A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Umum
  6. /
  7. Pengambilan Ubat-ubatan Secara Teratur

Pengambilan Ubat-ubatan Secara Teratur

Mengapa penting untuk mengambil ubat dengan betul? Ubat hanya berfungsi jika anda mengambilnya. Oleh itu memastikan pengambilan ubat-ubatan anda adalah sangat penting. Ini bagi membolehkan keadaan atau penyakit yang dihidapi dirawat atau diuruskan secara optimum.

alt

Medicines have the amazing ability to change people’s lives, but only if taken exactly as prescribed. If the medication regimens are not followed, medications can lead to more serious health problems.

Jennifer Coates and Lisa Mancinelli, Woonsocket RI Community Page

Mengingati waktu dan cara untuk mengambil ubat-ubatan boleh menjadi bebanan bagi sesetengah individu. Ini terutama kepada mereka yang mengalami penyakit kronik yang mungkin memerlukan pengambilan ubat secara rutin.

Kepatuhan pengambilan ubat-ubatan ditakrifkan sebagai pesakit yang mengikut arahan dan nasihat yang diberikan oleh profesional kesihatan berkaitan pengambilan ubat-ubatan.

Mengapa penting untuk mengambil ubat dengan betul? Ubat hanya berfungsi jika anda mengambilnya. Oleh itu memastikan pengambilan ubat-ubatan anda adalah sangat penting. Ini bagi membolehkan keadaan atau penyakit yang dihidapi dirawat atau diuruskan secara optimum.

Pengambilan ubat-ubatan secara teratur tidak lagi akan menjadi masalah jika seseorang menjadikannya sebagai sebahagian daripada aktiviti harian.

Memahami tujuan mengambil ubat-ubatan

Kebanyakan pesakit tidak memahami tujuan pengambilan ubat-ubatan. Sesetengah pesakit juga tidak percaya bahawa ubat-ubatan yang diambil akan membantu merawat penyakit yang dihidapi. Walau bagaimanapun, kepatuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan akan lebih baik apabila pesakit memahami fungsi ubat-ubatan yang diambil.

Salah satu penyelesaian bagi keadaan ini adalah meminta doktor atau ahli farmasi memberitahu anda sekurang-kurangnya maklumat asas berkaitan ubat yang diambil. Sebagai contoh, metformin adalah agen hipoglisemik dan bererti ubat ini membantu dalam menurunkan paras gula dalam darah. Oleh itu, metformin perlu diambil selepas makan disebabkan paras gula dalam darah akan meningkat selepas makan.

Dapatkan maklumat berkaitan tempoh ubat perlu diambil:

Ubat-ubatan perlu diambil dalam tempoh masa tertentu atau diambil sepanjang hayat. Contohnya ubat antibiotik perlu diambil pada tempoh masa yang tertentu. Di samping itu, dos antibiotik yang diberikan oleh doktor mesti dihabiskan untuk memastikan bakteria yang menyebabkan jangkitan dihapuskan sepenuhnya.

Ubat-ubatan untuk penyakit kronik, seperti ubat bagi rawatan penyakit tekanan darah tinggi dan diabetes biasanya perlu diambil dalam tempoh masa yang panjang.

Maklumat berkaitan tempoh pengambilan ubat dapat membantu pesakit dalam merancang rutin pengambilan ubat-ubatan seharian.

Di samping itu, maklumat berkaitan keperluan mendapatkan bekalan susulan ubat-ubatan juga penting. Ini bagi mengelakkan pesakit daripada kehabisan bekalan ubat-ubatan.

Arahan yang ditulis sendiri:

Selepas mendapat maklumat berkaitan ubat-ubatan daripada ahli farmasi atau doktor anda, catatkan dengan kemas di atas sekeping kertas dan lekatkan pada peti sejuk, kotak ubat anda atau kabinet penyimpanan ubat. Anda juga boleh meminta ahli farmasi anda untuk menyemak catatan tersebut bagi memastikan maklumat yang ditulis adalah tepat dan lengkap. Dengan cara ini, anda boleh mendapatkan rujukan pantas bagi arahan pengambilan ubat.

Sebagai alternatif, anda juga boleh menjadualkan semua ubat-ubatan yang di ambil pada papan putih untuk mengingatkan anda arahan yang tepat tentang bagaimana dan bila untuk mengambil ubat- ubatan tersebut:

alt

Nota:

Insulin – 30 minit sebelum makan

Amlodipine 10mg – 1 tablet selepas makan

Atorvastation 20 mg – 1 tablet selepas makan

Waktu Pengambilan Ubat-ubatan:

Lebih mudah jika anda mengambil ubat pada masa yang sama setiap hari. Ia juga akan menjadi lebih mudah jika ubat-ubatan diambil bersama-sama dengan aktiviti harian yang biasa dijalankan setiap hari. Sebagai contoh, mengambil ubat-ubatan sebelum atau selepas sarapan pagi, waktu makan tengahari atau sebelum tidur, mengikut jarak masa yang ditetapkan.

Membuat nota:

Bagi mereka yang mengambil lebih daripada satu jenis ubat-ubatan dan beberapa kali sehari, menyimpan diari atau nota catatan adalah sangat berguna. Catatan tersebut dapat membantu anda mengingati ubat yang telah diambil untuk keseluruhan hari. Dengan cara ini, pengambilan ubat-ubatan anda akan sentiasa terjaga dan teratur.

Tandakan pada kalendar/planner anda:

Alternatif lain bagi mengingati pengambilan ubat-ubatan adalah dengan menandakan waktu pengambilan ubat pada kalendar/planner. Minta bantuan anak anda atau kawan untuk membantu mencatatkan peringatan untuk pengambilan ubat yang tepat pada kalendar tersebut. Cara Ini juga boleh digunakan untuk individu yang menjalani kehidupan yang sibuk.

Tetapkan peringatan/penggera pada telefon mudah alih:

Telefon bimbit dan telefon pintar kini dilengkapi dengan kalendar yang boleh ditetapkan bersama-sama penggera peringatan. Kaedah ini sangat berguna kerana penggera akan berbunyi apabila tiba masanya untuk mengambil ubat-ubatan.

Penggunaan Kotak Ubat, Label dan Kabinet ubat yang teratur:

Kotak ubat sangat berkesan terutamanya bagi penyimpanan beberapa jenis ubat yang perlu diambil beberapa kali setiap hari. Ia juga membantu dalam menyimpan ubat dengan cara yang sistematik dan juga mengelakkan kekeliruan dalam mengambil ubat-ubatan.

Jika kotak ubat tersebut tidak mencukupi untuk mengisi ubat-ubat, pilihan lain yang sedia ada termasuklah melekatkan label pada bekas asal ubat. Ubat-ubatan boleh dilabel sama ada mengikut masa pengambilan atau mengikut petunjuk yang boleh memudahkan pengambilan ubat oleh pesakit.

Lebih mudah mengesan ubat apabila disimpan secara tersusun. Ini juga boleh mengelakkan ubat bercampur dan kekeliruan berlaku.

Berbincanglah dengan ahli farmasi dan doktor anda untuk membantu mendapatkan cara terbaik bagi memastikan pengambilan ubat-ubatan adalah tepat dan terancang.

Semakan Akhir : 23 April 2014
Penulis : Siti Nurul Fathihah bt. Baharuddin
Penyemak : Yam Chiew Fong

 

Artikel Berkaitan

Insulin

Persediaan Insulin Teknik suntikan Komplikasi Untuk mengetahui lebih lanjut sila

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia