A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Radioterapi
  6. /
  7. Radioterapi Umum
  8. /
  9. PENGURUSAN PESAKIT KANSER SECARA...

PENGURUSAN PESAKIT KANSER SECARA HOLISTIK

Perkhidmatan dan jagaan ini disediakan oleh pasukan profesional antara disiplin; bukan sahaja untuk membantu individu memenuhi keperluan diri tetapi juga keluarga mereka agar lebih memahami situasi sebenar dan mampu memberi sokongan kepada yang tersayang dalam waktu yang mencabar.

Pengurusan pesakit kanser secara holistik memberi jagaan secara menyeluruh kepada seseorang individu yang merangkumi pelbagai cara untuk membantu pesakit tersebut daripada segi menangani penyakit secara am, rawatan yang diterima, kesan keseluruhan dan juga mendorong seseorang itu untuk membina kehidupannya semula.

Jagaan menyeluruh ini merangkumi jagaan perubatan dan kejururawatan yang menumpukan perhatian kepada pemberian rawatan pada bahagian tubuh badan yang terjejas akibat penyakit; jagaan psikososial untuk keperluan psikologi dan praktikal yang membantu individu dalam kehidupan seharian serta menjalani rawatan dengan jayanya; jagaan rehabilitatif untuk membimbing seseorang itu meningkatkan kekuatan dan membina semula keyakinan diri, meneruskan dan menerima kehidupan dengan bersemangat.

Pendekatan holistik, individu bukan sahaja dibekalkan dengan maklumat mengenai penyakit dan rawatannya, malah mereka juga dibantu dalam mengenal pasti keperluan fizikal, mental dan sosial beserta maklumat tentang perkhidmatan jagaan sokongan untuk memenuhi keperluan tersebut.

Pesakit-pesakit digalakkan untuk melibatkan diri secara aktif dalam pengurusan keseluruhan agar berasa kehidupan mereka dalam kawalan diri sendiri dan bukannya lemah serta tidak berdaya. Tidak semua pesakit memerlukan perkhidmatan khas ini namun meminta sokongan ketika beliau memerlukannya menunjukkan bahawa seseorang itu memahami perasaan dan keperluan dirinya.

Perkhidmatan dan jagaan ini disediakan oleh pasukan profesional antara disiplin; bukan sahaja untuk membantu individu memenuhi keperluan diri tetapi juga keluarga mereka agar lebih memahami situasi sebenar dan mampu memberi sokongan kepada yang tersayang dalam waktu yang mencabar.

Kaunseling

Kaunseling kanser yang dikendalikan oleh profesional terlatih seperti pakar onkologi, pakar psikologi klinikal, pekerja sosial dan kaunselor perubatan mampu mendorong pesakit untuk mengutarakan perasaan dan apa jua keraguan yang dirasai serta membincangkan bagaimana keadaan ini mempengaruhi diri (dan keluarga). Kaunselor akan memainkan peranannya dengan mendengar, bertanya soalan dan membimbing individu tersebut untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi sebaik mungkin.

Seseorang Individu mungkin memerlukan kaunseling atas sebab-sebab yang berbeza dan pada peringkat pengurusan kanser yang berlainan. Sesi peringkat awal membantu seseorang untuk menerima penyakitnya; mengurangkan rasa takut dan kekeliruan yang disebabkan oleh penyakit; menyedari kepentingan rawatan; memahami kesan sampingan rawatan dan cara-cara mengatasinya. Setelah tamat rawatan, ada sesetengah pesakit yang memerlukan kaunseling untuk menangani masalah perubahan badan dan juga belajar untuk mengharungi kehidupan seharian seperti normal.

Kaunseling bukan sahaja dapat membantu orang yang menghidap kanser untuk mengendalikan perasaan mereka malah membolehkan mereka berhadapan dengan masalah menggunakan kekuatan diri sendiri. Ia juga memberi peluang kepada ahli keluarga untuk lebih memahami perubahan tingkah laku, melegakan ketegangan keluarga dan mengeratkan perhubungan, lantas membolehkan mereka memberi sokongan emosi yang lebih baik kepada pesakit.

Diet

Makanan seimbang bagi seseorang yang sihat mesti mengandungi karbohidrat, serat, protein, lemak, cecair, vitamin dan bahan mineral. Walau bagaimanapun, bagi seseorang pesakit kanser yang sedang menerima rawatan, beliau memerlukan tambahan 20% khasiat bagi membantu badan membina tisu baru, memberi tenaga, menentang infeksi, memperbaik kerosakan dan mempercepat proses penyembuhan.

Terdapat beberapa sebab mengapa pesakit kanser sukar mengekalkan pengambilan makanan yang sempurna seperti:

  • Penyakit itu boleh menyebabkan perubahan kepada tubuh badan lalu membuat badan tidak berupaya untuk menyerap zat makanan
  • Gangguan emosi menjadikan individu tiada selera makan
  • Hilang selera terhadap makanan disebabkan simptom penyakit seperti kesakitan dan kelesuan.
  • Kesan sampingan rawatan seperti loya, cirit-birit dan deria rasa yang celaru.

Jika seseorang itu menghadapi masalah pemakanan, belaiu seharusnya memaklumkan keadaan tersebut kepada pakar onkologi, jururawat onkologi, juru x-ray terapi dan/ atau pakar pemakanan agar punca masalah ini dapat dikenal pasti dan diatasi bagi membolehkan individu berkenaan menerima khasiat yang secukupnya.

Sokongan pemakanan yang sempurna pada peringkat ini amat penting agar pesakit berasa lebih sihat dan mampu menahan kesan sampingan rawatan dengan lebih baik.

Pakar pemakanan akan mengajar seseorang itu bagaimana melakukan penyesuaian dietari mengikut rawatan yang diberi dan kesan sampingan yang dijangkakan untuk meningkatkan khasiat. Nasihat secara individu akan diberi mengenai jenis-jenis makanan dan cadangan penyediaan makanan untuk meningkatkan selera. Kadang kala, penambahan suplemen pemakanan mungkin dinasihatkan.

Sekiranya keadaan pesakit tidak bertambah baik dan mengalami kehilangan berat badan, tiub saluran makanan perlu dimasukkan buat sementara waktu melalui hidung atau perut untuk memelihara kesempurnaan zat makanan dan berat badan.

Perkhidmatan Kerja Sosial

Perkhidmatan kerja sosial sangat diperlukan oleh individu yang menerima rawatan dan mengalami kelesuan serta kesan sampingan radiasi, orang yang mempunyai disfungsi fizikal, pesakit yang telah discaj dari hospital dan mereka yang mempunyai sedikit atau tiada sokongan keluarga.

Pekerja sosial memberi maklumat dan pertolongan bagi membantu pesakit (dan keluarga) menangani masalah dalam kehidupan seharian. Mereka menyelaras dan menghubungkan pesakit dengan pelbagai organisasi yang menyediakan perkhidmatan yang pesakit perlu untuk memudahkan pengurusan kehidupan harian mereka. Mereka juga menyediakan penjaga pengganti yang menjaga pesakit di rumah supaya penjaga dapat berehat sementara.

Pekerja sosial memainkan peranan penting seperti berikut:-

  • Memberi penerangan tentang prosedur, arahan dan jadual waktu rawatan.
  • Berkomunikasi bagi membantu pesakit mengenal pasti keperluan psikologi dan praktikal.
  • Membantu individu mengatur pengangkutan untuk rawatan dan temu janji susulan ke hospital.
  • Mendapatkan pembantu bagi menjelaskan bil, membeli bahan makanan, menyediakan makanan, membersihkan rumah, mencuci pakaian dan membantu menjaga anak.
  • Membantu mengisi borang bagi faedah kecacatan, insurans kesihatan atau bantuan kewangan.
  • Membantu individu mencari bekalan perubatan seperti kerusi roda, rangka bimbing jalan.
  • Mengambil ubat dan bekalan perubatan seperti bahan pembalut, beg kolostomi.
  • Mencari kumpulan sokongan yang bersesuaian.

Rehabilitasi

Kanser dan rawatannya boleh menyebabkan kehilangan fungsi badan atau kecacatan sementara yang membawa kepada perubahan psikososial. Pesakit akan memerlukan bantuan dalam pemulihan fungsi atau imej untuk mendapatkan semula keyakinan diri dan meneruskan kehidupan tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang lain.

Rehabilitasi kanser dalam pemulihan fungsi fizikal, mental, sosial dan vokasional mungkin satu proses yang mengambil masa yang lama. Contoh pemulihan adalah seperti berikut:-

Bagi rehabilitasi fizikal

  • Pakar pertuturan membantu memulihkan fungsi dan membaiki komunikasi bagi masalah kesulitan pertuturan atau membaiki fungsi menelan;
  • Jurupulih cara kerja membantu dan melatih dalam mempbelajari semula fungsi motor untuk melakukan aktiviti harian dan penjagaan peribadi; menilai suasana rumah dan memberi nasihat mengenai pengubahsuaian serta di mana tempat untuk memperoleh peralatan yang bersesuaian;
  • Jurupulih anggota membantu dalam menguatkan otot untuk mengelak kelemahan, kaku dan limitasi pergerakan;
  • Juruteknik makmal membantu membekalkan peralatan sokongan seperti prostesis
  • Jururawat onkologi membantu dalam penjagaan dan pendidikan pengurusan pundi kencing dan usus besar, kolostomi;
  • Pakar makanan membantu dalam penilaian status pemakanan, memberi nasihat mengenai suplemen dietari dan makanan alternatif;
  • Pembekal jagaan mulut dan gigi membantu memulih kesihatan mulut dan gigi;
  • Kaunselor imej membantu membina semula keyakinan dengan memberi nasihat tentang penyesuaian untuk perubahan badan dan imej diri seperti perubahan kulit, keguguran rambut;
  • Kaunselor psikoseksual memberi kaunseling kepada pesakit (dan keluarga) mengenai isu hubungan sulit dan menangani perubahan seksualiti;
  • Kaunselor vokasional membantu dalam penilaian ketidakupayaan pesakit, menyokong latihan semula bagi pesakit meneruskan pekerjaan lama dengan peralatan khas atau latihan untuk pekerjaan baru;

Bagi rehabilitasi psikososial

  • Pakar psikologi klinikal membantu menilai gangguan psikologi dan memberi rawatan kepada pesakit dan juga ahli keluarganya;
  • Pekerja sosial memberi kaunseling, menyelaras jagaan dan perkhidmatan di rumah, mendapatkan bekalan dan peralatan perubatan;
  • Pakar rekreasi membantu mengukuhkan kemahiran peribadi, mengurangkan kemurungan dan kegelisahan melalui senaman, relaksasi, seni dan musik;

Kumpulan Sokongan

Kumpulan sokongan kanser adalah perjumpaan dan interaksi di antara orang yang mempunyai kepentingan dalam penyakit kanser. Mereka terdiri daripada profesional perubatan, pesakit kanser yang berjaya melalui rawatan, individu dan ahli keluarga mereka yang sedang menerima rawatan. Perjumpaan ini memberi peluang kepada individu untuk berkongsi mengenai kanser dalam kehidupan mereka dan cara mengatasi cabaran, bersama orang lain yang mempunyai penyakit atau situasi yang sama.

Perjumpaan ini sama ada diaturkan hospital, organisasi bukan kerajaan atau persatuan yang berlangsung di dalam halaman hospital atau di pusat komuniti masyarakat. Objektifnya adalah membantu pesakit mengurangkan stres dan mempelajari kemahiran baru bagi menghadapi cabaran disebabkan penyakit yang dihidapi. Pekerja sosial boleh mencari kumpulan sokongan yang boleh dipercayai dengan pemberian maklumat dan pendidikan yang diperakui.

Perkongsian perasaan dan pengalaman ini boleh menimbulkan semangat keahlian kepada individu yang sedang menjalani rawatan kerana mereka akan merasai bahawa ada insan yang memahami apa mereka sedang alami dan mereka tidak keseorangan. Ini dapat membentuk satu sistem sokongan kepada pesakit yang mencari penawar emosi, kefahaman simpati dan mewujudkan satu rangkaian sosial yang sihat dan boleh membaiki kualiti kehidupan.

Rujukan

  1. Committee on Psychosocial Services to Cancer Patients/Families in a Community Setting, Nancy E.Adler and Ann E. K. Page, Editors.(2008). Cancer Care for the Whole Patient: Meeting Psychosocial Health Needs. National Academies Press.
  2. Dollinger, M. MD, Rosenbaum, E.H.MD & Cable G.(1991).Everyone’s Guide to Cancer Therapy.Somerville House Books Limited.
  3. Guidelines on Cancer Services: Improving Supportive and Paliative Care for Adults with cancer. The Manual. National Institute for Clinical Excellence. NHS 2004
  4. Rekaan grafik oleh Cik Aisyah bt Zulkifli
  5. www.cancer.org/treatment/emotional-side-effects/coping-with-cancer-in-everyday-life
  6. www.emedicine.medscape.com/cancer-and-rehabilitation/320261-overview access 13/6/2013

 

Semakan Akhir : 10 Februari 2017
Penulis : Sarah Lee binti Abdullah
Akreditor : Rubiah binti Mohd Pakeh

Artikel Berkaitan

Berani Mengatakan Tidak

                               Sumber: Google 1. Pendahuluan Kadangkala kita terperangkap

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia