A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Makanan Ringan (Snek)

Kurangkan pengambilan makanan melekit sepert gula-gula 'toffee', gula-gula jeli dan buah-buahan kering. Amalkan snek yang sihat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, keju, susu, dadih, kekacang dan air kosong.

Makanan Ringan bagi Kanak-kanak

Makanan Ringan (Snek) Di Kalangan Remaja

Makanan Ringan bagi Kanak-kanak

Latar belakang

Kekerapan mengambil makanan ringan yang tinggi kandungan gula akan menggalakkan kerosakan gigi.

Apakah makanan ringan yang berkhasiat?

Pilihlah makanan ringan yang rendah kandungan gula dan tidak melekit. Berikut adalah pilihan yang lebih baik untuk anak anda.

Minuman penghilang dahaga :

  • air kosong
  • jus buah dan sayur tanpa tambahan gula
  • susu segar

Buah-buahan dan kekacang:

  • buah-buahan seperti jambu batu, tembikai susu dan tembikai
  • sayuran mentah seperti sengkuang dan mentimun
  • kekacang seperti kacang kuda rebus

Makanan yang mengenyangkan:

  • Sandwic tuna atau telur, biskut & roti tawar, bijirin, capati dan telur rebus.

Adakah coklat dan gula-gula boleh merosakkan gigi?

Kerosakan gigi boleh dicegah sekiranya anak anda makan coklat atau gula-gula semasa waktu makan utama dan menjaga kebersihan giginya.

Apa yang anda boleh lakukan untuk mencegah kerosakan gigi?

Kerosakan gigi boleh dicegah dengan amalan berikut:

  • Kurangkan jumlah dan kekerapan pengambilan makanan dan minuman snek yang tmanis dan melekit seperti lollipop, toffee, madu dan jem, bijiran bergula, buah kering, coklat, kek, biskut, minuman ringan, jus dan kordial.
  • Baca label makanan semasa membeli barang keperluan dapur. Untuk makluman anda; madu, sirap jagung, glukosa dan sirap pekat semuanya adalah gula.
  • Amalkan teknik memberus gigi yang berkesan dan berkumur-kumur setiap kali selepas makan makanan ringan atau snek.
  • Dapatkan pemeriksaan pergigian secara berkala sekurang-kurangnya setahun sekali.

Makanan Ringan (Snek) Di Kalangan Remaja

Pengenalan

  • Badan dan mulut yang sihat dipengaruhi oleh pemakanan dan juga cara hidup
  • Nutrisi penting untuk memastikan individu mengalami tumbesaran yang normal, perkembangan yang sejajar dengan umur serta memastikan tubuh badan sentiasa sihat.
  • Pada umumnya, corak pemakanan yang sihat harus berpandukan piramid pemakanan mengikut keperluan individu,
  • Faktor-faktor yang mempengaruhi adalah seperti umur, jantina, saiz rangka tubuh serta tahap keaktifan individu tersebut.
  • Gizi seimbang akan menyumbang kepada gigi dan gusi yang sihat.
 

Mengapa golongan remaja harus diberi perhatian yang lebih?

Dari sudut pemakanan, golongan remaja ini dikatakan istimewa kerana:

  1. Mereka sedang menjalani fasa tumbesaran yang aktif. Oleh itu, mereka memerlukan tenaga yang lebih serta corak pemakanan yang akan menyokong keperluan tubuh mereka.
  2. Dari segi sosial, mereka mudah terpengaruh dengan rakan sebaya dan mungkin mengambil tindakan mengikut perasaan
  3. Fasa kehidupan yang sangat sibuk dan aktif sehingga mereka mungkin akan mengabaikan pemakanan
  4. Corak pemakanan yang akan berubah kerana remaja mulai memperolehi kebebasan untuk memilih dan menentukan makanan yang disukai.
  5. Remaja cenderung untuk memilih makanan segera dan minuman ringan yang tidak berkhasiat
  6. Mereka mungkin berkeinginan untuk mencapai bentuk badan tertentu, lalu berusaha untuk menurunkan berat badan secara tidak rasional
  7. Remaja sentiasa bersama rakan-rakan sebaya untuk melakukan banyak aktiviti termasuk makan bersama-sama
  8. Corak pemakanan yang diamalkan pada waktu remaja selalunya akan menjadi tabiat dan diteruskan semasa dewasa.

    

Snek dan kesihatan

  • Snek didefinisikan sebagai makanan dan minuman ringan yang diambil di antara waktu makan utama.
  • Snek akan mengurangkan rasa lapar dan membekalkan tenaga sebelum tiba waktu hidangan utama seterusnya.
  • Snek bermanfaat contohnya bagi kanak-kanak yang sedang membesar. Mereka memerlukan tenaga yang berterusan tetapi tidak dapat mengambil makanan yang banyak pada satu masa.
  • Namun, pengambilan jumlah dan bilangan snek yang kerap akan membawa kesan yang tidak baik. Ini terutamanya jika makanan ringan yang diambil itu tinggi kandungan gula dan lemak.
  • Pemakanan yang tidak sihat telah dikaitkan dengan individu dengan berat badan berlebihan serta bermacam jenis penyakit.

Fakta mengenai pemakanan

  • Menurut Persatuan Kesihatan Sedunia, WHO, penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, kanser, penyakit pernafasan dan penyakit kencing manis menyumbang kepada jumlah kematian yang tinggi setiap tahun. Faktor yang menyebabkan ini, termasuklah penggunaan tembakau, kehidupan yang tidak aktif, alkohol serta pemakanan yang tidak sihat.
  • Sebanyak 1.7 juta kematian telah dikaitkan dengan pengambilan diet yang rendah sayur-sayuran dan buah-buahan1.
  • WHO telah meyarankan pengambilan 400g buah-buahan atau sayur-sayuran bagi setiap individu, setiap hari. Ini dikatakan akan membantu mengurangkan risiko kanser dan penyakit kronik2.
  • Pengambilan air juga amat digalakkan untuk kesihatan. Bagi kebanyakan individu, setiap hari mereka disarankan untuk minum 8 gelas air yang setiap satu mempunyai kandungan 8 auns air.
  • Banyak kajian telah membuktikan bahawa pengambilan minuman ringan semakin meningkat dan menyumbang pada obesiti, karies gigi, gigi hakis serta menyesarkan air kosong dan susu dari diet seharian mereka.

Bagaimana snek mempengaruhi kesihatan mulut dan gigi?

  • Sekiranya diambil dengan kerap, snek yang mempunyai kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan karies gigi. Plak di dalam mulut akan menukarkan gula dan kanji daripada makanan, kepada asid. Asid ini akan menghasilkan karies pada gigi sekiranya tiada faktor yang menghalang.
  • Minuman ringan adalah penyumbang utama gula tambahan dalam pemakanan. Ini akan menambahkan lagi risiko berlaku karies.
  • Kebanyakan minuman ringan mengandungi asid fosforik dan asid sitrik sebagai bahan perisa. IAsid-asid ini menyebabkan gigi mudah mengalami hakisan.
  • Makanan yang melekit adalah lebih sukar untuk dibersihkan.
  • Minuman berkarbonat bersifat asid and sangat manis. Hakisan gigi dan karies gigi akan mudah terjadi sekiranya pengambilan minuman ini adalah secara kerap.
  • Masalah gusi dan masalah karies gigi boleh menyebabkan terjadinya bengkak, sakit serta infeksi. Ini akan mempengaruhi kualiti hidup pesakit.

  

Amalan snek yang sihat

  • Adalah penting untuk mengamalkan kesederhanaan dalam pemakanan dan makan mengikut keperluan diri individu.
  • Amalkan pembacaan label semasa membeli makanan. Fahami perkataan yang selalu digunakan, contohnya terdapat pelbagai perkataan yg membawa maksud gula seperti sukrosa, glukosa, fruktosa, maltosa dan lain-lain.
  • Elakkan pengambilan snek yang tinggi kandungan gula dan lemak.
  • Pilih snek yang berkhasiat seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang.
  • Pastikan pengambilan air yang mencukupi.
  • Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan menggunakan ubat gigi berfluorida.
  • Kekalkan kenyang dan elakkan snek dengan memastikan pengambilan hidangan utama.
 

 

Modifikasi pemakanan yang boleh diamalkan

  • Makanan yang tinggi kandungan gula lebih baik diambil bersama hidangan utama dan bukan sebagai snek.
  • Gula-gula getah tanpa gula akan membantu meningkatkan penghasilan air liur. Faktor ini akan membantu mencegah terbentuknya karies gigi.
  • Gunakan penyedut minuman semasa mengambil air manis terutamanya air berkabonat. Ini akan mengurangkan risiko hakisan kepada gigi.
  • Jangan amalkan pengumpulan air berkarbonat di dalam mulut.
  • Minuman ringan terbaik untuk diamalkan adalah susu dan air kosong
  • ‘Fruit-fused water’ dan ‘smoothie’ mempunyai kadar asid yang tinggi dan tidak seharusnya diamalkan untuk minum secara ‘sipping’ berterusan.
  • Amalkan berkumur mulut ataupun minum air kosong selepas snek.
  • Jangan memberus gigi selepas makan buah-buahan ataupun selepas minum air dengan kandungan asid tinggi.
  • Kurangkan pengambilan makanan melekit sepert gula-gula ‘toffee’, gula-gula jeli dan buah-buahan kering.
  • Amalkan snek yang sihat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, keju, susu, dadih, kekacang dan air kosong.
 

Jumpa doktor gigi secara berkala untuk memastikan kesihatan mulut dan gigi berada di tahap yang baik!

Rujukan

  1. World Health Organization, Global Status Report on Noncommunicable Diseases 2010 (Geneva: World Health Organization, 2011).
  2. WHO/FAO (2003) Diet, nutrition and the prevention of chronic disease. Technical Report Series 916.

 

Semakan Akhir : 19 November 2014
Penulis : Dr. Suriani bt. Sukeri
Akreditor : Dr. Noraini @ Nun Nahar bt. Yunus

Artikel Berkaitan

Gigi Bongsu

Gigi bongsu ialah gigi geraham ketiga yang tumbuh pada peringkat remaja atau awal dua puluhan. Ia kerap terhimpit (terimpak) kerana ruang di rahang mulut tidak cukup untuk gigi tersebut tumbuh dengan baik.

Anak-Anak Enggan Memberus Gigi : Tips Mengatasi

Mengajar serta menggalakkan anak-anak memberus gigi bukan lah suatu perkara yang mudah untuk dilakukan.  Terdapat beberapa tip yang boleh dipraktikkan untuk menggalakkan anak-anak memberus gigi di dalam artikel ini.

Fake Braces

Fake braces ialah braces palsu yang dipasang pada gigi yang menyerupai braces sebenar (aplian tetap ortodontik). Walau bagaimanapun ianya tidak berfungsi seperti aplian tetap ortodontik.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia