Soalan 1 (Ketumbuhan Otak) Saya mahu bertanya berkenaan dengan tumor otak. Bagaimana untuk tahu jika seseorang itu telah melakukan pembedahan untuk membuang tumor itu dengan berkesan. Adakah dia akan sembuh selepas ini atau adakah tumor itu akan menyerang semula? Jawapan 1 Rawatan ketumbuhan otak merangkumi bidang yang luas. Secara ringkasnya, kita harus menimbangkan keputusan rawatan jangka pendek dan jangka panjang. i) Kedudukan/lokasi tumor. Faktor ini adalah amat penting untuk menentukan sama ada tumor otak itu dapat dibedah dengan berkesan atau tidak. Tumor yang melekat pada saraf, salur darah dan struktur kritikal mungkin tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya. Saki-baki tumor yang tinggal kemungkinan tumbuh balik. ii) Jenis tumor berdasarkan kepada pemeriksaan histopatologi. Tumor otak merangkumi suatu spektrum yang luas daripada yang jinak (benign) seperti meningioma dan schwannoma kepada yang ganas(malignant) seperti glioblastoma dan tumor metastatik. Ketumbuhan yang agresif berkecenderungan untuk tumbuh kembali walaupun telah dibuangkan sepenuhnya. Setengah daripada tumor otak seperti medulloblastoma dan gliomagred tinggi memerlukan rawatan adjuvan (sampingan) seperti radioterapi dan kemoterapi untuk mengurangkan risiko ini. iii) Taraf kesihatan dan sistem saraf seseorang pesakit sebelum pembedahan. Kebiasaannya, seseorang pesakit akan kembali ke keadaan/status pra-pembedahan selepas ketumbuhan dikeluarkan dengan jayanya. Adalah amat penting untuk mendapat nasihat perubatan segera pada peringkat awal ketumbuhan untuk mengelakkan daripada keadaan yang parah atau kritikal. iv) Status tumor semasa pembedahan v) Komplikasi yang mungkin berlaku semasa atau selepas pembedahan Ketumbuhan yang menyerang kembali boleh dirawat dengan beberapa kaedah berdasarkan kepada kesesuaian pesakit selepas pemeriksaan teliti: 1) Pembedahan semula 2) Penggunaan kemoterapi dan radioterapi 3) Kaedah radio surgeri Semakan Akhir : 9 Oktober 2008 |
“Brain Aneurysm”
‘Brain aneurysm’ adalah pembengkakan yang berlaku pada dinding salur darah arteri yang menyalurkan darah ke otak. Ia terjadi kerana terdapat bahagian pada dinding salur darah tertentu yang lemah.