A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

MRI JANTUNG

Apa Itu Pemeriksaan MRI Jantung?

Magnetic Resonance Imaging- MRI Jantung menggunakan magnet dan gelombang radio untuk mengimbas bahagian jantung pesakit dan menghasilkan imej keratan rentas jantung. MRI tidak menggunakan radiasi seperti jenis pemeriksaan radiologi lain. MRI jantung menghasilkan imej keratan rentas saluran darah utama jantung dan imej jantung. MRI Jantung sangat berguna untuk melihat fungsi dan struktur jantung.

Bagaimana Untuk Mendapatkan Pemeriksaan Ini Dan Di Mana?

  • Apabila anda datang berjumpa dengan doktor yang merawat anda, doktor tersebut akan menentukan samada anda memerlukan pemeriksaan ini atau tidak.
  • Sekiranya perlu doktor tersebut akan membuat permohonan pemeriksaan menggunakan Borang Permohonan Pemeriksaan Radiologi.
  • Pemeriksaan ini terdapat di hospital-hospital KKM terpilih.

Tujuan Pemeriksaan

Pemeriksaan MRI Jantung bertujuan untuk mendiagnos dan menilai penyakit jantung. Diantaranya ialah;

  • Penyakit jantung koronari
  • Masalah injap jantung
  • Penyakit jantung bawaan (congenital heart disease)
  • Jangkitan pada jantung (Pericarditis)

Apakah Persediaan Pemeriksaan?

  • Biasanya apabila anda diberikan temujanji, anda akan diberikan penerangan untuk;

– Puasa 4 – 6 jam sebelum pemeriksaan.

– Hanya air kosong sahaja boleh diminum.

– Tidak boleh mengambil makanan dan minuman yang mengandungi kafein (contoh: kopi, teh, minuman berkarbonat atau minuman coklat) 24 jam sebelum pemeriksaan.

– Maklumkan kepada doktor yang merawat atau Juru X-ray sekiranya anda pernah mengalami perkara berikut:

– Asma (penyakit lelah)

– Alahan kepada makanan atau ubatan (gatal-gatal, kemerahan atau kebengkakan).

  • Sekiranya sedang mengambil ubat-ubatan, sila dapatkan nasihat daripada doktor anda.
  • Maklumkan kepada doktor dan/ atau Juru X-ray sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.
  • Pada hari pemeriksaan lapor diri di kaunter pendaftaran.

Sebelum pemeriksaan

  • Anda perlu menukar pakaian kepada pakaian hospital.
  • Anda perlu menanggalkan semua benda-benda logam, termasuk perhiasan, pin rambut, jam tangan, gigi palsu, alat pendengar (hearing aids), kad ATM, kredit kad, pen, kaca mata dan sebagainya.
  • Sila maklumkan kepada doktor jika anda menggunakan cochlear implant, sendi implantasi (metallic joint prosthesis), klip atau pin pembedahan kepala (clips used in brain surgery; aneurysm) dan alat pemacu jantung (cardiac pacemaker).
  • Anda dinasihatkan untuk tidak membawa barang-barang berharga pada hari pemeriksaan.
  • Maklumkan kepada doktor dan/ atau Juru X-ray sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.
  • Sila maklumkan kepada doktor jika anda pernah mengalami allergi/ alahan kepada makanan laut, ubat dan lain-lain.
  • Anda akan ditanya persediaan anda untuk pemeriksaan merujuk kepada senarai semak yang diberikan semasa temujanji.
  • Pastikan doktor anda telah mengisi senarai semak MRI dengan lengkap.
  • Sekiranya tidak menepati senarai semak, anda tidak boleh meneruskan pemeriksaan.
  • Anda akan dimasukkan jarum (branula) untuk pemeriksaan yang memerlukan media kontras.
  • Berat badan anda akan ditimbang.
  • Anda diminta membuang air kecil.

Semasa pemeriksaan

  • Pemeriksaan MRI jantung mengambil masa sekurang-kurangnya 1 jam.
  • Anda akan diminta untuk berbaring di atas meja pemeriksaan yang sempit dan elektrod ECG akan dilekatkan pada dada anda untuk memantau denyut jantung anda.
  • Jika anda mempunyai klaustrofobia (rasa takut jika berada di ruangan sempit), anda mungkin memerlukan bantuan ubat penenang untuk membantu anda menjalani pemeriksaan tersebut.
  • Anda diminta untuk bertenang dan tidak bergerak semasa pemeriksaan jantung dijalankan untuk mengelakkan pemeriksaan ulangan.
  • Anda akan diminta untuk menahan nafas selama 10 – 15 saat semasa proses imbasan untuk membantu menghasilkan gambar yang terbaik.
  • Anda akan disuntik dengan media kontras di tangan atau lengan jika diperlukan supaya imej salur darah serta dinding jantung anda kelihatan lebih jelas.
  • MRI jantung juga mungkin melibatkan ujian “stress” yang memerlukan penggunaan ubat lain yang akan meningkatkan kadar denyutan jantung anda.
  • Anda akan mendengar bunyi yang agak bising yang dihasilkan oleh mesin MRI semasa pemeriksaan dijalankan. Selain itu, meja pemeriksaan akan sesekali bergerak ke depan dan ke belakang.
  • Imej bahagian jantung yang diperiksa akan terhasil dan dipamerkan di monitor.

 mri_otak_1

Gambar 1: Mesin MRI

Sumber: https://www.magnet.fsu.edu

 mri_jantung_2

Gambar 2: Imej normal MRI jantung

Selepas pemeriksaan

  • Jika kes memerlukan waktu yang lama, anda mungkin akan merasakan sedikit pening ketika bangun atau duduk selepas pemeriksaan.
  • Anda akan disuruh untuk menukar semula pakaian dan jika mempunyai jarum suntikan untuk media kontras, jarum tersebut akan dikeluarkan.
  • Anda akan dibenarkan pulang setelah anda diperiksa dan berada dalam keadaan baik.
  • Anda dibenarkan makan dan minum.

Perbincangan untuk rawatan lanjut akan dilakukan oleh doktor bersama pesakit atau waris pesakit.

Laporan pemeriksaan

Semua imej yang dihasilkan akan diteliti oleh pakar radiologi dan laporan akan disediakan.

Rujukan

  1. http://www.nhlbi.nih.gov/health/health-topics/topics/mri/

 

Semakan Akhir : 3 Januari 2017
Penulis : Norasikin binti Ismail
Akreditor : Norman Serbastian Alangaram

Artikel Berkaitan

ANGIOGRAFI

Pengenalan Angiografi adalah salah satu dari prosedur radiologi untuk mengkaji

PEMERIKSAAN X-RAY MULTIPLE MYELOMA

Pemeriksaan x-ray multiple myeloma (tinjauan tulang) akan dilakukan untuk mendiagnosis penyakit multiple myeloma yang merupakan salah satu daripada penyakit kanser darah yang biasanya berlaku pada bahagian tulang belakang, pinggul, rusuk dan bahu.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia