Soalan 1: Saya selalu mengalami masalah “double vision” selepas 30 minit melakukan aktiviti sukan seperti bermain badminton atau bola tampar. Adakah ini disebabkan saya keletihan atau saya mengalami diplopia? Jawapan 1: Kita mempunyai sepasang mata yang berfungsi secara beriringan iaitu apabila kita melihat ke kiri maka kedua-dua mata akan diarahkan untuk menjeling ke kiri. Selain itu untuk fungsi penumpuan, mata akan menumpu ke arah yang dikehendaki. Semua tindakan ini dikawal oleh 6 otot di sekeliling setiap mata. Keadaan ini menyebabkan mata mempunyai tahap binokulariti yang baik. Mata berfungsi dengan baik apabila kedua-dua mata mempunyai tahap penglihatan yang seimbang dan baik serta sistem otot yang seimbang. Jika tidak mata akan cepat letih kerana salah satu mata akan bekerja lebih. Ini akan menyebabkan gangguan pada sistem binokular mata iaitu ia tidak lagi seimbang dari segi tindakan dan kita akan nampak objek sebagai dua (double vision). Anda disarankan melakukan pemeriksaan penglihatan yang komprehensif meliputi pemeriksaan tahap penglihatan jauh dan dekat, pemeriksaan sistem akomodasi dan vergens dengan berjumpa Optometris bersama pakar Oftalmologi di hospital kerajaan atau hospital swasta. Gangguan pada sistem binokular menyebabkan anda mengalami gejala seperti yang dinyatakan. Soalan 2: Saya mengalami mata berkedip-kedip di bahagian kiri. Perkara ini sering berlaku. Apakah puncanya dan mohon penjelasan secara lebih terperinci. Jawapan 2: Kelopak mata atau kulit di sekitar mata kadangkala boleh mengalami “twitching“. Kekerapan masalah ini berlaku adalah berbeza bagi setiap individu. Adalah lebih baik saudara/i dapat berjumpa dengan doktor mata untuk membuat pemeriksaan dan mengetahui masalah sebenar yang berlaku agar rawatan dan nasihat yang sewajarnya dapat diberikan. Sila berjumpa doktor di klinik kesihatan yang terdekat untuk pemeriksaan dan seterusnya mendapat surat rujukan untuk berjumpa Pakar Mata. Soalan 3: Apakah ujian medan penglihatan? Mohon penjelasan. Jawapan 3: Secara umumnya, medan penglihatan adalah merupakan keluasan penglihatan yang dapat dilihat oleh kita. Secara normalnya manusia mempunyai keluasan 140 darjah bila melihat dengan kedua-dua belah mata. Manakala setiap satu mata mempunyai keluasan 80 darjah. Terdapat beberapa faktor penyebab kepada permasalahan medan penglihatan dan yang paling kerap atau utama adalah penyakit glaucoma (peningkatan tekanan mata). Penyakit ini menyebabkan pengecilan medan penglihatan secara perlahan-lahan dan boleh membawa kebutaan jika tidak dikawal. Lain-lain faktor adalah seperti sebarang gangguan dan tekanan ke atas saraf penglihatan juga akan menyempitkan medan penglihatan, contohnya jika terdapat ketumbuhan pada otak yang menekan saraf penglihatan maka keluasan penglihatan yang terlibat juga akan terjejas atau masalah keradangan pada saraf optik. Medan penglihatan boleh diukur secara kasar menggunakan kaedah “confrantation“, Bjerrum Visual field analyser atau dengan lebih tepat menggunakan “automated visual field analyser” Alat ini terdapat di kebanyakan hospital kerajaan yang mempunyai Pakar Mata dan Optometris. Soalan 4: Mata saya sentiasa kabur. Saya ada membuat pemeriksaan mata di kedai cermin mata dan keputusannya mata saya tidak mengalami apa-apa masalah serta tidak perlu memakai cermin mata. Di bahagian mata putih saya pula jelas kelihatan saluran darah (berwarna merah). Adakah situasi ini berkaitan dengan penyakit resdung yang saya hidapi? Jawapan 4: Kabur penglihatan boleh disebabkan oleh banyak faktor. Daripada masalah kelopak mata hingga ke masalah saraf mata. Pemeriksaan mata oleh Optometris sahaja tidak mencukupi untuk menentukan punca kabur penglihatan tersebut. Pemeriksaan teliti menggunakan peralatan yang sesuai adalah perlu dilakukan untuk menentukan punca masalah anda. Sememangnya masalah resdung dan mata saling berkaitan, sama ada penyakit resdung disebabkan allergi @ alahan atau kadang-kadang disebabkan oleh ubatan yang anda gunakan untuk rawatan resdung tersebut. Kesan sampingan ubatan “steroid‘ untuk rawatan resdung, boleh menyebabkan glaukoma (tekanan mata yang tinggi) atau menyebabkan selaput pada kanta (katarak). Resdung juga menyebabkan keadaan mata yang tidak selesa seperti sentiasa berair yang juga akan mengganggu penglihatan apabila berada di tempat yang bercahaya. Anda dinasihatkan untuk mendapat pemeriksaan lanjut daripada Pakar Mata untuk memastikan tahap kesihatan mata anda dan punca kekaburan tersebut. Soalan 5: Adakah “flash” kamera merbahaya kepada mata bayi yang berusia 10 bulan? Bolehkah menangkap gambar bayi dengan menggunakan “flash”? Apakah risiko yang akan berlaku kepada bayi? Jawapan 5: Flash kamera tidak langsung akan merosakkan atau menganggu pertumbuhan mata anak puan. Cahaya flash kamera adalah sama seperti cahaya lampu suluh biasa dan selamat untuk digunakan. Tidak ada kesan sampingan yang pernah dikenalpasti dengan penggunaannya. Tetapi sekiranya anak puan terganggu dengan cahaya atau fotofobia, dan mata selalu berair serta kemerahan apabila terdedah, perlulah dibawa untuk pemeriksaan lanjut oleh Pakar Mata untuk memastikan tidak ada masalah yang lebih serius. Soalan 6: Apakah komplikasi apabila pembedahan kedua dilakukan untuk membuang ketumbuhan selaput pada mata dan bilakah masa yang sesuai untuk membuang ketumbuhan selaput pada mata? Jawapan 6: Istilah ketumbuhan selaput yang diutarakan mempunyai dua maksud, sama ada ia ketumbuhan pada lapisan luar mata yang dinamakan pterygium atau selaput pada lapisan kanta yang dinamakan katarak. Kebiasaannya pembedahan katarak hanya memerlukan satu pembedahan khusus kecuali sekiranya terdapat komplikasi pada pembedahan pertama atau pembedahan pertama tidak dapat disempurnakan. Akan tetapi sekiranya ia kes pterygium, anda mungkin memerlukan pembedahan kedua dan ia agak kerap boleh berlaku dan memerlukan pembedahan seterusnya untuk membuang ketumbuhan tersebut. Dalam kes sebegini, pembedahan kedua dilakukan sekiranya Pakar Mata merasakan ia adalah keperluan kerana masalah yang sama mungkin akan berlaku sekiranya ia dilakukan dalam jangkamasa yang singkat, Pakar Mata akan menerangkan kepada anda tentang keperluan dan teknik yang perlu dilakukan untuk pembedahan kedua bagi mengelakkan masalah yang sama berulang. Soalan 7: Mata putih saya telah berubah warna kepada kekuning-kuningan. Ujian fungsi hati telah dibuat dan mendapat keputusan yang baik. Namun demikian, Doktor menyatakan bahawa saya menghidapi masalah dirty-sclera. Faktor-faktornya mungkin disebabkan mata saya terdedah kepada habuk dan cahaya matahari. Saya berasa keliru kerana mata saya jarang terdedah kepada habuk dan cahaya matahari. Jadi, saya ingin mengetahui adakah terdapat faktor-faktor lain yang menyebabkan mata saya mengalami masalah. Misalnya, pengambilan kafein atau darah saya mengandungi banyak toksin. Apakah langkah-langkah yang boleh saya ambil untuk mengurangkan kesan ini? Jawapan 7: Terdapat berbagai punca mata putih bertukar warna. Walau bagaimanapun dalam kebanyakan kes perubahan warna ini tidak merbahaya dan berpunca daripada masalah mata kering, alahan dan juga pigmentasi yang berlebihan apabila umur meningkat. Tidak ada bukti saintifik setakat ini bagi menyatakan bahawa pengambilan kaffein dan masalah darah ada kaitan dengan perubahan warna mata. Terdapat beberapa bahan dan juga ubatan yang boleh dikaitkan dengan keadaan ini. Adalah dinasihatkan anda berjumpa dengan Pakar Mata bagi memastikan perubahan warna ini tidak mendatangkan kesan buruk kepada anda. Soalan 8: Adik saya mengalami pendarahan dalam mata (mata putih) tetapi hanya di bahagian tepi sahaja. Doktor yg merawatnya memberitahu pendarahan itu berlaku disebabkan adik saya demam. Adakah benar apa yg dikatakan doktor tersebut dan adakah ia disebabkan adik saya tidak diberi ubat antibiotik. Jawapan 8: Pendarahan di mata putih seperti mana yang dinyatakan adalah disebabkan salur darah lapisan luar pecah dan ini dinamakan “subconjunctival haemorrhage” atau pendarahan subkonjuntiva. Pendarahan seperti ini selalu berlaku dan kebanyakannya tidak merbahaya sekiranya kawasan pendarahan hanya berlaku secara setompok sahaja. Punca pendarahan kebiasaanya disebabkan oleh demam virus (viral fever), batuk yang kronik, gosokkan kuat atau keterlaluan pada bahagian mata, trauma dan kadang-kadang berlaku secara spontan. Dalam kes-kes begini, pendarahan akan hilang dalam masa dua minggu dan mata akan kembali putih. Namun begitu sekiranya pendarahan di mata putih tidak setompok, pemeriksaan lanjut oleh Doktor Mata perlu dilakukan untuk memastikan tidak ada masalah yang lebih serius seperti pendarahan di bahagian dalaman mata atau di belakang mata. Soalan 9: Terdapat cahaya yang kelihatan di sekeliling mata yang menganggu penglihatan semasa saya membaca. Selain itu, rasa sakit dahi, mata serta kepala muncul apabila cahaya tersebut hilang. Mata saya juga kadang-kadang berpinar diikuti rasa sakit. Apakah masalah yang saya hadapi ini? Jawapan 9 : Berdasarkan masalah yang dinyatakan, adalah berkemungkinan anda menghidapi masalah “migraine”. “Migraine” adalah sejenis sakit kepala yang selalunya didahului dengan “aura” atau amaran iaitu pesakit mengadu melihat cahaya yang bergerak (“zig-zag pattern”) selama 20 sehingga 30 minit dan penglihatan terganggu semasa ia berlaku. Penglihatan akan pulih semula selepas cahaya tersebut hilang dan sakit kepala pun mula terasa. Walau bagaimanapun “migraine” adalah satu “diagnosis of exclusion”. Anda dinasihat berjumpa Pakar Mata dan juga Pakar Perubatan Neurologi untuk pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan keadaan tersebut. Pemeriksaan ini juga untuk memastikan anda tidak menghidapi lain-lain penyakit yang lebih serius. Soalan 10: Apakah yang mungkin menyebabkan sebelah penglihatan tidak berfungsi iaitu kabur atau langsung tidak boleh melihat? Jawapan 10: Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan masalah penglihatan pada sebelah mata. Pemeriksaan mata yang lengkap dan segera perlu dilakukan bagi memastikan punca masalah dan seterusnya untuk membolehkan rawatan diberikan dengan kadar segera bagi mengelak kebutaan kekal. Semakan Akhir : 10 Disember 2014 |