A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kosmetik
  6. /
  7. Panduan penggunaan produk kosmetik

Panduan penggunaan produk kosmetik

Sebagai salah satu usaha untuk melahirkan pengguna bijak dan lebih berinformasi, berikut adalah panduan-panduan yang boleh diikuti sebelum membeli atau semasa menggunakan produk kosmetik:

Kosmetik dan Anda

Produk kosmetik digunakan pada bahagian luaran tubuh badan manusia seperti kulit, rambut, kuku, bibir, gigi dan rongga mulut untuk tujuan membersih, mewangi, mencantikkan penampilan, menghilangkan bau badan, melindungi atau menjaga luaran tubuh badan agar berada dalam keadaan yang baik.

Sejak dari zaman dahulu, produk kosmetik sudah menjadi teman setia bagi setiap wanita untuk tampil lebih cantik dan menarik. Namun, secara realitinya, produk kosmetik bukan hanya digunakan bagi tujuan kecantikan malahan digunakan setiap hari untuk tujuan kebersihan, perapian dan lain-lain lagi oleh kebanyakan individu tanpa mengira usia, jantina, bangsa dan latar belakang ekonomi. Seiring dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi, pelbagai produk kosmetik telah muncul di pasaran. Sebagai pengguna, anda seharusnya lebih peka tentang maklumat yang perlu diketahui sebelum memilih sesuatu produk kosmetik untuk digunakan sama ada untuk diri sendiri ataupun ahli keluarga yang lain.

Daripada segi keperluan regulatori, setiap produk kosmetik yang berada di pasaran perlu bernotifikasi dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Produk kosmetik bernotifikasi adalah tertakluk kepada pematuhan berterusan terhadap keperluan undang-undang yang ditetapkan ke atas pihak syarikat yang bertanggungjawab khususnya dalam aspek kualiti, keselamatan serta kesahihan tuntutan yang dibuat pada label atau iklan produk kosmetik. Semakan bagi status notifikasi sesuatu produk kosmetik boleh dilakukan pada bila-bila masa menerusi laman sesawang rasmi NPRA iaitu di www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuatturun melalui Google Play Store.

Sebagai salah satu usaha untuk melahirkan pengguna bijak dan lebih berinformasi, berikut adalah panduan-panduan yang boleh diikuti sebelum membeli atau semasa menggunakan produk kosmetik:

  1. Membaca maklumat pada label dan sisip bungkusan (jika ada) produk kosmetik

    Setiap pengguna hendaklah membaca maklumat yang tertera pada label produk kosmetik termasuk pada sisip bungkusan, jika ada sebelum membeli atau menggunakan sesuatu produk kosmetik. Label yang lengkap perlu mempunyai maklumat seperti gambar rajah di bawah:

    Lazimnya, kesemua maklumat tersebut dinyatakan pada label terdekat atau pada bekas produk. Namun, terdapat juga sisip bungkusan dengan maklumat yang diperlukan dikepilkan bersama produk untuk rujukan pengguna Pengguna hendaklah menggunakan produk mengikut saranan, syarat atau cara-cara penggunaan yang telah dikhususkan seperti yang tertera pada label/sisip bungkusan produk tersebut. Antara contoh yang perlu diambil perhatian adalah ‘Sunburn Alert’ susulan daripada penggunaan produk yang mengandungi Alpha Hydroxy Acids (AHA) dalam kepekatan tertentu. Glycolic acid dan lactic acid adalah merupakan jenis AHA yang paling kerap digunakan dalam sediaan kosmetik dan pengguna produk sedemikian perlu mematuhi arahan agar tidak mendedahkan diri kepada sinaran matahari secara langsung serta sentiasa memakai pakaian perlindungan seperti cermin mata hitam, topi serta memakai produk penabir suria (sunscreen) semasa dan seminggu selepas menggunakan produk tersebut.

  2. Sentiasa menyimpan produk kosmetik di tempat yang sesuai

    Penyimpanan produk kosmetik dengan cara dan di tempat yang sesuai boleh memelihara kualiti produk kosmetik. Sebagai contoh, suhu persekitaran yang sangat panas boleh menyebabkan tekstur dan aroma sesetengah produk kosmetik seperti gincu bibir, krim pelembap dan pewangi (perfume) berubah dan mengakibatkan produk tersebut tidak sesuai untuk digunakan lagi. Selain itu, pengguna tidak digalakkan untuk memindahkan produk kosmetik daripada bekas yang asal kepada bekas yang lain kerana kestabilan produk kosmetik dikhuatiri akan terjejas sekiranya ia disimpan dalam bekas selain daripada yang telah dikhaskan untuk produk tersebut. Sekiranya terdapat perubahan fizikal yang tidak diingini terhadap produk yang sedang digunakan walaupun telah disimpan dan digunakan mengikut arahan yang dinyatakan pada label, pengguna dinasihatkan untuk menghentikan penggunaan produk tersebut dan melaporkan kepada NPRA agar siasatan lanjut dapat diambil.

  3. Membeli produk kosmetik daripada sumber yang boleh dipercayai

    Kebanyakan produk kosmetik dapat diperoleh dan dibeli dengan mudah termasuklahmelalui kaedah pesanan atas talian. Produk kosmetik turut dijual di pasar malam dan kaki lima bangunan atau kedai yang mana sumber akan tetapi kualiti serta tahap kestabilan produk tersebut diragui. Oleh itu, pengguna perlulah lebih berwaspada dan tidak sewenang-wenangnya membeli produk kosmetik daripada sumber yang meragukan walaupun produk-produk tersebut dijual dengan harga yang murah atau dijanjikan kesan yang kononnya sangat mujarab dalam tempoh yang singkat.

  4. Merujuk kepada yang profesional kesihatan yang sesuai dan diiktiraf, jika perlu

    Setiap individu mempunyai kesan yang berbeza terhadap sesuatu produk kosmetik. Hal ini disebabkan kesan produk kosmetik terhadap seseorang individu turut bergantung kepada mekanisma perlindungan semula jadi dalam badan seseorang dan juga terhadap faktor pendedahan kepada persekitaran yang berbeza-beza.Sekiranya menghadapi masalah kulit yang serius, pengguna sepatutnya merujuk kepada profesional kesihatan yang bertauliah atau pakar kulit. Contohnya,jerawat merupakan sejenis penyakit kulit yang perlu dirawat oleh profesional kesihatan dan bukannya oleh pakar kecantikan yang tidak bertauliah.Justeru itu, orang ramai disarankan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai rawatan kulit dan produk-produk kecantikan menerusi pembacaan daripada sumber bacaan yang sahih atau pun merujuk terus kepada pakar kulit.

  5. Sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan produk kosmetik yang tidak beretika

    Dengan peningkatan teknologi maklumat yang pesat, orang ramai lebih mudah terdedah dengan pelbagai maklumat yang seringkali sukar untuk dipastikan tahap kesahihannya. Iklan-iklan produk kosmetik tidak terkecuali daripada menjadi bahan yang disampaikan secara berantai di laman sosial atau pun diiklankan dengan meluas melalui laman blog tertentu. Selain itu, media cetak seperti majalah dan akhbar juga didapati turut disisipkan dengan iklan produk kosmetik. Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih realistik terhadap kesan yang diingini hasil daripada penggunaan produk kosmetik dan tidak mudah terpedaya dengan sesetengah iklan produk kosmetik yang mengelirukan dan tidak munasabah. Perlu diingatkan bahawa produk kosmetik tidak boleh diiklankan dengan tuntutan perubatan seperti untuk masalah ekzema, psoriasis, luka, menguruskan badan, mengurangkan kesakitan, mencegah jangkitan,merawat penyakit dan sebagainya. Di samping itu juga, pengguna dikehendaki untuk berwaspada terhadap iklan yang menjanjikan kesan yang drastik seperti contoh kulit menjadi putih gebu dalam tempoh yang singkat kerana dikhuatiri produk sedemikian dicemari dengan bahan terlarang yang berbahaya dan boleh menyebabkan kesan buruk kepada pengguna.

Kesimpulan

Produk kosmetik digunakan secara meluas oleh pelbagai golongan individu. Oleh yang demikian, pengguna perlu lebih mengenali dan mengetahui tentang produk kosmetik yang digunakan sebagai langkah ke arah penggunaan produk kosmetik yang selamat.

Sebagai pengguna, anda turut memainkan peranan yang penting untuk mengekang produk kosmetik yang tidak selamat atau tidak berkualiti daripada berada di pasaran. Oleh itu,elakkan daripada membeli atau menggunakan produk yang meragukan. Pengguna dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi produk kosmetik di laman sesawang rasmi NPRA iaitu www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuatturun melalui Google Play Store sebelum membeli sesuatu produk kosmetik di pasaran.

Sekiranya pengguna mendapat kesan yang tidak diingini atau mengesyaki produk kosmetik bernotifikasi mengandungi bahan terlarang, laporan atau aduan boleh dibuat menggunakan Borang Aduan Kosmetik Bernotifikasi melalui pautan https://npra.gov.my/images/public/BORANG_ADUAN_KOSMETIK.pdf dan emailkan borang yang telah dilengkapkan kepada kosmetik@npra.gov.my untuk diambil tindakan selanjutnya.

Rujukan

  1. ASEAN Consumer Information Handbook on Cosmetic Products, Volume 1 June 2013.
  2. Guidelines for Control of Cosmetic Products in Malaysia, MEI 2009 (rev02).
  3. https://www.womenshealth.gov; Cosmetics And Your Health Fact Sheet
  4. http://www.utusan.com.my/; Rujuk Pakar Kulit Untuk Selamat, ARKIB : 08/04/2008
  5. https://my.news.yahoo.com; Orang Ramai Dinasihat Tidak Terpedaya Iklan Haram Produk Kesihatan, Bernama Media – Khamis,16 Ogos, 2012
Semakan Akhir : 22 Ogos 2019
Penulis : Bintul Huda bt. Ismail
Akreditor : Nik Shamsiah bt. Nik Salleh
Penyemak : Wan Mohaina bt. Wan Mohammad
  : Hanum Maisarah bt. Abdul Rahman

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,443

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia