A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Leukoplakia Oral

Leukoplakia ditakrifkan sebagai tompokan putih atau plak yang tidak boleh dicirikan sebagai penyakit-penyakit spesifik yang lain secara klinikal atau patologi.

Pengenalan

Leukoplakia ditakrifkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 1978 sebagai tompokan putih atau plak yang tidak boleh dicirikan sebagai penyakit-penyakit spesifik yang lain secara klinikal atau patologi1. Leukoplakia adalah diagnosis berasaskan klinikal dan diagnosis muktamad hanya boleh dibuat dengan mempastikan tiada faktor-faktor penyebab yang lain. Ia adalah penyakit mukosa mulut yang berpotensi menjadi malignan.

Setelah mempertimbangkan risiko transformasi malignan pada leukoplakia, pada tahun 2005 kumpulan kerja WHO telah mengubah definisinya kepada plak putih yang risikonya dipersoalkan dan telah dikecualikan daripada penyakit-penyakit lain yang tidak membawa kepada peningkatan risiko terjadinya kanser1.

Berdasarkan pemeriksaan klinikal, leukoplakia dikategorikan kepada dua jenis: 

  1. Leukoplakia homogenus: Ia adalah plak putih jenis yang paling biasa, seragam dan boleh ditentukan bentuknya dengan jelas, mempunyai jenis permukaan samada licin dan nipis atau tebal berbaldu dengan rekahan. Ianya boleh juga meliputi kawasan yang luas.
  2. Leukoplakia bukan homogenus: Jenis ini adalah kawasan putih berbentuk samada nodular, verrucous atau berbintik/kurik(speckled) yang mana nodul atau plak putih dilihat bercampur aduk dengan kawasan kemerahan iaitu kawasan mukosa yang terhakis. Apabila leukoplakia bergabung dengan kawasan kemerahan, ianya juga dipanggil erythroleukoplakia.

Sinonim

Leukoplakia Oral : leucoplakialeukokeratosisleukoplasiaidiopathic leukoplakiaidiopathic keratosis, idiopathic white patch

Etiologi

Punca sebenar leukoplakia oral adalah tidak diketahui tetapi terdapat beberapa hipotesis yang menyatakan bahawa etiologinya adalah berkaitan dengan faktor-faktor ini;

  1. Merokok: penyelidik telah membuktikan bahawa 80% daripada pesakit mempunyai tabiat ini.
  2. Alkohol: memberikan kesan sinergi apabila digabungkan dengan tembakau untuk pertumbuhan kanser mulut dari leukoplakia oral tetapi bukan untuk kemunculan leukoplakia oral itu sendiri.
  3. Sanguinaria: sesetengah ubat gigi atau ubat kumur mulut yang mengandungi ekstrak herba ini boleh menyebabkan pertumbuhan leukoplakia di dalam mulut penggunanya
  4. Sinaran Ultraviolet: merupakan faktor penyebab bagi leukoplakia di kawasan bibir terutamanya di dalam pesakit yang berimunisasi rendah.
  5. Mikroorganisma :
    1. Candida albicans: organisma kulat yang berkoloni pada lapisan permukaan mukosa mulut boleh menghasilkan lapisan epitelium yang hiperplastik (ketebalan bertambah) dan dysplastic (perubahan dari segi struktur dan morfologi sel-sel epithelium). Secara klinikal ia adalah plak tebal berwarna putih di kawasan mukosa berwarna merah, dan dipanggil sebagai leukoplakia candida atau hiperplasia candida1
    2. Virus papiloma manusia sub-jenis 16 dan 18 telah dikenal pasti di dalam sesetengah leukoplakia oral.
  6. Trauma: Iritasi mekanikal yang kronik pada mukosa mulut boleh menghasilkan lesi putih sama seperti leukoplakia. Ini disebut sebagai lesi keratosis geseran yang boleh hilang apabila punca trauma itu dihapuskan.

Patogenesis

Pembentukan leukoplakia oral sebagai lesi pra-malignan melibatkan berbagai proses genetik. Pengaktifan penghapusan onkogen dan kecederaan kepada gen penindas dan gen yang bertanggungjawab untuk pembaikan DNA akan menyumbang kepada kegagalan fungsi genom yang mengawal pembahagian sel. Ini akan membawa kepada satu siri mutasi dan transformasi malignan. Sebagai contoh, merokok boleh menyebabkan hyperkeratinization (lapisan keratin pada epitelium mukosa bertambah tebal), serta mempunyai potensi untuk kembali normal apabila tabiat merokok dihentikan, tetapi pada satu peringkat, mutasi akan tetap berlaku dan ini akan membawa kepada percambahan dan pembahagian sel yang tidak terkawal.

Ciri Klinikal

Umur

Berlaku terutamanya pada golongan pertengahan umur dan warga tua. Kebanyakan pesakit berumur 40 tahun ke atas.

Jantina

Berlaku lebih ramai di kalangan lelaki berbanding dengan perempuan.

Penemuan Oral

Berbeza dari segi saiz: ada yang kecil, setempat dan ada yang lebih meluas pada mukosa mulut. Ada juga melibatkan beberapa kawasan berasingan di dalam mulut. Leukoplakia mungkin merupakan plak putih yang homogenus dan tebal atau boleh juga berbentuk nodular dan bercampur dengan kawasan mukosa terhakis berwarna merah.

Kawasan merah seragam pada mukosa mulut yang tidak boleh ditakrifkan sebagai lesi lain dipanggil erythroplakia

Kawasan

Kira-kira 70 % daripada leukoplakia oral terdapat pada bibir, mukosa pipi dan gusi . Kawasan-kawasan lain adalah lantai mulut dan lidah yang mana mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk perubahan malignan.

Pemeriksaan Klinikal

Lesi awal adalah plak berwarna putih kelabu atau kelabu yang sedikit timbul dan translusen, berfisur atau berkedut dan biasanya bertekstur lembut. Jenis ini boleh hilang ataupun kekal tidak berubah.

Apabila tabiat risiko berterusan, contohnya merokok, leukoplakia secara perlahan-lahan boleh menjadi lebih tebal, keras dan lebih banyak. Sesetengah lesi mungkin akan sembuh tetapi ada juga yang menjadi lebih teruk dan permukaannya menjadi lebih tidak sekata. Pada peringkat ini, leukoplakia boleh dipanggil sebagai leukoplakia granular, nodular atau verrucous / verruciform.

Leukoplakia proliferatif (PVL) adalah sejenis leukoplakia khas yang berisiko tinggi, dicirikan oleh bilangan plak keratotik yang banyak, melibatkan beberapa kawasan mukosa dan permukaannya yang kasar. PVL mempunyai insidens yang tinggi pada golongan wanita, jarang sembuh walaupun dirawat dan boleh dikatakan tiada kaitan dengan  penggunaan tembakau.

Sesetengah leukoplakia mungkin bercampur dengan kawasan kemerahan, jenis ini dipanggil erythroleukoplakia atau leukoplakia berbintik-bintik (speckled).

Leukoplakia Oral jenis homogenus


Plak putih leukoplakia homogenus yang meluas, rata dan nipis.
Gambar : van der Waal I. http://www.medicinaoral.com/mcdoralfrcc01/v20i6/mcdoralv20i6p685.pdf


Plak putih leukoplakia homogenus yang jelas dan berkedut
Gambar: Juniordentist.com


Leukoplakia homogenus jenis baldu beralun
Gambar: Juniordentist.com

 Leukoplakia oral jenis bukan homogenous


Leukoplakia bukan homogenus jenis nodular
Gambar : van der Waal I. http://www.medicinaoral.com/mcdoralfrcc01/v20i6/mcdoralv20i6p685.pdf


Leukoplakia bukan homogenus jenis granular
Gambar: oral pathology quizlet


Erytroleukoplakia : plak putih bercampur kawasan kemerahan
Gambar : pocketdentistry.com


Leukoplakia proliferatif jenis verrucous
Gambar: emedicine.medscape.com


Leukoplakia bukan homogenus jenis verruciform
Gambar: www.oralpath.co.uk

Diagnosis

Diagnosis bagi leukoplakia adalah berdasarkan pemerhatian secara klinikal di mana sesuatu tompok putih itu tidak dapat dijelaskan oleh sebab-sebab nyata yang lain, seperti trauma.

Potensi malignan

Potensi malignan leukoplakia bergantung kepada rupa klinikal, kawasan terjadinya leukoplakia di dalam mulut dan beberapa faktor etiologi. Prevalens transformasi kepada malignan dalam masa 10 tahun atau lebih adalah 2-35 %.

  • Rupa/Ciri-ciri fizikal
    • Leukoplakia homogenus : paling biasa terjadi pada mukosa pipi, dicirikan dengan plak putih yang seragam dan rata, biasanya mempunyai potensi malignan yang rendah.
    • Leukoplakia tidak homogenus : nodular, berbutir/granular, leukoplakia verrucous dan berbintik bercampur kawasan merah (speckled) mempunyai risiko yang tinggi untuk transformasi malignan.
  • Kawasan
    • Kawasan leukoplakia yang berisiko tinggi untuk transformasi malignan termasuk permukaan lidah ventrolateral dan lantai mulut.
  • Faktor Etiologi
    • Virus papilloma manusia sering dikaitkan dengan jenis leukoplakia khas berisiko tinggi iaitu leukoplakia proliferatif jenis verrucous.
    • Jangkitan kulat candida yang kronik biasa terjadi pada leukoplakia; Jangkitan ini boleh menyebabkan displasia pada epitelium leukoplakia dan meningkatkan risiko potensi malignan.
    • Leukoplakia syphilitic berlaku terutama pada dorsum lidah. Ia adalah jenis leukoplakia yang jarang dilihat sekarang, tetapi mempunyai potensi malignan yang tinggi

Diagnosis

Tiada tanda-tanda klinikal atau gejala yang jelas, yang dapat meramalkan sama ada leukoplakia akan mengalami perubahan malignan. Pemeriksaan secara mikroskopi atau histopatologi untuk mengesan displasia adalah sangat perlu. Oleh itu, prosedur biopsi adalah wajib bagi leukoplakia berikut:

  • Pesakit yang mempunyai sejarah kanser di kawasan kepala dan leher
  • Leukoplakia tidak homogenus dengan kawasan-kawasan merah, verrucous dan mempunyai dasar yang keras.
  • Di kawasan mukosa berisiko tinggi
  • Tanpa sebarang faktor etiologi yang jelas

Rawatan

Leukoplakia mungkin boleh hilang tanpa rawatan; Walau bagaimanapun ada yang mungkin mempunyai potensi malignan dan boleh menjadi kanser. Oleh itu pengubahsuaian dari segi cara hidup atau tabiat harian dan rawatan aktif adalah perlu. Maklumat terperinci pesakit merupakan aspek penting dalam pengurusan leukoplakia.

  • Penghapusan faktor risiko yang diketahui (tembakau, alkohol dan trauma) adalah langkah pertama yang wajib.
  • Pesakit yang mempunyai leukoplakia jenis homogenus perlu diperiksa setiap 2-3 bulan selepas semua faktor risiko dihapuskan. Jika lesi masih kekal, ianya perlu dibuang.
  • Ramai pesakit leukoplakia adalah dari golongan sosio-ekonomi yang selalunya tidak memahami keperluan untuk menghadiri sesi rawatan pemeriksaan secara berkala. Oleh itu ramai perawat mencadangkan membuang lesi ini semasa lawatan awal rawatan.
  • Diagnosis histopatologi yang muktamad akan memberi panduan untuk rawatan, oleh itu biopsi adalah wajib bagi leukoplakia bukan homogenus; berbintik-bintik(speckled), verrucous atau leukoplakia di kawasan mukosa berisiko tinggi.
  • BIOPSI: Tisu untuk biopsi perlu diambil dari kawasan klinikal yang paling teruk. Beberapa biopsi dari leukoplakia yang bersaiz besar atau dari lesi leukoplakia yang berbilang tempat mungkin diperlukan.
  • PEMBEDAHAN: pembedahan membuang lesi secara total perlu dilakukan untuk pesakit yang didiagnos dengan displasia sederhana atau teruk.
  • ELECTROCAUTERY dan CRYOSURGERY: adalah untuk leukoplakia bersaiz besar dan berbilang tempat atau pada pesakit yang ada kontraindikasi untuk prosedur pembedahan.
  • LASER (karbon dioksida): mempunyai kelebihan berbanding teknik pembedahan biasa menggunakan pisau bedah. Ini kerana pendarahan semasa pembedahan dan keperluan untuk flap mukosa boleh dikurangkan.
  • Pemeriksaan susulan adalah amat penting: pesakit perlu diperiksa secara berkala pada 3, 6, dan 12 bulan bagi pemerhatian klinikal terhadap apa-apa perubahan saiz, rupa, warna kemerahan, ulser, lesi berulang atau kemunculan lesi baru.

Konklusi

Tiada ciri-ciri klinikal atau histologi yang dapat meramalkan dengan pasti potensi malignan dalam leukoplakia. Oleh itu menghapuskan faktor-faktor punca , memberhentikan tabiat risiko dan pembedahan membuang lesi leukoplakia yang diskret dan yang mempunyai displasia sederhana atau teruk adalah sangat perlu.

Rujukan   

  1. J Oral Pathol Med ; Nomenclature and classification of potentially malignant disorders of the oral mucosa. S.Warnakulasuriya, Newell.W.Johnson, I.van der Wall: 2007;36:575-80.
  2. Oral and Maxillofacial Pathology. Neville and Damm. Second edition; 2005
  3. Oral and Maxillofacial medicine. Crispian Scully CBE. First edition; 2004
  4. Oral Medicine . Burket’s. Eleventh edition; 2008

 

Semakan Akhir : 2 September 2016
Penulis / Penterjemah : Dr. Hartinie bt. Muhamad
Akreditor : Dr. Ajura bt. Abdul Jalil

Artikel Berkaitan

Sista Mulut

Pendahuluan Sista ialah kaviti (ruang) tidak normal yang terjadi didalam

Aplians Boleh Tanggal

Aplians Boleh Tanggal adalah salah satu jenis aplians yang digunakan dalam rawatan ortodontik selain daripada aplians tetap, aplians fungsi dan alat ekstra-oral.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,816

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia