Utusan Malaysia Rabu, 23/06/2011 Malaysia setuju bekerjasama hasilkan vaksin influenza WASHINGTON 28 Jun – Malaysia dan Universiti Maryland, College Park, secara prinsipnya bersetuju bekerjasama bagi menghasilkan vaksin penyakit Avian Influenza dan sampar yang pernah 'menyerang' industri ternakan ayam malah mengancam nyawa penduduk di seluruh dunia. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang melawat universiti penyelidikan ke-18 terbaik itu hari ini, cukup tertarik dengan kajian yang dijalankan oleh Profesor Virologi, Dr. Siva K. Samal, yang juga Pengerusi Jabatan Perubatan Haiwan, memandangkan vaksin yang sedia ada di pasaran tidak cukup berkesan untuk mengawal virus mahupun penyakit berkenaan. Justeru, beliau mencadangkan supaya satu kerangka bersama atau memorandum yang menjadi induk antara Malaysia dengan universiti itu disediakan. Ia bagi membolehkan kerjasama lebih konkrit dijalinkan bukan sahaja dalam soal penghasilan vaksin bahkan bidang-bidang lain yang menjadi kepakaran Universiti Maryland termasuk soal mengkomersialkan produk dari makmal. "Tidak ada masalah jika kita adakan kerjasama ini kerana mereka telah maju dan telah bekerjasama dengan banyak negara seperti Indonesia dalam mengeluarkan vaksin untuk Malaysia. "Dengan adanya kerangka kerjasama yang sebahagiannya telah dimeteri dengan Kementerian Pertanian dan Kesihatan, perlu ada memorandum induk untuk mengenal pasti bidang-bidang yang boleh dimajukan supaya ia menghasilkan banyak manfaat kepada Malaysia dan pihak universiti," katanya kepada wartawan Malaysia semasa melawat kampus Universiti Maryland, College Park, dekat sini. Hadir sama Dekan Jabatan Perubatan Veterinar Universiti Maryland, Cheng I-Wei. Muhyiddin yang cukup tertarik dengan kemajuan bidang veterinar dan bioteknologi pertanian yang dicapai universiti itu amat berminat untuk mengetahui dan mempelajari kepakaran dari segi mengkomersialkan penemuan universiti itu selaras dengan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bioteknologi dan Biodiversiti, agar pada masa sama, boleh memberi nilai tambah kepada produk dihasilkan universiti. "Proses komersialisasi ini boleh dipelajari daripada universiti ini. Saya percaya tidak ada masalah untuk kita berbuat demikian dalam memastikan proses itu berjalan dengan baik," katanya yang turut kagum dengan komitmen kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan swasta negara itu menyalurkan dana hampir AS$500 bilion untuk pelbagai penyelidikan agar boleh meneroka teknologi baru malah menjamin proses komersialisasi berjalan pantas. – Utusan
|
|
{module berita:news} |