A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Bidang Kepakaran
  6. /
  7. Pergigian Kanak-kanak
  8. /
  9. Penjagaan Kesihatan Mulut Kanak-Kanak...

Penjagaan Kesihatan Mulut Kanak-Kanak Bermasalah Pendarahan

Apa yang dimaksudkan oleh istilah bermasalah perdarahan?

Seseorang itu dikatakan mempunyai masalah perdarahan bilamana ia cenderung untuk berdarah secara berlanjutan bila tercedera atau terluka. Di bidang pergigian, perdarahan berlanjutan ini boleh berlaku selepas menjalani cabutan gigi atau penskaleran. Langkah untuk mencegah rawatan-rawatan ini dari terpaksa dilakukan adalah amat penting bagi kanak-kanak bermasalah perubatan ini.

Kawalan perdarahan melibatkan:

  • Pengecutan salur darah di kawasan yang terlibat.
  • Pembentukan kelompok platelet.
  • Pembekuan darah- terdapat faktor dalam darah yang terlibat dalam pembekuan darah.

Sebarang gangguan dalam ketiga-tiga langkah ini boleh  menyebabkan berlakunya perdarahan berlanjutan. Sebagai contoh:

  • Abnormaliti Platelet: Sama ada kerana kekurangan bilangan platelet atau gangguan pada fungsi platelet akan menyebabkan masalah perdarahan e.g. Aplastik Anemia dan Leukemia.
  • Masalah pembekuan darah seperti Hemophilia, Christmas Disease, Penyakit Von Willibrands, penyakit hati, dan kekurangan sesuatu faktor pengklotan darah.
  • Penggunaan ubat-ubatan yang mengganggu platelet atau pembekuan darah e.g Aspirin, Warfarin atau Heparin.
  • Abnormaliti  salur darah e.g. Ehlers-Danlos Syndrome, scurvy atau malformasi salur darah.

Seorang kanak-kanak dengan leukemia kerap mengalami pengurangan bilangan platelet dalam darah. Ini menjadikan mereka cenderung menghadapi masalah perdarahan terutama jika kebersihan mulut tidak dijaga dan terdapat keradangan gusi. Keadaan menjadi lebih teruk apabila prosedur invasif dilakukan.


Gambar menunjukkan seorang kanak-kanak dengan leukemia dibersihkan mulutnya dengan kumuhan mengandungi klorheksidin untuk mengelakkan jangkitan dan keradangan yang boleh menyebabkan perdarahan.

Mengapa sangat penting untuk menjaga kesihatan mulut kanak-kanak ini:

Mulut yang sihat adalah amat penting bagi kanak-kanak dengan masalah perdarahan. Kebersihan mulut yang buruk akan menyebabkan inflamasi atau keradangan gusi. Gusi akan kelihatan bengkak, merah dan mudah berdarah jika tersentuh. Perdarahan dari gusi yang mengalami keradangan sukar dikawal, ini lebih lagi jika terdapat masalah perdarahan.

Mulut yang tidak terjaga juga boleh menyebabkan kerosakan gigi. Jika cabutan atau penskaleran terpaksa dilaksanakan sebagai rawatan, kemungkinan besar akan berlaku perdarahan yang banyak. Risiko ini dapat dielakkan dengan menjaga kebersihan dan kesihatan mulut kanak-kanak ini dari awal, sebelum masalah timbul.

Mengapa kesihatan mulut kanak-kanak ini begitu penting:


Kesihatan mulut yang buruk menyebabkan kerosakan gigi dan keradangan gusi.

Bagaimanakah cara kita menjaga kesihatan mulut kanak-kanak ini

  1. Memberus gigi
    • Gigi kanak-kanak perlu diberus 2-3 kali sehari.
    • Pastikan anak tidur dengan mulut yang bersih. Semasa tidur air liur dan sisa makanan bertakung di dalam mulut. Ketika ini kerosakan gigi boleh berlaku jika gigi tidak dibersihkan terlebih dahulu
    • Kanak-kanak dibawah usia 7 tahun perlu dibantu semasa memberus gigi oleh orang dewasa. Kajian telah menunjukkan bahawa kanak-kanak dibawah usia 7 tahun belum cukup mahir untuk melaksanakan pemberusan secara berkesan . Ini paling penting pada waktu malam untuk memastikan kanak-kanak tidur dengan mulut yang bersih
    • Kebiasaannya kanak-kanak lebih dari 7 tahun boleh melaksanakan pemberusan dengan baik tetapi keberkesanan tugas ini harus dipantau oleh seorang dewasa.
        
      Kanak-kanak kecil perlu diberuskan giginya oleh seorang dewasa, terutama sebelum tidur malam. Ini perlu dilaksanakan sehingga kanak-kanak berusia lebih kurang 7 tahun.

    Ubat gigi yang manakah yang perlu saya gunakan?

    • Kanak kanak berusia 2 tahun boleh menggunakan ubat gigi kanak-kanak yang berfluorida. Ubat gigi ini mempunyai paras fluorida sebanyak 500-600ppm. Pastikan ubat gigi digunakan hanya secalit atau sebesar kacang pis3. Penggunaan ubat gigi mestilah dikawal oleh ibubapa dan penjaga.
    • Setelah kanak-kanak tersebut pandai berkumur dengan berkesan, biasanya dalam umur 6 tahun ke atas, mereka boleh menggunakan ubat gigi orang dewasa yang mempunyai paras fluorida yang lebih tinggi. Ini akan memberi perlindungan yang lebih baik untuk kanak-kanak tersebut.

      Berus gigi apa yang sesuai untuk anak saya?

      Pilihlah berus yang lembut yang sesuai mengikut umur dan saiz anak anda. Gantikan dengan berus baru setiap 3 – 4 bulan, ataupun apabila bulu berus itu telah kembang.

      Adakah dengan memberus gigi akan menyebabkan perdarahan?

      Kanak-kanak dengan paras platelet yang rendah(<20×109/l) boleh mengalami pendarahan akibat pemberusan gigi. Bagi kanak-kanak ini mulut dan gigi hanya boleh disapu dengan kumuhan mulut yang mengandungi 0.2% klorheksidin Gluconate sebagai mengganti pemberusan sehingga keadaan kanak-kanak stabil.

      Selain kes di atas tiada kontra-indikasi terhadap pemberusan bagi kanak-kanak bermasalah pendarahan. Malahan pemberusan menjadikan gusi lebih sihat dan mengelakkan masalah pendarahan dari gusi.

  2. Kawalan Pemakanan Bagaimanakah pengawalan pemakanan mereka untuk memastikan kesihatan mulut yang baik?

    Semua makanan dan minuman bergula boleh menyebabkan kerosakan. Ini termasuk kek, biskut dan kuih-kuih manis, minuman jus, kordial dan minuman berkarbonat. Adalah agak sukar untuk mengelakkan sepenuhnya gula dalam pemakanan anak kita.

    Yang penting adalah untuk mengenal pasti makanan bergula tersebut terutama yang melekit, mengawal pengambilannya dan memahami cara bagaimana ia boleh diambil dengan lebih selamat.

    Kekerapan pengambilan makanan dan minuman bergula

    • Salah satu faktor penting menyebabkan kerosakan gigi adalah kekerapan pengambilan makanan dan minuman bergula. Asid yang menyebabkan kerosakan gigi terbentuk dalam mulut selepas setiap kali pengambilan manisan. Asid ini dibentuk oleh bakteria dengan menggunakan saki baki gula dalam mulut. Setelah terbentuk, kesan asid ini berkekalan sehingga hampir 20 minit. Lebih kerap pengambilan gula dalam sehari maka lebih lama dan kerap mulut dalam keadaan berasid yang menyebabkan kerosakan.
    • Hadkan pengambilan manisan kepada selepas makan berat iaitu sarapan, makan tengahari atau makan malam.(Setelah makan manisan pemberusan gigi harus dilaksanakan)*
    • Hanya beri minuman air atau susu tawar pada antara waktu makan. Hadkan minuman manis kepada waktu makan utama sahaja*.
    • Jika perlu makanan ringan, berikan makanan ringan yang sihat seperti keropok, kacang rebus, buah-buahan dan roti. Elakkan makanan ringan yang manis dan bergula.


      Semua makanan dan minuman mengandungi gula, bukan hanya gula-gula dan coklat boleh  menyebabkan kerosakan gigi.

      Waktu tidur malam

      Semasa tidur, air liur bertakung didalam mulut dengan sisa makanan dan minuman. Inilah masanya di mana baki gula dalam mulut akan menyebabkan paling banyak kerosakan pada gigi dan gusi. Untuk mengelakkan kerosakan ini, adalah sangat penting gigi diberus sebelum tidur pada malam hari.

      Setelah memberus gigi sebelum tidur, tidak patut makan atau minum lagi kecuali meminum air masak yang tawar (tanpa gula).

      Adakah anak anda masih menyusu botol?
      Kanak-kanak patut berhenti menyusu botol/ badan dari umur 12 ke 14 bulan. Elakkan dari memberi anak anda susu yang manis atau berperisa.

      Penggunaan botol susu yang berlarutan akan menyebabkan kerosakan yang teruk pada gigi  di kenali sebagai karies awal kanak-kanak. Apabila keadaan sedemikian berlaku ia akan menyebabkan hampir semua atau kesemua gigi yang erupt / ada dalam mulut mengalami kerosakan. Kerosakan berlaku dengan begitu pantas sehingga melibatkan bahagian  pulpa gigi dalam masa yang singkat. Pada peringkat ini anak puan akan mengalami sakit gigi dan bengkak gusi hingga memerlukan cabutan gigi tersebut. Keadaaan sedemikian mesti lah di elakkan untuk menghindar berlakunya pendarahan berlanjutan.

      Kanak-kanak yang berumur lebih dari setahun seharusnya diajar menggunakan cawan untuk meminum susu.

  3. Melawat klinik gigi

    Kanak-kanak dengan masalah pedarahan perlu dipantau dengan rapi dan dijaga kesihatan gusi dan gigi mereka. Lawatan ke klinik gigi secara berkala adalah sangat penting agar penjagaan dan rawatan awal dapat dijalankan. Kanak-kanak yang selalu ke klinik gigi akan merasa biasa dan dapat menerima rawatan dengan lebih baik. Ingatan penting : Pastikan anda memaklumkan kepada doktor gigi yang merawat anak anda tentang masalah perdarahan atau lain-lain masalah perubatan anak anda.

Rujukan:

  1. Clinical Practice Guidelines: Management of Severe Early Childhood Caries. Ministry of Health Malaysia, July 2005
  2. Council on Clinical Affairs. Policy on Early Childhood Caries: Classifications,Consequences, and Preventive Strategies.Oral Health Policies. Reference Manual. 2004-2005
  3. National Institute of Dental and Craniofacial Research. Children’s Oral Health. www.nidcr.nih.gov
  4. Porter, S.R., & Scully, C. (Eds) (1995) Oral Health Care for those with HIV infection and other special needs. London:Lonsdale Press Limited.
  5. Rugg-Gunn, A.J. (1997) Dental Caries. In Welbury R.R (Ed), Paediatric Dentistry (pp95-113) Oxford University Press
  6. Shaw, L. (1997) Medically Compromised Children. In Welbury R.R (Ed), Paediatric Dentistry (pp353-371) Oxford University Press.

 

Semakan Akhir : 25 April 2014
Penulis : Dr. Sa’adah bt. Atan
Akreditor : Dr. Laila bt. Abd. Jalil
Penyemak : Dr. Hjh. Noraini @ Nun Nahar bt. Yunus

 

Artikel Berkaitan

Tampalan Sewarna Gigi

Tampalan ini mengembalikan warna asal gigi yang sebelum ini telah rosak atau mempunyai tampalan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia