A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Nikmat Kerja

Pengenalan

Nikmat kerja hanya akan wujud apabila seseorang itu minat kepada kerjaya yang diceburi itu.  Bekerja bukan untuk menerima gaji pada hujung bulan semata-mata tetapi menghayati proses semasa menjalankan tugasannya, samada kepuasan dalaman yang beliau perolehi dengan hasil yang beliau dapat ataupun suasana yang beliau alami semasa beliau berinteraksi dengan seseorang individu atau sekelompok orang.  Samada seseorang itu menikmati sesuatu kerja atau tidak juga  berkait rapat dengan kerelaan, kesanggupan individu semasa menjalankan tugas serta situasi tempat kerja.

Kerja

Kerja adalah sesuatu tugasan yang perlu kita lakukan samada diamanahkan atau atas inisitatif sendiri. Setiap hari setiap individu tidak dapat terkecuali daripada kerja, samada kita menikmati kerja tersebut ataupun sebaliknya. Kerja boleh dibahagikan kepada kerja rasmi dan tidak rasmi.  Dalam melakukan kerja tidak rasmi kemungkinan besar tekanan yang kita alami kurang berbanding dengan kerja yang merupakan tugasan rasmi khasnya kalau ia melibatkan banyak protocol ataupun di luar kepakaran kita.

Keseronokan Bekerja

Adalah amat penting untuk individu itu menyelami jiwa dalaman dan cuba memahami personaliti diri.  Seseorang individu boleh menyelami jiwa dalaman dengan menanya beberapa soalan seperti apakah minat saya waktu kecil? Apakah tugasan yang tidak pernah  saya berasa jemu? Saya tidak pernah berasa keberatan melakukannya apa jenis kerja? Apa yang mendorong saya melakukan kerja tersebut?  Apakah tugasan yang lepas saya lakukan saya akan merasa kepuasan yang teramat tinggi berbanding dengan kerja yang lain?  Sekiraya individu itu dapat mengenalpasti jenis kerja itu maka individu itu boleh cuba menceburi bidang kerja tersebut.

Dalam usaha menikmati kerja dan mencapai keseronakan bekerja, seseorang individu patut dengan hati terbuka menerima sebarang teguran yang membina, jangan terlalu was-was. Jangan terlalu rigid.sebaliknya membuka ruang yang besar dan mengizikan diri agar terus berkembang.  Dalam sesebuah organisasai kita tidak dapat elak daripada sebarang pembaharuan yang mungkin berlaku.  Tidak dapat dinafikan setiap kali pembaharuan mungkin membawa konflik dalaman dan luaran.  Namun sekiranya kita tidak sanggup memberi ruangan yang mencukupi untuk mencuba maka tidak mustahil kita akan ketinggalan zaman pada suatu hari nanti.

Suasana kerja yang harmoni dan faktor komunikasi seseorang individu turut memberi kesan kepada individu merasai keseronokan bekerja.  Perasaan selamat, perasaan di hargai, perasaan kekitaan dan perasaan di saying merupakan asas untuk individu itu menikmati keseronokan bekerja.

Cara Bekerja dengan Efektif

Untuk menjadi seorang pekerja yang efektif, individu itu perlu mengawal disiplin diri.  Seseorang individu perlu peka dengan waktu kerja/pejabat, tugas hakiki, peranan diri di sesebuah organisasi tersebut dan sumbangan yang dapat serta perlu diberikan kepada organisasi  tersebut.  Selaku seorang pekerja kita tidak berhak menentukan dan melakukan sesuatu tugasan itu dengan sesuka hati.  Sebaliknya kita perlu melakukan kerja yang ditawarkan dengan ikhlas dan berpadukan kepada peraturan-peraturan organisasi.

   Waktu kerja /           pejabat
  1. Menepati masa, elak daripada mencari alasan.
  2. Menggunakan waktu bekerja untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.
  3. Elak tinggalkan pejabat semasa waktu bekerja kecuali demi tugasan rasmi.
   Tugas hakiki
  1. Mengenalpasti tugasan hakiki.                                                     (Bincang dengan penyelia bila perlu)
  2. Tumpukan lebih banyak masa dalam melakukan kerja hakiki daripada kerja sampingan
  3. Menetapkan satu piawaian untuk diri sendiri dalam melakukan tugasan hakiki.
  4. Proaktif dalam memperbaiki, mempertingkatkan dan memperkembangan tugasan hakiki.  (Minta pandangan dan persetujuan dari pihak atasan sebelum melaksana)
  5. Mendapat pandangan pihak atasan atau mereka yang berpengalaman untuk meningkatkan prestasi kerja
   Peranan
  1. Mengenalpasti peranan diri terhadap organsisasi,  kawan sepejabat dan pelanggan.
  2. Berperanan mengikut kesesuaian, elak daripada konflik yang boleh menjatuhkan imej diri, organisasi, kawan sepejabat dan pelanggan
  3. Empati individu lain, elak daripada sikap dengki mendengki, melawan, menghasut, menyakitkan hati, iri hati, busuk hati, sombong, beremosi dan lain-lain sikap negative.
  4. Mengamalkan semangat sayang menyayangi, professionalism, kekitaan, dan segala tingkahlaku membina yang positif.
  5. Pertingkatkan komunikasi berkesan
  6. Bertanya dan mencari maklumat lanjutan bila perlu
  7. Menambah ilmu dari masa ke semasa
  8. Asertif dalam menjalankan segala tugasan atau dalam proses menjalinkan hubungan dengan individu lain.
   Sumbangan
  1. Peka jenis sumbangan yang dapat ditawarkan
  2. Elak  sikap kedekut.
  3. Berkongsi segala ilmu dan maklumat  yang ada
  4. Memberi perkhidmatan secara ikhlas, jujur dan mesra
   Elakkan
  1. Elak membuat perbandingan terhadap penghargaan yang diterima oleh diri sendiri dan individu lain
  2. Jangan cepat menghukum diri sendiri, tetapi terus berjuang ke arah mencapai kecemerlangan
  3. Jangan kecewa sekiranya tidak mendapat pengiktirafan pihak lain tetapi mengiktiraf, menghargai dan menghormati diri sendiri serta usaha yang telah dibuat

Untuk menjadi seorang pekerja yang efektif kita juga perlu mahir mengurus masa dengan bijaksana.  contoh menyiapkan kerja yang perlukan ‘urgency’ dahulu, jangan sekali-kali melengah  masa sekiranya menghadapi kesulitan, beranikan diri untuk mendapatkan maklumat ataupun bimbingan daripada mereka yang lebih mahir atau berpengalaman

Halangan Yang Mempengaruhi Produktiviti

Halangan yang boleh mempengaruhi produktiviti, biasanya berkait rapat dengan sikap, komitmen ataupun cara indvidu itu mengendalikan tekanan.  Individu tidak harus terlalu mementingkan balasan yang akan diperolehi khasnya dari segi pengiktirafan perkhidmatan cemerlang, peluang kenaikan pangkat serta penghargaan yang diberikan kepada kita.  Sebaliknya kita perlu ikhlas dengan kerja yang di amanahkan.  Tidak dapat di nafikan kadang kala pihak atasan akan terlepas pandang kepakaran, sumbangan dan usaha yang kita lakukan. Namun kita perlu ingat bahawa rezeki boleh datang dari pelbagai sudut dan dalam pelbagai bentuk, tidak semestinya dari tempat kita berkhidmat.  Sentiasa bersedia bahawa tekanan selalu ada. Jadi setiap kali tekanan menimpa, kita perlu menganalisa punca tekana, menimbang tahap tekanan, mencari altenatif dan merancang tindakan yang perlu di lakukan agar tahap tekanan itu berada di tahap yang sihat. Oleh kerana setiap individu mengguna kaedah yang berlainan dalam mengendalikan tekanan maka individu itu perlu rajin mencuba pelbagai  cara/kaedah dan mengenalpasti kaedah yang paling sesuai, baik dan berkesan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, untuk menikmati kerja, kita perlu mengenali diri sendiri seperti personaliti, minat, kelebihan, kelemahan, tahap optimal tekanan yang dapat kita kendalikan dan cita-cita yang kita kejarkan.  Sekiranya kita menikmati kerja yang kita ceburi maka tidak mustahil kerja tersebut akan selalu mendorong jiwa dalaman kita membara dan seterusnya menuju ke arah yang  lebih cemerlang.  Di samping itu kerja tersebut akan memberi kepuasan infiniti kepada kita.

Semakan Akhir : 24 Februrari 2014
Penulis : Tan Mem Syn

 

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia