A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Laman Utama
  4. /
  5. Penanda Kanser

Penanda Kanser

Kanser

Kanser adalah antara penyebab utama kematian di seluruh dunia, iaitu 7.6 juta kematian pada 2008. Setiap tahun, kanser paru-paru, perut, hati, usus dan payudara adalah antara kanser yang paling banyak menyebabkan kematian.


Gambar 2: Graf jenis penyakit kanser yang terjadi mengikut umur dalam lelaki dan perempuan.
Sumber gambar: http://globocan.iarc.fr/factsheets/populations/factsheet.asp?uno=900

 

Gambar 1: Kanser boleh menyebabkan tekanan kepada pesakit.
Sumber gambar: http://www.health.com/health/stress-management/

Hampir 30% kematian adalah disebabkan oleh gaya hidup dan corak pemakanan yang berisiko seperti berlebihan berat badan atau obesiti, diet yang tidak seimbang, kurang bersenam, tabiat merokok dan pengambilan alkohol berlebihan. Kematian akibat kanser dijangka akan terus meningkat sehingga 13.1 juta kematian pada 2030.


http://www.fabuloussavings.com/blog/wp-content/uploads/2010/12/Lazy-Exercise.jpg

Kanser terjadi akibat pertumbuhan sel yang tidak terkawal. Kanser menjadi bahaya apabila sel tersebut mengganggu fungsi normal pada badan dan ia ditampilkan melalui gejala-gejala tertentu. Kebiasaannya, gejala-gejala ini hanya kelihatan apabila kanser telah berada di peringkat yang teruk.

Gambar 2: Sel-sel kanser prostat.
Sumber gambar: http://www.bbc.co.uk/news/health-21628911

 

Terdapat dua kategori kanser iaitu bukan barah (benign) dan barah (malignant). Sel barah lebih merbahaya kerana ia boleh merebak dari tempat ia mula terjadi ke organ atau bahagian badan yang lain secara sistemik (melalui saluran darah atau limfa) dan boleh melumpuhkan fungsi organ yang lain sehingga menyebabkan kematian.

 

A Kanser (benign)  B: Kanser (malignant)

Sumber gambar: http://medical-dictionary.thefreedictionary.com/benign+tumor

Penanda kanser

Penanda kanser adalah suatu bahan yang boleh diukur di dalam darah, tisu badan atau cecair badan yang lain. Nilai yang diukur dapat membantu dalam proses mengesan dan merawat pesakit kanser. Ianya mungkin berbentuk protein, antigen atau hormon dan lain-lain.

  Pengesanan penanda kanser dalam tisu badan melalui ujian histologi.
Sumber: http://www.epitomics.com/diagnostics/product/5613
  • Peranan penanda kanser

    Ia sangat membantu dalam penentuan jenis dan keadaan kanser (keagresifan, kadar pertumbuhan, dan peringkat kanser). Keputusan ujian penanda kanser lebih berguna untuk pendiagnosan dan perawatan penyakit sekiranya digunakan bersama-sama dengan ujian-ujian lain seperti ujian radiologi seperti X-ray atau biopsi tisu.

    Secara amnya, sejenis penanda kanser yang sama boleh hadir dalam beberapa jenis kanser yang berasal dari tisu yang sama. Penanda kanser boleh menjadi tinggi dalam pesakit kanser, namun begitu kadangkala peningkatannya juga boleh terjadi dalam pesakit yang mempunyai tumor (bukan kanser) atau dalam badan orang yang normal. Ia dihasilkan oleh sel kanser itu sendiri atau sel lain dalam badan sebagai tindakbalas terhadap kehadiran kanser tersebut.

  • Penanda kanser yang ideal

    Penanda kanser yang ideal dapat menentukan kanser secara spesifik dan sangat sensitif untuk mengesan kehadiran kanser pada peringkat awal penyaringan atau pendiagnosan kanser. Namun begitu sehingga kini, penanda kanser yang telah dijumpai tidak mempunyai ciri-ciri tersebut.

    Walaupun penanda kanser tidak begitu spesifik atau sensitif terhadap sesuatu jenis kanser tetapi kebiasaannya, selepas menjalani rawatan, atau pembedahan, paras penanda kanser dalam badan pesakit akan menurun berbanding sebelumnya. Ia juga boleh diukur untuk menilai keberkesanan sesuatu kaedah rawatan atau terapi dan kemungkinan keberulangan kanser.

  • Keperluan ujian penanda kanser

    Ujian penanda kanser hendaklah dijalankan sekiranya terdapat indikasi atau nasihat pengamal perubatan, kerana ia boleh menyebabkan kerugian kepada individu ataupun kerajaan sekiranya dilakukan secara sembarangan.

    Sebagai contoh, keputusan penanda kanser yang sedikit tinggi dari julat normal akan mendorong seseorang untuk melakukan siasatan lanjut dengan menjalankan pengesanan kanser melalui kaedah kolonoskopi, CT atau MRI. Selain daripada pembaziran kos, ia juga akan menimbulkan kerisauan atau tekanan kepada individu yang terlibat.

    Sumber gambar: www.medindia.net

Jenis-Jenis Penanda Kanser

Terdapat pelbagai penanda kanser yang telah ditemui dan digunakan di dalam bidang perubatan sehingga ke hari ini.

Contoh penanda kanser yang biasa digunakan pada hari ini ialah seperti berikut:

  • CEA (Carcinoembriogenic antigen)

    Carcinoembriogenic antigen (CEA) adalah sejenis protein yang mungkin hadir di dalam darah kebanyakan pesakit yang menghidap kanser terutamanya kanser di bahagian usus besar (kolon dan rektum). Ia juga mungkin hadir disebabkan oleh kanser lain seperti kanser pankreas, payudara, ovari atau paru-paru.

    CEA dihasilkan semasa perkembangan fetus dan penghasilannya akan terhenti sebelum kelahiran. Penanda kanser ini hampir tiada dalam darah orang dewasa yang sihat.

    Keadaan-keadaan lain (bukan kanser) yang boleh meningkatkan CEA dalam darah antaranya ialah sirosis, hepatitis, penyakit keradangan usus, penyakit ulser peptik, atau keradangan pundi hempedu (cholecystitis).
    Selain itu, peningkatan parasnya juga boleh berlaku dalam darah seseorang perokok tegar walaupun tiada kehadiran kanser.

    CEA sangat membantu dalam pengesanan kejadian kanser berulang selepas seseorang pesakit menjalani rawatan. Namun ia tidak sesuai digunakan untuk penyaringan atau pendiagnosan kanser yang masih di peringkat awal.

  • CA 125 (Cancer Antigen 125)

    Paras CA125 akan meningkat apabila sel-sel kanser ovari membebaskannya ke dalam saluran darah pesakit. Ia merupakan protein yang dihasilkan dengan banyak oleh lapisan permukaan sel-sel kanser ovari berbanding sel-sel badan yang lain.

    Kebiasaannya ujian CA125 dijalankan untuk melihat keberkesanan rawatan yang dijalankan atau mengesan kanser yang berulang. 

    Selain itu, ia juga digunakan untuk menentukan tempat asal permulaan kanser apabila seorang wanita didiagnosa mempunyai kanser pada organ lain (kanser metastasis) selain ovari. CA125 juga boleh diukur didalam cecair pleura ataupun cecair peritoneum selain di dalam darah,

    Penanda kanser ini tidak sesuai digunakan dalam proses penyaringan penyakit kanser. Hasil ujian CA125 yang digunakan bersama keputusan pengimbas ultrabunyi dapat membantu mengesan kanser ovari dalam seseorang wanita yang mempunyai risiko tinggi mendapat penyakit tersebut.

  • CA 19-9 (Cancer antigen 19-9)

    Penanda kanser CA 19-9 mula digunakan dalam pengesanan kanser kolon-rektal, tetapi ia selalu digunakan dalam perawatan pesakit kanser pankreas. Penanda kanser CEA adalah lebih sesuai digunakan untuk kanser kolon-rektal.

    Walaupun ia tidak begitu sensitif untuk mengesan kehadiran kanser di peringkat awal, namun ia masih lagi penanda kanser yang terbaik untuk pesakit kanser pankreas.
    Sekiranya pesakit yang baru didiagnosa menghidap kanser pankreas mempunyai paras CA 19-9  yang tinggi berbanding julat normal, ia menunjukkan tahap kanser tersebut berada di peringkat yang 3 atau 4.

    CA19-9 juga digunakan untuk kanser pundi kencing terutama untuk melihat keagresifan kanser tersebut. Selain peningkatannya juga boleh dilihat pada penyakit kanser pada saluran pencernaan, terutamanya kanser perut dan pundi hempedu. Keadaan bukan kanser yang akan meninggikan nilai CA19-9 dalam badan seseorang ialah penyakit tiroid, rheumatoid artritis, inflamasi sistem usus ataupun pankreas.
     

  • CA 15-3 (Cancer antigen 15-3)

    Penanda kanser CA 15-3 digunakan secara meluas untuk penyakit kanser payudara. Hanya 10% peningkatannya dapat dikesan pada kanser payudara peringkat awal, manakala ianya boleh dikesan dalam 70% pesakit kanser payudara yang sudah berada diperingkat 3 atau 4. 
    Parasnya akan menurun sekiranya rawatan yang diberikan berkesan, tetapi ia akan meningkat semula beberapa minggu pertama selepas rawatan mula dijalankan. (Peningkatannya berlaku kerana sel-sel yang mati semasa proses rawatan merembeskan kandungannya ke dalam aliran darah).

    CA 15-3 juga boleh dikesan dalam kanser-kanser lain seperti kanser paru-paru, kolon, pankreas, ovari dan kanser payudara (benign), penyakit ovari, endometriosis dan hepatitis.
    Paras yang tinggi juga kadangkala boleh terjadi dalam wanita yang tidak mempunyai kanser.

  • PSA (Prostate Specific Antigen)

    Sel prostat yang normal menghasilkan sejenis protein yang dinamakan Prostate Specific Antigen (PSA). Peningkatan paras PSA berbanding julat normal menandakan kehadiran kanser prostat. Namun ia juga meningkat dengan kehadiran tumor yang tidak merbahaya iaitu benign prostatic hyperplasia (BPH) selain jangkitan bakteria akut pada kalenjar prostat ataupun pengambilan ubat-ubatan tertentu.

    Ujian PSA telah digunakan secara meluas dalam program penyaringan kanser prostat. Namun pelbagai kajian masih dijalankan untuk melihat keberkesanan peranannya dalam proses penyaringan kanser tersebut.

    Paras PSA juga boleh mengambarkan isipadu kalenjar prostat selain ianya juga akan meningkat seiring dengan pertambahan umur.

    Pemeriksaan rektum secara digital (Digital Rectum Examination)  bersama dengan ujian PSA dapat membantu para doktor melakukan diagnosa kanser prostat dengan lebih tepat.

  • AFP (Alpha-Fetoprotein)

    Alpha-Fetoprotein (AFP) merupakan protein yang dihasilkan semasa tiga bulan pertama perkembangan fetus. Kemudian ia akan menurun secara mendadak apabila seorang bayi berumur 1 tahun dan parasnya sangat rendah dalam badan seorang dewasa yang sihat.

    AFP selalunya tinggi berbanding paras normal sekiranya seseorang menghidap kanser hati atau hepatoselular karsinoma. Nilainya juga akan meningkat disebabkan tumor sel germa, iaitu penyakit yang jarang-jarang berlaku. Kanser lain yang juga akan meningkatkan paras AFP termasuklah penyakit Hodgkin, limfoma dan kanser ginjal.

    Kadangkala terdapat juga pesakit-pesakit kanser tersebut tidak mengalami kenaikan paras AFP. Selain kanser, keadaan lain yang akan menyebabkan nilai AFP yang tinggi dalam darah ialah sirosis, penyakit hepatitis yang kronik dan wanita hamil.

  • HCG (Human Chorionic Gonadotrophin)

    HCG merupakan sejenis hormon glikoprotien yang mengandungi subunit beta (?-HCG). Hormon ini akan meningkat secara normal dalam  wanita hamil. Peningkatannya boleh dikaitkan dengan kanser yang berasal dari sel ovum atau sperma seperti kanser ovari atau testis (tumor sel germa) dan penyakit gestational trophoblastic terutamanya choriocarcinoma.

    Dalam keadaan normal peningkatan HCG dalam wanita boleh dikaitkan dengan kehamilan. Ia juga amat berguna dalam mengesan dan memantau kehamilan luar rahim, kehamilan molar dan juga masalah keguguran. Hormon ini tidak akan wujud di dalam badan seorang lelaki yang sihat.

 Terdapat pelbagai penanda kanser lain seperti Anaplastic lymphoma kinase (ALK),BCR-ABL, Beta-2-microglobulin (B2M), Bladder tumor antigen (BTA), BRAF, CA 27-29, Calcitonin, Chromogranin A, Epidermal growth factor receptor (EGFR) dan lain-lain.

Namun begitu sebahagiannya masih belum digunakan secara meluas kerana pelbagai faktor antaranya seperti kesesuaian penggunaan yang masih dalam diperingkat penyelidikan, penglibatan kos yang tinggi dalam pengujian dan lain-lain.

Sampel dan persediaan pesakit untuk ujian penanda kanser

Penanda kanser boleh dikesan melalui kaedah  kualitatif atau kuantitatif menggunakan sampel darah, urin, tisu badan atau cecair badan yang lain.

Pesakit tidak perlu berpuasa, darah boleh diambil dari pesakit pada bila-bila masa. Namun begitu faktor-faktor seperti tempoh sebelum rawatan, pengambilan ubat-ubatan, umur, jantina dan lain-lain boleh mempengaruhi keputusan ujian penanda kanser.

 

http://melanomablog.co.uk/update-on-vitamin-d/2011/01/30/

Kaedah ujian penanda kanser

Terdapat beberapa kaedah yang digunakan dalam mengukur paras penanda kanser dalam spesimen pesakit. Antaranya ialah seperti kaedah immunoassay, proteomic, genomic atau bioinformatic.

 
http://www.riqas.com/immunoassay-speciality-I-eqa.php

Pemilihan kaedah adalah berdasarkan jenis penanda kanser yang ingin dikesan dan sampel yang terlibat samada darah, urin, tisu badan atau cecair badan yang lain.

Jadual 1 dibawah adalah ringkasan tentang penanda-penanda yang telah dijelaskan sebelum ini.  Terdapat juga julat normal untuk penanda-penanda kanser tersebut. Namun harus diingatkan bahawa julat normal tersebut hanyalah sebagai panduan kerana ianya berbeza bagi setiap individu dan makmal-makmal berlainan. Pakar perubatan anda adalah yang paling sesuai dalam menterjemahkan nilai penanda kanser yang diukur.

Penanda kanser

Tempat sintesis primer oleh sel kanser

Positif palsu

Julat Normal

Alpha-fetoprotein (AFP)

Hati, sel-sel germa ovari atau testis

Hamil

0-6.4 IU/ml (kecuali perempuan hamil)

CA15-3 (carbohydrate antigen 15-3)

Payudara

 

< 31 U/ml

CA19-9

Pankreas, kolon-rektal

 

< 33 U/ml

CA125

Ovari

Hamil, Haid

0-35 U/ml

Carcinoembryonic antigen (CEA)

Kolon

Merokok

< 3 ng/ml
< 5 ng/ml (perokok)

hCG (human chorionic gonadotropin)

Penyakit Trophoblastic, Choriocarcinoma

Hamil, merokok, kegagalan testis

> 31 IU/ml

Prostate specific antigen (PSA)

Prostat

 

< 4 ng/ml

Jadual 1

Rujukan

  1. http://www.uihealthcare.org/2column.aspx?id=23746
  2. Tumor Markes: Physiology, Pathobiology, Technology, Clinical Apllications
  3. Eleftherios P. Diamandis et al. 2002
  4. http://books.google.com.my/books?id=qwJHDfXMozUC&printsec=frontcover&dq=tumor+marker&hl=en&sa=X&ei=YFHCUby8BonYrQfrqYDoAQ&ved=0CDgQuwUwAA#v=onepage&q=tumor%20marker&f=true
  5. Pagana KD, Pagana TJ (2010). Mosby’s Manual of Diagnostic and Laboratory Tests, 4th ed. St. Louis: Mosby Elsevier.
  6. http://www.webmd.com
  7. http://emedicine.medscape.com/article/457394-overview#a1
  8. http://www.urmc.rochster.edu/encyclopedia/content.aspx?ContentTypeID=167&ContentID=alpha_fetoprotein_tumor_marker
  9. Clinical Practice Guidelines on Serum Tumor Markers, 2003. Academy of Medicine of Malaysia and Ministry of Health of Malaysia. www.acadmed.org.my

 

Semakan Akhir : 18 Jun 2014
Penulis : Raja Hasyidah bt. Raja Bongsu
Akreditor : Norhaniza bt. Hassan

 

 

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

Mac 2011

Mac 2011 Isnin – Jumaat, 7 – 18 Mac 2011

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,635

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia