A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Ubat
  6. /
  7. Pengiklanan ubat dari sudut...

Pengiklanan ubat dari sudut industri

Dalam pasaran di mana persaingan yang semakin kompetitif, kebanyakan usahawan atau syarikat sentiasa dalam usaha untuk mencari mekanisme yang berkesan dalam mempromosikan produk dan meningkatkan jualan produk mereka. Ini menyebabkan pengiklanan memainkan peranan yang penting dan menjadi salah satu strategi pemasaran kegemaran ramai kerana ia merupakan salah satu kaedah yang terbaik untuk berkomunikasi dengan pelanggan dan dapat memberikan hasil pemasaran yang sangat memuaskan.

Tujuan pengiklanan biasanya dapat dilihat apabila syarikat ingin memperkenalkan jenama atau produk terbaru ke pasaran dan mewujudkan keperluan terhadap produk tersebut. Selain itu, pengiklanan dilakukan supaya pelanggan dapat mengenali produk syarikat yang sedia ada di pasaran dan menyakinkan mereka untuk membeli, terutamanya bagi pelanggan yang sedang menggunakan jenama lain bagi produk yang sama.

Walaupun pengiklanan biasanya dianggap sebagai satu strategi pemasaran yang dilaksanakan oleh syarikat, tetapi pengiklanan adalah penting kepada pelanggan untuk mengenali pelbagai jenis produk yang terdapat di pasaran. Pengiklanan dapat memberi peluang kepada pengguna untuk membuat perbandingan antara produk atau jenama yang berbeza supaya dapat memilih produk yang berpotensi untuk memberi manfaat dan kepuasan kepada individu serta pada harga yang mereka rasa adalah berpatutan.

Pernahkah anda menjumpai mana-mana iklan ubat yang mengandungi pernyataan untuk membayangkan keberkesanan dan kualiti unggul produk tersebut? Atau pernahkah anda terpedaya dengan mana-mana pernyataan yang terpakai oleh produk tertentu, sebagai produk yang terbaik dalam mencegah atau merawat sebarang penyakit manusia seperti kanser, penyakit jantung, kencing manis dan lain-lain?

“Ia adalah ubat AJAIB, Anda MESTI CUBA …”

“Ambillah ini & menghilangkan PENYAKIT KANSER anda …”

“100% JAMINAN, KURUS BADAN ANDA tanpa kurangkan makanan”

Ini adalah contoh pernyataan yang biasa dimuatkan dalam iklan ubat haram. Penggunaan frasa atau perkataan superlatif tertentu dalam iklan boleh meningkatkan kepercayaan dan pengaruh terhadap produk tersebut. Soalannya, adakah pengguna mampu menentukan kebolehpercayaan maklumat yang terkandung dalam iklan dan membezakan fakta atau penipuan yang sengaja disiarkan oleh pihak yang mengambil kesempatan? Tanpa segala panduan dan peraturan, kemungkinan besar inilah masa di mana pengguna terperdaya untuk membeli dan cuba produk tersebut tanpa memikirkan risiko yang perlu ditanggung.

Pengiklanan dan promosi produk perubatan adalah dibenarkan dengan syaratnya ia mesti selaras dengan undang-undang dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa kerana adalah mustahak untuk memastikan bahawa kesihatan awam dan keselamatan pengguna tidak terjejas. Iklan kepada orang ramai perlu membantu pengguna untuk membuat keputusan yang rasional dalam pemilihan dan penggunaan produk perubatan tanpa mengandungi tuntutan yang diragui, tidak wajar dan mengelirukan.

Pada masa kini, pengiklanan ubat di Malaysia dikawal selia di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) (MASA) 1956. Menurut MASA, iklan termasuk apa-apa notis, pekeliling, laporan, ulasan, risalah, label, pembalut atau dokumen lain, dan apa-apa pengumuman yang dibuat secara lisan atau melalui apa-apa cara yang mengeluarkan atau memancarkan cahaya atau bunyi. Lembaga Iklan Ubat (LIU) yang ditubuhkan di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memainkan peranan yang penting untuk memberikan kelulusan untuk permohonan iklan, membatalkan atau menarik balik kelulusan yang telah diberikan dan juga menilai, mengubah polisi dan garispanduan mengikut keperluan. Hanya promosi produk perubatan bukan preskripsi yang merujuk kepada penggunaannya sebagai ubat, alat atau remedi dibenarkan dengan kelulusan LIU.

Merujuk kepada Carta 1, kita dapat melihat bilangan permohonan untuk kelulusan LIU telah meningkat secara ketara mulai tahun 2012.

Sumber: Cawangan Pengiklanan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM

Pertumbuhan industri farmaseutikal yang progresif di Malaysia dapat dilihat selama ini. Selain bertanggungjawab kepada pembangunan dan pengeluaran produk perubatan, pemasaran juga telah menjadi tanggungjawab syarikat farmaseutikal untuk menyebarkan maklumat dan bahan-bahan produk yang benar, tepat dan berasaskan bukti kajian semasa mempromosikan jualan produk perubatan.

Sehingga hari ini, berdasarkan aduan awam yang diterima dan pemantauan yang dilakukan oleh Pegawai Penguatkuasa Farmasi, masih terdapat iklan-iklan produk perubatan yang didapati mengelirukan atas tuntutan yang dibuat dan sengaja mewujudkan harapan yang tidak realistik kepada pengguna. Pelanggaran MASA yang paling biasa dijumpai adalah penyiaran iklan ubat dengan tuntutan perubatan tanpa kelulusan LIU dan juga pengiklanan berkenaan pencegahan, diagnosis atau rawatan penyakit dan keadaan tubuh manusia yang dilarang seperti yang ditetapkan dalam Jadual MASA iaitu:-

  1. Penyakit atau kecacatan buah pinggang
  2. Penyakit atau kecacatan jantung
  3. Diabetes
  4. Epilepsi atau sawan
  5. Paralisis
  6. Tuberkulosis
  7. Asma
  8. Leprosi
  9. Kanser
  10. Pekak
  11. Ketagihan dadah
  12. Hernia atau ruptur
  13. Penyakit mata
  14. Hipertensi
  15. Mental
  16. Kemandulan
  17. Tiada keinginan terhadap seks
  18. Gangguan fungsi seks atau impoten
  19. Penyakit kelamin
  20. Lemah saraf, atau aduan lain atau kelemahan, yang timbul daripada atau yang berkaitan dengan hubungan seks

Pegawai Penguatkuasa Farmasi bertanggungjawab untuk memastikan promosi produk perubatan yang dilakukan oleh pengiklan adalah etika supaya kesihatan dan keselamatan awam dapat dilindungi. Carta 2 menunjukkan statistik tindakan undang-undang yang telah diambil oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi dari tahun 2012 hingga 2014.

Sumber: Cawangan Pengiklanan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM

Iklan tidak terhad kepada mana-mana media. Pada hari ini, internet telah digunakan secara meluas untuk menyebarkan maklumat kepada pengguna di pasaran yang lebih luas. Oleh kerana perkembangan teknologi yang semakin pesat, pengiklanan atas talian (online advertising) atau dipanggil pengiklanan internet (internet advertising) telah menjadi salah satu model kegemaran di seluruh dunia selaras dengan ciptaan elektronik digital seperti komputer riba, telefon bimbit dan lain-lain. Pengiklanan internet boleh wujud dalam pelbagai bentuk seperti pengiklanan pop-up, pengiklanan secara paparan (display advertising), iklan video (video advertising), pengiklanan internet mudah alih (mobile internet advertising), pengiklanan di rangkaian sosial (advertising on social networks) dan lain-lain. Walau bagaimanapun, pengiklan perlulah memastikan bahawa bahan-bahan yang disiarkan di internet tidak menyalahi peraturan-peraturan yang telah dikuatkuasakan.

Dari model konvensional iaitu komunikasi secara satu hala, kemajuan teknologi dan pertumbuhan rangkaian sosial dalam dunia pada hari ini seperti facebook, twitter, blog dan lain-lain telah menjadikan interaksi antara satu sama lain yang begitu aktif terutamanya dalam aspek perkongsian maklumat. Media sosial merupakan peralatan atas talian yang sangat berpengaruh dalam promosi produk dan perkhidmatan perubatan kepada orang ramai. Pengiklanan ubat dalam media sosial telah menjadi salah satu isu yang paling mencabar kepada Penguatkuasaan Farmasi. Sehubungan itu, Cawangan Penguatkuasaan Farmasi sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain, terutamanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengawal selia pengiklanan internet dan menyekat laman web yang didapati melanggar undang-undang bila perlu.

Menurut www.alexa.com, facebook telah menjadi salah satu laman web rangkaian sosial yang popular di Malaysia.

10 Laman Web Yang Paling Popular di Malaysia
Google.com.my Blogspot.com
Google.com Life.com.tw
Facebook.com Maybank2u.com.my
Youtube.com Wikipedia.org
Yahoo.com Gigacircle.com

Source: “Top Sites in Malaysia” by www.alexa.com

FACEBOOK PAGE – “PILIH UBAT BERDAFTAR”

Dengan wujudnya kerjasama daripada semua Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di Malaysia, Unit Perlindungan dan Kesedaran Pengguna dari Bahagian Perkhidmatan Farmasi telah mengambil inisiatif untuk menghasilkan facebook page iaitu “Pilih Ubat Berdaftar”. Selain daripada menyebarkan maklumat mengenai penggunaan ubat dan meningkatkan kesedaran pengguna tentang penggunaan produk berdaftar di Malaysia, objektif utama penggunaan media sosial adalah untuk mewujudkan satu platform komunikasi antara Penguatkuasaan Farmasi dan orang awam.

Seperti yang dinyatakan awal tadi, pengiklan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa maklumat-maklumat yang disiarkan dalam iklan di mana-mana media adalah tepat, sesuai, terkini dan tidak mengelirukan. Adalah penting untuk mendapatkan kelulusan LIU sebelum iklan produk dan perkhidmatan perubatan disiarkan supaya tidak menyalahi undang-undang dan peraturan-peraturan yang telah dikuatkuasakan, terutamanya bagi pihak industri farmaseutikal yang sentiasa terlibat dalam pemasaran dan promosi produk perubatan kepada orang awam.

Bagi sebarang aduan atau pertanyaan berkenaan iklan perubatan, orang awam boleh hubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-7841 3200 atau melayari laman web http://www.pharmacy.gov.my untuk maklumat lanjut.

Semakan Akhir : 01 Jun 2015
Penulis : Yap Fei Ting
Akreditor : Umikalsom bt. Ibrahim

 

Artikel Berkaitan

Pewarna Rambut

Pengenalan Pewarna rambut dikenali juga sebagai cat rambut yang digunakan

Activated Charcoal

Pengenalan Charcoal atau arang pada kebiasaannya dihasilkan daripada arang batu,

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,770

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia