A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Keselamatan Pengubatan
  6. /
  7. Kesan Sampingan Ubat >>...

Kesan Sampingan Ubat >> Kekeliruan

Apakah yang dimaksudkan dengan kesan sampingan ubat-ubatan?

Kesan sampingan ubat-ubatan ialah kesan ubat yang tidak diingini berlaku ketika pengambilan ubat pada dos yang betul. Ia boleh dijangka, boleh membawa faedah atau kemudaratan. Kesan sampingan ubat yang berlaku adalah bergantung kepada cara ubat bertindak di dalam badan. Antara kesan sampingan yang biasa adalah seperti loya, muntah, pening dan pedih perut. Walau bagaimanapun terdapat juga ubat-ubatan yang menyebabkan kekeliruan sebagai salah satu kesan sampingannya.

Apakah yang dimaksudkan dengan kekeliruan?

Keliru bermaksud “salah pengertian; silap; tidak benar (bukan pendapat)”. Manakala kekeliruan pula bermaksud “keadaan keliru; kesilapan; kesalahan”. Sekiranya kekeliruan terjadi kepada individu muda yang sihat, ia adalah sesuatu yang tidak menyenangkan manakala sekiranya kekeliruan berlaku kepada warga tua, perkara ini boleh menyebabkan peningkatan kebergantungan pesakit tersebut kepada penjaga dan seterusnya menganggu kualiti hidup pesakit.

Tanda-tanda kekeliruan termasuklah:

  1. Tutur kata tidak jelas atau percakapan terhenti tiba-tiba
  2. Percakapan tidak normal atau tidak keruan
  3. Tidak sedar akan masa atau lokasi
  4. Terlupa akan tugasan ketika sedang menjalankannya
  5. Perubahan emosi mendadak, contohnya menjadi gelisah tanpa sebab

Bagaimanakah kekeliruan sebagai kesan sampingan ubat boleh berlaku?

Kekeliruan adalah salah satu kesan sampingan yang disebabkan oleh ubat-ubatan yang mampu menghalang penghantaran isyarat antara sel-sel badan oleh acetylcholine. Acetylcholine merupakan sejenis bahan kimia organik yang terdapat dalam badan manusia yang bertindak sebagai neurotransmitter (bahan kimia yang dirembeskan oleh sel saraf untuk menghantar isyarat kepada sel-sel badan yang lain). Keadaan ini dikenali sebagai kesan anticholinergic.

Sebagai contoh, ubat-ubatan di bawah kumpulan antihistamine generasi pertama. Mekanisme utama bagi antinhistamine jenis ini adalah dengan bertindak ke atas reseptor H1. Antihistamine tersebut bertindak dengan menghalang tindakan histamin pada reseptor H1 dan seterusnya memberi kesan klinikal yang dikehendaki. Akan tetapi, disebabkan antihistamine generasi pertama boleh menembusi blood brain barrier dan struktur kimianya yang seakan-akan acetylcholine, ia secara tidak langsung dapat menghalang tindakan acetylcholine melalui reseptor muscarinic. Perkara ini menyebabkan pesakit mengalami kesan sampingan kekeliruan akibat daripada pengambilan ubat tersebut walaupun pada dos teraputik yang ditetapkan.

Siapakah golongan yang lebih terdedah kepada kesan sampingan (Kekeliruan)?

Kajian menunjukkan, pesakit warga tua adalah lebih terdedah kepada kesan sampingan yang; melibatkan perencatan reseptor muscarinic. Kesan ini disebabkan oleh 3 faktor. Pertama, keupayaan badan untuk menyingkirkan ubat semakin berkurangan dengan umur yang meningkat, perkara ini adalah disebabkan oleh fungsi ginjal dan hati yang berkurangan akibat penuaan. Kedua, warga tua lebih cenderung mengambil pelbagai jenis ubat-ubatan disebabkan oleh keadaan kesihatan mereka. Oleh yang demikian, interaksi antara ubat menyebabkan kesan sampingan lebih mudah berlaku. Faktor terakhir, adalah disebabkan pengurangan jumlah acetylcholine dalam badan, apabila umur meningkat.

Apakah ubat-ubatan yang boleh menyebabkan kekeliruan sebagai kesan sampingan?

Antara ubat-ubat yang didapati boleh menyebabkan kekeliruan sebagai kesan sampingan adalah ubat antihistamin generasi pertama. Contohnya Diphenhydramine Hydrochloride dan Promethazine Hydrochloride. Ubat antihistamin digunakan untuk merawat simptom seperti batuk atau merawat simptom alergi seperti gatal-gatal dan selesema.

Selain itu, ubat tahan sakit dari kumpulan opioid juga boleh menyebabkan kekeliruan. Contoh ubat tahan sakit di bawah kategori opioid adalah Morfin, Fentanyl, Codeine phosphate dan Oxycodone.

Tidak terkecuali ubat dari anticholinergic seperti Procyclidine yang digunakan sebagai salah satu ubat dalam rawatan penyakit parkinson.

Selain itu, ubat benzodiazepine seperti Clonazepam yang digunakan untuk merawat penyakit epilepsi, serta ubat dari kumpulan tricyclic antidepressant seperti Amitriptyline turut juga boleh menyebabkan kesan sampingan yang sama kepada sesetengah pesakit.

Apakah tindakan pesakit sekiranya menghadapi kekeliruan sebagai kesan sampingan ubat yang diambil?

Sekiranya pesakit pengalami kekeliruan setelah mengambil ubat yang telah dipreskripsikan dan simptom tersebut tidak hilang serta menggangu kehidupan seharian, pesakit dinasihatkan untuk memaklumkan situasi tersebut kepada doktor yang merawat atau ahli farmasi. Selain itu, pesakit juga disarankan untuk tidak terus berhenti mengambil ubat yang dipeskripsikan sebelum diarahkan oleh doktor.

Rujukan

  1. Brunton,L. L., Lazo, J. S., & Parker, K. L. (2006) Goodman & Gilman’s, The Pharmacological Basis of Therapeutics (11th ed.) United States of America: McGraw- Hill Companies, Inc
  2. Lacy, C. F., Armstrong, L. L., Goldman, M. P., & Lance, L. L. (2007) Drug Information Handbook (15th ed.) United States of America: Lexi-Comp, Inc
  3. Feinberg, M. (1993). The Problem Of Anticholinergic Adverse Effects In Older Patients [Abstract]. National Center For Biotechnology Information, Jul-Aug;3(4):335-48. Diambil pada April 12, 2016 dari http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/8369593
  4. Ruscin, J. M., Linnebur, S. A. Aging and Drugs. Merck Manual Consumer Version, Diambil pada April 12, 2016 dari http://www.merckmanuals.com/home/older-people%E2%80%99s-health-issues/aging-and-drugs/aging-and-drugs
  5. Coggins, M. D. (2013). Antihistamine Risks, Vol.6 No.2 P.6. Diambil pada April 12, 2016, dari http://www.todaysgeriatricmedicine.com/archive/0313p6.shtml
  6. Pusat rujukan persuratan melayu, diambil pada April 12, 2016 dari http://prpm.dbp.gov.my/
  7. George Krucik, MD, MBA, What Causes Confusion; 80 Possible Conditions, di ambil pada 26 April 2016 dari http://www.healthline.com/symptom/confusion
Semakan Akhir : 30 Jun 2016
Penulis : Maisara bt. Abdul Rahman
Akreditor : Siti Nurul Fathihah bt. Baharudin

Artikel Berkaitan

Tip Pengendalian Ubat Semasa Perjalanan

Maklumat ini digunapakai bagi mereka yang mengambil ubat-ubatan dan perlu meneruskan pengambilan ubat tersebut sepanjang pengembaraan atau perjalanan mereka. Ia dapat membantu untuk merancang dengan lebih awal pengambilan ubat disepanjang pengembaraan anda. Ia juga membantu untuk mendapatkan maklumat berkenaan ubat-ubatan yang boleh dibawa keluar dan masuk ke dalam sesebuah negara.

Phentermine

Apakah itu Duromine? Duromine merupakan sejenis produk yang mengandungi bahan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,816

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia