A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Masalah Gusi di Kalangan Pesakit Yang Mengalami Masalah Sistemik

Seseorang yang mempunyai daya tahan tubuh yang lemah menahan jangkitan, seperti HIV, Down Syndrom, penyakit auto imun, leukemia dan beberapa penyakit darah yang lain, amat mudah diserang penyakit gusi.

Pengenalan

Penyakit periodontal atau lebih biasa disebut penyakit gusi / masalah gusi, adalah penyebab utama kehilangan gigi di kalangan orang dewasa. Penyakit gusi, seperti gingivitis dan periodontitis jika tidak dirawat boleh mengakibatkan kehilangan gigi. Penyakit gusi ini adalah jangkitan bakteria kronik pada struktur penyokong gigi iaitu gingiva, simentum, tulang alveolus serta ligamen periodontium.

Telah lama diketahui dan dikenal pasti, kesihatan tubuh memberi kesan kepada kesihatan mulut. Keadaan kesihatan tubuh boleh memberi kesan terhadap sistem pertahanan badan secara keseluruhan. Sesetengah penyakit tubuh boleh mengakibatkan seseorang itu berisiko untuk mengalami masalah gusi seperti gingivitis dan periodontitis, dan boleh menyebabkan penyakit gusi ini berlanjut menjadi kronik dan sukar dirawat.

Seseorang yang mempunyai daya tahan tubuh yang lemah menahan jangkitan, seperti HIV, Down Syndrom, penyakit auto imun, leukemia dan beberapa penyakit darah yang lain, amat mudah diserang penyakit gusi.

AIDS dan Masalah Gusi

Seseorang yang dijangkiti HIV, virus penyebab AIDS, berisiko tinggi untuk mengalami masalah gusi kerana, daya tahan tubuh beliau lemah untuk melawan jangkitan. Kajian menunjukkan jangkitan pada mulut adalah tanda klinikal awal seseorang dijangkiti HIV. Lebih kurang 75% penghidap HIV akan dijangkiti oleh beberapa jenis jangkitan mulut, sama ada jangkitan kulat dalam mulut (candidiasis) mahupun gingivitis.


Gingivitis pada pesakit AIDS; gusi kelihatan merah dan bengkak

Penderita HIV akan menunjukkan tanda dan gejala masalah gusi yang sama seperti orang sihat, iaitu gusi bengkak, merah dan mudah berdarah. Namun tanda–tanda tersebut lebih teruk dan sukar dirawat pada penderita HIV di mana ini adalah unik untuk keadaan tersebut.

  • Necrotizing ulcerative periodontitis (NUP). NUP adalah tanda kelemahan sistem pertahanan tubuh, dan pesakit yang mengalaminya akan mengadu rasa sakit pada tulang rahang. NUP menyebabkan sakit, gusi berdarah, dan kerosakan yang teruk pada tulang penyokong gigi. Pada kebiasaannya terdapat ulser pada gusi di antara dua gigi, dan kadang-kadang gigi tersebut juga goyang. Doktor biasanya akan merawat keadaan ini dengan melakukan rawatan scaling dan pengetaman akar yang menyeluruh, dikuti dengan pemberian antibiotik. NUP biasanya menyebabkan kesakitan dan biasanya ubat penahan sakit akan diberikan jika perlu, bagi memastikan pesakit selesa, boleh makan dan menjalankan rutin hariannya seperti biasa. Jika pesakit tidak boleh makan seperti biasa, kemungkinan doktor akan memberikan suplemen tambahan sehingga jangkitan sembuh.

Necrotizing ulcerative periodontitis with loss of attachement on the lower teeth causing receeding gums
  • Linear gingival erythema (LGE/GJM, juga dikenali sebagai gingivitis jalur merah). Tanda khusus LGE/GJM adalah jalur merah sepanjang pinggir gusi di persimpangan gusi dan gigi. Keadaan ini tidak seteruk NUP, tetapi masih perlu dirawat secara pembersihan secara profesional. Ubat kumur seperti chlorhexidin gluconate disarankan agar digunakan setiap hari secara rutin untuk beberapa minggu.

Down Syndrome dan Penyakit Gusi

Mereka yang mempunyai Down Syndrome besar kemungkinan mengalami pelbagai penyakit termasuk penyakit gusi. Sewaktu mereka masih dalam peringkat gigi susu, penyakit gusi yang dialami biasanya parah/teruk. Sistem pertahanan tubuh yang menurun menyebabkan badan mudah dijangkiti kuman termasuk gingivitis walaupun kebersihan mulutnya baik. Sistem pertahanan tubuh mereka terhadap penyakit gusi agak berbeza dengan orang normal lain. Penderita Down Syndrome agak sukar untuk menjaga kebersihan mulut dengan baik di mana mereka mudah dijangkiti penyakit gusi. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa tanda penyakit periodontitis boleh dilihat seawal usia 11 tahun pada gigi depan bawah. Gigi geraham atas dan bawah boleh juga dijangkiti, namun jarang melibatkan gigi taring.

Prevalens masalah gusi pada penderita Down Syndrome adalah tinggi ( 100% pada pesakit di bawah usia 30 tahun) dengan terbentuknya poket yang dalam disertai dengan kebersihan mulut yang rendah. Pada kebiasaannya ia terjadi pada keseluruhan gigi, namun lebih parah pada gigi depan bawah; di mana kadang-kadang terlihat gusi di kawasan tersebut menyusut dengan cepat. Jika ia melibatkan beberapa batang gigi, gigi tersebut akan kehilangan tulang yang cepat walaupun kurang bengkak. Kita akan sering menjumpai NUP pada kumpulan penderita ini.


Keadaan / rupa gusi pada pesakit Down Syndrome

Sokongan keluarga adalah penting dalam merawat masalah gusi pada pesakit Down Syndrome. Ini adalah kerana pesakit Down syndrome ini mempunyai daya pemahaman dan ketangkasan tangan yang kurang jika dibandingkan dengan orang biasa, oleh itu anggota keluarga diharapkan dapat membantu mereka ini. Rawatan akan memperlahankan penyakit ini jika ia cepat dirawat.

Leukemia dan Masalah Gusi

Daya ketahanan tubuh pesakit leukemia adalah rendah walaupun menjalani rawatan kemoterapi. Oleh kerana itu, pesakit leukemia adalah mudah untuk mengidap penyakit gusi. Ini disebabkan ketahanan tubuh yang menurun dan tidak dapat melawan jangkitan bakteria yang menyerang gusi. Masalah gusi ini menyukarkan pesakit untuk makan dan mendapat diet yang seimbang.

Pendarahan gusi sering terjadi pada pesakit leukemia walaupun tidak terlihat kebengkakan gusi. Pada penderita leukemia, gusi kelihatan merah kebiruan, lembut seperti span dan mudah cedera, berdarah secara spontan ataupun dengan hanya tercuit sahaja. Mereka ini sangat rentan terhadap jangkitan bakteria, sehinggakan menyebabkan tisu gusi mengalami nekrosis (mereput).

Kajian menunjukkan bahawa sel-sel leukemia boleh menembus tisu gusi dan tulang penyokong gigi. Ini mengakibatkan leukemic gum enlargement (pembengkakan gusi akibat leukemia), biasanya terlihat pada celah antara dua gigi , seringkali sangat besar sehingga ia melitupi seluruh gigi.


Pembengkakan gusi yang ringan

Thrombocytopenia dan Masalah Gusi

Thrombositopenia purpura adalah masalah darah yang dikaitkan dengan kurangnya sel pembeku darah (platelet) menyebabkan darah lambat membeku dan pendarahan yang berpanjangan. Penderita penyakit ini biasanya mengalami pendarahan secara spontan ataupun berdarah hanya dengan tercuit sahaja dan pendarahan sukar diberhentikan. Gusi akan terlihat membengkak dan mudah terkoyak. Rangsangan setempat akan menyebabkan respon gusi yang tidak normal.

Diabetes dan Masalah Gusi

Diabetes adalah penyakit di mana insulin tidak dapat dihasilkan oleh tubuh ataupun jika dihasilkan jumlahnya sedikit dan tidak berfungsi. Insulin adalah hormon yang diperlukan tubuh untuk menukar gula, kanji dan makanan berunsur karbohidrat kepada tenaga untuk digunakan bagi menjalani kehidupan seharian. Ramai yang tidak tahu bahawa penyakit gusi adalah salah satu komplikasi akibat diabetes.

Pesakit diabetes biasanya mempunyai penyakit gusi yang lebih teruk daripada mereka yang tidak mempunyai diabetes. Pesakit diabetes mempunyai daya ketahanan tubuh yang kurang untuk melawan jangkitan. Pesakit diabetes mempunyai struktur salur darah yang berbeza. Ini mengakibatkan kurangnya pengaliran darah di mana ia merosakkan tulang dan gusi dan mendedahkan tisu penyokong gigi ini terhadap jangkitan kuman. Seperti juga jangkitan kuman yang lain, penyakit gusi yang parah boleh menyebabkan paras gula darah meningkat dan mengakibatkan sukarnya mengawal diabetes. Simptom penyakit gusi akibat diabetes adalah berbeza-beza mengikut pesakit diabetes.

Rawatan

Rawatan masalah gusi adalah sama untuk semua pesakit lemah daya ketahanan tubuh yang lain. Mereka disarankan supaya berjumpa dengan pakar pergigian untuk mendapatkan rawatan pembersihan gigi dan disarankan menjaga kebersihan gigi secara rutin dengan memberus gigi dan membersihkan celah gigi. Namun mereka juga haruslah peka terhadap kebersihan mulut mereka dan mendapatkan rawatan pergigian jika merasakan gusi mereka bermasalah. Masalah gusi seharusnya dirawat pada tahap awal.

Kesimpulan

Mulut merupakan bahagian tubuh tempat laluan masuk dan keluar segalanya dari dalam tubuh ke dunia luar, dan merupakan bahagian tubuh yang mempunyai deria dan bertindak balas terhadap kejadian yang berlaku di luar tubuh dan memperlihatkan juga apa yang berlaku dari dalam bahagian tubuh. Dari mulut juga boleh dilihat tanda kekurangan zat dan juga tanda amaran penyakit seperti HIV, stres dan penyakit kurangnya daya ketahanan tubuh yang lain.

Walaupun penyakit gusi disebabkan jangkitan, persekitaran, fizikal, sosial dan sistem pertahanan tubuh juga boleh memberi kesan dan mengubahsuai keadaan penyakit. Secara kesimpulannya, sistem pertahanan tubuh di dalam mulut sangat penting dan merupakan benteng kepada serangan segala jenis bakteria dari luar tubuh. Tahap keterukan penyakit gusi boleh berbeza diantara stau individu ke individu lain. Penyakit gusi boleh terjadi akibat tidak menjaga kebersihan mulut dan juga boleh dipengaruhi oleh keadaan kesihatan tubuh kita.

Rujukan

  1. Almas K & Awartani FA. Prevalence of medically compromised patients referred for periodontal treatment to a leading hospital in Central Saudi Arabia. Saudi Med J (2003); 24(11); 1242.
  2. American Academy of Periodontology. Parameter on Periodontitis Associated with Systemic Conditions. J Periodontol (2000); 71: 876-879
  3. Louise F Rose, Barbara J, Steinberg & Steven L.Atlas. periodontal management of the medically compromised patient. Periodontol 2000 (1995); vol 9: 165-178
  4. Mealey BL. Periodontal implications ; Medically compromised patients. Ann Periodontol (1996); 1: 256-321
  5. Mealey BL, Reses TD, Louise F Rose & Sara GG. Systemic factor impacting the periodontium in Periodontics: Medicine, Surgery & Implant (2004) , Elsevier Mosby.
  6. Perry RK, Mealey BL & Carranza FA. Influence of Systemic Disease and Disorders of Periodontium in Clinical Periodontology (2007). Elsevier Mosby 9th edition
  7. Ryder MI. Periodontal management if HIV-infected patients. Periodontol 2000 (2000);23; 85-93
Semakan Akhir : 25 April 2014
Penulis : Dr. Khamiza bt. Zainol Abidin
Penterjemah : Dr. Noorlin bt. Ishak
Akreditor / Penyemak : Dr. Uma Subramaniam

 

Artikel Berkaitan

Ubat-Ubatan dan Kesihatan Mulut Kanak-Kanak

Banyak ubat-ubatan, termasuk ubat yang dipreskripsi oleh doktor, ubat yang dibeli di kaunter dan vitamin-vitamin, boleh memberi kesan yang buruk kepada kesihatan mulut. Ada antara ubat-ubatan ini memberi kesan akibat kandungan gulanya yang tinggi, yang boleh menyebabkan kerosakan gigi.

Varnis Fluorida

Varnis Fluorida adalah fluorida yang disapu pada permukaan gigi untuk mencegah kerosakan gigi.

Menghisap Ibu Jari

Menghisap ibu jari adalah tabiat yang biasa di kalangan kanak-kanak. Kebanyakan kanak-kanak akan menghentikan tabiat ini apabila mencapai umur 2 hingga 4 tahun.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia