Pada masa kini, kebanyakan ibu bapa adalah berkerjaya. Maka peluang untuk bersama dengan anak-anak adalah terbatas. Ini mengurangkan komunikasi antara ibu bapa dengan anak.
Faedah Membaca Buku Bersama Anak
-
Dapat meluangkan masa untuk berinteraksi dengan anak.
-
Minda anak dapat berkembang.
-
Menghubungkan dunia kanak-kanak dengan dunia realiti dan dunia baru.
-
Dapat memahami fakta mengenai kehidupan dan orang di sekeliling.
-
Dapat belajar perkataan baru, bentuk perkataan, cerita, rima serta lagu.
-
Gambar-gambar atau/dan perkataan-perkataan di dalam buku boleh dilihat atau/dan dibaca berulang kali.
-
Aktiviti yang penting dan menyeronokkan dalam kehidupan kanak-kanak.
-
Asas kepada kemahiran membaca dan menulis.
Jenis Buku Mengikut Tahap Perkembangan Komunikasi Kanak-Kanak
Mengikut pendekatan Hanen (2004), adalah penting untuk ibu bapa mengenalpasti tahap komunikasi (kefahaman dan penghasilan bahasa) anak, sama ada pada tahap discoverers (penemuan), communicators (berhubung), first word users (pengguna satu perkataan) ataupun combiners (gabungan perkataan).
Tahap Komunikasi |
Penerangan | Contoh Buku-buku |
Discoverers (Penemuan) |
Anak tidak memahami gambar atau perkataan yang terdapat di dalam buku |
|
Communicators (Berhubung) |
Anak sudah mula memahami beberapa perkataan dan dapat mengecam beberapa gambar. Anak sudah mempunyai buku kegemaran sendiri dan mereka mahu buku itu dibaca berulang kali. |
|
First Word Users (Pengguna satu perkataan) | Anak sudah boleh mengikuti cerita-cerita mudah dan suka mendengar cerita yang dibaca oleh ibu bapa secara berulang kali. |
|
Combiners (Gabungan perkataan) | Anak sudah memahami banyak perkataan dan idea. Anak sudah memahami dan mengetahui jalan cerita yang lebih kompleks; serta dapat bercerita mengenai watak dan peristiwa. Anak mula mengambil peranan ketika membaca buku. Anak juga dapat duduk dan berinteraksi dengan ibu bapa untuk tempoh masa yang lama. |
|
Tips-Tips Membaca Bersama Anak
-
Tips pertama: Berikan peluang untuk anak mengambil giliran. Lakukan aktiviti membaca bersama-sama secara bergilir-gilir. Biar anak memilih buku yang ingin dibaca agar anak berasa lebih seronok.
-
Tips kedua: Tukarkan perkataan yang sesuai. Ibu bapa bebas untuk bercerita dengan menggunakan atau menukar perkataan yang lebih mudah. Ini dapat membantu anak memahami dan mengulangi perkataan tersebut.
-
Tips ketiga: Menggunakan strategi 4S – Say Less, Stress, Go Slow dan Show
-
Kurangkan bercakap (say less). Guna perkataan yang biasa didengar oleh anak. Guna ayat-ayat pendek untuk bantu anak faham dan belajar perkataan
-
Tekan perkataan (stress) yang penting serta tambah efek suara agar anak dapat merasa keseronokannya, seperti suara haiwan atau kenderaan. Guna pelbagai intonasi suara dan ekspresi wajah untuk bantu cerita yang disampaikan lebih menarik.
-
Baca dengan kadar pertuturan yang perlahan (go slow) agar anak dapat faham perkataan yang didengar. Beri masa kepada anak untuk ambil giliran.
-
Tunjuk (show) perkataan yang dibaca semasa bercerita. Tunjuk juga aksi dan gaya yang sesuai. Guna alat permainan atau objek untuk menghidupkan lagi cerita yang dibaca.
-
-
Tips keempat: Ulang, Ulang, Ulang Perkataan. Kanak-kanak suka dengar cerita yang sama berulang kali. Beri peluang kepada anak yang berada pada tahap penggunaan satu atau gabungan perkataan, untuk bercerita semula. Ini menggalakkan anak untuk ulang semula perkataan yang pernah dibaca. Lebih banyak peluang yang anak dengar berulang kali, lebih banyak peluang untuk anak menggunakan perkataan yang sama. Maka, perbendaharaan kata anak juga akan bertambah.
Cadangan Aktiviti Yang Dapat Menggalakkan Pertuturan Melalui Bacaan
-
Menerusi pendekatan Hanen (2004), terdapat tiga jenis buku buatan sendiri yang dapat dilakukan iaitu:
Buku bergambar yang digemari oleh anak, iaitu lekatkan gambar seperti haiwan, permainan atau aktiviti yang digemari oleh anak. Berikan nama kepada buku yang dibuat itu di atas kulit buku Buku interaktif iaitu bentuk kertas menjadi buku flap atau buku yang dapat disentuh dan dirasa dengan pelbagai tekstur. Ini membolehkan kanak-kanak sentuh dan rasa gambar tersebut. Buku bergambar mengenai hari atau peristiwa yang istimewa. Ibu bapa ambil gambar ketika kanak-kanak membuat lawatan ke zoo atau percutian bersama keluarga. Lekat gambar tersebut di dalam album gambar.
-
Gunakan gambar aksi yang lebih realistik. Ini dapat memberi peluang kepada anak untuk belajar bahasa dan tambah kosa kata.
-
Ambil pelbagai gambar dan berturutan agar anak boleh belajar aksi dan emosi berdasarkan kepada sesuatu peristiwa yang berlaku.
-
Label gambar agar input bahasa lebih konsisten dan menyamai tahap keupayaan bahasa anak. Ulang perkataan untuk bantu anak agar dapat menjangka sesuatu perkataan yang digunakan.
Oleh itu, guna peluang sebaik mungkin untuk membaca buku cerita bersama dengan anak. Jadikannya suatu aktiviti yang menarik dan menghiburkan. Berseronoklah dengan anak anda. Selamat mencuba.
Rujukan
-
Pepper, J. & Weitzman, E. (2004). It Takes Two to Talk®: A Practical Guide for Parents of Children with Language Delays.2nd ed. Toronto: The Hanen Centre.
-
Repplinger, L. Literacy Activities for Infants and Toddlers [PDF Document]. Retrieved from Lecture Notes Online Website: http://www.infanthearing.org/meeting/ehdi2010/ehdi_2010_presentations
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Nurshahira bt. Razali |
Akreditor | : | Nur Fariha bt. Md. Shah |
Penyemak | : | Nadwah bt. Onwi |