A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Malaria : Penularan Semula

Malaria : Penularan Semula

Malaria adalah penyakit berjangkit bawaan vektor. Parasit malaria dapat menyerang manusia, burung, kera dan lain-lain primat. Sehingga hari ini hanya terdapat lima (5) jenis parasit yang telah dikenalpasti sebagai penyebab penyakit malaria iaitu Plasmodium falciparum, Plasmodium vivax, Plasmodium ovale, Plasmodium malariae, dan Plasmodium knowlesin yang dulunya hanya diketahui ada pada haiwan seperti monyet (Cox-Singh et.al., 2008)

Malaria dan Parasit

1

Malaria adalah penyakit berjangkit bawaan vektor. Parasit malaria dapat menyerang manusia, burung, kera dan lain-lain primat. Sehingga hari ini hanya terdapat lima (5) jenis parasit yang telah dikenalpasti sebagai penyebab penyakit malaria iaitu Plasmodium falciparum, Plasmodium vivax, Plasmodium ovale, Plasmodium malariae, dan Plasmodium knowlesin yang dulunya hanya diketahui ada pada haiwan seperti monyet (Cox-Singh et.al., 2008)

Simptom dan tanda-tanda 

Sporozoit (parasit malaria dalam kelenjar liur nyamuk yang dijangkiti) dirembes masuk ke dalam salur darah manusia ketika nyamuk menghisap darah dan bergerak masuk ke dalam hati. Semasa di dalam sel hati, organisma ini menghasilkan beribu merozoit yang dilepaskan ke dalam salur darah dan menyerang serta membinasakan sel darah merah baru menyebabkan anemia (kurang hemoglobin dalam sel darah merah), jaundis (sakit kuning), pembengkakan hati dan limpa termasuk simptom umum lain seperti demam, sejuk menggigil, panas berpeluh, mual/muntah dan selsema. Manakala dalam kes tertentu yang teruk seperti jangkitan parasit P.falciparum, berlakunya halangan perjalanan darah ke bahagian otak yang seterusnya menyebabkan komplikasi koma dan mengakibatkan kematian.

Sporozoit parasit jenis P.vivax, dan P.ovale boleh menghasilkan hipnozoit yang mampu kekal tetapi tidak aktif  atau dormant bagi tempoh beberapa bulan (kebiasaannya 6–12 bulan) sehingga selama 3 tahun dalam badan pesakit dan boleh kembali menyerang pesakit pada bila-bila masa yang sesuai.

Sesetengah merozoit dalam sel darah bertukar menjadi gamet yang menjadi punca penularan penyakit malaria. Ketika nyamuk menghisap darah orang yang dijangkiti, ia turut menghisap bersama gamet. Dalam badan nyamuk, gamet berkembang menjadi sporozoit dan bergerak ke kelenjar liur nyamuk, melengkapi kitaran dan bersedia untuk menjangkiti orang lain.

Rawatan

Belum ada vaksin untuk merawat malaria. Pada masa ini pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mensarankan ubat Artemisinin Combination Therapy (ACT) dan beberapa antibiotik lain digunakan untuk merawat pesakit yang dimasukkan ke wad hospital manakala ubat Primaquine dan Chloroquine masih digunakan untuk merawat pesakit di lapangan.

Vektor

2

Nyamuk Anopheles merupakan vektor penyakit malaria. Data penulisan formal dan tidak formal mendapati sebanyak 41 spesis Anopheles yang dominan (Sinka, 2011), daripada lebih kurang 2,000 spesis yang telah dikenalpasti. Nyamuk yang menjadi vektor di Malaysia antara lainnya ialah An. Maculatus, An. Epiroticus, An. Campestris, An. Letifer, An. Dirus dan An. Crascens di Semenanjung Malaysia, An. Balabacensis, An. Sundaicus dan An. Flavirostris di negeri Sabah, manakala di negeri Sarawak ialah An. Latens, An. Donaldi dan An. Letifer. Kewujudan nyamuk penular malaria di sesuatu kawasan dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti persekitaran ekologi (kebun, ladang, kawasan pembalakan dan pantai), hujan, kelajuan angin, suhu, sinar matahari, ketinggian tempat dan bentuk perairan yang ada.

Persekitaran dan habitat

Suhu optimum untuk kehidupan nyamuk ialah 25º–27ºC. Nyamuk tidak tahan pada suhu 5º–6ºC. Kelembaban rendah memendekkan umur nyamuk. Hujan yang bersilih ganti dengan panas akan meningkatkan pembiakan nyamuk. Secara umumnya, kejadian jangkitan malaria jarang berlaku pada ketinggian melebihi 2000m dari paras laut. Faktor angin turut mempengaruhi jarak penerbangan nyamuk, di mana dalam keadaan biasa jarak penerbangan nyamuk dari tempat asal adalah sekitar 2-3 km radius. Hanya nyamuk betina yang menghisap darah antara awal malam hingga lewat malam.

Sifat nyamuk Anopheles yang rehat di luar rumah selepas menghisap darah dan mencari makanan/hisap darah di luar rumah akan memudahkan kontak antara manusia dengan nyamuk yang dijangkiti. Kehidupan nyamuk di habitatnya cukup dinamik dan mengikut keseimbangan alam. Keperluan pertumbuhan telurnya dengan menghisap darah binatang yang ada di hutan adalah sudah mencukupi tanpa harus menghisap darah manusia. Namun seiring dengan kerosakan persekitaran ekosistem hutan, kehidupan dan keseimbangan alam habitat nyamuk juga terganggu. Nyamuk juga mencari sumber dan habitat baru khususnya di kawasan yang berhampiran dengan hutan. Orang-orang sihat yang bekerja melibatkan aktiviti keluar masuk hutan, berisiko tinggi mendapat gigitan nyamuk dan pulang membawa parasit di dalam darahnya yang menyebabkan jangkitan malaria.

Penularan

Semenjak tahun 2010, corak peningkatan penularan kes ke kawasan bebas malaria seluruh negara adalah pada kadar 10% setiap tahun, sila rujuk Jadual 1. Terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada penularannya.

Jadual 1: Corak penularan penyakit malaria di Malaysia mengikut kawasan.

KAWASAN

Tahun 2011

Tahun 2012

Tahun 2013

Kes

%

Kes

%

Kes

%

Bebas

1474

27.8%

1752

37.1%

1813

47.1%

Prone

911

17.2%

494

10.5%

252

6.5%

Bermasalah

2821

53.2%

2427

51.4%

1755

45.6%

Tidak diketahui

100

1.9%

52

1.1%

30

0.8%

JUMLAH

5306

100%

4725

100%

3850

100%

Sumber: Laporan tahunan PBV ME 201, SPBV, KKM

Petunjuk:
Kawasan Bebas:   Tiada kes yang dilaporkan antara tahun 2008-2010
Kawasan Prone:   Kes kurang 1/ 1000 penduduk dalam tempoh yang sama.
Kawasan Bermasalah:    Kes melebihi 1/1000 penduduk dalam tempoh yang sama
Kawasan Tidak Diketahui:   Lokaliti dipinggir hutan/hutan tidak berpenduduk.

Perkembangan ekonomi negara dengan pelbagai projek mega, aktiviti pembukaan tanah baru (ladang/kebun), pembinaan jalan merentas hutan dan pembinaan empangan yang menjurus kepada pertambahan tempat pembiakan nyamuk yang akhirnya meningkatkan risiko kontak antara nyamuk yang dijangkiti dengan manusia.

Kehadiran pendatang dan pekerja asing dari negara bermasalah malaria sama ada secara haram atau sah, dan penduduk tempatan serta pegawai kerajaan yang pekerjaan mereka ada hubungkait dengan kawasan hutan menjadi penyumbang utama dalam penularan penyakit malaria. Mereka membawa masuk parasit malaria ke dalam kampung/daerah/negeri dan negara yang sebelum ini tiada kes tetapi ada vektor malaria yang bersedia untuk mengigit dan menyebarkan parasit malaria.

Kepercayaan kepada bomoh dan mengutamakan rawatan tradisional tidak dapat merawat penyakit malaria. Persepsi ini tidak dapat membantu malah menyebabkan parasit malaria bertukar menjadi gamet dan seterusnya menjadi punca penularan dan yang lebih teruk, menyebabkan kematian. Di samping itu, kegagalan pesakit malaria memakan ubat anti-malaria mengikut jadual pula menyebabkan berlakunya kes jangkitan berulang khususnya bagi jangkitan P.Vivax dan P.Ovale.

Malahan, sikap pihak pengurusan tapak pembinaan, ladang dan kebun yang tidak menjadikan penyakit malaria sebagai salah satu keutamaan dalam memelihara kebajikan pekerja mereka turut menyumbang kepada penularan penyakit malaria. Ditambah pula dengan sikap dalam kalangan pendatang tanpa izin yang dijangkiti
malaria lewat hadir mendapatkan rawatan di klinik kerana khuatir ditangkap oleh pihak berkuasa. Di samping itu, terdapat juga warga pendatang yang membawa masuk ubat anti-malaria yang tidak berdaftar atau palsu yang boleh menyumbang kepada peningkatan kejadian kerentanan ubat anti-malaria.

Rujukan

  1. Cox-Singh, J., Davis, T. M. E., Lee, K. S., Shamsul, S. S. G.,Matusop, A., Ratnam, Shanmuga… Singh, B. (2008). Plasmodiumknowlesi malaria in humans is widely distributed and potentially life-threatening. National Library of Medicine 46(2), 165-171. doi: 10.1086/524888 Diambil dari  http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2533694
  2. Sinka, M. E., Bangs, M.J., Manquin, S., Chareonviriyaphap, T., Patil, A.P., Temperly, W.H… Hay, S.I. (2011). The dominant Anopheles vectors of human malaria in the Asia-Pacific region: Occurrence data, distribution maps and bionomic précis. National Library of Medicine, 4(89). doi: 10. 1186/1756-3305-4-89. Diambil dari https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/21612587
  3. Admin. (2012, Mei, 16). Ciri-ciri penyakit malaria [Web log post]. Diambil dari penyebabpenyakitmalaria.blogspot.my
  4. Ministry of Health. (2013). Management guidelines of malaria in Malaysia. Vector Borne Disease Sector. Disease Control Division. Ministry of Health. Malaysia. Retrieved from http://www.moh.gov.my/index.php/file_manager/dl_item/554756755a584a69615852686269394859584a70637942515957356b645746754c31426c626d6431636e567a595734675330567a615768686447467549435967613246335957786862694277655774706443394e515535425230564e52553555583064565355524654456c4f52564e6654305a665455464d51564a4a5156394a546c394e5155784257564e4a515335775a475978587935775a47593d
  5. www.the-scientist.com

 

Semakan Akhir : 7 November 2016
Penulis : Yusof bin Rashman
Akreditor : Hj. Rosnani bin Ab. Hamid

Artikel Berkaitan

Kebas

Kebas adalah keadaan di mana seseorang mengalami kekurangan  rasa (sensation). Keadaan ini kebiasaannya berlaku disebabkan oleh iritasi saraf atau saraf periperi terhimpit.

Kayap

Kayap juga dikenali sebagai herpes zoster dalam istilah perubatan. Ianya sejenis penyakit kulit dan saraf yang disebabkan oleh jangkitan Virus Varicella Zoster (VZV)

Mata Berair

Pengenalan Air mata berlebihan boleh disebabkan oleh dua mekanisma, penghasilan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia