Definisi
Melasma merupakan tompok-tompok berwarna coklat, coklat tua atau kelabu kebiruan pada bahagian muka. Kebiasaannya melibatkan wanita dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun. Orang lelaki juga boleh menghadapi masalah melasma.
Penyebab
Melasma dipercayai disebabkan oleh interaksi di antara pancaran matahari, keturunan dan perubahan hormon seperti pengambilan pil perancang dan mengandung dan pengambilan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan kulit lebih senang mendapat masalah pigmentasi selepas terdedah kepada cahaya ultraviolet (UV). Perempuan mengandung mempunyai peningkatan hormon estrogen, progesterone dan melanocyte-stimulating hormone (MSH) semasa trimester kedua dan ketiga. Melanocytes adalah sel kulit yang menghasilkan pigmen dan menyebabkan pigmentasi kulit. Selain dari itu, produk atau rawatan yang boleh menyebabkan radang kulit boleh menyebabkan peningkatan produksi melanin dan mempercepatkan masalah melasma.
Gejala-gejala
Melasma melibatkan 3 kawasan utama iaitu di bahagian tengah muka, bahagian tulang pipi (Foto 1) dan bahagian dagu. Di bahagian tengah muka, kebiasaannya ia melibatkan pipi bahagian atas (Foto 2), bahagian atas bibir, dahi dan bahagian tengah dagu. Bentuk malar melibatkan bahagian kulit tulang pipi. Manakala bentuk mandibular melibatkan bahagian kulit tulang dagu.
Foto 1: Melasma kebiasaanya melibatkan kedua-dua belah muka | Foto 2: Pigmentasi berwarna coklat kedua-dua belah muka pada pipi bahagian atas |
Rawatan
Respon terhadap rawatan bergantung kepada jenis melasma. Melasma di bahagian lapisan luaran kulit atau jenis epidermal mempunyai respon yang lebih baik terhadap rawatan berbanding jenis dermal kerana pigmen lebih dekat dengan permukaan kulit.
Rawatan memerlukan penggunaan krim pelindung cahaya matahari setiap hari dan ubat sapu seperti hydroquinone (HQ). Krim-krim yang paling kerap digunakan mengandungi 2% hydroquinone dan yang memerlukan preskripsi doktor iaitu 4% hydroquinone. Krim pelindung cahaya matahari perlu disapu diatas krim hydroquinone setiap pagi. Sesetengah krim pelindung matahari juga mengandungi 4% hydroquinone.
Krim dalam bentuk kombinasi atau formulasi khas yang mengandungi hydroquinone, agen hipopigmentasi phenolik, asid azelaik dan asid retinoik, agen pencerahan bukan phenolik dan/atau asid kojik, boleh dibeli dengan preskripsi doktor. Bagi kes melasma yang teruk, HQ dengan konsentrasi yang lebih tinggi atau HQ dengan kombinasi tretinoin, cortiscosteroid, atau asid glycolic mungkin lebih efektif untuk mencerahkan kulit.
Kesan sampingan yang boleh berlaku termasuk radang pada kulit. Penggunaan HQ berkonsentrasi tinggi untuk jangkamasa yang panjang (kebiasaannya selepas beberapa bulan atau tahun) boleh menyebabkan ochronosis. Ianya merupakan pigmentasi kulit yang kekal dan boleh berlaku bila konsentrasi hydroquinone yang digunakan melebihi 4%. Walaupun terdapat kesan sampingan, namun ia masih digunakan dengan meluas dan paling berkesan. Sekiranya, terdapat tanda-tanda awal ochronosis, HQ perlu dihentikan.
Rawatan yang lain termasuk losyen asid Lactik 12%, krim asid Glycolik 10-20% dan losyen pengelupasan asid glycolik 10-70%. Rawatan dengan bahan pengelupasan berkonsentrasi tinggi perlu dilakukan oleh pegawai yang terlatih di bilik rawatan. Ia mungkin berguna untuk kes-kes melasma yang tertentu. Jenis bahan perlu di selaraskan mengikut individu dan dinilai oleh doktor pakar.
Asid azelaik efektif bagi melasma walaupun hasil keseluruhannya kurang memuaskan berbanding 4% hydroquinone. Sedikit kesan sampingan termasuk gatal, kemerahan pada kulit, kering dan rasa perit akan bertambah baik selepas 14-30 hari penggunaan.
Respon terhadap krim tretinoin sahaja mungkin lebih lambat dari hydroquinone. Krim tretinoin boleh menyebabkan sedikit kesan sampingan seperti kulit mengelupas, kering dan radang.
Terdapat krim yang memerlukan preskripsi dalam bentuk kombinasi fluocinolone acetonide 0.01%, hydroquinone 4%, dan tretinoin 0.05%. Ianya boleh digunakan untuk merawat melasma dan lain-lain pigmentasi kulit. Hasil rawatan boleh dilihat selepas 6 hingga 8 minggu. Krim tidak boleh digunakan melebihi 8 minggu tanpa nasihat doktor. Perempuan mengandung dan yang menyusukan anak tidak boleh menggunakan krim tersebut tanpa nasihat doktor.
Kombinasi krim yang lain termasuk formulasi Kligman yang mengandungi retinoid, hydroquinone dan steroid topikal (contoh: fluocinolone acetonide 0.01%, hydroquinone 8% dan tretinoin 0.1%). Pelbagai konsentrasi boleh dibuat bergantung pada pakar. Ianya amat efektif untuk melasma.
Pelbagai rawatan kombinasi dan dengan penggunaan krim pelindung cahaya matahari dapat memberikan hasil yang terbaik. Namun begitu tidak dapat dipastikan semestinya berjaya. Adalah penting untuk berhati-hati kerana rawatan yang agak agresif boleh menyebabkan melasma menjadi lebih teruk. Kesemua rawatan di atas merupakan rawatan kosmetik dan tidak dilindungi oleh insuran kesihatan.
Bagi memastikan rawatan berkesan, perlu kurangkan dari terdedah kepada cahaya matahari. Kebanyakan krim untuk melasma perlu dihentikan jika mengandung atau menyusukan anak kerana terdapat risiko terhadap kandungan. Individu yang sedemikian boleh menggunakan krim untuk menutup pigmentasi bagi sementara waktu.
Peranan laser untuk melasma
Laser boleh digunakan untuk merawat melasma tetapi bukan rawatan pilihan yang utama. Hasil rawatan juga mungkin kurang memuaskan. Laser boleh menyebabkan melasma dari jenis-jenis yang tertentu menjadi lebih teruk. Rawatan yang berulang kali diperlukan untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.
Saranan SPF untuk melasma
Penggunaan harian sun protection factor (SPF) yang mengandungi penghadang fizikal seperti zink oxid dan titanium dioxid, disarankan bagi menghalang sinaran UV. Penghadang kimia yang biasa digunakan mempunyai SPF 30. Penghadang kimia mungkin tidak dapat menghalang kedua-dua UV-A dan UV-B sebagaimana zink dan titanium.
Pencegahan
Untuk mencegah dari mendapat melasma, elakkan dari terkena cahaya matahari dan memakai krim pelindung cahaya matahari. Melasma boleh pulih sendiri tetapi adalah lebih baik untuk menggunakan krim pelindung cahaya matahari dan elakkan sinaran matahari. Melasma juga boleh pulih selepas bersalin atau selepas berhenti mengambil pil perancang atau rawatan hormon.
Rujukan
- Freedberg, Irwin M., et al. Fitzpatrick’s Dermatology in General Medicine. 4th ed. Vol. 1. New York: McGraw-Hill, 1993.
- Rashmi Sarkar, Shikha Chugh, Vijay K Garg. Newer and upcoming therapies for melasma. Indian journal of dermatology and venereology. 2012: 78(4); 417-428.
- Kabir Sardana, Vijay K Garg Lasers are not Effective for Melasma in Darkly. Pigmented Skin Journal of Cutaneous and Aesthetic Surgery. 2014, 7 (1); 57-60.
- Pooja Arora, Rashmi Sarkar, Vijay K Garg, Latika Arya. Lasers for Treatment of Melasma and Post-inflammatory Hyperpigmentation Journal of Cutaneous and Aesthetic Surgery.2012: 5 (2); 93-103.
- Tania Ferreira Cestari, Lia Pinheiro Dantas, Juliana Catucci Boza. Acquired hyperpigmentations. An Bras Dermatol. 2014;89(1):11-25.
Semakan Akhir | : | 16 Februari 2015 |
Penulis | : | Datin Dr. Asmah bt. Johar |
Akreditor | : | Datuk Dr. Roshidah bt. Baba |