A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pembedahan Mikro Periapikal Bagi Gigi Yang Telah Diberi Rawatan Saluran Akar

Periapikal adalah merujuk kepada kawasan di sekeliling hujung akar gigi. Pembedahan mikro periapikal  dikenali juga dengan nama pembedahan mikro endodontik atau apicoectomy.

Pendahuluan

Rawatan saluran akar dijalankan untuk menyelamatkan gigi yang telah mengalami kecederaan pulpa  supaya gigi tersebut tidak perlu dicabut dan dapat terus berfungsi di dalam mulut.Bagi sesetengah kes, di mana infeksi berulang semula (reinfeksi)  atau masih tidak sembuh walaupun rawatan saluran akar telah dijalankan, rawatan semula akar adalah diperlukan.Biasanya prosedur tanpa pembedahan adalah mencukupi untuk  menyembuhkan gigi tersebut. Kadang-kadang disebabkan faktor-faktor tertentu, rawatan semula akar dijalankan diikuti dengan pembedahan mikro periapikal. Pembedahan ini juga disarankan bagi kes-kes dimana prosedur tanpa pembedahan rawatan semula akar tidak dapat dilaksanakan disebabkan sebab-sebab tertentu seperti dalam kes korona tiang.

Apakah Itu Pembedahan Mikro Periapikal?

Periapikal adalah merujuk kepada kawasan di sekeliling hujung akar gigi. Pembedahan mikro periapikal  dikenali juga dengan nama pembedahan mikro endodontik atau apicoectomy. Ia adalah pembedahan kecil di mana insisi (belahan) dibuat pada bahagian gusi berkaitan gigi yang terlibat bagi mencapai akses ke kawasan yang telah mengalami infeksi. Akses membolehkan tulang, tisu yang mengalami keradangan dan hujung akar gigi terlibat didedahkan. Semua prosedur ini dilaksanakan setelah anastesia (bius) setempat dicapai.Tisu yang mengalami infeksi atau keradangan itu akan dikeluarkan bersama dengan sebahagian dari hujung akar gigi sekiranya perlu. Bahan tampalan kemudian diletakkan di hujung akar gigi untuk mencegah infeksi dari berulang dan gusi kemudiannya disutur (jahit).Tulang sekeliling akar gigi akan sembuh sendiri dalam jangkamasa dua bulan untuk membolehkan ianya berfungsi kembali.

Beberapa X-ray gigi dan tulang sekitar akan diambil sebelum dan selepas pembedahan. Selain itu, prosedur ini biasanya dilakukan di bawah mikroskop khas dan instrumen ultrasonik untuk memudahkan penglihatan dengan lebih jelas dan akses masing-massing. Ini meningkatkan peluang bahawa prosedur ini akan berjaya.

Selepas prosedur dijalankan,sementara insisi sembuh,  perasaan tidak selesa dan sedikit kebengkakan akan dialami. Ini adalah proses normal untuk sebarang pembedahan.Untuk mengatasi masalah ini, ubat-ubatan yang sesuai akan diberikan.

Mengapa Pembedahan Mikro Periapikal Diperlukan?

Pembedahan mikro periapikal adalah prosedur yang perlu jika gigi yang telah diberi rawatan saluran akar menunjukkan tanda-tanda dan gejala yang berterusan ataupun infeksi yang berulang.Ianya terindikasi bagi kes-kes patosis periapikal yang berkaitan dengan sista periapikal, akar dengan anatomi yang kompleks, infeksi extra-radikular (luar kawasan akar) dan penyembuhan yang tidak sepenuhnya selepas rawatan semula tanpa pembedahan. Pembedahan mikro ini juga sesuai untuk mengesan akar  yang fraktur atau saluran akar yang tidak ditemui dan tidak kelihatan pada x-ray tetapi masih menyebabkan rasa sakit pada gigi terutamanya jika ia mempunyai tiang yang besar dan liputan korona yang memuaskan, Di samping itu, ia mungkin diperlukan untuk mengeluarkan peralatan yang patah dalam saluran akar dan merawat permukaan akar yang rosak  atau tulang sekeliling.

Apakah Risiko-Risiko dan Komplikasi Pembedahan Mikro Periapikal

Seperti pembedahan yang lain, pembedahan mikro periapikal  juga terdedah kepada risiko dan komplikasi. Prosedur melibatkan gigi posterior (pramolar dan molar) adalah lebih mencabar berbanding dengan gigi anterior.Akar gigi posterior atas biasanya berkait rapat dengan lantai sinus maksila di mana penembusan boleh terjadi semasa prosedur dijalankan. Parestesia atau perasaan kebas yang berpanjangan pada rahang bawah boleh terjadi selepas pembedahan mikro periapikal gigi posterior bawah. Ini adalah disebabkan kedudukan akar gigi yang berhubung rapat dengan foramen mental di mana saraf mandibel melaluinya. Bukanlah mudah untuk mendapatkan tampalan akar yang baik bagi gigi posterior disebabkan anatomi dan kedudukannya.

Prosedur-prosedur Pembedahan Mikro Periapikal

 
1. Gusi ditolak selepas insisi dibuat
 
2. Tulang dibuang untuk mendedahkan kawasan apikal (hujung akar)
 
 
 
 
3.Pendedahan hujung akar dan permukaan tepi akar
 
4. Tip ultrasonik yang khas digunakan untuk penyediaan hujung akar
 
 
 
 
5. Penyediaan saluran apikal (hujung akar)
 
6. Apikal (hujung akar) ditampal dengan Mineral Trioxide Aggregate

Rujukan

  1. James L. Gutmann & Paul E. Lovdahl. Buku Teks:  Problem Solving In Endodontics: Prevention, Identification And Management 5th Edition: 325-355
  2. B. S. Chong and J. S. Rhodes.  Endodontic surgery.  Br Dent J 2014 Mar 21; 216 (6): 281-290
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Zaini bt. Aziz
Akreditor : Dr. Chua Meei Jinn
Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

Artikel Berkaitan

Penyakit Periodontal dan Rawatan Ortodontik

Hasil rawatan ortodontik yang memuaskan boleh dicapai jika pesakit memberi kerjasama yang baik dan kesihatan tisu periodontium yang memuaskan dapat dikekalkan tanpa sebarang kerosakan/kemusnahan yang berlanjutan.

Kesakitan Muka Luar Biasa

Kesakitan muka luar biasa juga dikenali sebagai kesakitan fasial berterusan idiopatik, merujuk kepada kesakitan pada kawasan muka dan kepala yang tidak mempunyai ciri-ciri klasik penyakit lain kawasan kepala dan muka.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,816

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia