A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Warga Emas
  4. /
  5. Keadaan Spesifik
  6. /
  7. Pembengkakan Prostat yang Bukan...

Pembengkakan Prostat yang Bukan Kanser

Sebab berlaku pembengkakan prostat tidak difahami sepenuhnya tetapi ia biasanya berlaku kepada lelaki yang telah berumur. Disebabkan ianya tidak terjadi kepada lelaki yang dibuang testis sebelum baligh, sesetengah orang berpendapat faktor-faktor berkaitan dengan penuaan dan testis yang mendorong perkembangan pembengkakan prostat.

Prostat adalah satu kelenjar yang menjadi sebahagian kepada sistem reproduktif lelaki. Kelenjar ini terdiri daripada dua lobar (lobes) yang diselaputi oleh satu lapisan tisu luar .

Ia terletak di hadapan rektum dan di bawah pundi kencing yang menyimpan urin. Prostat juga mengelilingi uretra, satu saluran di mana urin dialirkan keluar daripada badan.

Adalah menjadi kebiasaan untuk kelenjar prostat membengkak bila seseorang lelaki meningkat umur. Keadaan ini dikenali sebagai pembengkakan prostat yang bukan kanser.

Kenapa Pembengkakan Prostat Berlaku

Sebab berlaku pembengkakan prostat tidak difahami sepenuhnya tetapi ia biasanya berlaku kepada lelaki yang telah berumur. Disebabkan ianya tidak terjadi kepada lelaki yang dibuang testis sebelum baligh, sesetengah orang berpendapat faktor-faktor berkaitan dengan penuaan dan testis yang mendorong perkembangan pembengkakan prostat.

Sepanjang hidup, lelaki menghasilkan hormon testosteron. Adalah dipercayai hormon dihydrotes-tosterone (DHT), satu bahan yang berasal daripada testosteron di dalam kelenjar prostat yang menyebabkan ia membengkak. Dengan peningkatan umur, lelaki terus mengeluar dan mengumpul paras DHT yang tinggi dalam prostat. Pengumpulan DHT ini menggalakkan pertumbuhan sel prostat dan menyebabkan pembengkakan prostat.

Tanda dan Gejala

Gejala pembengkakan prostat berpunca daripada penyumbatan saluran kencing dan kehilangan fungsi pundi kencing secara beransur. Ini akhirnya menyebabkan pundi kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya.

Simptom-simptom pembengkakan prostat adalah pelbagai. Saiz kelenjar prostat tidak semestinya menunjukkan keterukan penyumbatan atau keterukan simptom-simptomnya, tetapi kebanyakannya melibatkan perubahan dalam pembuangan air kencing seperti:

  • Aliran yang tidak lancar, tersekat-sekat dan perlahan
  • Tidak tertahan hendak kencing dan meleleh atau menitis
  • Kencing kerap terutama waktu malam

Komplikasi

Pembengkakan prostat yang teruk boleh menyebabkan masalah yang serius:

  • Seseorang yang ada pembengkakan prostat mungkin tidak mempunyai gejala sehingga dia mendapat retensi urin akut. Retensi urin akut adalah keadaan di mana urin langsung tidak boleh mengalir keluar, mungkin dicetuskan oleh pengambilan ubat selsema atau alergi.
  • Retensi urin dan tekanan pada pundi kencing boleh menyebabkan jangkitan saluran kencing, kerosakan pundi kencing atau buah pinggang, batu karang dan inkontinen.
  • Jika pundi kencing sudah rosak, rawatan pembengkakan prostat mungkin tidak berkesan.

Diagnosa

Adalah penting untuk memberitahu doktor mengenai masalah pembuangan air kencing seperti mana yang diterangkan di atas. Dalam 8 daripada 10 kes, simptom-simptom ini menandakan pembengkakan prostat tetapi ia juga boleh menandakan keadaan lain yang lebih serius seperti kanser prostat yang memerlukan rawatan segera. Dapatkan pemeriksaan tahunan. Kebanyakan ujian membantu mengenalpasti masalah dan ujian ini adalah berbeza mengikut pesakit. Di bawah adalah ujian yang biasa dilakukan:

  1. Pemeriksaan Rektal Digital (Digital Rectal Exam (DRE))
    Biasanya ujian pertama yang dilakukan dengan memasukkan jari yang bersarung getah ke dalam rektum dan merasa bahagian prostat yang bersebelahan dengan rektum. Pemeriksaan ini memberi idea berkenaan saiz dan juga keadaan kelenjar tersebut.
  1. Ujian Darah (Prostate Specific Antigen (PSA))
    Satu ujian darah yang membantu menolak kemungkinan kanser prostat sebagai penyebab. PSA adalah sejenis protein yang dihasilkan oleh sel prostat, biasanya tinggi di dalam darah seseorang yang menghidapi kanser prostat
  1. Rectal Ultrasound
    Probe (sejenis alat yang terdapat pada mesin ultrasound) dimasukkan ke dalam rektum untuk mengeluarkan gelombang bunyi. Corak gema (echo patterns) gelombang bunyi yang terhasil membantu mengesan masalah prostat. Kedua-dua ujian PSA dan ultrasound meningkatkan pengesanan bila digabungkan dengan saringan DRE. Tetapi ujian-ujian ini secara perbandingan mempunyai kadar false-positive yang tinggi dan ia mengesan lebih banyak ketumbuhan yang tidak bahaya dari segi perubatan
  1. Ujian-ujian lain termasuk:
    1. Ujian Aliran Kencing (Urine Flow Study)
      Pesakit kencing dalam satu alat yang mengukur berapa laju pengaliran air kencing. Aliran yang perlahan biasanya menandakan pembengkakan prostat
    1. Pyelogram Intravena (Intravenous Pyelogram (IVP))
      Sejenis X-ray kepada saluran kencing di mana pewarna (dye) disuntik ke dalam salur darah vena, ia dikeluarkan melalui buah pinggang dan x-ray akan diambil. Pewarna ini menyebabkan aliran air kencing dapat dilihat dalam x-ray dan dapat menunjukkan penyumbatan atau sekatan dalam saluran kencing
    1. Cystoscopy
      Di mana doktor memasukkan satu tiub yang kecil melalui satu pembukaan salur kencing pada zakar selepas bius setempat. Tiub ini dinamakan “cystoscope”, yang mempunyai kanta dan sistem pencahayaan yang membantu melihat bahagian dalam salur kencing dan pundi kencing. Cystoscope membantu mengenalpasti saiz kelenjar serta lokasi dan keterukan penyumbatan.

Rawatan

Seseorang lelaki yang menghidapi pembengkakan prostat dengan simptom biasanya memerlukan rawatan pada masa tertentu. Doktor biasanya akan menasihatkan untuk terus mendapatkan rawatan bila masalah menjadi mudarat atau menjejaskan kesihatan pesakit.

Sebahagian penyelidik melaporkan bahawa rawatan awal mungkin tidak diperlukan kerana simptom-simptom pembengkakan prostat akan hilang tanpa rawatan dalam 1/3 daripada kes-kes ringan. Daripada mendapat rawatan segera, pemeriksaan doktor yang berkala untuk mengesan masalah awal adalah lebih berfaedah.

Rawatan ubat-ubatan

Ubat boleh didapati untuk menghalang pengeluaran hormon DHT. Ubat ini boleh mengecut atau sekurang-kurangnya memberhentikan pembengkakan prostat tanpa pembedahan.

Ubat-ubat yang bertindak dengan mengendurkan otot-otot prostat dan leher pundi kencing dapat meningkatkan pengaliran urin dan mengurangkan penyekatan di pembukaan pundi kencing. Ubat-ubatan ini tergolong dalam kumpulan ubat yang dikenali sebagai alpha blockers.

Rawatan bukan pembedahan

Bukan semua pesakit boleh dirawat secara berkesan dengan ubat-ubatan. Pada tahun kebelakangan ini, terdapat perkembangan beberapa prosedur yang dapat melegakan simptom pembengkakan prostat yang kurang invasive berbanding dengan pembedahan. Ini termasuklah:

  1. Transurethral Microwave thermotherapy hermotherapy
    Satu alat yang menggunakan mikrowave yang dikawal oleh komputer dimasukkan melalui tiub untuk memanaskan dan memusnahkan bahagian tertentu tisu prostat. Satu sistem penyejukan melindungi saluran kencing semasa prosedur ini.
  1. Transurethral Needle Ablation
    Menghasilkan tenaga pemancaran yang rendah melalui jarum berkembar untuk membakar bahagian prostat yang membengkak. Penghalang (shields) melindungi saluran kencing daripada kepanasan.

Rawatan Pembedahan

Pembedahan melibatkan pembuangan bahagian kelenjar prostat yang membengkak dan ini akan melegakan penyumbatan dan membolehkan pengosongan pundi kencing sepenuhnya. Ia adalah penyelesaian yang terbaik untuk jangka panjang bagi pesakit dengan pembengkakan prostat. Ini termasuklah:

  1. Pembedahan (TURP)
    Digunakan dalam 90% daripada semua pembedahan prostat dan tidak memerlukan turisan (incision) dari luar. Selepas dibius, pakar bedah memasukkan tiub melalui salur kencing di zakar untuk sampai ke kelenjar prostat. Pakar bedah menggunakan gelung wayar untuk membuang tisu yang menyebabkan penyumbatan secara sedikit demi sedikit. Prosedur ini kurang mencederakan dan tempoh pemulihan adalah lebih pendek.
  1. Pembedahan terbuka
    Dalam segelintir pesakit di mana prosedur melalui salur kencing tidak dapat dilakukan, pembedahan terbuka yang memerlukan turisan dari luar boleh digunakan. Pembedahan terbuka biasa digunakan bila kelenjar terlalu besar, terdapat komplikasi lain atau bila pundi kencing perlu diperbaiki.
  1. Pembedahan Laser
    Satu prosedur pembedahan menggunakan fiber laser untuk menyejatkan dan mengecutkan tisu prostat yang menyebabkan penyumbatan. Satu kelebihan pembedahan laser berbanding dengan TURP adalah ia menyebabkan kurang kehilangan darah.

Ia mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk pulih sepenuhnya. Semasa tempoh pemulihan, berikut adalah sebahagian daripada komplikasi yang boleh berlaku:

  1. Masalah Kencing
    Aliran kencing menjadi lebih laju sebaik selepas pembedahan, tetapi ia mungkin mengambil masa seketika sebelum kembali kepada aliran biasa.
  1. Ketidakupayaan mengawal kencing (Inkontinen)
    Bila pundi kencing kembali normal, mungkin terdapat masalah sementara untuk mengawal kencing walaupun inkontinen jangka panjang jarang berlaku.
  1. Pendarahan
    Dalam beberapa minggu yang awal selepas pembedahan melalui saluran kencing, kuping (scab) yang terdapat di dalam pundi kencing menjadi longgar dan pendarahan dalam air kencing mungkin timbul semula.
  1. Fungsi Seks Selepas Pembedahan
    Ia mengambil masa untuk fungsi seks kembali sepenuhnya. Tetapi kebanyakan lelaki akan dapat menikmati perhubungan seks semula dalam masa setahun.
Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Yau Weng Keong
Penyemak : Dr. Ho Bee Kiau

Artikel Berkaitan

Pelat Di Kalangan Warga Tua

Mungkin ada antara kita yang pernah melihat individu yang mendapat serangan angin ahmar dan pertuturannya sukar difahami. Mereka mungkin mendapat disatria dan/atau apraksia.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,816

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia