A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Tanda & Gejala
  6. /
  7. Lelaki Bersuara Wanita

Lelaki Bersuara Wanita

Keadaan ini berlaku apabila seorang lelaki dewasa mengalami perubahan fizikal semasa proses akil baligh, tetapi tidak kepada suaranya.

Pengenalan

Para pembaca diharap supaya jangan salah faham tentang tajuk di atas. Sekali baca macam pelik, namun keadaan ini bukanlah satu yang mustahil. Keadaan ini berlaku apabila seorang lelaki dewasa mengalami perubahan fizikal semasa proses akil baligh, tetapi tidak kepada suaranya. Bagi mereka yang tidak mengalami perubahan suara semasa proses kematangan ini, mereka sebenarnya mengalami masalah suara yang dikenali sebagai puberphonia.

Siapakah yang mengalami puberphonia?

Puberphonia kebanyakannya dialami oleh lelaki. Sebenarnya terdapat sebilangan wanita yang mengekalkan bunyi nada suara tinggi seperti kanak-kanak selepas tempoh akil baligh.

Namun, stigma masyarakat menganggap ia sebagai sesuatu yang normal, oleh itu ia tidak dianggap sebagai satu masalah.

Manakala keadaan ini berbeza bagi golongan lelaki. Lelaki yang mempunyai suara seperti wanita memanglah dianggap pelik dan pasti mengundang pelbagai reaksi daripada pendengar.

  • Mereka yang mengalami puberphonia mempunyai nada suara yang tinggi, tidak bersesuaian dengan ciri fizikal atau jantina.

  • Secara objektif, puberphonia boleh disahkan apabila nilai frekuensi suaranya lebih daripada nilai frekuensi normal iaitu 120Hz bagi lelaki dan 210Hz bagi wanita.

  • Pesakit selalunya menyatakan yang mereka sukar untuk menguatkan suara dan cepat penat apabila bercakap.

  • Mereka juga sering disalah anggap sebagai wanita semasa berbual melalui telefon.

  • Tanda-tanda lain yang mungkin dialami oleh mereka yang mengalami puberphonia adalah:

    • Suara serak

    • Suara pecah (pitch break)

    • Resonan yang tidak sesuai (inadequate resonan)

    • Ketegangan otot (muscle tension)

    • Kurang variasi nada suara (lack of variability)

Bagaimanakah puberphonia boleh berlaku?

Untuk memahami bagaimana puberphonia berlaku, kita perlu memahami terlebih dahulu bagaimana suara dihasilkan.

Suara kita terhasil melalui getaran pada pita suara. Struktur pita suara, iaitu kepanjangan dan ketebalannya mempengaruhi nada suara yang terhasil, sama ada bernada tinggi atau rendah.  Semakin tebal dan panjang struktur pita suara, semakin rendah nada suara yang terhasil.

Perubahan peti  suara

  • Semasa kanak-kanak, panjang pita suara kanak-kanak lelaki dan perempuan adalah sama iaitu sekitar 2 milimeter.

  • Kerana struktur pita suara yang kecil, kanak-kanak mempunyai nilai frekuensi asas yang agak tinggi iaitu sekitar 300Hz. Oleh itu, nada suara kanak-kanak adalah tinggi.

  • Ciri suara kanak-kanak akan mengalami perubahan seiring dengan perubahan fizikal yang lain semasa proses pembesaran.

  • Pita suara wanita akan memanjang sekitar 0.4 mm setiap tahun, manakala pita suara lelaki selalunya memanjang sekitar 0.7 mm bagi tempoh yang sama.

Perbezaan antara peti suara lelaki dengan wanita

  • Perbezaan struktur pita suara menyebabkan nada suara perempuan mempunyai frekuensi asas (Fundamental frequency)  sekitar 210 Hz manakala frekuensi asas suara bagi lelaki ialah sekitar 120Hz.

  • Perbezaan pada nilai frekuensi inilah yang memberi ciri utama ‘suara perempuan’ yang mempunyai nilai frekuensi yang tinggi atau ciri ‘suara lelaki’ yang mempunyai nilai frekuensi yang lebih rendah.

  • Jadual berikut menunjukkan perbezaan suara dan pita suara antara jantina.

Ciri suara & pita suara

Lelaki

Wanita

Struktur

Panjang dan tebal

Pendek dan nipis

Frekuensi

120Hz

210Hz

Persepsi ciri suara

Garau dan besar

Halus dan kecil

Perbezaan perubahan suara mereka yang mengalami puberphonia

  • Bagi mereka yang mengalami puberphonia, nada suara mereka tidak berubah, walaupun perkembangan fizikal yang lain berlaku seperti biasa.

Kenapakah puberphonia berlaku?

Terdapat banyak teori yang dibincangkan mengenai faktor penyebab puberphonia. Antaranya ialah faktor fizikal yang boleh menyebabkan nada suara menjadi tinggi dan faktor psikologi:

Faktor fizikal

  • Masalah berkaitan saraf seperti masalah pendengaran dan pita suara lumpuh
  • Masalah berkaitan struktur pita suara seperti noduleatau polyp pada pita suara

Faktor psikologi

  • Perubahan suara yang berkaitan dengan proses akil baligh dikatakan mungkin menimbulkan perasaan malu, oleh itu pesakit tanpa sedar terus mengekalkan suara bernada tinggi seperti kanak-kanak walaupun terdapat perubahan dari segi struktur peti suara

 

Diagnosis

Pemeriksaan awal

  • Pemeriksaan awal bagi mereka yang mengalami puberphonia dijalankan oleh pegawai perubatan atau pakar perubatan bagi memastikan tiada kelainan atau kecacatan pada struktur berkaitan penghasilan suara, terutamanya pada pita suara pesakit.

  • Pemeriksaan pita suara boleh dilakukan dengan menggunakan beberapa cara, antaranya pemeriksaan menggunakan trans-nasal endoscopy.

  • Kemudian, rujukan dan pemeriksaan lanjut akan dijalankan oleh Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan).

Pemeriksaan lanjut

  • Siapakah Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan)?

    • Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) merupakan pegawai yang terlibat dan dilatih secara khusus bagi mengendalikan masalah berkaitan bahasa, pertuturan, suara, resonan dan penelanan bagi setiap peringkat umur.

    • Secara amnya, profesyen ini lebih dikenali sebagai Terapis pertuturan atau Speech Therapist. Perkhidmatan ini selalunya adalah sebahagian daripada Jabatan Telinga, Hidung dan Tekak (THT) atau di Jabatan Perubatan Rehabilitasi di Hospital-Hospital Kerajaan atau swasta.

  • Pemeriksaan klinikal yang dilakukan adalah seperti:-

    • Mengukur nada suara pesakit dengan menggunakan peralatan khusus ,atau hanya menggunakan pemeriksaan secara persepsi (perceptual assessment).

    • Pemeriksaan menyeluruh mengenai penggunaan suara, dan persepsi pesakit terhadap masalah yang dihadapi.

    • Pegawai juga akan meneliti faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku, dan juga mengenalpasti faktor lain yang mungkin akan mempengaruhi keberkesanan terapi.

      Penggunaan peralatan khas iaitu Visi Pitch untuk penilaian suara
      Sumber: Unit Terapi-Pertuturan-Bahasa, Hospital Kuala Lumpur

Kesan puberphonia

Puberphonia boleh membawa kepada masalah suara yang lain atau masalah psikososial.

  • Masalah suara

    • Masalah suara lain boleh berlaku akibat penggunaan pita suara yang salah, menyebabkan keletihan otot dan boleh menyebabkan suara menjadi perlahan dan serak.

  • Masalah psikososial

    • Masalah psikososial terjadi kerana ciri suara memberi impak yang sangat bermakna dari segi penilaian keseluruhan individu. Seorang lelaki yang berbadan tegap mestilah dianggap pelik jika nada suaranya seakan suara wanita.

    • Bergantung kepada personaliti pesakit, masalah puberphonia boleh menyebabkan mereka merasa rendah diri atau boleh menimbulkan kegelisahan (anxiety).

Rawatan

Jenis rawatan bagi puberphonia boleh dibahagikan kepada 2 jenis utama iaitu, rawatan bukan perubatan dan rawatan perubatan.

Rawatan bukan perubatan

Rawatan ini dijalankan oleh Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) dengan menggunakan kaedah-kaedah tertentu dalam rawatan yang dikenali sebagai terapi suara (voice therapy).

Terapi suara:

  • Melalui terapi ini, pesakit akan dibantu untuk:

    • Memahami apa dan  bagaimana pita suara berfungsi

    • Menilai kualiti nada suara yang dihasilkan

    • Menetapkan kualiti nada suara yang ingin dicapai selepas terapi.

  • Terapi ini mungkin melibatkan penggunaan alatan biofeedback bagi membolehkan pesakit memantau perubahan nada bunyi secara visual dan tepat.

  • Walau apa pun kaedah yang digunakan, matlamat akhir terapi adalah untuk menurunkan nada suara pesakit agar kualiti suara ‘lelaki’ dapat diperolehi, untuk digunakan dalam perbualan harian pesakit.

Rawatan perubatan

Rawatan perubatan mestilah dilakukan oleh pegawai perubatan terlatih/ pakar perubatan. Dua jenis rawatan perubatan yang digunakan adalah melalui suntikan botox dan pembedahan. Kaedah rawatan perubatan ini hanya akan dijalankan apabila terapi suara didapati gagal membantu pesakit

Suntikan botox

  • Suntikan botox dijalankan dengan menyuntik botox kepada otot tertentu mengikut dos dan kekerapan tertentu bagi membantu relaksasi otot berkaitan.

Pembedahan

  • Rawatan pembedahan mungkin dilakukan setelah semua kaedah rawatan lain gagal. Pembedahan ini dikenali sebagai Isshiki type III relaxation thyroplasty dilakukan bertujuan merendahkan nada suara pesakit dengan mengurangkan kepanjangan peti suara.

Rujukan

  1. Moynahan, M (2003). Puberphonia. [Power Point slides]. Retrieved from https://www.msu.edu/course/asc/823c/…/Puberphonia.ppt

  2. Puberphonia. (n.d).  In the La Trobe University webpage. Retrieved September 3, 2012 from http://www.latrobe.edu.au/communication-clinic/voice/disorders/puberphonia.html

  3. Surgical management of puberphonia: Recent concept.   (n.d.) In the drtbalu’s Otolaryngology online. Retrieved September 4, 2012 from http://www.drtbalu.co.in/puber_rec.html

  4. Traunmüller, H dan Anders Eriksson,A. (1995). The frequency range of the voice fundamental in the speech of male and female adults  [PDF  Document] Retrieved from www2.ling.su.se/staff/hartmut/f0_m%26f.pdf

  5. Pincus. R.L (n.d) In the New York Otolaryngology group. Retrieved September 15, 2012 from http://www.nyogmd.com/2011/06/im-a-19-year-old-man-with-a-high-pitched-voice-is-there-anything-i-can-do/

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Rahimah bt. Yunus
Akreditor : Nur Fariha bt. Md. Shah
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,750

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia