Pengenalan
Kanak-kanak banyak mempelajari bahasa dari keadaan sekeliling mereka. Persekitaran yang sihat dan positif penting untuk perkembangan bahasa dan pertuturan mereka. Banyakkan bercakap dan berinteraksi untuk mewujudkan persekitaran ini. Bahasa kanak-kanak rancak berkembang semasa tiga tahun pertama kehidupan. Hal ini disebabkan otak kanak-kanak mengalami tumbesaran yang pantas dan semakin matang dalam tempoh tersebut.
Sentiasa berikan contoh yang baik kepada anak-anak melalui penggunaan bahasa yang betul (tidak pelat) dan sopan.
Rangsangan Awal Bahasa
Rangsangan bahasa bermula sejak dalam kandungan. Bayi mula mendengar seawal 3 bulan pertama dalam kandungan. Pada masa itu, deria pendengaran mula terbentuk. Ibu boleh berinteraksi dengan bayi di dalam kandungan dengan memasang alat muzik atau bercakap.
Otak kanak-kanak sangat pantas mempelajari sesuatu yang baru. Sejak lahir hingga umur satu tahun setengah, mereka mula perasan/mengenali riak muka dan nada suara. Kemudian, mereka mula mengeluarkan bunyi percakapan mereka sendiri.
Ibu bapa perlu mengambil peluang ini untuk merangsang bayi. Selain itu, ikatan kasih sayang bersama bayi juga dapat dieratkan.
Situasi ibu bapa bekerja
Pada masa kini, ramai ibu bapa yang bekerja menghantar anak mereka untuk jagaan orang lain. Antara tempat pilihan mereka adalah seperti taman asuhan kanak-kanak, pengasuh dan juga ibu bapa mereka.
Taman Asuhan
Taman asuhan muncul umpama cendawan selepas hujan. Banyak taman asuhan dibuka samada di kawasan perumahan atau berdekatan dengan tempat ibu bapa bekerja. Ibu bapa yang bekerja lebih cenderung untuk menghantar anak-anak mereka ke sini kerana kanak-kanak:
-
Mendapat ramai kawan.
-
Menambah perkataan baru
-
Belajar teknik bermain, kerana banyak permainan disediakan
-
Ada model rakan sebaya
Rumah pengasuh
Persekitaran lebih kepada situasi di rumah. Ada pengasuh mengambil kanak-kanak lain untuk dijaga sama. Di sini, kanak-kanak dapat berinteraksi bersama, sama seperti taman asuhan, tetapi dengan bilangan yang lebih kecil.
-
Dapat menambah perkataan baru
-
Bagi pengasuh yang ramai jagaan, kanak-kanak dapat berkawan.
Jagaan nenek/datuk
Ada ibu bapa menghantar anak bawah jagaan datuk/nenek. Mereka merasakan ia lebih selamat dan terjamin. Ada juga yang beralih kepada pengasuh kerana ibu bapa tidak sihat.
Terdapat datuk/nenek yang memanjakan cucu mereka sehingga mengganggu perkembangan pertuturan kanak-kanak.
Menjadi dilema kepada ibu bapa untuk menetapkan peraturan kepada anak. Ada kanak-kanak yang berani memberontak kerana menganggap datuk/nenek akan mempertahankan mereka.
Terdapat juga segelintir kanak-kanak yang malas untuk bercakap sebaliknya menggunakan isyarat untuk meminta sesuatu. Hal ini boleh menjurus kepada masalah pertuturan.
Tetapi, ada juga kanak-kanak yang petah (banyak bercakap) kerana mengikut gaya percakapan datuk/nenek mereka. Bahasa yang digunakan lebih matang dan lebih kehadapan berbanding kanak-kanak sebaya yang lain.
Kes kanak-kanak lambat bercakap juga menjadi isu. Hal ini terjadi apabila ada datuk/nenek enggan kanak-kanak tersebut dibawa untuk mendapatkan rawatan kerana mereka percaya bahawa cucu mereka berat mulut dan masalah ini merupakan perkara biasa.
Ibu bapa tidak bekerja vs bekerja
Peluang interaksi
Penjaga yang tidak bekerja seperti kaum ibu memainkan peranan sebagai suri rumah dan juga mengasuh anak mereka sendiri. Peluang untuk berinteraksi dengan kanak-kanak juga lebih terbuka luas. Hal ini dapat mengeratkan ikatan keluarga.
Jika dibandingkan dengan penjaga yang bekerja, peluang berinteraksi adalah lebih terhad. Peluang yang ada terhad kepada hari tidak bekerja seperti hujung minggu.
Kekangan Masa
Ada juga ibu yang tidak bekerja jarang berinteraksi dengan anak-anak. Mereka lebih tertumpu kepada kerja harian di rumah seperti memasak, mengemas dan sebagainya. Begitu juga dengan penjaga yang bekerja.
Perlu diingati bahawa masa yang berkualiti adalah lebih penting daripada kuantiti. Interaksi perlu banyak berlaku walaupun masa adalah singkat.
Ibu bapa pasif vs aktif
Rangsangan bahasa tidak semestinya berlaku dalam keadaan formal sahaja seperti duduk belajar di meja. Ibu bapa perlu kreatif dan aktif untuk melatih anak mereka bercakap. Interaksi boleh terjadi semasa makan bersama, memandikan anak dan membacakan buku sebelum tidur.
Ibu bapa juga tidak boleh melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada pengasuh/penjaga untuk berinteraksi dengan anak-anak mereka.
Rujukan
-
Hamer, H. (2011). Guidance for developing a strategic approach to speech, language and communication in the early years. Dipetik dari http://www.talktoyourbaby.org.uk/
-
Rhoads, A.(2012). Baby’s Senses in the Womb. Dipetik September 5, 2012 dari http://www.pregnancy.org
-
Editorial PAMA (2011, Disember 7). Pertama kali membawa anak pulang ke rumah. Dipetik dari http://pama.karangkraf.com/
-
Honey, C.N.(2011, Mei 20). Datuk Nenek pengasuh pilihan terakhir. Dipetik dari http://cthoney.blogspot.com/
-
Rahman, K. (2011, Jun 21). Mandi manda Gambang Waterpark. Dipetik dari http://kayzie-perfectlifeofmine.blogspot.com/
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Faizah bt. Rahim |
Akreditor | : | Zaidi bin Ya’acob |
Penyemak | : | Nadwah bt. Onwi |