Apakah CTU?
-
Computed Tomography Urography (CTU) merupakan pemeriksaan imbasan CT untuk melihat sistem urinari yang mengandungi ginjal, ureter (salur tiub kencing) dan pundi kencing.
-
Untuk memperlihatkan sistem urinari dengan jelas, anda perlu minum bayak air kosong bagi memenuhkan pundi kencing.
-
Pemeriksaan ini tidak memerlukan suntikan media kontras.
Sebab-sebab pemeriksaan CTU dijalankan
Antara sebab utama pemeriksaan ini dilakukan adalah untuk melihat batu karang [1].
Bagaimanakah untuk saya mendapatkan pemeriksaan ini dan di mana?
-
Apabila anda datang berjumpa dengan doktor yang merawat anda, doktor tersebut akan menentukan samada anda memerlukan pemeriksaan ini.
-
Sekiranya perlu doktor tersebut akan membuat permohonan pemeriksaan menggunakan Borang Permohonan Pemeriksaan Radiologi.
-
Pemeriksaan ini terdapat di hospital-hospital KKM terpilih.
Sebelum pemeriksaan
-
Juru X-ray akan menerangkan tentang pemeriksaan dan arahan yang perlu anda ikuti.
-
Anda perlu minum air untuk penuhkan pundi kencing kerana pundi kencing yang penuh amat penting untuk mendapatkan imej yang lebih lengkap supaya pakar radiologi dapat menyediakan laporan yang lengkap dan tepat.
-
Jika anda kencing sebelum pemeriksaan, anda perlu minum semula untuk memenuhkan pundi kencing.
-
Anda tidak perlu berpuasa.
-
Anda perlu menanggalkan pakaian dan menukar kepada pakaian hospital yang disediakan.
-
Maklumkan kepada doktor dan/atau Juru X-ray sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.
Semasa pemeriksaan
-
Anda diminta baring di atas meja pemeriksaan CT.
-
Juru X-ray akan menerangkan prosedur pemeriksaan dan diikuti oleh arahan yang tertentu.
-
Meja pemeriksaan akan digerakkan ke dalam gantry untuk pemeriksaan.
-
Juru X-ray akan berada di luar bilik kawalan untuk mengendalikan mesin imbasan CT.
-
Walaubagaimana pun anda boleh berhubung dengan Juru X-ray melalui interkom pada setiap masa sepanjang pemeriksaan.
Selepas pemeriksaan
-
Anda dibenarkan menukar pakaian.
-
Pemeriksaan selesai dan sila ikut temujanji anda dengan doktor yang merawat anda seperti yang ditetapkan.
Laporan pemeriksaan
Imej-imej yang dihasilkan akan diteliti oleh pakar radiologi dan laporan radiologi akan disediakan.
Rujukan
-
Alderson SM, Hilton S. and Papinocolaou N., 2011, CT Urography: Review of technique and spectrum of diseases, Applied Radiology, http://www.appliedradiology.com/Issues/2011/07/ Articles/AR_07-08-11_Hilton/CT-urography-Review-of-technique-and-spectrum-of-diseases.aspx
Semakan Akhir | : | 9 Jun 2014 |
Penulis | : | Solehah binti Ismail |
Akreditor | : | Norman Serbastian Alangaram |