A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Oftalmologi
  8. /
  9. Juling
  10. /
  11. Pembedahan Mata Juling

Pembedahan Mata Juling

Juling atau strabismus merujuk kepada keadaan di mana kedua-dua mata tidak sejajar atau selari. Ia juga dikenali sebagai mata bersilang, mempunyai ciri-ciri mata yang tidak melihat ke arah sesuatu objek serentak. Mata boleh bersilang, atau mata boleh melihat ke arah berlainan. Ini mungkin berlaku sepanjang masa atau pada masa tertentu seperti apabila dalam keadaan letih. Terdapat berbagai jenis juling, tetapi secara umum mereka boleh dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan berikut:

  • Esotropias
    Esotropia adalah istilah perubatan untuk juling tumpu di mana satu mata fokus lurus manakala satu lagi fokus ke arah dalam atau hidung
  • Exotropias
    Exotropia adalah istilah perubatan untuk juling mencapah di mana satu mata fokus lurus manakala satu lagi fokus ke arah luar.
  • Hypertropias and Hypotropias
    Istilah-istilah ini merujuk kepada juling tegak (vertical) di mana satu mata melihat ke atas (hypertropia) atau ke bawah (hypotropia) manakala sebelah mata lagi melihat ke arah lurus.
  • Paralytic Squints
    Terdapat tiga saraf yang bertanggungjawab menghantar isyarat kepada enam otot mata. Saraf tersebut ialah saraf kranium ketiga, keempat dan keenam. Kerosakan pada saraf saraf tersebut akibat bekalan darah yang lemah, tekanan ke atas saraf atau kecederaan kepala akan menyebabkan pergerakan bola mata terhad dan juling ‘paralytic’ terjadi.

Pembedahan mata juling (juga dikenali sebagai pembedahan otot extraokular, pembedahan otot mata, atau  pembedahan sejajarkan mata) adalah pembedahan pada otot extraokular (otot diluar bola mata) untuk membetulkan kedudukan mata supaya selari.

Pembedahan otot mata bukan untuk memulihkan fungsi penglihatan  pada  mata malas tetapi untuk memberi penampilan yang agak  baik. Secara amnya, pembedahan yang dilakukan untuk tujuan merperbaiki fungsi penglihatan, mempunyai peluang yang tinggi sekiranya dilakukan di awal  usia.

Orang dewasa yang mempunyai mata juling yang tidak berterusan, tidak perlu menjalani pembedahan untuk meluruskan mata tetapi dapat dibantu dengan melakukan latihan otot mata. Sebelum melakukan pembedahan mata juling, pastikan dahulu penyebab mata juling dan beri rawatan sekiranya ada. Ini adalah bagi memastikan pembedahan mata juling dapat dicapai dengan jayanya.

Pembedahan mata juling dapat dilakukan sebagai pembedahan rawatan harian ataupun pembedahan pesakit dalam. Selepas pembedahan, pesakit akan mengalami sedikit kesakitan dan kemerahan pada tempat pembedahan.

Jenis-jenis pembedahan juling termasuk:

  • Prosedur melonggarkan/melemahkan otot mata
  • Prosedur mengetatkan/menguatkankan otot mata
  • Prosedur transposisi/penyusunan semula otot mata
  • Pembedahan jahitan laras (adjustable suture) adalah satu kaedah menyambung semula otot extraokular melalui jahitan yang boleh dipendekkan atau dipanjangkan dalam masa sehari selepas pembedahan yang pertama, bagi mendapatkan kedudukan mata  yang lebih sempurna.

Indikasi

Indikasi pembedahan mata juling berbeza dan bergantung kepada tahap umur dan keperluan pesakit. Antara indikasi primer pembedahan mata juling adalah:

  • Imej kelihatan dua (Double vision)
  • Gangguan binokular
  • Posisi kepala yang senget  akibat juling
  • Medan penglihatan yang sempit akibat juling
  • Memberi penampilan yang meyakinkan (kosmesis).

Kontraindikasi

Pembedahan tidak boleh dilakukan untuk membetulkan masalah juling sekiranya pesakit mempunyai  masalah kesihatan yang serius dan tidak stabil.

Pemeriksaan sebelum pembedahan

Sebelum pembedahan mata  juling boleh disyorkan, rawatan bukan pembedahan untuk membetulkan masalah juling perlu dilakukan terlebih dahulu. Tahap penglihatan kedua-dua mata perlu diperiksa, sekiranya terdapat tanda-tanda mata malas atau komponan akomodatif yang menyebabkan juling, ianya perlu dirawat terlebih dahulu. Ketajaman penglihatan yang baik dan sama di kedua dua mata akan membantu untuk menstabilkan hasil pembedahan yang akan dilakukan.

Pembedahan pembetulan disyorkan apabila esotropia melebihi 15 diopters prisma. Oleh itu, tahap juling perlu diukur sebelum pembedahan dijalankan.

Masa yang sesuai untuk melakukan pembedahan pembetulan untuk juling adalah berbeza mengikut sebab juling berlaku.

Komplikasi pembedahan

Komplikasi serius selepas pembedahan juling jarang berlaku. Risiko adalah hanya 1%. Ini termasuk:

  • Otot mata terlepas (slipped)
    Otot mata terlepas berlaku apabila jahitan yang memegang otot mata pada sklera putus atau longgar menyebabkan otot bergerak ke belakang dan berada di belakang bola mata. Komplikasi ini jarang berlaku (kira-kira 1 dalam 400 kes).
  • Kecederaan pada sclera
    Kecederaan pada sclera disebabkan oleh tusukan jarum ketika pembedahan.
  • Jangkitan kuman
    Risiko untuk mendapat jangkitan kuman di dalam mata dan seterusnya boleh menyebabkan hilang penglihatan kekal adalah rendah iaitu 1 dalam 20,000 kes.
  • Radang  sklera akibat  pembedahan
    Ini adalah komplikasi pembedahan mata juling yang jarang berlaku di kalangan orang dewasa. Rawatan dengan steroid dan ubat immunosuppressant dapat mengawal radang tersebut.
  • Komplikasi minor pembedahan mata juling
    • Mata merah untuk jangkamasa yang pendek dan dapat dirawat dengan ubat titis mata (antibiotik)
    • Terbentuk granuloma pada jahitan otot mata dan rawatan jangka pendek dengan ubat titis steroid biasanya akan menyelesaikan masalah ini.

Hasil pembedahan

  • Pembedahan mata juling dapat meluruskan mata sepenuhnya (orthophoria) atau hampir sempurna
  • Pembedahan mungkin tidak mencapai sasaran  yang ditetapkan (Undercorrection) atau melebihi apa yang ditetapkan (overcorrected) dan mungkin perlu menjalani rawatan lanjut.

Gambarajah menunjukkan keadan mata sebelum dan selepas pembedahan mata juling

Rujukan

  1. www.rch.org.au/ophthal/patient_information/About_Squint_Surgery/
  2. www.nhs.uk/Conditions/Squint/Pages/Surgery.aspx
  3. www.uhs.nhs.uk/Media/…/Squintsurgeryforadults-patientinformation.pdf
  4. www.ouh.nhs.uk/patient-guide/…/files%5C100322squintsurgeryadult.pd

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Rosniza bt. Ab. Razak
Akreditor : Dr. Salmah bt. Othman
Penyemak : Dr. Rosniza bt. Ab. Razak

Artikel Berkaitan

Juling

Juling merupakan ketidakseimbangan otot-otot mata yang menyebabkan sebelah atau kedua-dua

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,816

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia