1. Jangkitan
Kemoterapi mempengaruhi penghasilan sel darah putih dalam sumsum tulang yang membantu mengelakkan jangkitan kuman. Keadaan ini dinamakan neutropenia dan ia merupakan perkara yang biasa berlaku setelah menerima rawatan kemoterapi. Oleh itu, pesakit yang menerima rawatan kemoterapi mudah mendapat jangkitan kuman kerana sistem imun mereka lemah. Sebarang jangkitan kuman boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dengan segera.
Kebanyakan ubat kemoterapi memberikan kesan kepada sumsum tulang dan meningkatkan risiko jangkitan kuman. Kesan terhadap sumsum tulang selalunya bermula pada hari ke-tujuh hingga sepuluh selepas rawatan kemoterapi, dan kembali ke normal setelah hari ke-21 hingga 28.
Apakah gejala jangkitan kuman?
Demam mungkin gejala yang pertama bagi sebarang jangkitan kuman. Sila jumpa doktor dengan segera untuk mendapatkan rawatan. Anda mungkin memerlukan antibiotik untuk membunuh kuman dan ubat lain seperti granulocyte colony-stimulating factor (GCSF) untuk menggalakkan penghasilan sel darah putih daripada sumsum tulang.
Bagaimanakah jangkitan kuman boleh dielakkan?
Sekiranya anda mempunyai sistem imun yang lemah, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mencegah atau mengelakkan jangkitan kuman:
- Elakkan berdekatan dengan orang yang mempunyai jangkitan seperti batuk dan selesema.
- Elakkan berada di tempat awam kerana risiko untuk mendapat jangkitan kuman lebih tinggi.
- Berunding dengan doktor dahulu sebelum mengambil ubat vaksin.
- Mengamalkan kebersihan diri yang baik.
- Tidak berkongsi makanan, minuman dan peralatan peribadi seperti berus gigi.
- Mengamalkan kesihatan mulut yang baik untuk mengelakkan radang mulut daripada dijangkiti kuman.
- Elakkan daripada makanan yang mungkin dijangkiti kuman seperti makanan yang telah dibiarkan lama, makanan yang tidak/separa masak dan sayuran mentah yang tidak dibasuh.
- Menjaga kebersihan saluran peripherally inserted central catheter (PICC) (sekiranya ada).
2. Cirit-birit
Selain daripada membunuh sel kanser, kemoterapi juga mempengaruhi sel lain yang tumbuh dengan cepat, seperti sel yang terdapat pada usus. Sekiranya kemoterapi mengakibatkan kerosakan terhadap sel tersebut, cirit-birit mungkin berlaku. Ubat kemoterapi yang kerap menyebabkan cirit-birit adalah seperti irinotecan, capcetabine dan 5-fluorouracil.
Cirit-birit biasanya didefinisikan sebagai buang air besar (najis lembut) sebanyak dua kali atau lebih dalam masa empat jam. Sekiranya anda mengalami cirit-birit yang berterusan selama lebih daripada 24 jam dan juga mengalami kejang perut, sila dapatkan rawatan doktor dengan segera. Sekiranya perlu, doktor anda mungkin mempreskrib ubat untuk menghentikan cirit-birit. Jangan ambil ubat untuk menghentikan cirit-birit tanpa khidmat nasihat doktor. Sekiranya cirit-birit masih berlarutan, anda mungkin memerlukan drip intravena untuk menggantikan air dan nutrien yang hilang dan untuk mengelakkan kekurangan air dalam badan (dehidrasi) yang membahayakan diri.
Bagaimanakah menghadapi cirit-birit?
Beberapa perkara disenaraikan di bawah untuk mengurangkan keterukan cirit-birit, ini termasuk:
PATUHAN
- Makan lebih kerap, dengan hidangan kecil sepanjang hari
- Minum banyak cecair untuk menggantikan cecair badan yang hilang sewaktu cirit-birit
3. Sembelit
Ubat kemoterapi seperti vincristine, oxaliplatin atau paclitaxel mungkin menyebabkan sembelit . Antara penyebab lain sembelit termasuk kurang aktiviti fizikal, perubahan diet dan pengambilan ubat-ubatan lain seperti ubat tahan sakit jenis opiate seperti morfin dan makanan tambahan kesihatan seperti zat besi dan kalsium. Maklumkan kepada doktor sekiranya anda tidak membuang air besar lebih daripada dua hari. Anda mungkin memerlukan ubat sembelit seperti bisacodyl atau ubat untuk melembutkan najis seperti lactulose atau cecair paraffin.
Sekiranya anda menggunakan ubat sembelit seperti bisacodyl untuk jangka masa yang panjang, ia boleh menyebabkan usus menjadi kurang aktif dan kurang berfungsi dengan baik. Ia juga mungkin merosakkan sel saraf di dalam usus dan menyebabkan susah buang air besar pada masa hadapan.
Bagaimanakah menghadapi sembelit?
Beberapa perkara disenaraikan di bawah untuk mengurangkan keterukan sembelit, ini termasuk:
- Minum air dengan banyak untuk melembutkan najis.
- Makan makanan yang mempunyai kandungan serat yang tinggi seperti roti gandum, bijirin dan sayuran.
- Lebihkan aktiviti fizikal tetapi dapatkan khidmat nasihat doktor dahulu sebelum meningkatkan aktiviti fizikal harian anda.
Walaupun kesan sampingan ubat kemoterapi adalah kurang menyenangkan, ia akan pulih setelah selesai rawatan. Selain itu, terdapat juga ubat yang boleh membantu mengurangkan kesan sampingan ini.
Rujukan
- American Cancer Society (2014). http://www.cancer.org/
- Cancer Research UK (2014). http://www.cancerresearchuk.org/
- National Cancer Institute (NIH) (2015). http://www.camcer.gov/
- Mayo Clinic (2012). http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/cancer/
- British Columbia Cancer Agency (2013). http://www.bccancer.bc.ca/PPI/copingwithcancer/symptoms/
- American Society of Clinical Oncology (2014). http://www.cancer.net/navigating-cancer-care/side-effects/
- Cancer Care (2015). http://www.cancercare.org/publications/24-understanding_and_managing_chemotherapy_side_effects
Semakan Akhir | : | 20 Mac 2015 |
Penulis/Penterjemah | : | Elaine Kan Mei Yin |
Akreditor | : | Yam Chiew Fong |