A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Ubat
  6. /
  7. Penipuan iklan kencing manis...

Penipuan iklan kencing manis dan darah tinggi

Iklan produk dengan tuntutan yang melampau seakan-akan sudah menjadi amalan dan menjadi ikutan oleh pengiklan-pengiklan produk kesihatan di Malaysia. Lihat sahaja iklan-iklan yang diletakkan terutamanya di laman-laman sosial dengan pelbagai tuntutan yang kadang-kala membuatkan kita bertanya pada diri sendiri tentang kebenarannya. Lazimnya, iklan-iklan produk kesihatan akan lebih memfokuskan kepada penyakit-penyakit kronik yang sukar disembuhkan seperti darah tinggi dan kencing manis.

Apakah itu penyakit kencing manis dan darah tinggi?

Kencing manis atau juga dikenali sebagai diabetes mellitus secara umunya adalah masalah metabolisma dimana jumlah glukosa atau gula, di dalam darah adalah lebih tinggi daripada paras normal. Manakala penyakit tekanan darah tinggi atau hypertension pula adalah satu keadaan apabila tekanan di dalam saluran darah meningkat.

Menurut laporan tahunan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) tahun 2011 yang dikeluarkan oleh Seksyen Penyakit Tidak Berjangkit, Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa 15.2 peratus orang dewasa menghidap penyakit kencing manis, manakala seramai 32.7 peratus orang dewasa menghidap penyakit darah tinggi. Punca penyakit ini secara umumnya adalah pengamalan gaya hidup yang tidak sihat, diet yang tidak seimbang dan tidak dilupakan faktor keturunan atau genetik.

Adakah penyakit kencing manis dan darah tinggi boleh disembuhkan?

Penyakit kencing manis tidak boleh disembuhkan sepenuhnya. Pesakit perlu mengawal pemakanan, bersenam dengan kerap dan mengambil ubat dengan teratur untuk mendapatkan paras gula yang terkawal. Sekiranya tahap gula dalam darah tidak dikawal, ianya boleh menyebakan komplikasi yang teruk seperti masalah mata, luka lambat sembuh, kerosakan saraf atau tisu mati (gangrene) yang boleh membawa kepada pemotongan kaki.

Manakala bagi penyakit darah tinggi pula, ianya juga hanya boleh dikawal melalui perubahan gaya hidup dan juga mengambil ubatan yang telah dipreskripsi oleh doktor. Dengan mengawal gaya hidup yang sihat, ianya boleh membantu untuk menurunkan tekanan darah, meningkatkan keberkesanan ubat-ubatan yang diambil, dan mengurangkan risiko untuk mendapat serangan jantung, strok atau penyakit buah pinggang.

Selain ubat moden yang diberikan oleh doktor kepada pesakit kencing manis dan darah tinggi, terdapat juga ubat-ubat tradisional yang dipercayai boleh membantu mengawal penyakit tersebut melalui kajian-kajian yang dibuat. Sebagai contoh, tumbuhan Misai Kucing digunakan secara tradisional bagi penyakit darah tinggi dan peria katak bagi digunakan secara tradisional bagi penyakit kencing manis.

Kenapakah pesakit kencing manis dan darah tinggi menjadi sasaran pengiklan?

Pengusaha produk kesihatan sering kali mensasarkan penjualan produk kepada penghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. Pengusaha produk sering mengiklankan produk dengan tuntutan perubatan yang tidak disokong oleh kajian saintifik dan hanya membuat tuntutan berdasarkan testimoni yang diragui kesahihannya. Pengiklan juga didapati mengambil kesempatan ke atas kesungguhan dan keadaan pesakit yang terdesak untuk mencari penawar penyakit yg dihidapi. Sesudah banyak wang ringgit dilaburkan kepada produk tersebut, hasilnya adalah tidak seberapa malah lebih malang, menjadikan penyakit bertambah parah dan memudaratkan pesakit.

Testimoni pengguna biasa juga digunakan pengeluar produk sebagai modal untuk melariskan penjualan produk. Testimoni merupakan antara strategi pemasaran yang kuat kerana ianya daripada pengguna produk tersebut sendiri dengan menceritakan keberkesanan produk, dan mengesyorkan produk tersebut kepada orang awam. Namun begitu, sejauh mana kebenaran testimoni tersebut? Adakah ianya benar-benar datang dari pengguna produk sendiri? Atau ianya hanya testimoni palsu?

Pernahkan terlintas di fikiran kita bahawa bahawa sekiranya produk-produk ini benar-benar boleh menyembuhkan penyakit yang dikatakan, kenapa ianya tidak dibekalkan sahaja di hospital atau klinik? Ubat-ubatan moden yang dipreskripsikan oleh doktor telah melalui pelbagai ujian bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan produk tersebut sebelum ianya boleh diberikan kepada pesakit. Pengiklan-pengiklan ini jelas ingin mengambil kesempatan ke atas pesakit-pesakit yang terdesak.

Bagaimanakah caranya untuk mengetahui samada iklan yang dipaparkan adalah benar dan telah dinilai oleh pihak berkuasa?

Caranya adalah dengan memastikan iklan yang dilihat mempunyai nombor KKLIU. Nombor KKLIU adalah nombor siri kelulusan yang diberikan oleh Lembaga Iklan Ubat, iaitu sebuah badan yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menilai dan memastikan isi kandungan iklan ubat yang disiarkan adalah benar, tepat dan boleh dipercayai. Dengan adanya kelulusan iklan daripada Lembaga Iklan Ubat, ianya diharapkan dapat membantu orang ramai untuk membuat keputusan yang rasional dalam pembelian ubat, disamping mengelakkan pengiklan daripada mengambil kesempatan ke atas pengguna.

Lembaga Iklan Ubat juga berperanan memastikan pengiklan mengiklankan produk secara bertanggungjawab, melindungi orang awam dengan mempromosi cara penggunaan ubat yang betul dan selamat, memastikan pengiklan mengiklankan manfaat, kegunaan dan kesan penggunaan ubat dengan jujur.

Tips untuk mengenalpasti iklan yang benar.

Kebiasaannya pengiklan hanya mengiklankan perkara yang baik-baik sahaja berkenaan produk mereka. Oleh yang demikian, sebagai pengguna yang bijak, kita janganlah mudah terpedaya dengan helah pengiklanan atau penjual produk yang hanya ingin mendapatkan keuntungan tanpa mengambil kira kesan buruk yang mungkin terjadi kepada kita.

  • Elakkan diri daripada terlalu percaya dengan iklan yang mempunyai tuntutan melampau seperti ‘semua penyakit boleh disembuhkan’.
  • Buat kajian tentang produk yang diiklankan atau yang ingin dibeli. Pastikan maklumat yang didapati adalah daripada sumber yang dipercayai contohnya daripada ahli farmasi atau doktor.
  • Pastikan produk yang diiklankan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Orang awam boleh menyemak status pendaftaran produk di laman web BPFK (www.bpfk.gov.my) atau laman web Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF) (www.pharmacy.gov.my).
  • Pastikan iklan ubat yang diiklankan mempunyai nombor KKLIU. Iklan ubat yang telah mendapat KKLIU telah dinilai, dan dipastikan fakta dan tuntutan perubatan yang terdapat di dalam iklan diakui sahih, benar dan bukannya direka-reka untuk melariskan produk.
  • No KKLIU wajib dipamerkan pada iklan di semua media. Orang awam juga boleh menyemak kesahihan nombor KKLIU di laman web BPF, ww.pharmacy.gov.my.
  • Sekiranya terjumpa dengan iklan iklan yang meragukan, aduan atau pertanyaan boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasa Farmasi di talian 03-78413200 atau Cawangan Penguatkuasa Farmasi di negeri masing-masing.
Semakan Akhir : 05 Jun 2015
Penulis : Nur Ilyana bt. Mohamad
Akreditor : Muhammad Lukmani bin Ibrahim

 

Artikel Berkaitan

Ubat: Apa yang Anda Perlu Tahu?

Ubat adalah drug atau bahan yang digunakan untuk mengawal kesihatan, merawat atau mencegah penyakit. Secara umumnya, ubat adalah selamat jika diambil dengan betul.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia