–A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Bedah Plastik & Rekonstruktif
  6. /
  7. Pembedahan Rekonstruktif Payudara

Pembedahan Rekonstruktif Payudara

Ia adalah pembedahan pembentukkan payudara untuk menggantikan tisu payudara yang telah dibuang melalui pembedahan kerana barah payudara. Payudara boleh dibentuk melalui pembedahan dengan memasukkan implan silikon atau menggunakan tisu otot, lemak dan kulit yang diambil dari beberapa bahagian tubuh badan pesakit itu sendiri (tisu autologus).

MENGAPA PERLU PEMBEDAHAN REKONSTRUKTIF PAYUDARA?

Secara psikologi:
Pesakit barah payudara sukar menerima hakikat kehilangan payudara. Walaupun pembentukkan payudara baru itu tidaklah sesempurna payudara asal, ia sekurang-kurangnya dapat mengembalikan keyakinan diri pesakit tersebut.

Secara praktikal:
Pesakit mungkin tidak selesa menggunakan payudara palsu sepanjang hayat mereka terutamanya sukar mengenakan pakaian kegemaran mereka.

BILAKAH BOLEH DILAKUKAN PEMBEDAHAN REKONSTRUKTIF PAYUDARA?

Ia boleh dilakukan pada waktu yang sama ketika pembedahan pembuangan barah payudara (mastektomi) iaitu pembedahan rekonstruktif awal atau pun dilewatkan 1-2 tahun selepas mastektomi.

Kebaikan pembedahan rekonstruktif payudara dilakukan awal antaranya ialah kulit dada masih lembut tanpa kesan tisu parut yang mana ini akan menjadikan pembentukkan payudara lebih nilai estetiknya. Tambahan pula selepas selesai pembedahan, pesakit tidak sempat melalui pengalaman ngeri mempunyai kulit dada yang rata tanpa payudara.

Walaubagaimana pun perlu ditekankan bahawa keputusan untuk melakukan pembedahan rekonstruktif payudara bergantung kepada hasil perbincangan terperinci meliputi nasihat doktor pakar mengenai rawatan dan tahap barah payudara serta apa yang diingini oleh pesakit itu sendiri.

Jika rawatan radioterapi diperlukan, lazimnya doktor pakar menasihatkan pembedahan pembentukkan payudara ditunda sekurang-kurangnya setahun supaya kulit dada pulih dari kesan radioterapi.

APAKAH PILIHAN-PILIHAN YANG ADA BAGI PEMBEDAHAN REKONSTRUKTIF PAYUDARA?

  1. TISU AUTOLOGUS
  2. ALOPLASTIK (MENGGUNAKAN “TISSUE EXPANDER / SILICONE IMPLANT”)
  3. GABUNGAN KEDUA-DUANYA

A. TISU AUTOLOGUS

Pembedahan rekonstruktif payudara dengan penggunaan tisu dari bahagian tubuh pesakit itu sendiri dan dipindahkan ke dada. Tisu ini boleh dipindahkan secara “pedicled flap” iaitu bekalan saluran darah yang asal dikekalkan. Jika tisu ini dipindahkan secara “free flap” bermakna bekalan saluran darah yang asal diputuskan dan kemudian disambungkan secara pembedahan mikro (microsurgery) kepada saluran darah di tempat penerima tisu tersebut di bahagian dada.

Kebaikan Tisu Autologus

  • Hasil rekonstruktif payudara yang lebih kelihatan semulajadi dan lebih nilai estetiknya.
  • Tisu yang dipindahkan boleh menyesuaikan keadaan dengan perubahan-perubahan yang berlaku pada tubuh badan pesakit.
  • Sesuai digunakan pada bahagian dada yang pernah menerima radioterapi.
  • Tidak perlu risau kesan sampingan “silicone implant”, pembentukan lapisan kapsul dan “kebocoran” implan.
  • Sebagai alternatif terbaik bagi pesakit yang tidak mahu menggunakan implan atas sebab-sebab tertentu.

Keburukan Tisu Autologus

  • Dari segi teknikalnya, pembedahan ini sedikit mencabar dan memerlukan kemahiran yang tinggi.
  • Memerlukan jangka waktu pembedahan serta penyembuhan dari kesan pembedahan yang agak panjang.
  • Meninggalkan kesan parut pada bahagian penderma tisu badan.
  • Bekalan saluran darah pada tisu penderma dan tisu yang di pindahkan adalah sangat penting dan memberi kesan langsung kepada hasil rekonstruktif.
  • Merokok, obesiti, penyakit diabetes, penyakit kardiovaskular dan penyakit paru-paru kronik boleh menjejaskan pembedahan rekonstruktif.

Jenis-Jenis Tisu Autologus

Tisu TRAM (“Transverse Rectus Abdominis Myocutaneous Flap”)

  • “Pedicled TRAM flap”
    Ia merupakan pembedahan rekonstruktif payudara secara penggunaan tisu kulit dan lemak di bahagian bawah pusat, serta satu bahagian daripada otot abdomen. Ia dipindahkan melalui terowong yang dibuat di bawah kulit ke bahagian dada. Oleh kerana kekurangan bekalan saluran darah ada kalanya kemungkinan tisu lemak akan mati dan menjadi keras serta menjejaskan pemulihan luka. Kesan jangka panjang adalah kehilangan kekuatan otot dinding abdomen hingga 20% serta kemungkinan bonjolan atau “hernia” di bahagian bawah abdomen.

Rajah 1: Pedicled TRAM flap
  • “Free TRAM flap”
    Ia merupakan pembedahan yang hampir sama seperti di atas cuma sebahagian otot beserta dengan saluran darah diputuskan dan dipindahkan kebahagian dada. Saluran darah tisu ini kemudiannya disambungkan secara pembedahan mikro (“microsurgery”) dengan saluran darah yang terdapat di bahagian dada. Kebaikan cara ini ialah bekalan saluran darah yang lebih baik dan mengurangkan risiko kemungkinan tisu lemak mati dan begitu juga kesan bonjolan atau “hernia”.

Rajah 2: Free TRAM flap
  • Namun begitu terdapat beberapa jenis lagi pembedahan TRAM Flap yang boleh diubahsuai mengikut kemahiran teknik tertentu yang mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri seperti “Muscle-Sparing Free TRAM flap”, tisu DIEP (“Deep Inferior Epigastric Perforator flap”) dan tisu SIEA (“Superficial Inferior Epigastric Artery flap”).

Pesakit yang tidak mempunyai tisu kulit abdomen dan tisu kulit belakang badan yang mencukupi boleh memanfaatkan pilihan tisu autologus di bahagian lain tubuh badan.

Tisu SGAP (“Superior Gluteal Artery Perforator Flap”), Tisu IGAP (“Inferior Gluteal Artery Perforator Flap”)

  • Pembedahan ini menggunakan tisu kulit dan lemak di bahagian atas atau bawah punggung mengikut aliran bekalan darah di bahagian tersebut.

Tisu TUG (“Transverse Upper Gracillis Flap’)

  • Pembedahan ini menggunakan tisu kulit dan lemak dari bahagian atas paha.

Tisu Rubens (“Rubens Flap”)

  • Pembedahan ini menggunakan tisu kulit dan lemak dari bahagian pinggang.

Rajah 3: Autologus tissue Options

B. ALOPLASTIK (“TISSUE EXPANDER / SILICONE IMPLANT”)

Pembedahan rekonstruktif payudara dengan penggunaan belon pengembang tisu (“tissue expander”) dan “silicone implant”. Pembedahan ini boleh dilakukan dengan dua cara.

Cara pertama: Pembedahan secara berperingkat.

  • Peringkat 1:
    “Tissue expander” diletakkan di bawah otot dada semasa pembedahan mastektomi iaitu sebagai pembedahan rekonstruktif awal atau pun selepas luka mastektomi sembuh sepenuhnya iaitu sebagai pembedahan rekonstruktif lewat. Belon ini akan dikembangkan secara berkala dengan mengisi cecair melalui injap dan proses ini mengambil masa beberapa bulan mengikut saiz payudara yang dikehendaki.
  • Peringkat 2:
    Setelah saiz payudara yang dikehendaki tercapai, “tissue expander” dikeluarkan dan digantikan dengan “silicone implant” melalui pembedahan kali kedua.

Rajah 4: Tissue expander insertion

Cara kedua: Pembedahan secara satu peringkat

  • “Silicone implant” yang mempunyai belon pengembang serta injap diletakkan di bawah otot dada. Proses pengembangan dilakukan adalah serupa dengan mengisi cecair melalui injap secara berkala. Setelah saiz payudara yang dikehendaki tercapai injap yang disambung kepada belon boleh dikeluarkan melalui pembedahan kecil.

Rajah 5: Implant insertion

Kebaikan “Silicone Implant”

  • Dari segi teknikalnya pembedahan ini lebih mudah dilakukan.
  • Jangka waktu pembedahan dan penyembuhan dari kesan pembedahan adalah lebih singkat
  • Tidak perlu risau kesan parut akibat pengambilan tisu autologus.

Keburukan “Silicone Implant”

  • Tidak sesuai bagi pesakit yang telah menjalani pembedahan mastektomi di mana otot dada turut dibuang.
  • Tidak sesuai bagi pesakit yang telah menjalani atau akan menjalani rawatan radioterapi.
  • Kesan jangka masa panjang yang mungkin boleh berlaku  seperti pembentukan “capsular contracture”  dan kebocoran implant.
  • Kos “tissue expander” dan implan yang mahal.

C. GABUNGAN TISU AUTOLOGUS DAN ALOPLASTIK

Tisu Latissimus Dorsi (“Latissimus Dorsi flap”)

  • Pembentukan payudara dengan menggunakan tisu kulit dan otot dari bahagian belakang badan yang dipindahkan melalui terowong bawah kulit kebahagian dada. Ramai pesakit yang melalui pembedahan sebegini juga memerlukan implan untuk penambahan isipadu atau saiz payudara yang dikehendaki.

Rajah 6: Autologus tissue

Rajah 7: Latissimus Dorsi flap reconstruction

KESIMPULAN

Jenis rekonstruktif payudara serta waktu ianya dilakukan bergantung kepada koordinasi pembedahan onkologi dan prinsip-prinsip pembedahan rekonstruktif. Ianya berbeza di antara individu pesakit dan juga pada situasi yang berlainan.

Doktor pakar hanya memberikan nasihat serta panduan tetapi pesakit adalah memainkan peranan yang penting dalam menentukan keputusan akhir berkenaan pembedahan rekonstruktif yang diingini.

Kualiti hidup selepas pembedahan rekonstruktif payudara tidak dinafikan memberikan impak positif terhadap keyakinan diri pesakit.

 

Semakan Akhir : 19 September 2014
Penulis : Dr. Normala bt. Hj. Basiron
Akreditor : Dr. Salina bt. Ibrahim

 

Artikel Berkaitan

Penyakit Kelamin

Penyakit kelamin boleh disebarkan melalui hubungan seks. Ia juga dikenali sebagai SexuallyTransmitted Infections (STI’s).

HEPATITIS A

Apakah jangkitan Hepatitis A? Hepatitis adalah jangkitan atau radang pada

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia