Pemeriksaan Pergigian Berkala bagi Orang Dewasa
Pemeriksaan pergigian penting untuk anda mengetahui sekiranya anda mempunyai sebarang masalah pergigian dan juga untuk memastikan kesihatan pergigian anda sentiasa dalam keadaan baik.
Anda mungkin biasa mendengar saranan atau nasihat berbunyi ‘Periksa Gigi Setiap 6 bulan sekali’ sejak zaman persekolahan lagi. Bagaimanapun sesetengah orang mungkin tidak perlu pergi terlalu kerap atau sebahagian yang lain perlu mendapatkan pemeriksaan dengan lebih kerap. Sebenarnya, jarak masa antara pemeriksaan boleh berbeza-beza dari 3 bulan hingga 2 tahun bergantung kepada tahap kesihatan pergigian (gigi atau gusi) dan juga faktor-faktor risiko. Sikap bertangguh atau membiarkan masalah menjadi serius tidak patut diamalkan. Mencegah adalah lebih baik dari merawat, ini bukan sahaja mengelakkan anda dari kesakitan tetapi juga boleh menjimatkan kos dan masa. |
|
Semasa pemeriksaan, doktor gigi biasanya:-
- Memeriksa gigi, gusi dan mulut anda.
- Bertanya tentang kesihatan badan anda*.
(*Seseorang yang mempunyai penyakit sistemik seperti Diabetes (kencing manis), penyakit Kardiovaskular, penyakit perdarahan, penyakit auto imun adalah mereka yang mempunyai risiko). - Bertanya tentang apa-apa perubahan berkaitan dengan kesihatan gigi, gusi dan mulut anda semenjak lawatan yang terakhir.
- Bertanya dan juga memberi nasihat tentang diet, pengambilan alkohol dan rokok serta amalan pembersihan gigi (memberus, memflos gigi, penggunaan ubat kumur dan sebagainya).
Tunjuk ajar memberus gigi dan memflos gigi kepada pesakit - Berbincang tentang rawatan yang perlu anda terima sekiranya perlu.
- Berbincang dan menetapkan tarikh temu janji atau pemeriksaan yang akan datang.
Setelah melakukan pemeriksaan, doktor gigi anda akan dapat menilai tahap kesihatan pergigian anda. Seterusnya beliau akan mencadangkan kekerapan pemeriksaan pergigian yang sesuai bagi anda.
Sekiranya tahap kesihatan pergigian anda sangat baik, anda mungkin akan dinasihatkan untuk datang semula sekali dalam tempoh 1 hingga 2 tahun. |
Bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai masalah atau faktor risiko , anda akan dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan lebih kerap sama ada 3 bulan, 6 bulan atau 1 tahun.
Selain mengesan masalah pergigian di peringkat awal, pemeriksaan pergigian juga boleh menyelamatkan nyawa. Ini kerana 300,000 kes baru kanser mulut didiagnos setiap tahun. Anda mungkin tidak mengetahui bahawa anda sedang menghadapi masalah kerana tanda-tanda tersebut biasanya tersembunyi. Doktor gigi anda akan memeriksa sekiranya terdapat sebarang kelainan pada mukosa mulut, bibir, lidah, lelangit dan tekak. Pengesanan awal lesi berpotensi malignan dan kanser mulut membolehkan rawatan awal dilakukan.
Anda boleh mendapatkan pemeriksaan pergigian di mana-mana klinik pergigian berdaftar berhampiran tempat anda. Sila semak di www.moh.gov.my untuk alamat klinik-klinik pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia.
Salah sebuah klinik pergigian Kementerian Kesihatan
Kesimpulannya, pemeriksaan pergigian secara berkala amat penting bagi memastikan kesihatan anda.
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Che Noor Aini bt. Che Omar |
Dr. Sharol Lail b. Sujak | ||
Dr. Laila bt. Abd Jalil | ||
Penyemak | : | Dr. Sharol Lail bin Sujak |