A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Masalah Pemakanan di kalangan Kanak-kanak

Masalah ini sering di laporkan oleh ibu bapa ketika mereka membawa anak mereka menjalani pemeriksaan rutin. Mereka sering melaporkan yang anak mereka sukar untuk mencuba makanan baru, hanya bergantung penuh dengan penyusuan walaupun ketika usia di mana mereka sepatutnya mendapatkan bekalan zat makanan dari makanan. Terdapat juga kanak-kanak ini yang didapati aktif secara fizikal dan boleh berkomunikasi dengan teman sebaya tanpa masalah tetapi SUKAR untuk makan. Ini sudah tentu menyebabkan tekanan kepada ibu bapa atau penjaga.

Pandangan umum sering mengaitkan masalah tabiat pemakanan adalah perkara biasa dan akan hilang dengan sendirinya. Untuk majoriti kanak-kanak, benar ianya akan hilang dengan sendiri tetapi terdapat sebahagian daripada mereka yang mengalami masalah tabiat pemakanan yang serius sehingga menyebabkan terganggunya proses tumbesaran fizikal. Kajian juga telah membuktikan potensi kesan negatif terhadap perkembangan mental kanak-kanak ini.

Apa yang boleh dilakukan untuk membantu anak anda?

Secara amnya, rancang pemakanan anak anda menggunakan kaedah yang dapat meningkatkan selera makannya, mengajarnya mengenal rasa lapar dan mengajarnya makan sehingga kenyang seperti berikut :

  • Galakkan anak anda untuk duduk di kerusi bayi atau meja makan selama 20-30 minit atau sehingga masa makan berakhir. Walaupun anak anda tidak makan langsung atau hanya makan sedikit selama beberapa minit, kekalkan dia di kerusi bayi atau meja makan selama 20-30 minit. Terangkan kepadanya bahawa dia perlu kekal di meja makan sehingga “ibu dan ayah sudah kenyang”. Ini akan mengajarnya apa itu rasa kenyang. Jangan bimbang jika anak tidak makan pada akhir waktu 20-30 minit ini kerana mereka akan berasa lapar dan rasa ingin makan akan dating pada waktu makan yang berikutnya.
  • Kurangkan gangguan pada waktu makan seperti barang permainan, buku dan televisyen. Ini akan mengganggu proses pembelajaran rasa “kenyang” sewaktu makan kerana mereka hanya akan makan tanpa dapat mengenalpasti rasa “kenyang” jika dibenarkan bermain sewaktu waktu makan.
  • Puji anak anda jika dia mampu menyuap diri sendiri tetapi kekalkan reaksi neutral tentang apa yang dia makan. Sebagai contoh, ibu bapa tidak seharusnya bertepuk tangan atau menunjukkan reaksi teruja apabila anak mencuba makanan baharu. Perbuatan ini (mencuba makanan baru) bukan “pertunjukan” atau “performance” untuk ibu bapa. Jangan sesekali memberi “upah” makanan ringan contohnya gula-gula sekiranya anak mencuba makanan baharu. Cukup dengan sekadar pujian.
  • Elakkan menggunakan makanan sebagai hadiah dan ganjaran semasa memujuk atau sebagai tanda kasih sayang.
  • Jangan paksa atau desak anak anda makan kerana berkemungkinan ia hanya akan membawa kepada masalah dan bukan peningkatan pengambilan makanan.
  • Sekiranya anak anda tidak makan atau makan dengan amat sedikit sahaja, jangan benarkan pengambilan snek antara waktu makan. Jangan risau, ia tidak membahayakan sekiranya anak anda makan sedikit sahaja pada sesetengah waktu makan dan makan dengan lebih banyak pada waktu makan seterusnya atau keesokan harinya.

Penglibatan keluarga

  • Waktu makan adalah penting dalam kehidupan berkeluarga. Oleh itu, cuba cari waktu makan di mana semua ahli keluarga ada (ibu, bapa, ahli keluarga yang lain) untuk memulakan proses latihan ini.
  • Pastikan ahli keluarga dan penjaga memahami masalah makan anak anda dan bersetuju dengan tingkah laku tertentu semasa waktu makan.
  • Ajar anak anda untuk duduk di meja sepanjang waktu makan bersama keluarga.
  • “Time out”!/ Waktu denda “Time out” atau waktu denda merupakan kaedah efektif yang disyorkan oleh pakar pediatrik dan psikiatrik untuk memupuk sikap yang baik di kalangan kanak-kanak. Sediakan kerusi atau kawasan untuk “time out”/ waktu denda. Sekiranya anak anda berkelakuan buruk di meja makan, letak mereka di kawasan “time out”/waktu denda tersebut selama beberapa minit.
    Nota: “Time out” atau waktu denda akan lebih berkesan sekiranya anda juga sering memuji dan menggalakkan anak anda untuk berkelakuan baik.
  • Jangan memaksa anak makan makanan yang dia tidak suka.
  • Ahli keluarga yang lain hendaklah kekal neutral seperti mana ibu bapa.

Peraturan Makan Kanak-kanak

  • Beri makan pada masa yang tetap dan jarakkan masa makan dan snek antara 2-3 jam. 3 sajian utama dan 1-2 sajian snek (termasuk susu dan produk tenusu). Hanya berikan air kosong sahaja antara waktu makan dan snek.
  • Hadkan tempoh makan. Tamatkan waktu makan dalam masa 20-30 minit walaupun anak anda hanya makan sedikit atau tidak makan langsung.
  • Berikan makanan dan kuantiti yang bersesuaian dengan umur. Berikan makanan dalam kuantiti yang sedikit, tetapi benarkan anak anda untuk menambah makanan.
  • Perkenalkan makanan baharu secara sistematik. Mula dengan memberikan makanan dalam kuantiti yang sedikit. Apabila anak anda sudah biasa dengan makanan tersebut, tambahkan kuantiti yang diberikan.
  • Galakkan anak menyuap sendiri dan peka dengan selera yang bersesuaian dengan umurnya.
  • Minimumkan salah laku ketika waktu makan. Rujuk konsep “time out” di atas.
  • Berikan masa untuk anak anda membiasakan diri dengan rasa yang dan tekstur makanan yang baharu. Apabila anak anda berpaling daripada makanan tertentu, jangan memaksa dia untuk makan makanan itu juga. Cuba semula dalam masa seminggu atau dua minggu berikutnya.

Perlu diingat bahawa perubahan positif di dalam tabiat pemakanan kanak-kanak bermasalah ini mungkin mengambil sedikit masa. Apa yang paling penting ialah pihak ibu bapa memastikan bekalan nutrien harian adalah cukup sewaktu proses peralihan ini. Di sini letaknya kepentingan pakar perubatan dan pakar dietetik untuk memantau perkara penting ini.

Diadaptasi daripada Program IMFeD (Identification and Management of feeding difficulties for children) Malaysia di bawah naungan Persatuan Pediatrik Malaysia.

Tarikh Semakan Akhir : 03 Disember 2013
Penulis : Dr. Nazrul Neezam bin Nordin

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,798

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia