A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Mitos & Fakta : Masalah Pendengaran

Masalah pendengaran sering dianggap ringan oleh masyarakat, walaupun ia merupakan masalah kesihatan global yang melibatkan hampir 275 juta penduduk dunia (WHO 2004). Kekurangan ini tidak dapat dilihat melalui mata kasar dan menyebabkan tidak ramai individu yang mengalami masalah pendengaran akan mengakuinya secara terbuka.

Kesukaran menerima hakikat kecacatan ini juga mungkin didorong oleh beberapa mitos yang dipercayai sangat mempengaruhi keputusan individu terlibat untuk mendapatkan bantuan melalui saluran yang betul. Selain itu, stigma yang wujud tentang masalah pendengaran juga telah menjadi antara punca kurangnya penggunaan alat bantu pendengaran yang berkesan.  

MITOS 1:

Masalah pendengaran hanya terjadi pada generasi tua.

FAKTA:

Ini tidak benar. Biasanya masalah pendengaran di kalangan warga emas berlaku secara semulajadi akibat proses penuaan. Namun banyak kajian mendapati masalah pendengaran boleh terjadi kepada semua golongan usia.

Ada bayi yang lahir dengan masalah pendengaran akibat faktor keturunan, jangkitan ketika dalam kandungan, kecacatan di muka dan telinga mahupun lain-lain perkara yang berkaitan. Begitu juga golongan remaja atau dewasa, mereka yang mengalami kecederaan akibat kemalangan juga boleh hilang pendengaran secara mengejut.

MITOS 2:

Masalah pendengaran merupakan “penyakit” genetik/keturunan.

FAKTA :

Pernyataan di atas adalah benar, tetapi kurang tepat kerana berdasarkan banyak kajian menunjukkan bahawa hanya 50% daripada punca masalah pendengaran kongenital (sejak lahir) adalah disebabkan oleh faktor genetik/keturunan.

 

Antara faktor-faktor lain yang utama adalah:

  1. Terdapat komplikasi atau jangkitan semasa mengandung, semasa proses kelahiran dan semasa tempoh neonatal (umur 0-28 hari)
  2. Kehadiran sindrom tertentu
  3. Pendedahan persekitaran kerja yang bising.
  4. Komplikasi penggunaan ubat yang berbahaya.

MITOS 3:

Orang yang pekak dianggap bisu.

FAKTA:

Masalah pendengaran mempunyai darjah keterukan tertentu, bermula dari tahap ringan, sederhana, teruk hingga ke sangat teruk. Penggunaan alat bantu pendengaran boleh membantu meningkatkan keupayaan pendengaran dan  menguasai komunikasi pertuturan. Walau bagaimanapun, pencapaian ini amat bergantung kepada motivasi individu dan ahli keluarga yang terbabit dalam memberi dorongan yang berterusan serta program pemulihan yang disarankan.

Alat Bantu Pendengaran : Apakah Persepsi Yang Sebenar?
Bila Anak Bermasalah Pendengaran

MITOS 4:

Tiada apa yang boleh dilakukan sekiranya anda didiagnos dengan masalah pendengaran.

FAKTA:

Mitos ini tidak benar. Banyak usaha dan kajian yang telah dilakukan di seluruh dunia bagi “merawat” masalah pendengaran dan kaedah rawatannya pula bergantung kepada jenis masalah pendengaran yang dihidapi.

  1. Masalah pendengaran jenis konduktif seperti telinga berair dan jangkitan boleh dirawat secara perubatan oleh doktor atau Pakar Telinga, Hidung & Tekak. Walau demikian, ada kes tertentu hanya mendapat manfaat perubatan yang terhad dan dirujuk kepada Pegawai Audiologi bagi tujuan pemeriksaan dan pemulihan pendengaran dengan menggunakan alat bantu yang sesuai.
  2. Masalah pendengaran jenis saraf pula biasanya kurang mendapat manfaat dengan penggunaan ubat. Oleh itu, individu terlibat akan disaran untuk menjalani program pemulihan dengan menggunakan alat bantu pendengaran.

MITOS 5:

Alat bantu pendengaran: Ia mahal, besar, bising dan memalukan.

FAKTA:

  1. Dahulu, saiz dan rekabentuk alat bantu pendengaran adalah besar, mempunyai jalinan wayar penyambung dan kurang bergaya. Kini ia boleh didapati dengan saiz yang lebih kecil dan hampir tidak kelihatan. Alat bantu pendengaran kini lebih selesa untuk digunakan kerana kemajuan teknologi digital telah membolehkan sistem pemprosesan bunyi menjadi lebih baik.
  2. Harga alat bantu pendengaran dalam pasaran tempatan adalah berpatutan kerana ianya diimport dari negara luar dan turut dijamin oleh pengeluar antara 1 hingga 3 tahun. Selain itu, pengeluaran komponen bercirikan mikro elektronik pada alat bantu pendengaran turut menyebabkan kos yang tinggi.

Perlu di ingatkan, alat bantu pendengaran bukanlah penyelesaian mutlak kepada masalah pendengaran, namun pengguna boleh mendapat manfaat yang maksimum jika menggunakannya secara tetap dan berterusan.
Bagi memastikan anda mendapat alat bantu pendengaran yang bersesuaian, pastikan anda telah menjalani ujian pendengaran yang menyeluruh dan mendapat khidmat rundingan daripada Pegawai Audiologi yang bertauliah berdekatan dengan anda.

 

Last Reviewed : 19 June 2014
Writer : Pn. Mas Diana bt Samcudin
Akreditor Pn. Wan Suhaila bt Wan Hussein
Reviewer Pn. Khadijah Azura bt. Salim

 

Artikel Berkaitan

Ujian Saringan Pendengaran

Pendengaran merupakan salah satu deria penting untuk perkembangan bahasa dan pertuturan. Deria pendengaran membolehkan seorang individu mendengar, mengesan, membezakan bunyi, menterjemah dan memahami bunyi-bunyi di persekitaran dan bunyi pertuturan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia