A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Pergigian Umum
  6. /
  7. Pengambilan Gula Dan Kesihatan...

Pengambilan Gula Dan Kesihatan Pergigian

Pengambilan makanan dan minuman manis/bergula yang kerap tidak baik untuk kesihatan termasuk kesihatan pergigian.

Kekerapan pengambilan gula, sering dikaitkan dengan risiko mengalami karies (kerosakan) gigi. Oleh itu, penting untuk mengetahui kenapa dan bagaimana gula boleh menjejaskan kesihatan pergigian.

Definisi gula

Lazimnya, istilah gula digunakan untuk menerangkan gula ringkas (monosakarida dan dwisakarida) seperti sukrosa, glukosa dan fruktosa. Gula jenis ini boleh ditemui di dalam makanan atau mungkin ditambah dalam makanan semasa penyediaan makanan.

Saintis menggunakan perkataan gula `intrinsik’ bagi gula yang hadir secara semula jadi di dalam makanan, contohnya di dalam buah-buahan dan sayuran. Gula `ekstrinsik’ adalah gula yang ditambah kepada makanan, contohnya madu, sirup glukosa, gula perang atau gula pasir dan juga gula yang didapati hadir secara `bebas’ di dalam sesuatu makanan, contohnya laktosa di dalam susu.

Pengambilan Gula dan Karies Gigi.

Banyak kajian telah membuktikan bahawa apabila kekerapan pengambilan gula meningkat dan kelekitan makanan manis bertambah, kadar pembentukan karies juga meningkat.

Bakteria mulut (Streptokokus) memecahkan/mencernakan gula ringkas untuk menghasilkan asid. Kehadiran makanan manis yang berterusan di dalam mulut akan mewujudkan persekitaran mulut yang berasid (pH rendah). Setiap kali kita mengambil makanan atau minuman mengandungi bakteria Streptokokus yang terdapat di permukaan gigi akan menghasilkan asid.Asid akan melarutkan mineral dari permukaan gigi, dan gigi menjadi karies.

Fungsi swa-pembersihan (self cleansing) oleh air liur kurang berkesan jika makanan yang melekat pada permukaan gigi adalah manis dan melekit. Pembentukan asid akan berterusan selama 20 hingga 30 minit selepas makan atau minum, dan lebih lama sekiranya sisa makanan terperangkap di antara gigi atau masih berada di dalam mulut. Episod penyahmineralan yang berterusan akan menyebabkan karies dan pembentukan kaviti.

Di antara waktu makan dan minum, air liur akan meneutralkan asid dan membantu proses pemineralan semula gigi. Kehadiran fluorida akan mempercepatkan proses ini. Walau bagaimanapun, tabiat mengambil snek manis di antara waktu makan akan mengganggu proses pemineralan semula. Jadi, gantikan snek manis dengan buah-buahan yang rangup seperti epal atau jambu batu. Anda juga boleh mengunyah gula-gula getah tanpa gula yang akan merangsang pengeluaran air liur, yang akan menggalakkan pemineralan semula berlaku.


Gambar 1: Buah-buahan segar – pilihan snek yang lebih sihat

Kajian menunjukkan bakteria mulut mampu mencernakan gula intrinsik dan ekstrinsik. Oleh itu, semua jenis makanan berkarbohidrat berpotensi menyumbang kepada kerosakan gigi/karies. Bagaimanapun, laktosa (gula dalam susu) adalah kurang kariogenik (potensi menyebabkan karies) berbanding sukrosa kerana bakteria mulut tidak boleh menggunakan laktosa sebagai sumber tenaga sepertimana sukrosa.

Pengambilan makanan manis/bergula juga menyumbang kepada masalah kesihatan lain seperti masalah obesiti, kencing manis(diabetes) dan penyakit kardiovaskular. Pengambilan gula melebihi jumlah yang disyorkan akan membawa kepada peningkatan berat badan. Berat badan berlebihan meningkatkan risiko seseorang itu untuk mendapat diabetes jenis 2 dan penyakit kardiovaskular.

Pemakanan sihat – kurangkan pengambilan gula

Had pengambilan gula yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO adalah tidak melebihi 10% dari jumlah keperluan tenaga harian. (Rujuk RDA (Recommended Daily Allowances) dan RNI (Reference Nutrient Intake). Piramid makanan juga boleh dijadikan panduan pemakanan sihat.

Umur
Kalori RNI
Jumlah pengambilan gula
(10%)
Gula tambahan
(dalam gram)
Sukatan dalam sudu teh
(5g = 1 sudu teh)
Kanak-kanak todler dan pra-sekolah (2-6 tahun)
1000-1200
< 10%
<15g
3
Kanak-kanak
(7-10 tahun)
1500- 1600
<10%
<20g
4
Remaja
(11-18 tahun)
1800-2000
<10%
25-40 g
5-8
Dewasa
(lebih dari18 tahun)
2000-2700
<10%
<50-65g
<10-13

Jadual 1: Saranan pengambilan gula

Jadual 1 menunjukkan pengambilan kalori harian bagi individu yang sederhana aktif. Orang dewasa yang tidak aktif sepatutnya menghadkan pengambilan gula tidak melebihi 50 gram sehari. Gula tersembunyi sering wujud sebagai gula tambahan seperti di dalam kek, biskut, sos, kuih muih, minuman, buah-buahan kering serta makanan dan minuman terproses lain.


Gambar 2: Snek manis dan melekit

Sila semak petua-petua berikut :


Gambar 3: Sebaiknya elakkan minuman berkarbonat dan minuman manis

  1. Kurangkan pengambilan gula dengan mengelakkan snek manis antara waktu makan. Hadkan pengambilan makanan sedemikian semasa majlis tertentu/istimewa sahaja.

    Gambar 4: Makanan seperti ini memang menyelerakan, tetapi elakkan pengambilannya di antara waktu makan utama

  2. Pilihlah snek yang berkhasiat seperti buah-buahan segar dan sayuran (contoh: timun, lobak merah, sengkuang, tomato, jagung dan lain-lain), sandwich, bijirin tanpa gula dan kekacang.
  3. Kurangkan penggunaan gula dalam masakan dan minuman. Anda boleh mengurangkan jumlah gula sedikit demi sedikit untuk menyesuaikan diri dengan rasa kurang manis. Gunakan 1 sudu teh gula untuk satu cawan minuman (200 ml).
  4. Semasa makan di luar, pesan minuman kurang manis atau tanpa gula. Air kosong adalah minuman terbaik untuk menghilangkan rasa dahaga.
  5. Elakkan mengambil minuman bergas/berkarbonat dan isotonik terlalu kerap. Minuman ini mempunyai kandungan gula yang tinggi dan juga berasid. Minuman berasid akan menyebabkan kehausan pada permukaan enamel gigi.
  6. Penyusuan ibu adalah cara pemakanan terbaik untuk bayi anda. Jangan sesekali menambahkan gula semasa menyediakan susu formula bayi. Pilihlah susu formula tanpa gula tambahan. Jangan biarkan anak anda tidur dengan botol susu. Kanak-kanak kecil mungkin akan mendapat karies awal sekiranya dibiarkan menyusu botol dalam tempoh yang lama terutama jika minuman tersebut manis atau mengandungi gula tambahan.
  7. Jangan perkenalkan makanan manis kepada kanak-kanak di bawah umur 12 bulan (1 tahun). Memperkenalkan rasa manis pada usia muda akan menyebabkan kanak-kanak gemarkan rasa yang manis. Ibu bapa, guru dan orang dewasa juga perlu mengelakkan memberi gula-gula, manisan, biskut dan ais krim sebagai hadiah atau ganjaran kepada kanak-kanak.

    Gambar 5: Elakkan hadiah/ganjaran berbentuk makanan manis


    Gambar 6: Periksa kandungan gula pada label pemakanan

  8. Periksa label kandungan gula makanan terproses dan minuman pada panel Informasi Pemakanan (Nutrition Information). Pilih makanan atau minuman yang rendah gula. Ini biasa dilabel sebagai kurang gula (less sugar) atau bebas gula (sugar-free).

Kesimpulan

Pengambilan makanan dan minuman manis/bergula tidak baik untuk kesihatan termasuk kesihatan pergigian.

Untuk mencapai kesihatan pergigian yang optima, beruslah gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari. Adalah juga penting untuk memflos gigi bagi membersihkan antara celah gigi. Cuba dapatkan pemeriksaan pergigian setiap tahun. Anda tidak perlu menunggu sehingga mempunyai masalah pergigian untuk mendapatkan temu janji dengan doktor gigi. Akhir sekali, kekalkan kesihatan dengan amalan pemakanan sihat dan kurangkan gula di dalam diet anda!

Rujukan

  1. Dietary guidelines for children and adolescents Workshop 2011: Final Draft- Key Message 12: Consume Foods and beverages Low in Sugar;  Nutrition Division, Ministry of Health Malaysia
  2. Faizah K. (2004) Children’s prime-time TV advertisements potentially affecting oral health. MCD Dissertation. Faculty of Dentistry UM.
  3. Faqs.org (2010) Oral Health. Available at: http://www.faqs.org/nutrition/Ome-Pop/Oral-Health.html
  4. Health Education Authority (1990) Sugars in the Diet.
  5. Mandel I (1996) Caries prevention: Current Strategies, New Directions. JADA.Oct.1996 Vol.127;1477-1488
  6. Moynihan P.J (2002) Dietary advice in dental practice. British Dental Journal. Vol.193.
  7. MyHEALTH Portal article: Pemakanan: Fakta Tentang Gula. Available at: www.myhealth.gov.my
  8. National Coordinating Committee on Food and Nutrition MOH (2010) Malaysian Dietary Guidelines. Nutrition Division, Ministry of Health
  9. Pollard MA et al (1996). Diet and dental caries. In: The Sugar Bureau
  10. Rugg-Gunn et al. (1985). Effect of human milk on plaque pH insitu and enamel dissolution in vitro compared with bovine milk, lactose and sucrose. Caries Research Vol.19;327-334
  11. Rugg-Gunn, A.J.(1989). Diet and dental caries. In Murray, J.J. The Prevention of Oral Disease, 2nd ed. Oxford: Oxford University Press.
  12. The European Food Information Council (EUFIC) website: http://www.eufic.org/
  13. WebMD. Diet and Oral Health. Available at: http://www.webmd.com/oral-health/guide/diet-oral-health
  14. WSRO. Sugar and dental caries. Available at: http://www.wsro.org/public/sugarandhealthand dentalcaries.html
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Faizah bt. Kamaruddin
Akreditor : Dr. Chew Yoke Yuen
Penyemak : Dr. Sharol Lail bin Sujak

 

Artikel Berkaitan

Amalan Kesihatan Pergigian yang Baik

Penjagaan kesihatan pergigian penting untuk mencegah kerosakan gigi dan penyakit gusi di kalangan kanak-kanak. Kesihatan pergigian yang baik membolehkan mereka mengunyah makanan dengan selesa dan bertutur dengan jelas.

Plak Gigi

Plak gigi ialah lapisan bakteria yang melekit serta tidak berwarna, terbentuk dan melekap pada permukaan gigi, lidah, gigi palsu dan tempat-tempat strategik seperti pinggiran tampalan, korona dan celah-celah gigi.

Tabiat yang Memudaratkan Kesihatan Mulut

Tabiat seperti menghisap ibu jari, menghisap botol susu, menggigit jari kuku, menggumam makanan dan menggigit benda asing boleh menyebabkan masalah seperti karies awal , tergigit pipi dan bibir, ulser, gigi patah, abrasi gigi, maloklusi dan sebagainya.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,443

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia