian anak dengan memegang sedikit bahunya apabila ingin bercakap. Ini membantu anak memberi tumpuan kepada anda dan perbualan.
-
-
Elakkan gangguan
-
Pastikan tiada gangguan semasa melatih anak untuk memberi tumpuan. Buat satu aktiviti dalam satu masa. Jangan berikan mainan yang banyak secara serentak.
-
Mengambil Giliran
-
Guna mainan yang bersesuaian
-
Gunakan mainan seperti bola, puzzle atau kereta mainan. Latih anak mengambil giliran untuk membaling bola, membuat puzzle atau menolak kereta mainan.
-
-
Beri klu kepada anak
-
Sentiasa ingatkan anak anda tentang giliran seperti āgiliran papaā, āgiliran abangā atau āabah tolakā, āadik pula tolakā. Anak akan memahami konsep ini dengan lebih baik.
-
-
Masa menunggu yang pendek
-
Pastikan āmasa menungguā giliran anak adalah pendek terutamanya di peringkat awal latihan. Anak mungkin akan merampas mainan sekiranya menunggu terlalu lama.
-
Meniru perbuatan, bunyi dan perkataan
-
Pilih aktiviti yang bersesuaian
-
Lakukan aktiviti seperti menyanyi dan menari untuk menggalakkan anak meniru aksi pergerakan serta bunyi-bunyi atau perkataan yang ingin diajar.
-
-
Gunakan anak patung
-
Kebanyakan kanak-kanak memberi tindak balas yang baik apabila bermain dengan anak patung. Buat pergerakan yang bersesuaian dan galakkan anak meniru apa yang dilihat.
-
Bermain
-
Main bersama anak
-
Jangan biarkan anak anda bermain sendiri. Ibu bapa perlu bermain bersama supaya anak belajar cara bermain yang betul dan mendapat input bahasa dan pertuturan yang sesuai.
-
-
Pilih jenis mainan yang sesuai dengan umur anak
-
Ibu bapa perlu tahu kesesuaian jenis permainan dengan umur anak. Pemilihan mainan yang bersesuaian membantu anak anda belajar sesuai dengan tahap perkembangan otak.
-
-
Menarik dan seronok.
-
Pastikan aktiviti permainan yang dipilih menarik dan seronok. Hal ini adalah penting untuk memastikan anak anda memberi tumpuan dan ingin terus bermain bersama anda.
-
Memadankan objek atau gambar
-
Peralatan bersesuaian
-
Sediakan set objek atau gambar yang serupa untuk melatih anak. Sebagai contoh, dua biji epal merah, dua biji bola biru dan dua gambar kasut hitam. Ajar anak untuk memadankan objek atau gambar tersebut dengan pasangan yang betul (epal merah ā epal merah; bola biru ā bola biru; kasut hitam ā kasut hitam).
-
Keupayaan untuk duduk
-
Aktiviti yang menyeronokkan.
-
Gunakan permainan yang menyeronokkan untuk mendapatkan perhatian anak anda. Permainan yang dipilih perlulah bersesuaian dengan umur mereka. Ini penting untuk memastikan anak dapat duduk dan memberi tumpuan kepada aktiviti yang dijalankan.
-
Penguasaan kemahiran awal pertuturan yang baik membantu perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak. Justeru itu, ibubapa perlu melatih anak memahami dan menguasai kemahiran tersebut. Ini bagi memastikan kanak-kanak menguasai kemahiran bahasa dan pertuturan seiring dengan perkembangan umur mereka.
Rujukan
-
Bee, H., & Boyd, D. (2004). The Developing Child. (10th Ed.). United States; Pearson Education, Inc.
-
Paul, R. (2001). Language Disorders From Infancy Through Adolescence. (2nd Ed.). United States; Mosby, Inc.
-
Lynch, C., & Cooper, J. (1991). Early Communication Skills Practical Activities For Teachers and Therapists. Bicester; Winslow Press.
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Rozila bt. Sumardi |
Akreditor | : | Zaidi bin Ya’acob |
Penyemak | : | Nadwah bt. Onwi |