A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Kesihatan Mental
  4. /
  5. Kesihatan Mental Umum
  6. /
  7. Lain-lain
  8. /
  9. Menyediakan Anak-Anak Menghadapi Perceraian...

Menyediakan Anak-Anak Menghadapi Perceraian Ibu Bapa

Di zaman sekarang, semakin banyak keluarga yang terpaksa melalui perpisahan dan perceraian yang mana kesannya ke atas anak-anak adalah berbeza-beza, dari gangguan emosi yang ringan hinggalah ke masalah psikologi yang serius. Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam membantu anak mereka menghadapi masa yang getir ini

Ibu bapa boleh membantu anak-anak mereka melalui proses perceraian dengan memastikan suasana di rumah adalah stabil. Keperluan fizikal dan emosi anak-anak perlu dipenuhi dan mereka mesti diberikan sokongan. Justeru itu ibu bapa perlu menjaga keperluan mereka sendiri dan cuba berbincang dengan bekas pasangan mereka sebaik mungkin. Kanak-kanak akan dapat meneruskan hidup mereka dengan baik jika mereka merasakan yang kedua ibu bapa masih menyayangi mereka.

Kebanyakan ibu bapa sendiri mungkin merasa kurang pasti tentang cara terbaik untuk menyediakan anak-anak mereka untuk melalui proses perceraian dengan jayanya supaya menjadi lebih yakin dan cekal.

Memberitahu kanak-kanak mengenai perceraian yang akan berlaku

Memberitahu anak-anak bahawa ibu bapa akan bercerai adalah salah satu langkah yang paling sukar yang perlu dilakukan. Ibu bapa harus bersedia dengan penjelasan mereka dan memikirkan jawapan bagi soalan yang mungkin akan ditanya

Apa yang perlu diberitahu dan bagaimana untuk menyatakannya

  • Ibu bapa harus mengaku kepada anak mereka yang akan berlaku di dalam hidup mereka. Walaupun begitu cabaran-cabaran yang akan dilalui akan dihadapi bersama
  • Bersikap jujur dan beri penerangan dengan cara yang anak-anak boleh faham
  • Cuba berikan penjelasan dengan cara yang bersesuaian dengan umur anak
  • Beritahu anak-anak anda yang anda masih sayangkan mereka
  • Bincangkan mengenai perubahan yang akan berlaku misalnya di mana mereka akan tinggal dengan ringkas dan tidak terlalu membebankan

Elakkan dari menyalahkan pasangan anda

  • Tunjukkan kematangan anda. Hormati pasangan anda apabila memberitahu anak-anak mengenai punca perceraian
  • Bersikap jujur dengan anak anda tetapi pada masa yang sama berusaha untuk tidak menyalahkan pasangan anda walaupun pengalaman anda pahit.
  • Cuba berbincang dengan pasangan untuk mendapatkan persetujuan tentang apa yang akan diberitahu kepada anak-anak
  • Pastikan anak-anak sudah menerima penjelasan sebelum berlaku perubahan dari segi tempat tinggal mereka dan kedua ibu bapa sebaik mungkin perlu memberi penjelasan bersama-sama

Bantu anak-anak anda meluahkan perasaan mereka

  • Berikan sokongan kepada anak-anak anda, benarkan mereka meluahkan perasaan mereka. Mereka mungkin berasa sedih atau marah atau rasa kehilangan sesuatu
  • Dengar apa yang anak anda perkatakan mengenai kerisauan mereka dan galakkan mereka bercerita mengenai apa yang mereka alami.
  • Cuba bersabar jika anak anda membuat perangai apabila mereka mula mendapat tahu mengenai perceraian anda. Mereka mungkin berasa sukar untuk memberitahu apa yang mereka rasai dan pada awal-awalnya mungkin melepaskan perasaan mereka kepada anda
  • Beri sokongan kepada anak anda dan yakinkan mereka yang anda bersedia mendengar apa yang mereka ingin luahkan

Menghindarkan salah faham

  • Setengah kanak-kanak mungkin mengalami salah faham yang mereka adalah punca perceraian ibu bapa disebabkan oleh tingkahlaku mereka dan sebagainya.
  • Adalah penting mereka diberi penjelasan sebenar mengenai punca perceraian supaya mereka faham yang mereka tidak bertanggungjawab
  • Kanak-kanak mungkin mengambil masa yang lama untuk menerima hakikat perceraian ibu bapa dan kadangkala boleh menerimanya dan pada masa lain seperti tidak boleh menerima. Ibu bapa harus bersabar dan memberikan sokongan kepada mereka

Membantu anak-anak melalui perceraian

  • Kedua ibu bapa patut memberi sokongan kepada anak-anak dan meyakinkan mereka yang mereka masih disayangi
  • Anak-anak akan rasa lebih disokong jika mereka ditunjukkan kasih saying dari segi fizikal seperti pelukan, tepukan di bahu atau berada dekat dengan ibu bapa
  • Akui yang situasi mungkin sukar pada awalnya tetapi keadaan akan menjadi lebih baik akhirnya
  • Berikan kestabilan kepada anak anda. Rutin yang tetap di kediaman ibu bapa yang berlainan akan membolehkan anak-anak merasa lebih selamat
  • Jangan terlalu mengikut kehendak anak anda secara membuta tuli dan membenarkan mereka melanggar peraturan pada waktu ini.
  • Elakkan menjadikan anak sebagai objek perebutan antara ibu bapa

Reaksi normal terhadap perpisahan dan perceraian

Reaksi berikut dianggap normal bagi kanak-kanak terutama diperingkat awal

  • Marah. Kanak-kanak mungkin menunjukkan kemarahan kepada ibu bapa dan menyalahkan mereka sebagai punca perubahan didalam hidup mereka
  • Bimbang. Kanak-kanak mungkin berasa takut dan risau tentang masa depan
  • Sedih. Kanak mungkin berasa sedih dan murung dan mungkin menunjukkan perubahan tingkah laku

Kanak-kanak akan memerlukan masa untuk menerima perpisahan dan perceraian yang berlaku. Walaupun begitu kebanyakkan kanak-kanak dapat mengharungi situasi ini dengan baik

Tanda-tanda amaran kepada masalah yang lebih serius

Adalah penting untuk mendapatkan bantuan jika keadaan kanak-kanak nampak lebih teruk. Tanda-tanda amaran termasuk:

  • Masalah tidur
  • Kurang tumpuan
  • Masalah di sekolah
  • Penyalahgunaan dadah atau alkohol
  • Mencederakan diri sendiri
  • Masalah pemakanan
  • Kerap marah dan cepat berang
  • Suka menyendiri
  • Mengabaikan aktiviti-aktiviti kesukaan
  • Masalah tingkah laku seperti lari dari rumah, terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat

Berbincanglah dengan guru-guru, kaunselor atau doktor jika anak anda menunjukkan tanda amaran di atas dan dapatkan pertolongan dengan segera

 

Semakan Akhir : 5 Ogos 2013
Penulis : Dr. Eni Rahaiza Bt. Muhd Ramli

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia