Apakah itu pengurangan sisi gigi?
Pengurangan sisi gigi (PSG) adalah prosedur ortodontik yang melibatkan pembuangan sedikit daripada lapisan enamel luaran pada sisi gigi di antara dua gigi yang bersebelahan. Ia bertujuan untuk memperoleh sedikit ruang tambahan bagi membetulkan susunan gigi. Prosedur ini juga dikenali sebagai pengikisan gigi, pengecilan atau pengurangan saiz gigi.
Kenapa pengurangan sisi gigi diperlukan?
Prosedur ini selalunya dilakukan apabila hanya sedikit sahaja ruang yang diperlukan untuk menyusun gigi yang sesak. Dalam kes-kes tertentu, PSG dapat menyelesaikan masalah kesesakan gigi tanpa memerlukan cabutan gigi kekal. Cabutan tidak sesuai untuk kes kesesakan gigi yang ringan (mild) sebab cabutan boleh menyebabkan gigi menjadi renggang. PSG boleh juga dibuat bersama-sama cabutan gigi untuk merawat kesesakan gigi yang teruk. Selain daripada menyediakan ruang, ianya juga disarankan untuk memperbaiki bentuk dan titik sentuh gigi untuk menstabilkan kedudukan gigi. Oleh itu kedudukan gigi tidak akan berubah dalam jangka masa panjang. Prosedur PSG juga menolong dalam memperbaiki gigitan (kedudukan di mana gigi atas bersentuh dengan gigi bawah). Ianya juga boleh menghilangkan ruang gelap (“segitiga hitam”) yang terhasil akibat ketiadaan tisu gusi di celahan gigi.
Prosedur Pengurangan Sisi Gigi
Pakar Ortodontik akan mengenalpasti dengan teliti gigi yang memerlukan PSG. Enamel daripada sisi gigi yang bersentuhan akan dibuang menggunakan hanpis pergigian dan/atau jalur bersalut berlian (diamond coated strip) yang fleksibel. Untuk gigi hadapan, lebih kurang 0.5 mm enamel boleh dibuang di antara dua gigi yang bersebelahan, tanpa mendatangkan masalah pada gigi tersebut. Pakar ortodontik akan menganggarkan kuantiti pembuangan enamel yang diperlukan untuk susunan akhir yang dikehendaki. Ruang yang diperolehi diukur dengan alat pengukur jarak. Celahan gigi itu kemudiannya akan dilicinkan dan dirawat dengan fluorida topikal. PSG tambahan mungkin perlu dilakukan beberapa kali mengikut kes.
Gambar 1: Kesesakan kecil pada gigi insisor sentral bawah di sebelah kiri.
Gambar 2: PSG dengan jalur bersalut berlian (diamond coated strip)
Gambar 3: PSG dengan alat berputar (hanpis) (rotary instrument)
Gambar 4: Ruang kecil kelihatan di antara gigi insisor bawah
Gambar 5: Celahan gigi terbabit disapu dengan fluorida topikal
(Video : Interproximal Reduction Crowing Rotary Disk) >> Animasi Pengurangan Sisi Gigi (https://www.youtube.com/watch?v=WGSCqdCTuaw)
Apakah Yang Anda Rasa Ketika Pengurangan Sisi Gigi Dilakukan? Adakah Ianya Menyakitkan?
Anda akan rasa sedikit ketidakselesaan iaitu tarikan dan tolakan pada gigi semasa jalur pengikis (diamond coated strip) digunakan ataupun anda akan rasa getaran yang terhasil daripada alat pemutar (drill). Walaubagaimanapun, ianya tidaklah menyakitkan kerana hanya sedikit sahaja lapisan luar gigi iaitu enamel yang dibuang. Prosedur PSG adalah proses yang cepat, tidak menyakitkan dan boleh dilakukan tanpa pembiusan setempat. Untuk segelintir pesakit yang bergigi sensitif, PSG boleh dilakukan dengan pembiusan setempat demi keselesaan.
Selepas Prosedur Pengurangan Sisi Gigi Dilakukan, Adakah Anda Dapat Melihat Ruang Yang Terhasil Di Celahan Gigi?
Selepas proses PSG, anda akan melihat ruang kecil terhasil di antara gigi tetapi ruang ini akan dirapatkan kembali semasa rawatan ortodontik.
Gambar 6: “Segitiga hitam” (ruang seperti segitiga yang hampir dengan garisan gusi) pada gigi insisor sentral (kacip) yang berbentuk segitiga. PSG dilakukan dan ruang terhasil dirapatkan dengan pendakap gigi.
Apakah risikonya? Adakah PSG akan menyebabkan masalah-masalah seperti kerosakan gigi, penyakit tulang dan gusi?
Terdapat sedikit kehilangan tisu enamel apabila prosedur ini dilakukan. Persoalannya, adakah kehilangan enamel ini menyebabkan kerosakan pada gigi dan tisu penyokong gigi? PSG sebenarnya telah lama dipraktikkan oleh pakar-pakar ortodontik dan ramai pengkaji pergigian telah menganalisa kesan jangka panjangnya. Kajian terbaru daripada Zachrisson, Nyøygaard & Mobarak, (2007) menyelidik samada PSG memberi kesan buruk pada gigi iaitu karies gigi, masalah gusi dan penyusutan tulang penyokong/alveolar. Kajian ini dibuat terhadap 60 orang pesakit yang telah menjalani PSG dalam lebih 10 tahun yang lalu yang menggunakan cakera nipis daripada berlian (‘diamond disks’) serta disusuli dengan pelicinan sisi yang terbabit. Zachrisson et al., (2007) mendapati PSG tidak meningkatkan risiko kerosakan gigi, penyakit gusi dan penyakit tulang. Selain itu, tiada peningkatan dalam gigi sensitif apabila jumlah pembuangan enamel adalah dalam kadar yang berpatutan. Secara keseluruhannya, prosedur ini adalah selamat dan berkesan untuk mendapatkan sususan gigi yang ideal.
Kejayaan Rawatan
Terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan oleh pakar ortodontik dalam mengambilkira kesesuaian PSG:
- Saiz dan bentuk gigi
- Kedudukan dan susunan gigi
- Bentuk/ciri muka pesakit
- Ada atau tidak ‘segitiga hitam’ dan keperluan untuk memperbaiki estetik
Sebelum rawatan ortodontik dimulakan, pemeriksaaan keseluruhan (termasuk radiograf rahang dan gigi) dan penilaian oklusi gigi anda akan dibuat. Kejayaan PSG bergantung kepada diagnosis yang menyeluruh dan prognosis bagi setiap kes. Pakar ortodontik anda akan menjelaskan tentang pilihan rawatan dan mengapa prosedur PSG dipilih berbanding dengan rawatan lain. Jangan teragak-agak untuk bertanya sebelum PSG anda dimulakan!
Rujukan
- https://www.youtube.com/watch?v=WGSCqdCTuaw
- Mitchell, L. (2007). An Introduction To Orthodontics. Oxford University Press.
- Zachrisson, B. Dental health assesses more than 10 years after interproximal enamel reduction of mandibular anterior teeth. Am J Orthod Dentofacial Orthop. Vol.131, No.2. February 2007.
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. Lillybia Emily Ebin |
Penterjemah | : | Dr. Asmak bt. Shaari |
Akreditor | : | Dr. Arjunan a/l Muthusamy |
Penyemak | : | Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin |