A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Leukemia

Leukemia adalah barah sel darah putih dan ia boleh dikategorikan sebagai lebihan sel darah putih di dalam sum-sum tulang. Sel darah putih dihasilkan secara semula jadi.

Apa itu Leukemia?

Leukemia adalah barah sel darah putih dan ia boleh dikategorikan sebagai lebihan sel darah putih di dalam sum-sum tulang. Sel darah putih dihasilkan secara semula jadi.

Bagi pesakit Leukemia, proses pengeluaran sel-sel darah putih terganggu. Sel-sel tidak matang dan terus membahagi dan membiak. Ia adalah sebahagian daripada kumpulan penyakit yang dikenali sebagai kanser hematologi atau” Hematological Malignancy”.

Perkataan Leukemia bererti sel darah putih yang tinggi. Ianya diambil sempena nama penyakit itu.

Kebanyakan pesakit Leukemia mempunyai bilangan sel darah putih yang tinggi sebelum mendapat rawatan. Sel darah putih yang tinggi dapat dilihat melalui mikroskop daripada ujian darah yang dijalankan. Walau bagaimanapun sel-sel darah ini tidak normal dan tidak dapat berfungsi untuk  mengawal jangkitan dalam badan. Kehadiran sel sel darah putih yang tinggi  akan mengganggu keupayaan sum-sum mengeluarkan sel-sel darah yang lain seperti sel darah merah dan platelet.

Apakah jenis-jenis Leukemia?

Leukemia boleh jadi akut (merebak dengan cepat) atau kronik (merebak perlahan). Pada kanak-kanak lebih kurang 95% adalah Leukemia Akut.

Leukemia limfosifik akut juga dikenali sebagai ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia) adalah yang paling biasa terjadi pada kanak-kanak.

Leukemia Myelogenous akut atau AML (Acute Myeloid Leukemia) lebih banyak terjadi di kalangan orang dewasa berbanding kanak-kanak.

Leukemia Limfosifit kronik atau CLL (Chronic Lymphocytic Leukemia) paling sering menimpa orang dewasa yang berumur lebih 60 tahun. Ia kadang-kadang berlaku di kalangan orang dewasa yang lebih muda, tetapi ia hampir tidak pernah melibatkan kanak-kanak.

Leukemia myelogenous kronik CML (Chronic Myelogenous Leukemia) biasanya berlaku pada orang dewasa. Hanya segelintir kanak-kanak dikesan mengalami penyakit ini.

Leukemia akut adalah jenis barah paling biasa yang berlaku di kalangan kanak-kanak dan penyebab utama kematian di kalangan kanak-kanak. 1/3 dari kanak-kanak yang mengalami barah adalah dari jenis Leukemia.

Apakah tanda dan gejala penghidap Leukemia?

Leukemia adalah barah sel darah putih. Bilangan sel darah putih yang tinggi dan tidak matang ini akan terjadi dengan cepat dan berkumpul dalam sum-sum tulang. Keadaan ini menyebabkan pengurangan penghasilan platelet, sel darah putih yang normal dan sel-sel darah merah.

Platelet yang rendah mengakibatkan pendarahan mudah berlaku seperti lebam, bintik-bintik merah, pendarahan hidung dan gusi.

Sel darah putih tidak dapat berfungsi dengan baik dan pengeluarannya yang berkurangan boleh menyebabkan demam dan jangkitan yang kerap. Ini adalah kerana fungsi sel darah putih dalam melawan kuman telah terganggu.

Kekurangan sel darah merah boleh menyebabkan anemia. Kanak-kanak kelihatan pucat, letih dan sukar bernafas.

Lain-lain tanda dan gejala:

  • Lemah dan letih lesu.
  • Kurang selera makan dan kurang berat badan.
  • Bengkak dan gusi berdarah.
  • Sakit kepala.
  • Bengkak abdomen disebabkan oleh pembesaran hati dan limfa.
  • Sakit tulang, boleh menyebabkan kelemahan.
  • Sakit sendi.
  • Kelenjar membengkak. Jika kelenjar di leher dan dada bengkak, ia boleh menyebabkan pengaliran darah tersekat. Ini menyebabkan muka mebengkak, kesukaran bernafas serta berdengkur.

Apakah penyebab dan faktor risiko Leukemia?

Tiada satu pun sebab yang diketahui untuk semua jenis Leukemia. Kajian masih terus dijalankan untuk mengenal pasti punca utama Leukemia. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi seseorang untuk mendapat Leukemia.

Terdapat hubungan di antara tempat tinggal yang berhampiran  dengan bekalan kuasa voltan tinggi dengan Leukemia, tetapi setakat ini  tiada bukti  yang kukuh di perolehi.

Faktor-faktor persekitaranseperti  pancaran radiasi dan pendedahan kronik kepada bahan kimia toksik seperti benzene juga telah dikaitkan dengan risikio untuk mendapat leukaemia.

Jangkitan viral seperti virus Epstein barr.

Faktor genetik. Kanak-kanak Down syndrome mempunyai 15 kali kemungkinan atau risiko untuk mendapat Leukemia berbanding dengan kanak-kanak normal.

Kelemahan sistem imun badan – Kanak-kanak yang mengalami penyakit ini samada secara semulajadi atau “acquired’ mempunyai risiko yang tinggi mendapat barah limfa.

Sehingga punca atau penyebab leukaemia ditemui, tidak ada cara untuk mencegah atau mengelak dari mendapat penyakit ini.

Diagnosa Leukemia

Pemeriksaan fizikal dan sejarah latar belakang yang menyeluruh. Doktor akan memeriksa kanak-kanak untuk menilai tahap kesihatannya dan mengesan tanda-tanda penyakit, seperti pucat, pendarahan, pembengkakan hati dan limfa dan nodus limfa. Sejarah penyakit dan rawatan yang lalu juga diambil kira. Jika Leukemia disyak, doktor akan menjalankan ujian complete blood count ( CBC) bagi mengira jumlah sel darah putih, hemoglobin, hematokrit, dan jumlah platelet dari sampel darah.

Calitan darah akan dilakukan ke atas sampel yang sama untuk mengesan sel darah putih yang tidak normal atau ‘blast’.

Jika keputusan darah menunjukkan Leukemia, pengambilan sampel sum-sum tulang dan biopsi akan dilakukan untuk mengesahkan penyakit dan jenis Leukemia. Ini dilakukan dengan cara menyusuk jarum ke dalam tulang punggung leper untuk mendapatkan sampel darah dari sum-sum tulang dan cebisan tulang. Pakar hematologi akan menguji sampel darah dari sum-sum tulang untuk melihat kehadiran sel Leukemia. Ujian ini sangat penting untuk mengesahkan penyakit Leukemia.

Ujian  tambahan kemudian dijalankan ke atas sampel ini untuk menentukan jenis dan subjenis Leukemia. Analisis Citogenetik dan molekular juga dilakukan untuk mengesan apa-apa yang tidak normal dalam sel-sel leukemia. Ujian-ujian ini akan membantu doktor dalam merancang rawatan untuk kanak-kanak tersebut

Bagaimanakah menentukan tahap Leukemia?

Leukemia adalah penyakit sistemik. Berbeza dengan kanser organ-organ pepejal, tiada tahap keterukan dalam Penyakit Leukemia. Walau bagaimanapun, ujian-ujian lain perlu dilakukan untuk mencari setakat mana penyakit ini telah merebak. Ini termasuk:

  • Pengambilan cecair spinal (Lumbar Puncture).Satuprosedur yang dilakukan untuk mengambil cecair tulang belakang untuk pemeriksaan mikroskop bagi melihat kehadiran sel-sel leukemia. Ini dilakukan dengan memasukkan jarum ke dalam ruang tulang belakang  . Prosedur ini juga dipanggil LP atau spinal tap.
  • X-ray dada : Untuk mengesan pembesaran nodus limfa di dada.
  • Biopsi modus limfa: Pengambilan tisu dari nodus limfa bagi mengesan  tanda-tanda kanser. Prosedur ini dilakukan hanya jika terdapat tanda tanda luar biasa pada nodus limfa semasa pemeriksaan fizikal.

Pesakit akan di bahagikan  ke dalam kumpulan mengikut  risiko. Ini adalah bagi membolehkan doktor merancang rawatan untuk mencapai hasil yang terbaik tetapi pada masa yang sama mengurangkan kesan toksik. Beberapa parameter  digunakan untuk menentukan kumpulan risiko. Ini termasuk umur pesakit, kiraan jumlah sel darah  putih pada masa penyakit dikesan, penglibatan sistem saraf pusat, tindak balas awal pada rawatan dan kehadiran kromosom tertentu seperti kromosom Philiadelphia.

Kumpulan risiko adalah seperti berikut:

  • Standard risk.
  • Moderate risk  atau sederhana.
  • Berisiko tinggi.

Bagaimana Leukemia dirawat?

Kanak-kanak yang telah dikenal pasti menghidap  barah sel darah putih semestinya dirawat oleh pakar onkologi pediatrik (seorang doktor yang pakar dalam merawat kanak-kanak yang menghidap kanser). Pakar onkologi pediatrik akan bekerjasama dengan doktor dan kakitangan kesihatan lain yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam merawat kanak-kanak yang mengalami kanser. Ini mungkin termasuk pakar-pakar berikut:

  • Hematologsti/Pakar kaji darah.
  • Pakar bedah kanak-kanak.
  • Radiation onkologist.
  • Pakar Endokrin.
  • Pakar saraf.
  • Pakar Radiologi.
  • Pekerja sosial.
  • Jurupulih kerja dan cara.
  • Pakar psikologi.
  • Pakar dietetik.

Rawatan kemoterapi merupakan rawatan utama bagi kanak-kanak leukemia.

Buat masa sekarang, terapi radiasi  kurang digunakan. Ia diberikan secara profilaktik pada pesakit yang menghidap leukemia jenis T-sel  dan sebagai rawatan kepada pesakit yang menghidap leukaemia pada sistem saraf.

Pemindahan tulang sum-sum / pemindahan sel stem adalah rawatan yang paling intensif yang boleh diberikan. Ia digunakan untuk  pesakit  AML dan ALL berisiko tinggi  atau yang berulang (relapse).

Rawatan leukaemia kanak-kanak dilakukan secara berperingkat-peringkat:

  • Terapi Induksi: Ini adalah fasa pertama rawatan. Tujuannya adalah untuk membunuh sel-sel. Leukemia dalam darah dan sum-sum tulang. Ini meletakkan Leukemia ke dalam remision:
  • Terapi Konsolidasi/pengukuhan: Ini adalah fasa kedua dalam perawatan. Bermula apabila Leukemia berada dalam keadaan remision. Tujuan terapi ini  adalah untuk membunuh sel-sel leukemia yang tertinggal dan mencegah sel-sel daripada menjadi alah kepada rawatan.
  • Terapi yang berterusan (maintenance therapy): Ini adalah fasa ketiga rawatan. Ia dilakukan sebagai pesakit luar.  Kemoterapi diberikan secara oral dan dalam dos yang lebih rendah daripada yang digunakan untuk induksi dan konsolidasi.

Rawatan biasanya diberikan untuk tempoh 2-3 tahun. Oleh kerana kanak kanak lelaki secara umumnya menunjukkan tindak balas yang perlahan berbanding kanak kanak perempuan, rawatan untuk kanak-kanak lelaki adalah lebih lama. Kanak-kanak yang menghidap ALL mempunyai peluang yang baik untuk sembuh. Kebanyakan pusat rawatan  kini melaporkan kadar 90% peluang sembuh untuk pesakit yang mempunyai standard risk.

Kesan sampingan akibat daripada rawatan boleh berlaku sama ada pada jangka masa pendek atau panjang. Terapi radiasi ke atas kepala misalnya boleh memberi kesan kepada perkembangan otak kanak-kanak dan boleh menyebabkan barah lain berlaku. Oleh yang demikian pemeriksaan yang berkala adalah sangat penting.

Bolehkah penyakit ini berulang semula setelah dirawat?

ALL pada kanak-kanak boleh berulang walaupun ianya telah dirawat. Cara rawatan adalah sama seperti di atas tetapi ianya lebih intensif.

Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Zulaiha bt. Muda
Penyemak : Dr. Jubaida Paraja

Artikel Berkaitan

Talasemia

Talasemia adalah kumpulan penyakit yang menghalang badan daripada menghasilkan jumlah darah yang mencukupi dan berkualiti.

Hemofilia

Hemofilia merupakan sejenis penyakit warisan yang sedia ada sejak seseorang itu dilahirkan dan ia berpunca daripada kekurangan faktor pembekuan darah.

Anemia Kekurangan Zat Besi

Anemia ialah satu keadaan di mana badan kekurangan sel darah merah. Sel darah merah sangat penting untuk membawa oksigen ke seluruh badan. Terdapat banyak jenis anemia dan iron deficiency atau anemia disebabkan kekurangan zat besi adalah yang paling sering berlaku di kalangan kanak-kanak.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia