A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

MRI OTAK

Pemeriksaan MRI Otak menggunakan medan magnet dan gelombang frekuensi radio bagi menghasilkan imej keratan rentas otak melalui komputer tetapi MRI tidak mempunyai kesan radiasi seperti sinar-X

Apa itu pemeriksaan MRI OTAK?

Pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) otak akan menghasilkan imej keratan rentas otak yang jelas melalui komputer. MRI menggunakan medan magnet dan gelombang frekuensi radio untuk menghasilkan imej dari bahagian otak atau kepala. MRI tidak mempunyai kesan radiasi seperti sinar-X.

Bagaimanakah untuk mendapatkan pemeriksaan ini dan di mana?

  • Apabila anda datang berjumpa dengan doktor yang merawat anda, doktor tersebut akan menentukan sama ada anda memerlukan pemeriksaan ini atau tidak.
  • Sekiranya perlu doktor tersebut akan membuat permohonan pemeriksaan menggunakan Borang Permohonan Pemeriksaan Radiologi.
  • Pemeriksaan ini terdapat di hospital-hospital KKM terpilih.

Tujuan pemeriksaan MRI Otak dilakukan

Pemeriksaan MRI Brain (otak /kepala) bertujuan untuk mendiagnos;

  • Tumor.
  • Kerosakan saraf.
  • Keabnormalan lain pada otak.

Apakah persediaan sebelum pemeriksaan MRI Otak?

  • Biasanya apabila anda diberikan temujanji, anda akan diberikan penjelasan,di antaranya ialah;

– Puasa 4 – 6 jam sebelum pemeriksaan.

– Hanya air kosong sahaja boleh diminum.

– Mengambil ubat alahan (steroid) jika perlu.

– Maklumkan kepada doktor yang merawat atau Juru X-ray sekiranya anda pernah mengalami perkara berikut:

> Asma (penyakit lelah).

> Alahan kepada makanan atau ubatan (gatal-gatal,kemerahan atau kebengkakan).

  • Sekiranya sedang mengambil ubat-ubatan, sila dapatkan nasihat daripada doktor anda.
  • Maklumkan kepada doktor dan/ atau Juru X-ray sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.

Pada hari pemeriksaan

Lapor diri di kaunter pendaftaran.

Sebelum pemeriksaan

  • Anda perlu menukar pakaian anda kepada pakaian hospital.
  • Anda perlu menanggalkan semua benda-benda logam, termasuk perhiasan, pin rambut, jam tangan, gigi palsu, alat pendengar (hearing aids), kad ATM, kredit kad, pen, kaca mata dan sebagainya. Ditakuti akan memberikan kerosakan pada alat anda atau menganggu kualiti imej semasa imbasan MRI dilakukan.
  • Sila maklumkan kepada doktor jika anda menggunakan cochlear implant, sendi implantasi (metallic joint prosthesis), klip atau pin pembedahan kepala (clips used in brain surgery; aneurysm) dan alat pemacu jantung (cardiac pacemaker) yang dapat dipengaruhi oleh kekuatan medan magnet mesin MRI.
  • Barang peribadi/berharga adalah di bawah tanggungjawab anda sendiri (anda dinasihatkan untuk tidak membawa barang-barang berharga semasa hari pemeriksaan).
  • Maklumkan kepada doktor atau Juru X-ray sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.
  • Sila maklumkan kepada doktor jika anda pernah mengalami allergi/ alahan kepada makanan laut, ubat dan lain-lain.
  • Anda akan ditanya tentang persediaan anda untuk pemeriksaan merujuk kepada senarai semak yang diberikan semasa temujanji.
  • Pastikan doktor anda telah mengisi senarai semak MRI dengan lengkap.
  • Sekiranya tidak menepati senarai semak, anda tidak boleh meneruskan pemeriksaan.
  • Anda akan dimasukkan jarum (branula) untuk pemeriksaan yang memerlukan media kontras.
  • Berat badan anda akan ditimbang.
  • Anda diminta membuang air kecil

mri_otak_1

Gambar 1: Mesin MRI

Sumber: https://www.magnet.fsu.edu

Semasa pemeriksaan

  • Pemeriksaan MRI otak mengambil masa selama 30 hingga 60 minit.
  • Anda akan diminta untuk berbaring di atas meja pemeriksaan yang sempit, kemudian meja tersebut akan bergerak menuju posisi yang ditentukan di dalam ruangan bulat atau dipanggil bore MRI.
  • Jika anda mempunyai klaustrofobia (rasa takut jika berada di ruangan sempit), anda mungkin memerlukan bantuan ubat penenang untuk membantu anda menjalani pemeriksaan tersebut.
  • Anda diminta untuk bertenang dan tidak bergerak semasa pemeriksaan dijalankan untuk mengelakkan pemeriksaan ulangan.
  • Anda diminta untuk menutup mata semasa pemeriksaan dijalankan.
  • Anda akan disuntik dengan media kontras di tangan atau lengan jika diperlukan.
  • Anda akan mendengar bunyi yang agak bising yang dihasilkan oleh mesin MRI semasa pemeriksaan dijalankan. Selain itu, meja pemeriksaan akan sesekali bergerak ke depan dan ke belakang. Anda diminta untuk tidak bergerak dan kekal dalam posisi baring.
  • Imej bahagian otak atau kepala yang diperiksa akan terhasil dan dipamerkan di monitor.

Selepas pemeriksaan

  • Jika kes memerlukan waktu yang lama, anda mungkin akan merasakan sedikit pening ketika bangun atau duduk selepas pemeriksaan.
  • Anda akan disuruh untuk menukar semula pakaian dan jika mempunyai jarum suntikan untuk media kontras, jarum tersebut akan dikeluarkan.
  • Anda akan dibenarkan pulang setelah anda diperiksa dan berada dalam keadaan baik.
  • Anda dibenarkan makan dan minum.

Perbincangan untuk rawatan lanjut akan dilakukan oleh doktor bersama pesakit atau waris pesakit.

mri_otak_2

Gambar 2: Imej keratan rentas MRI Otak

Laporan pemeriksaan

Semua imej yang dihasilkan akan diteliti oleh pakar radiologi dan laporan akan disediakan.

 

Semakan Akhir : 3 Januari 2017
Penulis : Erliananiza binti Mohd Salim
Akreditor : Norman Serbastian Alangaram

Artikel Berkaitan

CT ABDOMEN

Apakah itu CT Abdomen? CT Scan Abdomen merupakan satu pemeriksaan

PEMERIKSAAN X-RAY MULTIPLE MYELOMA

Pemeriksaan x-ray multiple myeloma (tinjauan tulang) akan dilakukan untuk mendiagnosis penyakit multiple myeloma yang merupakan salah satu daripada penyakit kanser darah yang biasanya berlaku pada bahagian tulang belakang, pinggul, rusuk dan bahu.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia