A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Audiologi
  6. /
  7. Nilai Sendiri Status Pendengaran...

Nilai Sendiri Status Pendengaran Anda

Pengenalan

Pendengaran merupakan salah satu daripada lima deria penting yang ada pada tubuh badan kita. Ia merupakan deria yang paling awal berfungsi ketika janin berada di dalam perut ibu lagi. Antara keajaiban telinga adalah tiga tulang kecil yang berada di bahagian telinga tengah manusia. Tulang tersebut merupakan tulang yang paling kecil di dalam tubuh manusia.

Telinga manusia juga tidak pernah berhenti bekerja walaupun kita sedang tidur serta mampu mendengar pelbagai jenis kekuatan dan kenyaringan bunyi. Ini membolehkan kita menghindarkan bahaya selain berkomunikasi sesama manusia. Namun begitu, jika tidak dijaga, sebarang kerosakan pada struktur telinga mampu merencatkan fungsi pendengaran.

Masalah pendengaran merupakan antara isu kesihatan awam yang utama di dunia selepas arthritis dan penyakit jantung. Ia boleh terjadi pada semua peringkat umur tak kira bayi, kanak – kanak,  remaja, orang dewasa mahupun orang yang lebih berumur. Masalah ini lebih ketara bagi mereka yang berumur 65 tahun ke atas, seiring dengan keadaan dunia yang mengalami apa yang dikatakan ‘aging population’.

Walau bagaimanapun, keadaan kurang upaya pendengaran ini selalunya lambat dikesan oleh mereka yang mengalaminya terutama bagi masalah yang berada pada tahap ringan. Ini kerana masalah pendengaran merupakan masalah yang tidak kelihatan oleh mata kasar. Walau bagaimanapun, tanda-tanda masalah pendengaran sering dikesan oleh ahli keluarga dan kenalan rapat yang sering berkomunikasi dengan mereka yang kurang pendengaran. Antara tanda – tanda awal yang dapat dikesan adalah:

  1. Selalu meminta perbualan diulang
  2. Sukar mendengar dalam keadaan bising atau berkumpulan
  3. Tidak dapat mendengar perbualan telefon dan televisyen dengan jelas
  4. Selalu merasakan orang lain bercakap tidak jelas atau terlalu perlahan
  5. Mendengar muzik atau televisyen dalam nada yang kuat
  6. Mengelakkan situasi sosial seperti kenduri kendara atau perbincangan dalam kumpulan
  7. Selalu berasa penat dan tertekan selepas perbualan kerana perlu tumpuan yang lebih bagi memahami percakapan

Selain mengesan tanda-tanda masalah pendengaran seperti di atas, anda juga boleh menyaring pendengaran anda menggunakan soal selidik berikut. Perlu diingatkan soalan – soalan di bawah hanya boleh memberi idea tentang pendengaran anda berdasarkan situasi harian. Ia tidak boleh menggantikan ujian formal di hospital yang digunakan untuk mendiagnosis masalah pendengaran dengan tepat

Hearing Handicap Inventory for Adults – Screening (HHIA-S)

ARAHAN: Tujuan skala ini diwujudkan adalah untuk menilai sejauh mana masalah pedengaran memberi kesan kepada kehidupan seharian anda. Sila jawab semua soalan. Tandakan YA, KADANGKALA atau TIDAK pada setiap soalan. Soalan yang bertanda S adalah bagi penilaian SOSIAL manakala yang bertanda E untuk EMOSI. Jika anda pengguna alat bantu pendengaran, sila jawab berdasarkan pendengaran anda tanpa bantuan alat berkenaan.

NO

ITEM

YA

KADANG-KALA

TIDAK

S-1 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda kurang menggunakan telefon?      
E-2 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda malu untuk bertemu dengan orang lain?      
S-3 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda mengelakkan pertemuan berkumpulan?      
E-4 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda mudah marah?      
E-5 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda berasa kecewa untuk bercakap dengan ahli keluarga?      
S-6 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda menghadapi kesukaran ketika menghadiri majlis keramaian?      
S-7 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda sukar untuk mendengar/memahami rakan sekerja, klien atau pelanggan?      
E-8 Adakah anda berasa kehilangan upaya dengan adanya masalah pendengaran?      
S-9 Adakah masalah pendengaran menyebabkan kesukaran ketika anda melawat rakan-rakan, saudara-mara atau jiran tetangga?      
E-10 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda berasa kecewa apabila bercakap dengan rakan sekerja, klien atau pelanggan?      
S-11 Adakah masalah pendengaran menyebabkan kesukaran ketika anda berada di pawagam atau teater?      
E-12 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda menjadi gemuruh?      
S-13 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda tidak melawat rakan-rakan, saudara-mara atau jiran-jiran sekerap yang anda mahukan?      
E-14 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda bertengkar dengan ahli keluarga?      
S-15 Adakah masalah pendengaran mengakibatkan anda sukar untuk mendengar daripada TV atau radio?      
S-16 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda tidak membeli-belah sekerap yang anda mahu?      
E-17 Adakah masalah pendengaran atau kesukaran mendengar mengakibatkan anda kecewa?      
E-18 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda ingin bersendirian?      
S-19 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda kurang bercakap dengan ahli keluarga?      
E-20 Adakah kesukaran mendengar menyebabkan anda menghadkan kehidupan peribadi dan sosial anda?      
S-21 Adakah masalah pendengaran menyebabkan kesukaran ketika berada di restoran bersama keluarga atau rakan?      
E-22 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda tertekan?      
S-23 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda kurang mendengar TV dan radio sekerap yang anda mahu?      
E-24 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda tidak selesa ketika bercakap dengan rakan – rakan?      
E-25 Adakah masalah pendengaran menyebabkan anda berasa tersisih daripada orang ramai?      

 

Skor:

Ya                    : 4 markah
Kadangkala       : 2 markah
Tidak                : 0 markah

Pemarkahan

Jumlah keseluruhan                                   : _____/100
Jumlah bagi kriteria SOCIAL                    : _____/48 =
Jumlah bagi kriteria EMOTIONAL           : _____/52 =

0 (tiada kurang upaya) hingga 100 (hilang upaya sepenuhnya)
0-16%               : Tiada kurang upaya
18 – 42%          : Kurang upaya tahap ringan hingga sederhana
44% ke atas      : Kurang upaya yang ketara (significant handicap)

Cara pemarkahan

Terdapat beberapa cara untuk menilai pendengaran anda berdasarkan soalan–soalan yang telah diberikan. Anda perlu menjumlahkan markah dari semua soalan dan nilaikan mengikut skala yang telah ditetapkan. Bagi menilai kesan masalah pendengaran dari segi sosial dan emosi, anda boleh menukarkan jumlah markah kepada peratusan dan rujuk semula markah akhir anda mengikut skala peratusan yang telah diberikan. Jika anda merasakan kaedah ini agak sukar, anda juga boleh mempermudahkan pengiraan. Sekiranya majoriti soalan dijawab dengan ‘ya’ atau pun ‘kadangkala’, ia menandakan anda perlu mengambil langkah seterusnya untuk mendapatkan ujian lengkap bagi menentukan tahap pendengaran anda

Apa yang perlu dilakukan?

Sekiranya anda mengesyaki diri anda mempunyai masalah pendengaran berdasarkan tanda–tanda yang telah diberikan, mahu pun setelah menjawab soal selidik yang dilampirkan, tindakan segera perlu di ambil bagi menentukan tahap pendengaran anda yang sebenar. Anda perlu mendapatkan surat rujukan ke mana–mana hospital untuk bertemu dengan Pakar Telinga, Hidung dan Tekak dan seterusnya berjumpa dengan Pegawai Pemulihan Perubatan (Pendengaran) atau Audiologis. Audiologis akan menjalankan ujian diagnostik yang lengkap bagi menentukan punca dan tahap keterukan masalah jika ada. Seterusnya mereka akan menasihati langkah seterusnya yang perlu diambil untuk menjaga atau menangani masalah pendengaran yang dihadapi.

Pengesanan dan intervensi awal masalah pendengaran mampu mengembalikan semula kualiti hidup anda dan mengelakkan kesan psikologi negatif.

Semakan akhir : 10 Mac 2014
Penulis : Farhana bt Dato’ Mohd Rosli
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

 

Artikel Berkaitan

Siapakah Audiologis?

Pengenalan Audiologis adalah individu yang berkelayakan dari segi akademik sekurang-kurangnya

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia