A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Penyakit Hidung, Telinga &...
  8. /
  9. Masalah Vestibular dan Keseimbangan

Masalah Vestibular dan Keseimbangan

Hampir 1.8% orang awal dewasa dan 30% warga emas di dalam populasi mengalami masalah kepeningan (Sloan et al. 2001). Vertigo, iaitu sensasi berpusing, lazimnya merupakan masalah yang terjadi pada organ vestibular dan keseimbangan badan.

Organ vestibular dan keseimbangan pada telinga dalam terdiri daripada salur separuh bulat dan organ otolith yang terdiri daripada saccule dan utricle. Organ vestibular akan menghantar isyarat yang mengesan pergerakkan badan  ke otak melalui saraf-saraf.  Kemudiannya, otak pula  akan menghantar isyarat tindak balas pergerakkan tersebut kepada otot badan dan mata. Apabila sistem vestibular terganggu, nistagmus yang abnormal dan vertigo boleh berlaku. Nistagmus merupakan pergerakan ayunan mata yang pantas di luar kawalan.

Sumber: http://www.patient.co.uk/health/Benign-Paroxysmal Positional-Vertigo.htm

Ujian vestibular dan keseimbangan dilakukan untuk menilai fungsi organ keseimbangan, lokasi masalah di dalam organ vestibular dan masalah pendengaran berkaitan, sekiranya ada. Masalah di dalam organ vestibular dan keseimbangan boleh terjadi akibat masalah pada sistem vestibular periferi atau pusat. Masalah system vestibular periferi boleh disebabkan oleh Meniere’s Disease, Benign Positional Paroxysmal Vertigo (BPPV), Vestibular Neuritis dan sebagainya. Vertigo yang disebabkan oleh masalah sistem vestibular pusat boleh terdiri daripada ketumbuhan pada saraf pendengaran, masalah cerebellar atau Multiple Sclerosis dan sebagainya. Masalah pada sistem vestibular dan keseimbangan pusat sering melibatkan saraf dan sistem saraf pusat namun jarang terjadi.

Pesakit yang perlu menjalani ujian vestibular dan keseimbangan harus dirujuk oleh oleh pakar Telinga, Hidung dan Tekak atau audiologis. Selain ujian vestibular, pemeriksaan perubatan seperti ujian darah, Magnetic Resonance Imaging (MRI) boleh dijalankan oleh doktor untuk menentukan punca masalah vertigo (Devesahayam & Narayanan, 2011). Ujian vestibular dan keseimbangan juga bertujuan menentukan punca masalah vertigo supaya pengurusan perubatan dan rehabilitasi vestibular dapat dicadangkan untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Jenis-Jenis Ujian Vestibular Dan Keseimbangan

Jenis-jenis ujian audiologi bagi pesakit yang mempunyai masalah vestibular dan keseimbangan adalah seperti berikut:

  1. Ujian pendengaran seperti otoskopi, timpanometri dan audiometri nada tulin
  2. Ujian elektrofisiologi seperti ujian Auditori Batang Otak (ABR) dan ujian Pancaran Otoakustik (OAE).
  3. Ujian pergerakan mata seperti gaze, spontaneous nystagmus, saccades, pursuits atau optokinetik
  4. Ujian Dix Hallpike
  5. Ujian kalorik
  6. Ujian Rotational Chair
  7. Ujian Vestibular Evoked Myogenic Potentials (VEMPs)

Bagaiman Ujian Dilakukan?

Pesakit dinasihatkan untuk tidak mengambil ubat-ubatan yang mengurangkan pening 48 jam sebelum ujian.

Sebelum ujian dilakukan, status pendengaran akan diperiksa menggunakan ujian timpanometri dan ujian audiometri nada tulin untuk menentukan tahap dan jenis masalah pendengaran. Ujian audiometri memerlukan pesakit untuk menekan butang respon setiap kali bunyi nada tulin didengari

Ujian Audiometri Batang Otak juga merupakan ujian elektrofisologi yang digunakan untuk mengesan masalah retrokoklea. Masalah retrokoklea merupakan patologi yang boleh terjadi selepas organ koklea, iaitu organ pendengaran. Masalah tersebut boleh berlaku pada saraf pendengaran atau batang otak. Elektrod akan dilekatkan pada dahi dan belakang telinga menggunakan gel. Stimulus bunyi akan diberikan menggunakan fon di dalam telinga atau kepala. Keputusan ujian merupakan gelombang-gelombang yang dianalisis untuk menentukan respon yang wujud kepada bunyi.

Ujian pergerakan mata seperti gaze, pursuits dan saccades lazimnya dilakukan menggunakan peralatan video-nistagmografi di mana pesakit perlu memakai cermin mata khas. Pesakit diminta untuk melihat dan mengikuti titik fokus yang bergerak tanpa menggerakkan kepala atau badan. Ujian diperlukan untuk menilai fungsi organ keseimbangan atau masalah pada sistem vestibular periferal atau pusat.

Untuk menguji salur separuh bulat horizontal, ujian kalorik dilakukan dengan irigasi udara atau air suam dan sejuk ke dalam telinga pesakit. Pesakit akan memakai cermin mata khas ketika ujian untuk menguji kekuatan nistagmus dengan kehadiran perubahan suhu. Pesakit akan diminta untuk mengira atau mengingati nama supaya berjaga ketika ujian.

Ujian Kalorik

Ujian Dix Hallpike digunakan untuk memeriksa kehadiran masalah Benign Positionals Paroxysmal Vertigo (BPPV). Ujian ini dilaksanakan dengan memusingkan kepala pesakit ke sebelah dan berbaring dengan kepala menghala ke bawah. BPPV merupakan keadaan di mana otoconia, fragmen di dalam vestibule tertanggal dan bergerak ke dalam salur separuh bulat. Keadaan ini boleh menyebabkan vertigo terjadi apabila terdapatnya pergerakan kepala.

Ujian Rotational Chair bertujuan menguji masalah vestibular samada berlaku pada satu atau kedua-dua belah dan menguji sekiranya masalah vestibular telah mengalami proses pemulihan. Ujian ini menggunakan sistem kerusi pusingan yang berpusing pada frekuensi tertentu menggunakan cermin mata khas yang mengesan pergerakan nistagmus. Ia lazimnya dilakukan di dalam bilik yang gelap.

Rotational Chair

Vestibular Evoked Myogenic Potentials (VEMPs) adalah ujian yang digunakan untuk menilai fungsi otolith dan saraf vestibular bawah. Seperti ujian auditori batang otak, elektrod akan dilekatkan di bahagian bawah dahi dan leher. Stimulus bunyi akan diberikan menggunakan fon telinga di sebelah telinga pada satu-satu masa dan pesakit akan diminta untuk memusingkan kepala ke satu arah atau mengangkat kepala ketika berbaring untuk mendapatkan respon ketika otot mengecut.

Vestibular Evoked MyogenicPotentials

Ujian-ujian lain seperti Dynamic Visual Acuity, Head Impulse Test, Head Shake Test dan sebagainya juga dilakukan apabila perlu.

Masalah vestibular dan keseimbangan yang tidak dirawat boleh menyebabkan kerisauan, tekanan dan kesukaran menjalankan tugasan di tempat kerja mahupun di rumah. Terdapat pesakit yang turut mengadu tidak dapat menjalankan aktiviti yang biasanya mereka lakukan sebelum ini. Apabila ujian telah dilakukan, rawatan Epley atau Semont dapat dilakukan untuk merawat masalah Benign Paroxysmal Positionals Vertigo (BPPV). Latihan menstabilkan gaze atau rehabilitasi vestibular yang lain boleh dibuat apabila diagnosis didapati. Rujukan bagi rawatan perubatan dan fisioterapi turut dilakukan apabila ujian telah dilaksanakan untuk membantu pesakit menguruskan vertigo mereka.

Rujukan

  1. Devesahayam, P.R. & Narayanan, P. (2011). Key Concepts in Neurotology. Perak: Hospital Raja Permaisuri Bainun.
  2. Sloane, P.D., Coeytaux, .RR., Beck, R.S. & Dallara, J. (2001). Dizziness: state of the science Ann Intern Med. 1;134 (9 Pt 2):823-32.
Semakan akhir : 29 Januari 2014
Penulis : Sharifah Zainon bt S. Mohd Khan
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,617

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia